Followers

Wednesday, October 31, 2007

Solat Cara Rasulullah (Siri 3)

Menghadap Kiblat Dalam Solat
Oleh
Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Sebelum membincangkan cara-cara yang diajar oleh nabi saw ketika mendirikan solat yang bermula daripada takbir sehingga salam, seeloknya kita membahaskan beberapa perkara yang berkaitan dengan syarat wajib solat itu sendiri. Antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam bab ini ialah menghadap ke arah kiblat ketika menunaikan solat. Ia merupakan sesuatu yang wajib, dan solat tidak sah tanpanya. Landasan utama dalam persoalan menghadap kiblat ketika mendirikan solat ialah firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Dan dari mana saja kamu keluar, maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjid al-Haram. Dan di mana saja kamu berada, maka hadapkanlah wajahmu ke arahnya (QS 2:150).
Al-Masjid al-Haram dalam ayat di atas memberi maksud ka’bah iaitu menghadap ke arah kaabah ketika menunaikan solat. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas r.a, bahawa dia berkata, “Ketika Nabi Muhammad saw memasuki Baitullah (Ka’bah), Baginda berdoa pada semua sisinya, tetapi tidak melakukan solat hingga keluar darinya. Setelah keluar, baginda melakukan rukuk dua kali (solat dua rakaat) di hadapan ka’bah. Lalu baginda bersabda, ‘Inilah Kiblat.’ Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad saw bersabda, “Hadaplah ke kiblat dan bertakbirlah.”
Menghadap kiblat merupakan syarat sah solat kecuali dalam dua keadaan, iaitu ketika keadaan sangat tidak aman dan ketika melakukan solat sunat dalam perjalanan. Dalil yang membolehkan tidak menghadap kiblat ketika mendirikan solat adalah firman Allah SWT yang bermaksud: Jika kamu dalam keadaan takut (bahaya), maka solatlah sambil berjalan atau berkenderaan (QS 2:239)
Mengenai penafsiran ayat ini, ‘Abdullah bin ‘Umar r.a mengatakan, “Jika ada rasa takut yang lebih besar daripada itu, hendaklah mereka melakukan solat sambil berjalan dan berdiri atau sambil berkenderaan, sama ada menghadap kiblat atau tidak.” Ia juga turut diperkatakan oleh Imam Malik dalam al-Muwatha’.
Keharusan untuk tidak menghadap kiblat ketika menunaikan solat sunat adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Sayyidina ‘Abdullah bin ‘Umar r.a yang mengatakan, “Rasulullah saw bertasbih (melakukan solat sunat) di atas tunggangannya sambil menghadap ke arah mana saja baginda menghadap dan baginda pun melakukan solat witir di atas tunggangannya itu. Baginda hanya tidak melakukan solat fardu di atasnya.”
Diriwayatkan juga daripada Sayyidina Jabir bin ‘Abdullah r.a, ia mengatakan, “Rasulullah saw melakukan solat di atas tunggangannya ke mana saja tunggangannya itu menghadap. Jika baginda saw akan mendirikan solat fardu, baginda akan turun dan menghadap kiblat.”
Al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani – dalam al-Fath al-Bari (I:503) mengatakan, “Hadis tersebut menunjukkan tidak boleh membelakangi kiblat dalam mendirikan solat fardu – dengan ijmak, tetapi seseorang diberi rukhsah jika ia dalam keadaan sangat takut.”
Setiap muslim wajib memahami cara-cara untuk mengetahui arah kiblat. Perkara ini sebagaimana diperintahkan Allah SWT kepada Rasulullah saw bahawa setiap orang yang mendirikan solat hendaklah menghadap kiblat. Allah SWT berfirman yang bermaksud:...dan (Dia ciptakan) tanda-tanda (petunjuk jalan). Dan dengan bintang-bintang itulah mereka mendapat petunjuk (QS 16:16).
Termasuk alat petunjuk jalan ialah kompas. Alat ini digunakan oleh manusia moden untuk mengetahui arah kiblat. Setiap muslim diwajibkan mengetahui dalil-dalil atau cara-cara mengetahui arah kiblat, sama ada dengan memerhati terbit dan terbenamnya matahari, melalui penggunaan kompas atau dengan memerhati bayang-bayang ‘kayu’ pada siang hari. Seseorang harus mengetahui arah perjalanan yang sedang dilaluinya, demikian pula arah kiblatnya. Begitulah sebaiknya dilakukan insan Muslim yang memerhatikan kepentingan agamanya, sebagaimana yang dilakukan para sahabat Rasulullah saw .
Imam an-Nawawi mengatakan, “Jika seseorang Muslim tidak mahu belajar lalu bertaklid (mengikuti yang lain) maka tidak sah solatnya, kerana ia telah meninggalkan tugasnya dalam istiqbal (upaya untuk menghadap kiblat). Akan tetapi, jika ia tidak mengetahui arah kiblat kerana ia tidak termasuk orang yang mampu mengetahui kerana bukan ahlinya, atau ia tidak mendapatkan seseorang (guru) tempat belajar masalah itu, sedangkan waktu solat telah sedikit, atau mungkin ia buta, maka yang difardukan kepada orang seperti itu adalah taklid (mengikuti tanpa mengetahui dalilnya).”
Taklid yang dimaksudkan adalah mengikuti perkataan atau pendapat orang lain yang disandarkan pada ijtihad. Akan tetapi jika orang yang diharuskan bertaklid itu tidak mendapatkan orang yang ditaklidnya, maka mereka hendaklah melaksanakan solat – untuk menghormati waktu ibadat – dalam keadaan seadanya. Kemudian ia hendaklah mengulanginya lagi kerana perbuatan itu termasuk uzur yang jarang terjadi. Hal ini perlu dilakukan setiap Muslim kerana menghadap kiblat merupakan syarat sah solat. Syariat tidak menggugurkan kewajipan menghadap kiblat kecuali dalam keadaan sangat tidak aman atau ketika melakukan solat sunat dalam perjalanan.
Perlu diketahui, jika seseorang baru memasuki satu daerah, ia tidak boleh terus mendirikan solat sebelum mengetahui arah kiblat yang tepat. Ia harus berusaha mengetahui perkara itu, contohnya dengan cara bertanya penduduk setempat atau mencari masjid di daerah tersebut. Jika ia melakukan solat tanpa mengetahui terlebih dahulu arah kiblatnya, kemudian ada orang lain yang memberitahu arah kiblat yang sebenar, maka ia harus mengulangi solatnya kerana solatnya tidak sempurna.


Mendirikan Solat Di Dalam Kenderaan
Sayyidina ‘Abdullah bin ‘Umar r.a meriwayatkan, “Rasulullah saw ditanya tentang solat di atas perahu (as-safinah). Baginda saw menjawab, ‘Lakukanlah solat sambil berdiri, kecuali jika takut tenggelam.’ Anas bin Sirin berkata, “Aku pernah pergi bersama Anas bin Malik. Ketika kami sampai di Dajlah, tibalah waktu solat Zohor. Ia mengimami kami sambil duduk di atas permaidani di dalam perahu. Ketika itu perahu sedang bergerak laju membawa kami.”
Imam an-Nawawi berkata, “Jika seseorang itu melaksanakan solat fardu di atas perahu, ia tidak boleh meninggalkan kewajipan berdiri jika ia berkemampuan untuk berdiri sebagaimana ketika ia berada di daratan. Akan tetapi, jika ia uzur (ada halangan) seperti pening kepala dan sebagainya, maka boleh melakukan solat fardu sambil duduk kerana ia dianggap lemah. Jika angin bertiup dengan kencang sampai mengubah arah perahu, sehingga wajahnya tidak menghadap kiblat, maka ia hendaklah kembali menghadap kiblat sambil tetap dalam solatnya – iaitu menyempurnakannya dan tidak perlu mengulanginya lagi. Perkara itu berbeza dengan seseorang yang sedang mendirikan solat di darat. Jika ia mengubah dengan sengaja wajah atau dadanya dari arah kiblat secara paksa, maka batallah solatnya.”
Dalam keterangan di atas, jelaslah hukum solat di atas perahu. Solat di dalam pesawat dan kapal terbang dianggap sama dengan bersolat di dalam perahu. Jika seseorang di dalam kapal terbang boleh berdiri dalam melakukan solat dan menghadap kiblat seperti yang yang dilakukan di daratan atau di dalam perahu, maka ia wajib melakukan yang sedemikian itu. Akan tetapi, jika perkara itu tidak membolehkan, maka solat boleh dilakukan mengikut kemampuannya.
Solat sunat pula boleh dilakukan di dalam apa jua kenderaan dalam keadaan duduk, dengan melakukan rukuk dan sujud dengan sesuatu gerakan (isyarat). Sujud dibuat lebih rendah daripada rukuknya.
Timbul persoalan tentang solat menghormati waktu, apakah ia wujud? Solat menghormati waktu sebenarnya telah dibincangkan oleh para ulama’ silam dan tidak sepatutnya ditolak mentah-mentah oleh ilmuwan pada zaman sekarang. Sebenarnya ia merujuk kepada solat yang dilakukan bagi menghormati waktu yang akan luput sedangkan pada waktu itu terdapat sesuatu yang menghalang daripadanya sahnya solat seperti ketiadaan wuduk.
Contohnya ialah seseorang yang sedang berada dalam waktu Asar tetapi tidak dapat menunaikan solat Asar dengan sempurna kerana tidak dapat berwuduk atau bertayammum untuk memenuhi syarat wajib solat. Justeru, dia dikehendaki menunaikan solat Asar tersebut dalam keadaan tidak berwuduk ‘sebagai menghormati Asar’ yang akan luput. Ini kerana waktu yang luput tidak dapat dikembalikan lagi. Setelah itu, dia hendaklah mengqada solat Asarnya pada waktu yang lain apabila sudah dapat memenuhi syarat berwuduk atau bertayammum. (Sila rujuk kitab Mughni al-Muhtaj oleh al-Khatib Syarbaini untuk keterangan lanjut).
Terdapat beberapa dalil yang menunjukkan tentang solat bagi menghormati waktu. Antara dalil tersebut ialah seperti berikut:
‘A’isyah r.a mengatakan bahawa ia pernah meminjam kalung daripada Asma’, lalu kalung itu hilang. Rasulullah saw mengutus seseorang untuk mencarinya dan kebetulan ia mendapatkannya. Ketika datang waktu solat dan mereka tidak menemui air, maka mereka pun melakukan solat. Lalu mereka memberitahu perbuatannya itu kepada Rasulullah saw. Maka Allah SWT menurunkan ayat mengenai bolehnya tayamum. Demikian diriwayatkan al-Bukhari dan yang lainnya.
Dalam peristiwa yang lain, sahabat-sahabat Rasulullah saw pernah melakukan solat tanpa wuduk dan tanpa tayamum kerana mereka melakukan solat untuk menghormati waktu ibadat. Akan tetapi, sewajarnya diingat bahawa solat tanpa bersuci tidak sah, oleh itu mereka wajib mengulanginya atau menggantikannya. Perkara ini diisyaratkan oleh Rasulullah saw selepas sabdanya, “Allah tidak menerima solat tanpa bersuci”(Hadis Riwayat Muslim ).
Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw pernah melihat seseorang melakukan solat, sedangkan pada tumitnya ada sedikit yang tidak terkena siraman air wuduk. Nabi Muhammad saw memerintahkannya untuk mengulangi wuduk dan solatnya (Hadis Riwayat. Imam Ahmad dan Abu Dawud). Nabi Muhammad saw menyuruh orang tersebut untuk mengulangi solatnya kerana solat tersebut dilakukan tanpa bersuci dan tidak sah.

Monday, October 29, 2007

Majlis Aidilfitri Alumni Jordan
















Antara yang hadir dalam majlis sambutan aidilfitri anjuran alumni pelajar Jordan (Ikatan Majlis Siswazah Malaysia Jordan) yang diadakan pada hari Ahad, 28 Oktober 2007 bertempat di Darul Fuqaha, Sg Merab, Kajang, Selangor.




Sunday, October 28, 2007

Solat Cara Rasulullah (Siri 2)

Akhlak Orang Yang Mendirikan Solat
Oleh
Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
(Artikel ini telah disiarkan di Majalah Milenia Muslim keluaran November 2007)

Ajaran agama yang paling penting untuk dipelajari dan diajarkan kepada orang lain ialah solat. Hal itu antara lain pernah ditegaskan oleh junjungan kita, Nabi Muhammad saw dalam sebuah hadis sahih, “Aku didatangi Jibril a.s pada awal-awal turunnya wahyu kepada ku. Ia mengajarku wuduk dan solat.”

Atas dasar itulah, maka setiap orang yang baru memeluk Islam atau bagi Muslim yang pernah terlanjur berbuat dosa diwajibkan bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam dan lebih khusus lagi dalam hal solat. Mereka hendaklah mengetahui ajaran solat sebagaimana yang dipraktikkan oleh Rasulullah saw yang juga diikuti oleh para sahabat baginda. Rasulullah saw berpesan, “Tunaikanlah solat sebagaimana kamu melihat aku solat.”

Solat mendidik manusia untuk menjadi orang yang prihatin terhadap akhlaknya. Setiap Muslim yang selalu mendirikan solat akan menjadi manusia yang paling baik akhlaknya kerana ia merupakan perintah agama dan manifestasi daripada solat itu sendiri. Ketika dalam pergaulan sesama manusia, dia hendaklah berlemah lembut, penuh toleransi dan selalu tampil sebagai orang yang mempunyai sifat-sifat terpuji. Oleh yang demikian, ketika bergaul dengan orang lain dia bagaikan bunga mekar yang harum semerbak indah, lembut, penyayang serta tidak sombong.

Tidak perlu diragukan lagi keutamaan dan kemuliaan akhlak yang baik. Akhlak yang baik wajib dimiliki oleh setiap individu muslim yang mengaku sebagai Mukmin dan Muslim dan yang mengerjakan solat, baik lelaki mahu pun perempuan. Nabi Muhammad saw mendapat pujian dan sanjungan dari Allah SWT kerana mempunyai akhlak yang terpuji melalui firmanNya yang bermaksud: ‘Dan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung’ (QS 68:4).

Mengenai kepentingan dan kemuliaan akhlak itu, Rasulullah saw banyak mengutarakannya kepada umat. Antaranya ialah sabda nabi yang bermaksud: “Kebanyakan yang memasukkan seseorang ke dalam syurga adalah ketakwaan kepada Allah dan akhlak yang baik.” Sayyidina Usamah r.a berkata, “Kami bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah pemberian yang paling baik yang diberikan kepada manusia?’ Rasulullah menjawab, ‘Akhlak yang baik.’” Pada hadis lain disebutkan bahawa nabi bersabda yang bermaksud, “Aku diutus hanya untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” Kemudian Rasulullah saw menegaskan, “Sesuatu yang paling memberatkan timbangan kebaikan adalah akhlak yang baik.”

Rasulullah saw sendiri dengan penuh kerendahan hati dan penuh kesungguhan, selalu bermohon kepada Allah SWT supaya dihiasi dengan akhlak mulia dan terpuji. Dalam suatu doa contohnya, baginda berkata, “Ya Allah, baikkanlah badan ku dan akhlak ku.” Dan pada kesempatan lain baginda berdoa, “Ya Allah, jauhkanlah aku daripada akhlak yang buruk dan mungkar.”

Sa’d bin Hisyam mengatakan, “Aku pernah datang kepada ‘A’isyah r.a, dan bertanya kepadanya tentang akhlak Rasulullah saw. Aisyah menjawab, ‘Tidakkah engkau (pernah) membaca Al-Quran?’ Aku menjawab, ‘Tentulah aku pernah.’ ‘Akhlak Rasulullah saw adalah Al-Quran,’ jawab ‘A’isyah r.a.”

Islam melarang perbuatan dan perilaku yang tidak baik; sama ada itu merupakan perbuatan buruk, mahupun perbuatan yang mungkar. Nabi muhammad saw bersabda kepada ‘A’isyah r.a., “Hendaklah engkau berlemah lembut dan jauhilah olehmu sikap kasar dan perkataan buruk.”

Pada kesempatan lain Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada setiap orang yang kasar, keras hati dan sombong, suka berteriak dengan keras di pasar, pandai dalam urusan keduniaan tetapi bodoh dalam urusan keakhiratan.” Dalam hadis lain Rasulullah saw menyatakan, “Sesungguhnya Allah SWT membenci orang yang suka melakukan perbuatan keji dan buruk akhlaknya.”

Termasuk dalam sifat-sifat yang menunjukkan keburukan akhlak seseorang ialah memusuhi seseorang yang beriman hanya kerana berbeza pendapat dalam sesuatu masalah; atau lebih tepatnya kerana berbeza mazhab dalam pemahamancara solat ditunaikan oleh Rasulullah saw. Apa yang lebih malang lagi, ialah apabila dilontarkan dengan tuduhan bid’ah bagi orang yang berbeza dalam pandangan mazhab dalam menghuraikan solat yang dilakukan oleh Rasulullah saw.

Justeru, harus difahami bahawa perbezaan mazhab (sama ada aliran ulama’ Syafei, Hanafi, Maliki dan Hanbali) dalam menghuraikan cara solat yang dilakukan oleh Rasulullah adalah menunjukkan kepada keluasan ilmu dan memberi ruang kepada setiap individu muslim untuk mengkaji dengan lebih mendalam apa yang diajar oleh nabi saw. Akan tetapi amat malang sekali apabila terdapat mereka yang langsung menolak mazhab dengan alasan bahawa kita bukan dituntut untuk ikut mazhab tetapi kita dituntut untuk ikut nabi!

Memang kita dituntut untuk mengikuti tunjuk ajar Rasulullah saw dalam segala perkara. Namun, sesuatu yang perlu difahami juga bahawa bagaimanakah kita boleh mengikut nabi kalau bukan dengan susur galur yang betul? Apakah seseorang itu dengan mudah dapat memahami sesuatu nas agama sama ada daripada al-Quran mahu pun hadis nabi sedangkan ilmu kosong di dada? Bukankah nabi saw memperjelaskan sesuatu urusan agama itu kepada para sahabat, dan kemudiannya para sahabat nabi pula mengajar orang yang selepasnya dari golongan tabien dan seterusnya lagi ilmu diperturunkan kepada kita melalui generasi para ulama’ salafussoleh.

Sehubungan dengan itu, wajar difahami bahawa mazhab merupakan antara susur galur ilmu sampai kepada kita melalui generasi para ulama. Tidak mungkin seseorang itu mendapat kefahaman yang betul dalam ilmu sekiranya menolak para ulama’ pewaris nabi, sebaliknya terus mengambil secara langsung daripada al-Quran dan hadis tanpa petunjuk. Firman Allah swt bermaksud: ‘Bertanyalah kepada orang yang berilmu (mengetahui) sekiranya kemu tidak mengetahui’.

Oleh itu, dalam kita membicarakan solat cara Rasulullah saw dalam siri-siri yang akan datang, kita tidak akan menolak pandangan dan tafsiran serta kefahaman ulama’ mazhab dalam menghuraikan hadis nabi saw agar kita dapat sama-sama menuju ke arah kefahaman yang benar dan sejati sebagaimana yang dikehendaki oleh junjungan Rasulullah saw.

Saturday, October 27, 2007

Solat Cara Rasulullah (Siri 1)

Solat Pencegah Perbuatan Maksiat
Oleh
Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
(Artikel ini telah disiarkan di Majalah Milenia Muslim keluaran Oktober 2007)

Sesetengah umat Islam mungkin tertanya-tanya: “Bukankan Allah SWT berfirman: Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar (QS 29:45), tetapi mengapa pada hakikat dan secara zahirnya, ramai orang Islam yang menunaikan solat tetapi dalam masa yang sama dia juga melakukan perbuatan maksiat, keji dan mungkar? Bukan itu sahaja, kedapatan mereka yang menunaikan solat juga tidak menunjukkan contoh dan akhlak yang baik sama ada dari sudut percakapan, pergaulan dan sebagainya. Kadang-kala terdapat mereka yang beriltizam dengan menunaikan solat secara berjamaah di masjid, namun masih mempunyai akhlak yang buruk seperti suka berbohong, menipu, memanipulasi dan terlibat dalam rasuah, riba dan sebagainya. Mereka juga tidak menghiasi diri dengan akhlak-akhlak terpuji seperti istiqamah (konsisten dalam kebenaran), tekun, dan ikhlas dalam perbuatan. Mengapakah terjadi sedemikian sedangkan mereka menunaikan solat?
Untuk menjawab persoalan tersebut, maka boleh dikatakan bahawa mereka yang bersikap sedemikian baru melaksanakan solat tetapi belum mendirikannya dalam erti kata yang sebenar. Mereka belum mampu mendirikan solat dengan sahih dan benar sesuai dengan tatacara dan sifat-sifat solat yang diajar oleh Nabi Muhammad saw kepada para sahabatnya yang mulia. Mereka belum memahami makna solat yang sebenarnya. Mereka juga belum memikirkan untuk memperbaiki dan menyempurnakan solat yang dilaksanakan. Mereka sebenarnya hanyalah melakukan gerakan-gerakan solat lahiriah dengan meniru orang lain.
Bukankah Rasulullah saw sendiri pernah menyuruh seseorang untuk mengulangi solatnya, padahal ia telah melakukan solat. Sabda Rasulullah kepada orang tersebut, “Ulangilah, sesungguhnya engkau belum melakukan solat.” Bahkan baginda saw menyuruh orang itu untuk mengulangi solatnya hingga tiga kali.
Secara lengkapnya hadis tersebut yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dalam kitab hadis mereka adalah seperti yang berikut: “Nabi Muhammad saw masuk masjid. Lalu, seseorang masuk (pada waktu itu Rasulullah saw berada di salah satu sudut masjid). Kemudian, orang itu pun menunaikan solat (dua rakaat). Rasulullah saw memerhatikan solat lelaki tersebut, selesai sahaja solat, lelaki tersebut pun mendekati Rasulullah saw lalu mengucapkan salam. Rasulullah saw menjawabnya, ‘Wa ‘alaika as-salam. Ulangilah solatmu kerana sesungguhnya engkau belum solat!’
Orang itu pergi dan melakukan solat seperti yang telah ia lakukan. Rasulullah saw memerhatikan solat yang dilakukan oleh lelaki tersebut. Setelah selesai, lelaki itu pun sekali lagi datang bertemu Rasulullah saw sambil mengucap salam kepada baginda. Rasulullah saw bersabda kepadanya, ‘Wa ‘alaika as-salam. Pergilah dan ulangi lagi solatmu, kerana engkau belum melakukan solat. Ia melakukan solat sampai tiga kali. Setiap kali selesai melakukannya, ia datang kepada Rasulullah saw dan mengucapkan salam kepadabaginda, lalu baginda bersabda, ‘Wa ‘alaika - yakni ‘Wa ‘alaika as-salam ulangilah solatmu, kerana sesungguhnya engkau belum melakukan solat.’
Lalu berkatalah lelaki itu (setelah melakukan solat yang terakhir), Demi Tuhan yang mengutusmu dengan hak, aku tidak dapat melakukan solat yang lebih baik daripada ini. Kerana itu, perlihatkanlah kepadaku dan ajarlah aku kerana sesungguhnya aku ini manusia biasa, kadang-kadang aku benar dan kadang aku salah.’
Rasulullah saw bersabda, ‘Ketika akan mendirikan solat, bertakbirlah kemudian bacalah ayat Al-Quran yang mudah bagimu. Dalam satu riwayat yang sahih disebut, ‘Kemudian bacalah Umm al-Qur’an (al-Fatihah). Lalu, bacalah apa saja (ayat al-Quran) yang engkau mahu, kemudian rukuklah sehingga engkau tenang dalam rukukmu. Lalu, bangkitlah (i’tidal) sampai engkau tegak berdiri. Setelah itu sujudlah sehingga engkau sujud dengan thuma’ninah (tenang). Kamu tempatkan dahimu secara tepat – pada tempat sujud – sehingga persendianmu tenang atau thuma’ninah. Kemudian, bangkitlah sehingga engkau duduk dengan thuma’ninah (dudukmu harus tegak pada tempat duduk dan tegak pula tulang punggungmu). Kemudian, sujudlah sampai thuma’ninah dalam sujud (jika engkau duduk di tengah-tengah solat, duduklah dengan thuma’ninah lalu bentangkan pahamu yang kiri dan tasyahud lah). Lakukanlah seperti itu dalam solatmu selmuanya.’ Dalam suatu riwayat, ‘kemudian berbuatlah seperti itu pada setiap rakaat.’”
Berdasarkan hadis ini, Imam al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan bahawa, “Sabda Rasulullah saw, ‘Pergilah dan ulangilah solatmu, kerana engkau belum solat,’ mengandungi pengertian bahawa perbuatan atau ibadah yang dilakukan tanpa ilmu tidak boleh dianggap sempurna.
Berdasarkan hadis nabi di atas juga, dapat diambil kesimpulan bahawa terdapat ramai dalam kalangan masyarakat Islam yang baru mampu melakukan solat secara lahiriah belaka, tetapi ia belum mampu “mendirikan”nya secara yang sempurna. Dengan kata lain, sebenarnya mereka belum melakukan solat. Ia terjadi berkemungkinan disebabkan oleh tidak menyiapkan diri untuk mempelajari perkara-perkara yang berkaitan dengan solat secara benar dan lengkap, sehingga tidak melakukan sebahagian rukun solat atau tidak membaca sebahagian zikir solat yang semestinya dibaca di dalam solat sesuai dengan tuntutan syariat.
Justeru, solat yang sebegitu sebenarnya dikira rosak dan oleh kerananya ia seakan-akan belum mengerjakan solat. Ibadah yang dilakukan tidak cukup dengan jiwa yang ikhlas sahaja, tetapi memerlukan pengetahuan tentang tatacaranya yang benar yang wajib dipenuhi.
Sehubungan dengan itu, sesiapa yang mampu melaksanakan solat dengan memenuhi syarat dan rukunnya dan dapat memahami makna solat dengan sebenarnya menurut apa yang telah diajar oleh nabi saw, maka Allah SWT akan memasukkan ke dalam hatinya suatu rahsia (taufik). Dengan taufik itu, ia akan senang melakukan kebaikan dan akan takut melakukan kemungkaran atau kemaksiatan. Sabda Rasulullah saw bermaksud: ‘Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku mendirikan solat’.
Solat yang sahih sahajalah yang menjadi sebab utama dalam mendorong seseorang untuk berbuat baik dan menjauhi perbuatan buruk. Akhlaknya semakin bagus, keikhlasannya pun semakin nampak sehingga sesuailah baginya firman Allah SWT: Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain) (QS 29:45).
Terdapat segelintir yang bertanya, “Adakah semua umat Islam dipertanggung jawabkan untuk memahami dan mendirikan solat dengan sempurna atau menunaikan solat dengan hakikatnya yang sebenar, sedangkan terdapat di antara mereka yang masih tidak dapat membaca dan menulis?”
Jawapannya ialah, “Ya”. Setiap Muslim – lelaki mahupun perempuan – wajib mempelajari hakikat solat, kerana Allah SWT menciptakan manusia semata-mata untuk mengabdikan diri kepadaNya. Allah berfirman bermaksud: ‘ Tidak Aku menciptakan jin dan manusia kecuali semata-mata untuk mereka mengabdikan diri kepadaKu (QS 51:56). Oleh itu, Allah telah mengutus para Nabi dan Rasul untuk mengajar manusia mengenai cara beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah. Mereka mengajar kita tentang segala perintah Allah untuk kita lakukan, dan segala laranganNya untuk kita hindari. Kita diperintahkan oleh Allah SWT untuk melakukan apa saja yang Dia perintahkan dalam bentuk yang sebenarnya sesuai dengan kehendak Nya. Allah berfirman: Apakah kamu mendustakan ayat-ayat Ku, padahal ilmu kamu tidak meliputinya atau apakah yang telah kamu kerjakan? (QS 27:84). Tambahan daripada itu, Rasulullah saw pun menegaskan, “Menuntut ilmu itu adalah fardu (wajib) atas setiap Muslim .”
Terdapat para sahabat Rasulullah saw yang buta huruf iaitu tidak pandai menulis dan membaca. Walaupun mereka pandai menghafal, tetapi mereka tidak pandai membaca dan menulis. Namun mereka selalu belajar kepada Rasulullah saw mengenai ajaran Islam dan memahaminya. Bahkan, mereka pun dengan tekun dan giat menyebarkan ajaran Islam ke pelbagai penjuru dunia meskipun dengan alat penyebaran yang terhad dan terbatas. Mereka tidak mengenal dunia percetakan. Mereka juga tidak mempunyai alat informasi yang canggih seperti yang kita miliki sekarang.
Jika seseorang Muslim itu tidak mempelajari secara mendalam mengenai ajaran agamanya, maka apakah yang akan dia pelajari? Apakah dia mahu menjadi orang yang bodoh mengenai agamanya sepanjang hidupnya? Apakah kelak di hadapan Allah SWT alasannya akan diterima? Mungkin di antara mereka ada yang berkata, “Wahai Tuhanku, betul aku telah mensia-siakan hidupku sedemikian rupa tanpa erti dan faedah, dan aku belum mempelajari apa yang Engkau fardukan ke atasku, sehinggakan aku tidak mengetahui urusan dan ajaran agamaku .”
Allah SWT berfirman, maksudnya: ‘Sebab itu bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya kamu di atas kebenaran yang nyata . Sesungguhnya kamu tidak dapat menjadikan orang yang mati mendengar dan (tidak pula) menjadikan orang yang tuli mendengar panggilan, apabila mereka telah berpaling . Dan kamu jangan sesekali tidak dapat memimpin (memalingkan) orang buta dari kesesatan mereka. Kamu tidak dapat menjadikan (seorang pun) mendengar, kecuali orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami, lalu mereka berserah diri . Dan apabila perkataan telah jatuh atas mereka, Kami keluarkan sejenis binatang melata dari bumi yang akan mengatakan kepada mereka, bahawa sesungguhnya manusia dahulu tidak yakin kepada ayat-ayat kami . Dan (ingatlah) hari (ketika) Kami kumpulkan dari setiap umat golongan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Lalu mereka dibahagi (dalam kelompok-kelompok) . Sehingga apabila mereka datang, Allah berfirman, “Apakah kamu telah mendustakan ayat-ayat Ku, padahal ilmu kamu tidak meliputinya, atau apakah yang telah kamu kerjakan?” . Dan jatuhlah perkataan (azab) atas mereka disebabkan kezaliman mereka, maka mereka tidak dapat berkata (apa-apa) (QS 27:79-85).

Di dalam siri solat cara Rasulullah ini, akan dijelaskan sifat solat Junjungan kita, Nabi Muhammad Rasulullah saw dari setiap bahagian solat iaitu bermula dari takbir hingga salam. Penjelasan akan dibuat secara terperinci dan jelas berdasarkan dalil yang lengkap dengan menggunakan hadis-hadis yang sahih. Di samping itu, akan dijelaskan juga kandungan fiqh daripada hadis-hadis yang sahih sebagai suatu kesimpulan hukum darinya. Dalam hal ini Rasulullah saw menegaskan dalam sebuah hadis sahih, “ Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, maka ia akan difahamkan tentang ajaran agama.”

Beraya di Darul Fuqaha


Bersama al-Ustaz Khairudin Aman Razali semasa menghadiri Jemputan Rumah Terbuka Aidilfitri 2007 di Darul Fuqaha pada 27 Oktober 2007