Followers

Saturday, October 27, 2007

Solat Cara Rasulullah (Siri 1)

Solat Pencegah Perbuatan Maksiat
Oleh
Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
(Artikel ini telah disiarkan di Majalah Milenia Muslim keluaran Oktober 2007)

Sesetengah umat Islam mungkin tertanya-tanya: “Bukankan Allah SWT berfirman: Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar (QS 29:45), tetapi mengapa pada hakikat dan secara zahirnya, ramai orang Islam yang menunaikan solat tetapi dalam masa yang sama dia juga melakukan perbuatan maksiat, keji dan mungkar? Bukan itu sahaja, kedapatan mereka yang menunaikan solat juga tidak menunjukkan contoh dan akhlak yang baik sama ada dari sudut percakapan, pergaulan dan sebagainya. Kadang-kala terdapat mereka yang beriltizam dengan menunaikan solat secara berjamaah di masjid, namun masih mempunyai akhlak yang buruk seperti suka berbohong, menipu, memanipulasi dan terlibat dalam rasuah, riba dan sebagainya. Mereka juga tidak menghiasi diri dengan akhlak-akhlak terpuji seperti istiqamah (konsisten dalam kebenaran), tekun, dan ikhlas dalam perbuatan. Mengapakah terjadi sedemikian sedangkan mereka menunaikan solat?
Untuk menjawab persoalan tersebut, maka boleh dikatakan bahawa mereka yang bersikap sedemikian baru melaksanakan solat tetapi belum mendirikannya dalam erti kata yang sebenar. Mereka belum mampu mendirikan solat dengan sahih dan benar sesuai dengan tatacara dan sifat-sifat solat yang diajar oleh Nabi Muhammad saw kepada para sahabatnya yang mulia. Mereka belum memahami makna solat yang sebenarnya. Mereka juga belum memikirkan untuk memperbaiki dan menyempurnakan solat yang dilaksanakan. Mereka sebenarnya hanyalah melakukan gerakan-gerakan solat lahiriah dengan meniru orang lain.
Bukankah Rasulullah saw sendiri pernah menyuruh seseorang untuk mengulangi solatnya, padahal ia telah melakukan solat. Sabda Rasulullah kepada orang tersebut, “Ulangilah, sesungguhnya engkau belum melakukan solat.” Bahkan baginda saw menyuruh orang itu untuk mengulangi solatnya hingga tiga kali.
Secara lengkapnya hadis tersebut yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dalam kitab hadis mereka adalah seperti yang berikut: “Nabi Muhammad saw masuk masjid. Lalu, seseorang masuk (pada waktu itu Rasulullah saw berada di salah satu sudut masjid). Kemudian, orang itu pun menunaikan solat (dua rakaat). Rasulullah saw memerhatikan solat lelaki tersebut, selesai sahaja solat, lelaki tersebut pun mendekati Rasulullah saw lalu mengucapkan salam. Rasulullah saw menjawabnya, ‘Wa ‘alaika as-salam. Ulangilah solatmu kerana sesungguhnya engkau belum solat!’
Orang itu pergi dan melakukan solat seperti yang telah ia lakukan. Rasulullah saw memerhatikan solat yang dilakukan oleh lelaki tersebut. Setelah selesai, lelaki itu pun sekali lagi datang bertemu Rasulullah saw sambil mengucap salam kepada baginda. Rasulullah saw bersabda kepadanya, ‘Wa ‘alaika as-salam. Pergilah dan ulangi lagi solatmu, kerana engkau belum melakukan solat. Ia melakukan solat sampai tiga kali. Setiap kali selesai melakukannya, ia datang kepada Rasulullah saw dan mengucapkan salam kepadabaginda, lalu baginda bersabda, ‘Wa ‘alaika - yakni ‘Wa ‘alaika as-salam ulangilah solatmu, kerana sesungguhnya engkau belum melakukan solat.’
Lalu berkatalah lelaki itu (setelah melakukan solat yang terakhir), Demi Tuhan yang mengutusmu dengan hak, aku tidak dapat melakukan solat yang lebih baik daripada ini. Kerana itu, perlihatkanlah kepadaku dan ajarlah aku kerana sesungguhnya aku ini manusia biasa, kadang-kadang aku benar dan kadang aku salah.’
Rasulullah saw bersabda, ‘Ketika akan mendirikan solat, bertakbirlah kemudian bacalah ayat Al-Quran yang mudah bagimu. Dalam satu riwayat yang sahih disebut, ‘Kemudian bacalah Umm al-Qur’an (al-Fatihah). Lalu, bacalah apa saja (ayat al-Quran) yang engkau mahu, kemudian rukuklah sehingga engkau tenang dalam rukukmu. Lalu, bangkitlah (i’tidal) sampai engkau tegak berdiri. Setelah itu sujudlah sehingga engkau sujud dengan thuma’ninah (tenang). Kamu tempatkan dahimu secara tepat – pada tempat sujud – sehingga persendianmu tenang atau thuma’ninah. Kemudian, bangkitlah sehingga engkau duduk dengan thuma’ninah (dudukmu harus tegak pada tempat duduk dan tegak pula tulang punggungmu). Kemudian, sujudlah sampai thuma’ninah dalam sujud (jika engkau duduk di tengah-tengah solat, duduklah dengan thuma’ninah lalu bentangkan pahamu yang kiri dan tasyahud lah). Lakukanlah seperti itu dalam solatmu selmuanya.’ Dalam suatu riwayat, ‘kemudian berbuatlah seperti itu pada setiap rakaat.’”
Berdasarkan hadis ini, Imam al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan bahawa, “Sabda Rasulullah saw, ‘Pergilah dan ulangilah solatmu, kerana engkau belum solat,’ mengandungi pengertian bahawa perbuatan atau ibadah yang dilakukan tanpa ilmu tidak boleh dianggap sempurna.
Berdasarkan hadis nabi di atas juga, dapat diambil kesimpulan bahawa terdapat ramai dalam kalangan masyarakat Islam yang baru mampu melakukan solat secara lahiriah belaka, tetapi ia belum mampu “mendirikan”nya secara yang sempurna. Dengan kata lain, sebenarnya mereka belum melakukan solat. Ia terjadi berkemungkinan disebabkan oleh tidak menyiapkan diri untuk mempelajari perkara-perkara yang berkaitan dengan solat secara benar dan lengkap, sehingga tidak melakukan sebahagian rukun solat atau tidak membaca sebahagian zikir solat yang semestinya dibaca di dalam solat sesuai dengan tuntutan syariat.
Justeru, solat yang sebegitu sebenarnya dikira rosak dan oleh kerananya ia seakan-akan belum mengerjakan solat. Ibadah yang dilakukan tidak cukup dengan jiwa yang ikhlas sahaja, tetapi memerlukan pengetahuan tentang tatacaranya yang benar yang wajib dipenuhi.
Sehubungan dengan itu, sesiapa yang mampu melaksanakan solat dengan memenuhi syarat dan rukunnya dan dapat memahami makna solat dengan sebenarnya menurut apa yang telah diajar oleh nabi saw, maka Allah SWT akan memasukkan ke dalam hatinya suatu rahsia (taufik). Dengan taufik itu, ia akan senang melakukan kebaikan dan akan takut melakukan kemungkaran atau kemaksiatan. Sabda Rasulullah saw bermaksud: ‘Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku mendirikan solat’.
Solat yang sahih sahajalah yang menjadi sebab utama dalam mendorong seseorang untuk berbuat baik dan menjauhi perbuatan buruk. Akhlaknya semakin bagus, keikhlasannya pun semakin nampak sehingga sesuailah baginya firman Allah SWT: Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain) (QS 29:45).
Terdapat segelintir yang bertanya, “Adakah semua umat Islam dipertanggung jawabkan untuk memahami dan mendirikan solat dengan sempurna atau menunaikan solat dengan hakikatnya yang sebenar, sedangkan terdapat di antara mereka yang masih tidak dapat membaca dan menulis?”
Jawapannya ialah, “Ya”. Setiap Muslim – lelaki mahupun perempuan – wajib mempelajari hakikat solat, kerana Allah SWT menciptakan manusia semata-mata untuk mengabdikan diri kepadaNya. Allah berfirman bermaksud: ‘ Tidak Aku menciptakan jin dan manusia kecuali semata-mata untuk mereka mengabdikan diri kepadaKu (QS 51:56). Oleh itu, Allah telah mengutus para Nabi dan Rasul untuk mengajar manusia mengenai cara beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah. Mereka mengajar kita tentang segala perintah Allah untuk kita lakukan, dan segala laranganNya untuk kita hindari. Kita diperintahkan oleh Allah SWT untuk melakukan apa saja yang Dia perintahkan dalam bentuk yang sebenarnya sesuai dengan kehendak Nya. Allah berfirman: Apakah kamu mendustakan ayat-ayat Ku, padahal ilmu kamu tidak meliputinya atau apakah yang telah kamu kerjakan? (QS 27:84). Tambahan daripada itu, Rasulullah saw pun menegaskan, “Menuntut ilmu itu adalah fardu (wajib) atas setiap Muslim .”
Terdapat para sahabat Rasulullah saw yang buta huruf iaitu tidak pandai menulis dan membaca. Walaupun mereka pandai menghafal, tetapi mereka tidak pandai membaca dan menulis. Namun mereka selalu belajar kepada Rasulullah saw mengenai ajaran Islam dan memahaminya. Bahkan, mereka pun dengan tekun dan giat menyebarkan ajaran Islam ke pelbagai penjuru dunia meskipun dengan alat penyebaran yang terhad dan terbatas. Mereka tidak mengenal dunia percetakan. Mereka juga tidak mempunyai alat informasi yang canggih seperti yang kita miliki sekarang.
Jika seseorang Muslim itu tidak mempelajari secara mendalam mengenai ajaran agamanya, maka apakah yang akan dia pelajari? Apakah dia mahu menjadi orang yang bodoh mengenai agamanya sepanjang hidupnya? Apakah kelak di hadapan Allah SWT alasannya akan diterima? Mungkin di antara mereka ada yang berkata, “Wahai Tuhanku, betul aku telah mensia-siakan hidupku sedemikian rupa tanpa erti dan faedah, dan aku belum mempelajari apa yang Engkau fardukan ke atasku, sehinggakan aku tidak mengetahui urusan dan ajaran agamaku .”
Allah SWT berfirman, maksudnya: ‘Sebab itu bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya kamu di atas kebenaran yang nyata . Sesungguhnya kamu tidak dapat menjadikan orang yang mati mendengar dan (tidak pula) menjadikan orang yang tuli mendengar panggilan, apabila mereka telah berpaling . Dan kamu jangan sesekali tidak dapat memimpin (memalingkan) orang buta dari kesesatan mereka. Kamu tidak dapat menjadikan (seorang pun) mendengar, kecuali orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami, lalu mereka berserah diri . Dan apabila perkataan telah jatuh atas mereka, Kami keluarkan sejenis binatang melata dari bumi yang akan mengatakan kepada mereka, bahawa sesungguhnya manusia dahulu tidak yakin kepada ayat-ayat kami . Dan (ingatlah) hari (ketika) Kami kumpulkan dari setiap umat golongan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Lalu mereka dibahagi (dalam kelompok-kelompok) . Sehingga apabila mereka datang, Allah berfirman, “Apakah kamu telah mendustakan ayat-ayat Ku, padahal ilmu kamu tidak meliputinya, atau apakah yang telah kamu kerjakan?” . Dan jatuhlah perkataan (azab) atas mereka disebabkan kezaliman mereka, maka mereka tidak dapat berkata (apa-apa) (QS 27:79-85).

Di dalam siri solat cara Rasulullah ini, akan dijelaskan sifat solat Junjungan kita, Nabi Muhammad Rasulullah saw dari setiap bahagian solat iaitu bermula dari takbir hingga salam. Penjelasan akan dibuat secara terperinci dan jelas berdasarkan dalil yang lengkap dengan menggunakan hadis-hadis yang sahih. Di samping itu, akan dijelaskan juga kandungan fiqh daripada hadis-hadis yang sahih sebagai suatu kesimpulan hukum darinya. Dalam hal ini Rasulullah saw menegaskan dalam sebuah hadis sahih, “ Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, maka ia akan difahamkan tentang ajaran agama.”

No comments:

Post a Comment