Followers

Tuesday, December 25, 2007

Ibadah Korban Di Kemboja

Pada 21 Disember iaitu pada hari Jumaat sehari selepas kita
merayakan sambutan Aidiladha 1428 Hijrah, saya bersama Pengerusi Darul Fuqaha', Ustaz Khairuddin Aman Razali at-Takiri dan dua yang lain berlepas ke Kemboja dengan penerbangan Air Asia ke Phnom Penh, Kemboja. Penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Phnom Penh mengambil masa lebih kurang 1 jam 50 minit. Ketibaan kami disambut oleh Ustaz Syafie yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi boleh bertutur dalam bahasa Arab kerana beliau mendapat pendidikan di Universiti Islam di Madinah. Sempat berehat sebentar di Phnom Penh sebelum kami dibawa ke Kampung Cham oleh Ustaz Sulaiman Kemboja dengan menaiki kereta beliau untuk membuat ibadah korban di sana. Perjalanan mengambil masa lebih dari dua jam dari Phnom Penh ke Kampung Cham dengan jalan raya yang tidak berapa elok. Seterusnya perjalanan diteruskan ke Kampung Kliang Spai (tak pasti ejaan yang betul) untuk melakukan ibadah korban di sana pulak. Perjalanan kali ini agak panjang kerana pada mulanya kami menuju ke tepi sungai untuk menaiki feri ke kampung tersebut untuk memendekkan perjalanan, namun kami terpaksa berpatah balik kerana feri rosak. Namun, kepenatan terubat apabila disambut dengan mesra oleh penduduk Kampung Kliang Spai. Beberapa ekor lembu sempat disembelih sebelum kami kembali ke Phnom Penh. Penduduk kampung nampaknya begitu gembira dengan kehadiran kami kerana mereka memang menunggu-nunggu kalau ada sesiapa yang mahu menyembelih korban di sana untuk mereka merasai lauk daging dalam santapan mereka. Itulah hikmah sembelihan korban untuk memberikan kegembiraan kepada mereka yang tidak berkemampuan. Seterusnya keesokan harinya pulak, kami bertolak ke Kampung Chenang (tak pasti ejaan yang betul). Kami memasuki kampung yang serba kedaifan, melalui jalan tanah merah dengan penghuninya yang hanya menghuni rumah yang amat daif sekali. Di sana kami sempat juga menyembelih beberapa ekor lembu untuk dibahagikan kepada beberapa kampung.
Walaupun perjalanan agak memenatkan kerana agak jauh dan melalui jalan raya yang tidak elok, namun kepuasan dapat dirasai apabila dapat membantu mereka yang benar-benar memerlukan.
Selain daripada melaksanakan ibadah korban, Darul Fuqaha juga menaja seramai lebih kurang 32 orang guru Quran (setakat ini) dengan memberi elaun secara bulanan kepada mereka. Bantuan ini amat penting kerana sekiranya tidak diberikan bantuan, maka guru-guru ini tidak dapat memberi perhatian untuk mengajar kanak-kanak muslim dengan ilmu agama kerana mereka sendiri tidak mempunyai masa kerana sibuk mencari sesuap nasi untuk makan seperti pergi menjala ikan dan sebagainya. Akibatnya, kanak-kanak Islam terbiar tanpa didikan. Sesuatu yang amat menyedihkan pula ialah gerakan Kristian bergerak agak aktif di sana. Oleh itu, hendaklak kita berasa bertanggung jawab untuk membantu umat Islam di Kemboja dengan segala kemampuan yang kita ada. bukan sahaja ketika menyambut hari raya Korban tetapi Insya allah pada sepanjang tahun!. Saya kembali ke Kuala Lumpur pada 23 Disember iaitu pada hari Ahad setelah 2 hari berada di Kemboja.

No comments:

Post a Comment