Monday, November 26, 2007

Manifestasikan persaudaraan ibadah haji

Oleh MOHD. SUKKI OTHMAN

(Artikel ini telah disiarkan di Utusan Malaysia pada hari Isnin 26 November 2007)

Ibadah haji mula difardukan ke atas umat Islam pada tahun ke 5 atau ke 6 Hijrah, iaitu apabila turunnya ayat al-Quran yang bermaksud: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah bagi sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya, dan sesiapa yang kufur dan ingkar terhadap kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk. (Ali-Imran: 97)

Dalam ayat 196 surah al-Baqarah, Allah berfirman, maksudnya: Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: Agama Islam itu dibina di atas lima perkara, bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadan, dan mengerjakan haji. (riwayat Imam Bukhari).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda, mafhumnya: “Sesiapa yang memiliki harta benda dan kenderaan untuk menyampaikannya ke Baitullah, tetapi tidak mengerjakan haji, maka bila dia mati akan menjadi sebagai Yahudi atau Nasrani”. (Hadis daif riwayat al-Baihaqi dan al-Darimi.

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis di atas, maka para ulama bersepakat mengenai kewajipan menunaikan ibadat haji sekali seumur hidup bagi orang yang berkemampuan.

Para ulama juga bersepakat mengenai kufurnya orang yang ingkar dan menolak kewajipan menunaikan fardu haji.

Terdapat segelintir umat Islam dalam masyarakat kita yang sudah berkemampuan untuk menunaikan haji, tetapi tidak menunaikannya. Sedangkan saban tahun, mereka ini pergi menunaikan ibadah umrah.

Kadang-kala dalam setahun, mereka menunaikan dua atau tiga kali umrah, tetapi tetap tidak berkesempatan untuk menunaikan haji. Bila ditanya tentang haji, dengan selamba mereka menjawab, ‘belum sampai seru lagi!’.

Sama ada orang sebegini menyedari atau tidak bahawa umrah yang ditunaikan saban tahun itu adalah sunat sedangkan haji yang mereka sering tangguhkan perlaksanaannya itu adalah wajib! Mana yang perlu diutamakan, sunat atau wajib? Tepuk dada, Tanya iman!

Alasan yang menyatakan tidak sampai seru lagi, tidak dapat diterima sama sekali, kerana seruan haji ini telah dinyatakan di dalam al-Quran dan sunah dengan begitu jelas dan terang.

Sanggupkah mereka mati dalam keadaan Yahudi atau Nasrani, lantaran tidak menunaikan haji sedangkan sudah berkemampuan untuk menunaikannya?.

Nabi Muhammad s.a.w. menunaikan fardu haji sekali sahaja semasa hayat baginda. Haji itu dinamakan Hajjatul Wada’ (haji perpisahan), kerana tidak berapa lama kemudian selepas itu Rasulullah pun wafat.

Rasulullah berangkat dari Madinah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri, para sahabat dan orang Islam yang lain. Rasulullah menyempurnakan amalan-amalan sunat ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah atau dikenali sebagai Bir Ali yang terletak lebih kurang 10 kilometer (km) dari Madinah.

Setelah sembilan hari dalam perjalanan, Rasulullah pun sampai di Mekah pada tanggal 4 Zulhijjah. Setelah Rasulullah menyempurnakan ibadat haji, maka pada 14 Zulhijjah, baginda berangkat meninggalkan Mekah menuju balik ke Madinah al-Munawwarah.

Ibadah haji mendatangkan banyak faedah kepada umat Islam. Firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 27-28 bermaksud: Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang (ke Baitullah) dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus, yang datang dari pelbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai-bagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu kerana pengurniaan-Nya kepada mereka binatang ternak (untuk dijadikan korban).

Ibadah haji juga membawa ikatan mahabbah dan persaudaraan yang kukuh dalam kalangan umat Islam tanpa mengira bangsa, keturunan dan warna kulit. Pada hakikatnya, ibadah haji merupakan muktamar atau perhimpunan umat Islam yang terbesar di dunia. Umat Islam saling berusaha menyebarkan ukhwah Islamiah dan aktiviti-aktiviti yang mendatangkan banyak manfaat.

Inilah hikmahnya persaudaraan yang dipupuk oleh umat Islam sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Quran bahawa orang yang beriman itu bersaudara.

Namun, apakah persaudaraan Islam yang didapati daripada ibadat haji itu benar-benar tersemat di dalam hati sanubari mereka yang menunaikannya?

Ini kerana, terdapat sebilangan umat Islam yang sudah beberapa kali menunaikan ibadah haji, tetapi tetap tidak dapat mengaplikasikan semangat persaudaraan dan kasih sayang sesama Islam.

Sebagaimana yang dimaklumi, ibadah haji wajib ditunaikan seumur hidup sekali sahaja. Apabila seseorang itu menunaikan ibadah haji untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya, maka ibadah tersebut menjadi sunat.

Kadang-kala berlaku dalam kalangan umat Islam yang beria-ia menunaikan haji pada setiap tahun, dan dalam masa yang sama melupakan hubungan persaudaraan dan kasih sayang yang sewajarnya dipupuk sesama umat Islam.

Kedapatan di antara mereka yang langsung tidak mempedulikan saudara seagama yang berada dalam kesusahan dan yang memerlukan bantuan. Jadi, berbaloikah ibadah haji sunat yang ditunaikan itu, tetapi melupakan manifestasi dan falsafah haji yang menyeru ke arah persaudaraan dan kasih sayang?

Apalah gunanya ibadah yang ditunaikan, tetapi tidak juga dapat mengubah sikap yang terlalu mementingkan diri sendiri sahaja? Lupakah kita pada generasi para sahabat yang sanggup mati kehausan semata-mata mengutamakan sahabat yang lain terlebih dahulu, sebagaimana yang berlaku dalam peperangan Yarmouk?

Huzaifah berkata: “Aku telah bertolak ke tempat berlakunya Peperangan Yarmouk untuk mencari sepupuku yang kesakitan dan kehausan untuk kuberikan kepadanya air yang ada bersama-samaku. Apabila aku dapat menemuinya, lantas aku memberikannya air. Sedang sahaja sepupuku itu hendak meneguk air, maka dia terdengar suara seorang muslim yang mengaduh kehausan, maka sepupuku lantas menyuruhku agar memberi minum orang itu dahulu. Aku pergi kepada orang itu dan aku dapati dia adalah Hisyam Bin al-As. Apabila Hisyam hampir sahaja meneguk air tersebut, maka terdengar oleh Hisyam suara sahabat seperjuangan yang lain mengaduh kehausan, maka Hisyam pun menyuruhku untuk pergi dan memberikan air kepada orang itu dahulu. Aku pun pergi kepadanya dan belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid. Aku berpatah balik kepada Hisyam , dan aku dapati dia juga telah syahid. Kemudian aku pergi pula kepada sepupuku tetapi belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid”.

Nabi s.a.w bersabda dalam sebuah hadis yang sahih yang bermaksud: Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi bagi saudaranya apa yang dikasihi bagi dirinya sendiri”.

Oleh itu, apalah salahnya bagi mereka yang sudah kerap menunaikan ibadah haji dan yang berkemampuan, sekiranya dapat membantu saudara seagama terutamanya waris dan kaum keluarga terdekat yang belum menunaikan haji supaya dapat berbuat demikian.

Sekurang-kurangnya itulah tanda kasih dan sayang bagi saudaranya sebagaimana yang dia kasihkan sesuatu yang baik bagi dirinya sendiri. Sekiranya perkara seumpama ini dapat dilaksanakan, maka ia akan dapat mengikis sikap pentingkan diri sendiri yang wujud pada diri seseorang itu.

Moga ibadah haji yang dilakukan tahun ini membawa sejuta pengharapan ke arah ikatan persaudaraan sesama Islam. Bantulah saudara seIslam yang tidak berkemampuan dan yang memerlukan dengan apa yang termampu sama ada dengan harta, wang ringgit, tenaga, doa dan sebagainya.

* MOHD SUKKI OTHMAN ialah Pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.

Friday, November 23, 2007

Makna yang Terdapat Pada Huruf Jar

Oleh
Mohd Sukki Othman

Memandangkan ada permintaan untuk saya menulis artikel mengenai bahasa Arab, maka di sini saya membincangkan sedikit tajuk yang berkaitan dengan nahu Arab. Perbincangan ini akan menyentuh secara langsung tentang makna dan pengertian bagi huruf Jar. Hal yang demikian kerana setiap huruf Jar biasanya membawa lebih daripada satu makna. Oleh itu, perlu difahami makna bagi setiap huruf Jar mengikut konteks ayat yang dikemukakan.

Oleh kerana perbincangan tentang makna huruf Jar ini terlalu panjang dan banyak, maka tidak semua huruf Jar dapat dibincangkan dengan secara terperinci. Sebaliknya, penumpuan hanya akan diberikan kepada huruf Jar yang penting dan yang banyak penggunaannya sahaja. Antaranya ialah huruf Ba.

Huruf al-Ba’ ( حرف الباء ).

Ia mempunyai 13 makna. Antaranya ialah:-

(a) al-Ilsoq ( الإلصاق ). Ini merupakan makna asal bagi huruf Ba’. Makna ini tidak terpisah daripada huruf Ba’ walaupun ketika ia membawa makna yang lain daripadanya. Sehubungan dengan itu Sibawayh telah menetapkan bahawa inilah sahaja makna yang terdapat pada huruf Ba’. Al-Ilsoq ( الإلصاق ) mengandungi dua makna iaitu:

(i) Makna Hakiki: Contohnya adalah seperti dalam ayat berikut:

وقفتُ بالباَبِ

مَسَحْتُ رَأسِي بِيَدي

(ii) Makna Majazi: Contohnya adalah seperti dalam ayat berikut:

مرَرْتُ بِدَارِكَ، أو بك ( أي: بمكان يقرب منك )

(b) al-Isti’anah ( الاستعانة ). Ia biasanya datang sebelum kata nama alat ( اسم الآلة ). Contohnya ialah:

كَتَبْتُ بِالْقَلَمِ

(c) al-Sababiah wa al-Ta’lil ( السببية والتعليل ). Ia membawa makna sebab dan punca berlakunya sesuatu. Contohnya ialah:

مَاتَ بِالجوْعِ (أي: سبب الجوع)

فَكُلاً أَخَذْنا بِذَنْبِه – العنكبوت 40 (أي: سبب ذنبه)

(d) al-Ta’diah ( التعدية ). Ia juga dinamakan sebagai Ba’ al-Naql ( باء النقل ). Peranannya adalah seperti huruf Hamzah yang bertindak menukarkan kata kerja lazim ( فعل لازم) kepada kata kerja melampau (فعل متعدي ). Contohnya ialah:

ذَهَبَ الله بِنُوْرِهِم – البقرة 17 (أي: أذهب الله نورهم)

(e) al-Qasam ( القَسَم ). Ia ialah huruf ba’ yang didahului dengan kata kerja yang menunjukkan al-Qasam (sumpah). Contohnya ialah:

أُقسِم باللهِ ليتوحدَنَّ العربُ

(f) al-Muqabalah ( المقابلة ). Ia juga dinamakan sebagai al-‘Iwadh ( العوض ). Ia membawa maksud menukar atau menggantikan sesuatu dengan sesuatu yang lain. Contohnya ialah:

اشتريتُه بألفٍ (الألف عوض من المشتري)

(g) al-Zorfiah ( الظرفية ). Ia ialah huruf ba’ yang datang sebelum zarf zaman dan zarf makan ( ظروف الزمان والمكان ). Ia membawa makna fi ( في ). Contohnya ialah:

ولقد نصرَكُمُ اللهُ ببدرٍ – آل عمران 123

(h) al-Musohabah ( المصاحبة ). Ia membawa makna ma’a ( مع ) yang bermaksud bersama. Contohnya ialah:

اِهْبِط بِسَلاَم – هود 48 (أي: اهبط مع سلام)

(i) al-Tab’idh ( التبعيض ). Ia membawa makna min ( مِنْ ) yang bermaksud dari / daripada / sebahagian darinya. Contohnya ialah:

عيناً يشربُ بها عبادُ اللهِ – الإنسان 5 ( بها = منها)

(j) al-Ghayah ( الغاية ). Ia membawa makna ila (إلى ) yang bermaksud ke/kepada. Contohnya ialah:

وقد أَحْسَنَ بِي إِذْ أَخْرَجَنِي من السِّجنِ – يوسف 100 ( بي = إلَيَّ )

Ba' Za'idah (باء زائدة )

Adakah Ba' Za'idah (باء زائدة ) iaitu Ba' tambahan itu wujud dalam perbincangan dan perbahasan ilmu nahu? Jawapannya Ya, sememangnya ia wujud. Fungsinya adalah untuk al-Tawkid (التوكيد ) iaitu untuk mengukuhkan kata. Ba' Za'idah datang dalam beberapa tempat iaitu:

(a) Pada pelaku (الفاعل ). Contohnya ialah:

وَكَفَى بِاللهِ شَهِيْداً – النساء 79 (أي: كفى الله شهيدا)

باللهِ: مجرور لفظاً ومرفوع محلاً على أنه فاعل

(b) Pada objek ( المفعول به ). Contohnya ialah:

وَ لاَ تُلْقُوْا بِأَيْدِيكم إلى التهلكة – البقرة 195 (أي: ولا تلقوا أيديَكم)

(c) Pada subjek (المبتدأ ). Contohnya ialah :

بِحَسْبِكَ دِرْهمٌ (أي: حسبُك درهم)

(d) Khabar Laisa (خبر ليس ). Contohnya ialah:

ليسَ زائدٌ بقائمٍ (أيْ: ليس زيدٌ قائماً)

(e) al-Nafs dan al-'Ain (النفس والعين ). Contohnya ialah:

جاءَ زيدٌ بِنفْسِهِ

رأيْتُ الأَمٍيْرَ بِعَيْنِهِ

Huruf Min (مِنْ )

Antara makna yang terdapat pada huruf Jar min (مِنْ ) adalah seperti yang berikut:-

(a) al-Ibtida' (الابتداء ). Ia menunjukkan kepada makna permulaan bagi sesuatu tempat atau masa. Contohnya ialah:

جِئْتُ مِنْ الحَدِيْقَةِ إلى البيْتِ (مِنْ هنا: المكانية)

سافَرْتُ مِن شَهرٍ إلى آخر (مِن هنا: الزمانية)

(b) al-Tab'idh (التبعيض ). Ia memberi makna ba'dho ( بَعْض ) yang bermaksud sebahagian. Contohnya ialah:

مِنْهم مَنْ كَلَّمَ الله (مِنْهم : بعضهم )

(c) al-Bayan (البيان ). Ia berperanan menerangkan sesuatu yang samar pada maknanya (بيان الجنس ). Kebanyakan min (من ) dari jenis ini terletak selepas Ma (ما ) dan Mahma (مهما ). Contohnya ialah:

زَوِّدْنِيْ ما عندَك مِنْ أَخْبارٍ (من أخبار: بيان النوع)

(d) al-Ta'kid ( التأكيد ). Huruf min di sini hanyalah sebagai huruf tambahan dan berperanan untuk mengukuhkan lagi ayat. Syarat bagi min tambahan ini ialah ianya hendaklah didahului dengan Nafi (النفي ), Nahi (النهي ) atau Istifham ( ( الاستفهام. Contohnya ialah:

ماَ جَاءَنا مِنْ بَشَرٍ

هل عندك مِنْ كتابٍ؟

(e) al-Zarfiah (الظرفية ). Ia membawa makna fi (في ). Contohnya ialah.

إذا نُوْدِيَ للصلاةِ مِن يَومِ الجمعة (أي: في يومها)

(f) al-Sababiah dan al-Ta'lil (السببية والتعليل ). Ia membawa makna sebab atau punca. Contohnya ialah:

هَرَبَ مِن خَوْفِهِ (أيْ: بسبب خوفه)

Huruf Ila (إلى )

Antara makna yang terdapat bagi huruf ini adalah seperti yang berikut:-

(a) al-Intiha' (الانتهاء ). Ia membawa makna akhir bagi sesuatu masa (الزمانية) atau tempat (المكانية ). Contohnya ialah:

وأتموا الصِّيام إلى اللّيلِ – البقرة 187 (الزمانية)

من المَسْجدِ الحَرامِ إلى المسجدِ الأَقْصى – الإسراء 1 (المكانية)

(b) al-Musohabah (المصاحبة ). Ia memberi makna ma'a (مَعَ ) yang bermaksud bersama. Contohnya ialah:

فلانٌ حَلِيمٌ إلى أَدبٍ وعِلْمٍ

(c) 'Inda (عند ). Ia juga dinamakan sebagai al-Mubayyanah (المبينة ). Ia biasanya terletak selepas sesuatu yang membawa erti suka atau benci, fi'il ta'ajub (فعل تعجب ) atau ism tafdhil (اسم تفضيل ). Contohnya ialah:

قال: رَبِّ السجنُ أحَبُّ إِلَيَّ مما يدعونني إليه – يوسف 33 (أيْ: أحب عندي)

Wednesday, November 14, 2007

Apakah Wujud Khilaf Di Antara Sufiyyah dan Salafiyyah?

Oleh
Mohd Sukki Othman(Ustaz Shauqi)

Istilah Salafiyyah (aliran salafi) bermaksud mengikut apa-apa yang didatangkan oleh Rasulullah SAW, serta memahami al-Quran dan al-Sunnah bertepatan dengan yang difahami oleh para Sahabat dan Tabi’in dengan tanpa sebarang takwil. Manakala istilah Sufiyyah (aliran sufi) pula merujuk kepada zuhud dan mujahadah diri.

Sehubungan dengan itu, daripada pengertian dan maksud kedua-dua istilah tersebut, didapati tidak terdapat sebarang khilaf dan percanggahan di antara Sufiyyah dan Salafiyyah. Ini kerana Salafiyyah merujuk kepada fahaman dan amalan yang sahih, begitu juga Sufiyyah yang juga merujuk kepada amalan-amalan kerohanian yang sahih berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.

Apabila ditinjau pada zaman permulaan Islam, didapati bahawa ramai para Sahabat dan Tabi’in merupakan golongan Salafi dan Sufi sekaligus, iaitu mereka mengikut sunnah dan pada masa yang sama mereka mempraktikkan zuhud dalam kehidupan, walaupun istilah Sufi dan Salafi belum pun wujud pada ketika itu.

Oleh itu, didapati bahawa nama-nama seperti Sa’id Bin Musayyib, Sa’id Bin Jubayr, Ibrahim al-Nakhaei, Abdullah Bin Mubarak, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Syafe’i, Imam Ahmad Bin Hanbal, Ishak Bin Rahawayh, al-Awza’ei dan ramai lagi tokoh-tokoh salaf merupakan juga golongan Sufi. Begitu juga boleh dianggap tokoh-tokoh terkemudian daripada itu juga termasuk dalam golongan sufi seperti Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim al-Jawziyyah, Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Ibnu Kathir dan lain-lain lagi.

Dalam pada itu, tokoh-tokoh sufi seperti Ibrahim Bin Adham, al-Junayd al-Baghdadi, al-Fudhail Bin ‘Iyad, Ma’ruf al-Karkhi, Abdul Qadir al-Jaylani dan ramai lagi juga boleh dianggap sebagai golongan yang sealiran dengan salafi.

Hujah yang melayakkan tokoh-tokoh ulama’ salaf dikenali dengan golongan sufi ialah kerana kezuhudan dan kewarakan mereka yang sememangnya bertepatan dengan apa yang difokuskan oleh golongan sufi. Sesiapa jua yang membaca dan meneliti riwayat hidup para sahabat dan tabi’in serta para ulama’ selepas mereka akan dapat melihat dengan jelas tentang perwatakan mereka yang selari dengan apa yang ditekankan oleh golongan sufi ini.

Manakala hujah yang menyatakan bahawa tokoh-tokoh sufi juga dianggap sebagai pendokong aliran salafi adalah seperti yang berikut:

1- al-Qusyairi berkata: ‘ketahuilah bahawa sheikh-sheikh golongan ini (tokoh sufi) membina kaedah mereka di atas usul yang sahih di dalam tauhid, serta memelihara aqidah mereka daripada perkara-perkara bid’ah. Mereka berpegang dengan dengan aliran salaf serta ahli sunnah dalam persoalan tauhid yang bebas daripada menyerupakan Allah dengan makhluk…’ (Rujuk al-Risalah al-Qusyairiah, halaman 3-4).

2- Syeikh al-Islam Ibnu Taimiah telah memindahkan kata-kata Ma’mar Bin Ahmad al-Asbahani (tokoh sufi) dalam kitabnya Majmu’ah al-Rasa’il al-Kubra yang mana kata Ma’mar: ‘Aku suka berpesan kepada sahabat-sahabatku dengan wasiat daripada al-sunnah serta pengajaran daripada hikmah dan aku menghimpunkan pegangan golongan hadis, ma’rifah, tasawwuf…. sesungguhnya Allah bersemayam di atas ‘arasy tanpa diketahui keadaannya, serta tanpa tasybih dan tanpa takwil…’.

3- Ibnu Taimiah juga telah menyatakan dalam bukunya Majmu’ah al-Rasa’il wa al-Masa’il suatu jawapan ulama’ salaf terhadap persoalan kalam Allah dengan katanya: ‘dan inilah pandangan salaf iaitu al-Quran kalam Allah bukannya makhluk…. dan jawapan ini merupakan jawapan daripada tokoh-tokoh ahli hadis, tasawwuf, feqah dan beberapa kumpulan daripada ahli al-Kalam dan para pemimipin mereka’. (Sila rujuk Majmu’ah al-Rasa’il wa al-Masa’il oleh Ibnu Taimiah, 3/150).

4- Al-Sya’rani dalam Tobaqat al-Kubra menyatakan bahawa tasawwuf merupakan ilmu yang terbit di dalam hati para wali apabila mereka mempraktikkan al-Quran dan al-Sunnah.

5- Kata Sariy al-Saqati: ‘Tasawwuf ialah kata nama untuk tiga perkara iaitu cahaya makrifahnya tidak menghilangkan cahaya kwarakannya, tidak berbicara tentang ilmu batin yang disanggah oleh al-Quran dan al-Sunnah, kekaramatannya tidak mendorong ia melanggar perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah’. (Sila rujuk kitab Mabadi’ al-Tasawwuf al-Islamiy oleh Syeikh Abdul Hafiz Faraghli Ali Al-Qarni).


Daripada beberapa hujah yang telah dikemukakan di atas, didapati bahawa tidak terdapat sebarang percanggahan di antara aliran sufi dan aliran salafi. Namun, apabila seseorang itu tidak memahami dengan jelas berdasarkan ilmu yang mantap terhadap kedua-dua aliran ini berdasarkan sumber yang sahih, maka timbullah percanggahan dan perselisihan yang tidak sepatutnya berlaku.

Apatah lagi apabila terdapat golongan yang syirik kepada Allah, lalu mendakwa mereka membawa ajaran tasawwuf menyebabkan kejernihan tasawwuf dicemari. Bak kata pepatah, ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’. Apa yang lebih malang berlaku apabila pihak yang melihat unsur syirik berlaku pada ajaran sesat yang mendakwa sebagai tasawwuf itu terus menyalahkan tasawwuf secara keseluruhannya, sedangkan beliau sendiri tidak tahu dan tidak pernah terlibat dalam aktiviti ajaran tasawwuf yang sebenar yang berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah!.

Begitu juga berlaku pada aliran salafi. Apabila wujudnya golongan kurang berilmu yang mendakwa bahawa mereka pendokong ajaran salafi sedangkan mereka ini tidak mendalami ajaran Islam serta tidak mempunyai asas yang kukuh dalam pembelajaran agama. Lalu mereka bersikap kasar, fanatik, asyik membid’ahkan amalan-amalan yang dilakukan dalam masyarakat tanpa mengetahui unsur khilaf yang berlaku, dan tidak menggambarkan langsung pendokong ajaran Islam yang suci murni. Lalu ada golongan yang kurang faham telah menolak aliran salafi secara keseluruhannya tanpa membezakan di antara ajaran salafi yang benar dan yang palsu.

Percanggahan yang berlaku dapat diatasi sekiranya kedua-dua belah pihak berlapang dada dan menjadikan matlamat mencari keredhaan Allah sebagai agenda yang utama untuk mencari penyelesaian. Akan tetapi sekiranya nafsu menjadi landasan, maka akan berterusanlah perpecahan berlaku dalam kalangan masyarakat Islam!

Sunday, November 11, 2007

Cahaya Islam Di Rome, Italy

Oleh
Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


Penulis telah bertemu dengan Fathi seorang warga Itali berketurunan Tunisia di Islamic Cultural Centre, Rome, Italy. Beliau menyatakan kepada penulis bahawa beliau sudah menetap di Rome selama 11 tahun dan beliau mendapat cahaya Islam ketika berada di Rome bukannya ketika berada di Tunisia. Ketika di Tunisia, beliau seorang yang boleh dikatakan sebagai Islam pada nama sahaja. Justeru, beliau tidak pernah kenal 'tikar sembahyang', apatah lagi untuk mengunjungi masjid.

Namun segalanya berubah apabila beliau berhijrah ke Rome untuk mengubah nasib dan mencari pekerjaan di bumi Eropah itu. Beliau dapat menyaksikan kecantikan dan keindahan Islam apabila berada di perantauan. Apa tidaknya, hubungan ukhuwwah sesama umat Islam amat kuat dan kukuh kerana masing-masing memerlukan di antara satu sama lain. Apatah lagi apabila mereka berhadapan dengan sesetengah orang Eropah yang agak sombong dan mementingkan diri sendiri. Di sinilah baru dapat dilihat bagaimana semangat persaudaraan yang diajar di dalam Islam merupakan sesuatu yang amat manis lagi bermakna. Allah swt telah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: 'Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara'.


Penulis bersama dua orang rakan telah melakukan satu perjalanan singkat ke beberapa negara Eropah sebaik sahaja selesai menunaikan ibadah umrah di tanah suci Makkah. Perjalanan ke Eropah dilakukan tanpa bernaung di bawah mana-mana agensi pelancongan sebaliknya perjalanan hanyalah berpandukan kepada peta dan 'bertanya'. Ia bertujuan untuk menimba pengalaman dan melihat suasana umat Islam serta perkembangan Islam di Eropah selain menyelami adat dan budaya masyarakat setempat yang sudah tentu berbeza daripada masyarakat di Malaysia.

Perjalanan dimulakan dengan menaiki kapal terbang dari Amman, Jordan menuju terus ke Rome, Italy. Apabila sampai sahaja di lapangan terbang di Rome, penulis mencari-cari tempat berehat dan sekaligus mencari tempat yang sesuai untuk menunaikan solat musafir (solat jamak dan qasar). Suatu perkara yang amat menggembirakan apabila penulis mendapati terdapat sebuah bilik yang dijadikan musolla yang telah disediakan di lapangan terbang tersebut. Walaupun tidak terdapat paip dan kemudahan untuk berwuduk dalam bilik musolla tersebut, namun dengan keadaan bilik yang bersih dihampari dengan permaidani yang cantik serta ditunjukkan pula arah kiblat, sekaligus menunjukkan bahawa orang Islam tidak terlalu dipinggirkan di bumi yang majoritinya beragama Kristian itu.

Seterusnya, perjalanan diteruskan dengan menaiki keretapi dari lapangan terbang ke 'Termini' iaitu terminal perhentian pengangkutan awam di pusat bandar Rome. Sebaik sahaja sampai di Termini, perut pun berasa lapar. Memang makanan dijual di sana sini terutamanya pizza yang sinonim dengan Italy, namun kebimbangan terhadap status halal haram makanan tersebut membuatkan perut masih belum berisi. Justeru, dicari penyelesaiannya dengan mencari masjid yang terdapat di kota Rome agar dapat diambil maklumat tentang restoran makanan halal. Lalu, kami menaiki teksi dengan memberitahu untuk pergi ke mana-mana masjid yang terdapat di Rome. Pemandu teksi yang tidak pandai berbahasa Inggeris menyebabkan kami terpaksa menggunakan bahasa isyarat untuk memberitahunya tentang destinasi yang hendak dituju.

Pemandu teksi faham dengan maksud kami lalu membawa kami terus ke sebuah masjid yang terletak lebih kurang 15 km dari Termini. Apabila sampai sahaja di situ, kami terpegun dengan tersergamnya keindahan masjid yang agak besar di situ. Walaupun Rome terkenal dengan Vatican City yang terdapat gereja Katholik yang terbesar, namun penulis berasa lega apabila melihat masjid yang begitu besar dapat bertapak di kota Rome.

Masjid tersebut yang dikenali sebagai 'Markaz al-Thaqafah al-Islamiah' atau dalam bahasa Inggerisnya Islamic Cultural Centre merupakan satu-satunya masjid di Rome yang juga dianggap sebagai salah satu bangunan besar yang terdapat di kota Rome. Di samping ia sebagai sebuah masjid, ia juga dilengkapi dengan sebuah perpustakaan dan dewan syarahan. Pembinaan kompleks masjid ini telah menelan belanja berjuta-juta dolar dan ia mendapat sumbangan yang besar daripada King Fahd.

Kompleks masjid ini telah direka bentuk dengan kemudahan tempat wuduk dan dewan solat yang boleh menampung seramai 2500 orang. Tambahan daripada itu, terdapat juga dewan solat yang kecil yang boleh memuatkan seramai 150 orang. Terdapat juga ruang pendidikan yang mengandungi perpustakaan dan kelas-kelas untuk pengajian. Dewan syarahan yang terdapat di sini boleh memuatkan sejumlah 400 orang. Terdapat juga ruang untuk pameran dan dua tempat penginapan, satu untuk imam dan satu lagi untuk pengunjung.

Cahaya Islam telah sampai ke Itali agak awal iaitu pada kurun kelapan Masihi sekitar tahun 728 M. Namun, apabila golongan Katholik yang fanatik menguasai Italy, maka mereka telah mengusir orang Arab yang beragama Islam sekitar tahun 1061 M. Namun setelah berlakunya Perang Dunia Kedua, Eropah mengalami kerosakan yang teruk termasuk Italy. Ini membuatkan mereka membuka ruang kepada orang luar untuk datang ke Italy. Natijahnya, terdapat ramai orang Islam dari Pakistan, Turki, Afrika Utara yang berhijrah ke Italy untuk mencari pekerjaan. Ini mewujudkan komuniti umat Islam berkembang di Rome dan di Italy.

Pada masa kini, terdapat seramai lebih kurang 650 ribu orang Islam di Italy, dan 85 ribu daripadanya tinggal di kota Rome. Namun terdapat sumber yang menyatakan bahawa bilangan umat Islam di Italy sudah mencecah satu juta orang sekiranya termasuk mereka yang tidak didaftarkan. Ini membawa kepada agama Islam menjadi agama kedua teramai pengikutnya di Itali iaitu selepas agama Kristian. Manakala golongan Yahudi, dianggarkan seramai 35 ribu orang sahaja yang tinggal di Italy dan 15 ribu daripadanya berada di Rome (Rujuk buku Mengapa Kami Memeluk Islam oleh Dr Nawi Jusoh, halaman 4).

Apabila sampai sahaja di masjid tersebut, waktu Asar sudah berlalu menyebabkan hanya terdapat pengawal sahaja yang berada di persekitaran masjid kerana bermungkinan yang lain sudah kembali ke rumah masing-masing atau meneruskan kerja selepas menunaikan solat di masjid. Tanpa berlengah, kami terus bertanya pengawal yang berada di masjid itu tentang tempat untuk mendapatkan makanan yang halal. Pengawal memberikan beberapa nama kedai milik orang Mesir dan orang India muslim yang terdapat di Rome. Beliau juga menyatakan bahawa pada hari Jumaat terdapat pelbagai makanan dan barang keperluan yang dijual berhampiran dengan masjid.

Justeru, kami pun berpatah balik ke tempat yang disebutkan oleh pengawal tadi dengan menaiki bas. Apabila berjumpa sahaja dengan kedai makanan halal, barulah hati berasa lega. Jadi kami terus memesan 'kabab' yang dijual oleh peniaga Mesir. Namun untuk mempastikannya, kami bertanya sekali lagi kepada penjual tersebut, adakah makanan itu halal?. Beliau dengan tersenyum menjawab bahawa makanan tersebut sememangnya halal dan ia diimport dari Turki.

Keesokannya pada hari Jumaat, kami terus ke Masjid Besar di kota Rome itu. Apabila sampai sahaja di hadapan masjid, hati berasa amat seronok melihat ramainya umat Islam yang datang ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat di samping bertemu dan bertanya khabar. Bukan itu sahaja, terdapat pelbagai makanan Arab yang dijual di situ yang kesemuanya halal . Ada orang yang menjual 'syawarma', 'falafil', dan makanan Arab yang lain. Ketika penulis dan dua orang rakan sedang menikmati syawarma, datang seorang lelaki Tunisia dan terus membayar harga makanan yang kami makan tanpa banyak bicara. Lalu beliau menyatakan bahawa beliau amat gembira melihat kedatangan kami serta kewujudan umat Islam di Rome kerana dia sendiri telah mendapat cahaya Islam di bumi Rome ini. Itulah semangat ukhuwwah sesama Islam yang ditonjolkan. Walaupun belum mengenali kami, namun beliau telah menganggap kami sebagai saudaranya. Inilah cantiknya ajaran Islam.

Bersambung........

Wednesday, November 7, 2007

Deeparaya ...adakah syara' mengharuskannya?

Oleh
Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
( محمد شوقي عثمان )
Esok tanggal 8 November 2007, masyarakat Hindu di Malaysia akan merayakan Deepavali. Kebetulan pula masyarakat Islam sekarang masih lagi berada dalam bulan Syawal, maka ada orang bertanya saya tentang kewajaran kita menyambut Deeparaya (Deepavali + Raya Aidilfitri). Persoalannya ialah adakah umat Islam dibenarkan untuk turut sama merayakan perayaan bukan Islam?. Perayaan yang berbentuk budaya tidaklah menjadi suatu masalah, akan tetapi bagaimanakah pula sambutan perayaan yang berbentuk agama, adakah ia wajar disambut oleh masyarakat Islam? Setiap individu muslim sepatutnya meneliti persoalan ini dengan berhati-hati berlandaskan hukum syara’ agar akidah terpelihara, dan dalam masa yang sama hubungan di antara masyarakat Islam dan bukan Islam tetap menjadi erat.
Perayaan dalam Islam merupakan satu ibadah. Ia bukan merupakan adat dan budaya. Ibadah bermaksud pengabdian diri kepada Allah semata-mata. Ibadah dilakukan sebagai lambang ketaatan kepada Allah. Justeru, Rasulullah saw melarang golongan Ansar merayakan perayaan Jahiliyyah yang sudah sedia diamalkan oleh masyarakat Madinah sebelum kedatangan Islam. Sabda Rasulullah bermaksud:“Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu yang lebih baik daripada keduanya(hari raya) iaitu hari raya Adha dan hari raya al-Fitri.” (Hadis riwayat Abu Dawud 1134, Nasaei 1556 dan Ahmad 1241). Hadis nabi ini menegaskan dua perkara iaitu pertamanya; haram menyambut perayaan agama lain. Keduanya; Islam telah memberikan dua perayaan yang jauh lebih baik daripada perayaan Jahiliyyah iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.
Syeikhul Islam Ibnu Taymiyyah dan anak muridnya Ibnu Qayyim bersikap amat tegas dalam persoalan ini iaitu mereka melarang keras umat Islam daripada terlibat dan turut serta dalam sebarang perayaan kaum musyrikin dan ahli kitab. Ibn Taymiyyah juga menegaskan bahawa perayaan adalah satu syariat. Kata Ibn Taimiyyah: “perayaan merupakan sebahagian daripada syariat, manhaj dan ibadah yang disebut oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud: ‘setiap umat Kami jadikan jalan ibadah yang mereka jalani’ (Rujuk Iqtidha’ al-Sirat al-Mustaqim juz 1, hlm. 207 )
Perayaan-perayaan agama bukan aktiviti sosial semata-mata. Perayaan agama merupakan syiar bagi sesebuah agama tersebut. Ia merupakan salah satu ciri istimewa yang ada pada setiap agama. Justeru, Rasulullah menegaskan kepada Saidina Abu Bakar dengan sabda baginda yang bermaksud: “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari perayaan. Dan ini merupakan hari perayaan kita.” (Hadis Bukhari 952 dan Muslim 892).
Muhammad Saleh al-Munajjid, seorang ulama dan ahli majlis fatwa kerajaan Arab Saudi serta beberapa ulama kerajaan Arab Saudi yang lain pula berpendapat bahawa hukum mengucap tahniah kepada bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka seperti pada hari Krismas dan sebagainya adalah haram dan bertentangan asas-asas akidah Islam.
Hujah yang dikemukakan oleh mereka ialah hari perayaan agama kaum bukan Islam pada hakikatnya adalah syiar agama mereka. Umat Islam diperintahkan agar tidak meniru syiar dan budaya kaum bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang meniru syiar sesuatu kaum (bukan Islam), maka dia daripada golongan mereka - (riwayat Abu Dawud bilangan 4031. Musnad Ahmad Ibn Hanbal, bilangan 5093).
Hujah mereka yang seterusnya ialah berdasarkan satu kaedah di dalam Islam iaitu ‘redha dengan kekufuran adalah kufur’. Justeru, turut serta berhari raya dengan kaum bukan Islam, serta mengucap tahniah dan selamat Hari Raya kepada mereka, adalah antara tanda kerelaan hati terhadap kekufuran seseorang.
Setiap perkara ibadah tidak boleh dikongsi dengan bukan Islam. Ini ditegaskan oleh firman Allah dalam surah al-Kafirun yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad). Wahai orang kafir! Aku tidak beribadah (mengabdikan diri) pada apa yang kamu abdikan diri. Dan kamu juga tidak menjadi pengabdi (melakukan ibadah)pada apa yang aku abdikan diri. Dan aku bukanlah pengabdi (pelaku ibadah) pada apa yang kamu abdikan diri Dan kamu juga tidak menjadi pengabdi (melakukan ibadah)pada apa yang aku abdikan diri. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.”
Manakala Prof. Dr Yusuf al-Qaradawi pula, ketika membahaskan perkara ini telah menyatakan bahawa tidaklah menjadi suatu kesalahan memberikan ucapan selamat hari raya kepada rakan dan jiran yang musyrikin, kerana Islam tidak menutup hubungan antara dua kaum yang berlainan agama dan kepercayaan ini. Keharusan ini adalah berdasarkan firman Allah dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu, sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil”. Namun, al-Qaradawi melarang keras daripada turut serta dalam perayaan yang berasaskan upacara keagamaan kerana ia melibatkan akidah dan kepercayaan.
Prof Dr Abd al-Sattar Fathullah Said, seorang pensyarah Tafsir dan ‘Ulum Quran di Universiti Azhar pula berpendapat bahawa mengucapkan tahniah dan selamat hari raya pada perayaan bukan Islam adalah harus selagi tidak bercanggah dengan hukum syara’. Akan tetapi sekiranya ucapan tahniah dan selamat hari raya itu diungkapkan dalam bentuk doa seperti ‘moga Allah berkati pada keluarga dan hartamu’, ianya adalah haram dan dilarang sama sekali. Begitu juga menurut beliau harus memberi hadiah sebagai ucapan tahniah kepada bukan Islam pada hari perayaan mereka, tetapi hadiah tersebut mestilah bukan sesuatu yang diharamkan seperti arak, potret lucah dan sebagainya.
Syeikh Dr. Mustafa Zarqa pula ketika membincangkan persoalan ini telah menyatakan bahawa mengucapkan tahniah atau ucapan selamat hari raya kepada kenalan bukan Islam adalah termasuk dalam bab kesopanan (mujamalah) dan keelokan dalam pergaulan. Namun, sesiapa yang keliru, contohnya dengan mengatakan bahawa sambutan hari kelahiran Isa adalah perayaan mereka (seperti Aidilfitri dan Aidil Adha), maka ia adalah haram, kerana ianya mempunyai kaitan dengan aqidah Kristian tentang ketuhanan Isa.
Hujah yang dikemukakan oleh beliau antara lain ialah peristiwa yang berlaku pada zaman nabi s.a.w. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. berdiri tatkala satu jenazah Yahudi melalui kawasan yang diduduki oleh Rasulullah dan para sahabat. Berdirinya Rasulullah itu adalah penjelasan tentang betapa hebat dan agungnya kematian itu, tidak ada kaitan dengan aqidah jenazah tersebut (iaitu bukan kerana hendak menghormati aqidah jenazah tersebut). Namun, perlu juga diberi perhatian bahawa, mengucapkan selamat hari raya kepada kawan-kawan non-muslim atas alasan menjaga persahabatan dan perhubungan (bukan atas dasar aqidah) adalah harus, tetapi merayakannya dengan pengisian-pengisian mungkar di dalamnya, itu adalah haram.
Justeru, apakah tidak merayakan perayaan agama selain Islam menafikan toleransi di antara kaum? Toleransi tetap wujud dengan bukan Islam, tapi bukan dalam perkara ibadah dan yang melibatkan perayaan agama. Toleransi kaum boleh dipupuk pada setiap hari dalam pergaulan harian. Toleransi di antara kaum juga boleh dipupuk ketika menyambut ulang tahun hari kemerdekaan negara dan sambutan lain yang bersifat patriotik. Sehubungan dengan itu, pupuklah toleransi di antara kaum dengan tanpa menggugat akidah Islam!.

Tuesday, November 6, 2007

Gemilang Islam di Brussels

Baru-baru ini iaitu pada 19-20 Oktober 2007, saya telah mendapat jemputan untuk membentangkan kertas kerja di Persidangan Antarabangsa "Fi Itqan al-Tarjamah" iaitu International Conference on Pedagogy of Arabic Translation di Brussels, Belgium.
Seminar tersebut disertai oleh peserta dari pelbagai negara Arab dan Eropah. Seminar ini mendapat tempat di Brussels ekoran dari perkembangan pengajian Arab yang semakin pesat di pusat-pusat pengajian tinggi di Eropah umumnya dan Belgium khususnya.
Namun, apa yang lebih utama dan menarik bagi saya ialah perkembangan Islam dan umatnya di bumi Belgium ini. Sekiranya kita berada di Brussels, maka tidak menjadi suatu masalah kepada kita untuk mencari makanan halal di sini kerana terdapat pelbagai restoran yang diusahakan oleh orang Islam dan menyediakan pelbagai jenis makanan terutamanya makanan Timur Tengah. Bukan sekadar itu, terdapat juga tempat penginapan atau hotel yang diusahakan oleh orang Islam di sini. Tambahan daripada itu, terdapat juga kedai-kedai buku seperti Maktabah al-Iman dan Dar al-Risalah yang sempat saya kunjungi menjual pelbagai jenis buku-buku agama yang boleh menjadi rujukan kepada umat Islam di sini.
Saya telah dimaklumkan bahawa penduduk Brussels (Bruxelles) berjumlah lebih kurang satu juta orang. Daripada jumlah tersebut, terdapat kira-kira 200 ribu orang adalah muslim. Ini bermakna lebih kurang 20% penduduk Brussels beragama Islam. Walaupun kebanyakan penganut Islam di sini merupakan golongan yang berhijrah dari Timur Tengah terutamanya dari Morocco, namun agama Islam serta penganutnya dapat diterima dengan baik dalam kalangan masyarakat Brussels. Di Brussels sendiri terdapat lebih kurang 130 masjid. Walaupun masjidnya tidak sebesar masjid di tempat kita, namun ia telah menjadi pusat yang penting ke arah mempertautkan ukhuwwah Islamiah di antara sesama muslim di sana tanpa mengira bangsa dan warna kulit.
Salah seorang peserta seminar yang berasal dari Tunisia tetapi telah mendapat kerakyatan Belgium, telah memberitahu saya bahawa umat Islam di Brussels menyambut bulan Ramadhan dengan begitu meriah sama seperti Ramadhan yang disambut di negara-negara Arab. Jadi, umat Islam di Brussels tidak terasa terasing walau mereka berada di bumi Belgium, iaitu tempat yang masyhur sebagai nadi kepada Eropah itu.