Saturday, December 8, 2007

Pengalaman di Vatican City

Cahaya Islam di Rome (Siri 2)
Oleh
Mohd Sukki Othman

Sebagaimana yang diterangkan dalam siri yang lalu, penulis dan dua orang rakan berasa begitu gembira apabila berada di Islamic Cultural Centre yang merupakan juga sebuah masjid yang terbesar di Itali. Apatah lagi berada di masjid tersebut pada hari Jumaat, maka dapatlah penulis menyaksikan bagaimana keakraban hubungan ukhuwwah yang terjalin kukuh dalam kalangan umat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan warna kulit. Hubungan mesra yang diasaskan di atas dasar agama mengetepikan segala sikap yang negatif seperti berbangga dengan keturunan dan warna kulit.

Penulis bukan sahaja berkenalan dengan Abdullah seorang yang berasal daripada Tunisia, malahan penulis juga sempat berkenalan dengan beberapa orang rakan lain ketika berada di masjid tersebut seperti Fathi yang berasal dari Algeria. Walaupun kami baru sahaja berkenalan, namun hubungan sesama Islam membuatkan kami dapat beramah mesra dan merasakan seolah-olah kami adalah bersaudara. Sesuatu yang agak mengagumkan ialah apa yang telah diceritakan oleh Fathi kepada penulis mengenai sejarah Islamic Cultural Centre tersebut.

Fathi menceritakan bahawa tapak asal masjid itu ialah kawasan yang terkenal dengan maksiat dan pelacuran di Rome. Namun, dengan hubungan erat dan kekuatan yang dapat dibina dalam kalangan orang Islam di Rome, maka mereka telah berjaya membeli tanah tersebut, dan masjid yang besar dan tersergam indah itu pun dibina di tapak tersebut . Ini sekaligus telah menjadikan kawasan itu tidak lagi menjadi sarang maksiat.


Penulis lantas bertanya kepada Fathi, apakah pentadbiran Gereja Katholik di Vatican City yang terletak hanya beberapa kilometer sahaja daripada masjid tersebut tidak berasa tergugat dengan kehadiran orang Islam yang semakin ramai dan dengan kewujudan masjid yang besar itu? Fathi menyatakan bahawa memang ada tanda-tanda kegusaran dalam kalangan mereka terhadap kewujudan masjid ini, namun mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana masjid ini dibina berlandaskan undang-undang yang sedia ada di kota Rome. Lantas penulis pun terfikir untuk melawat Kota Vatikan.

Keakraban jelas terasa walau baru sahaja berkenalan dengan sahabat-sahabat Islam dari kota Rome ini, apabila mereka sanggup meluangkan masa untuk sama-sama mengiringi penulis bersama dua orang lagi rakan penulis untuk menaiki keretapi menuju ke tempat penginapan yang terletak berhampiran dengan terminal pengangkutan awam yang dikenali sebagai Termini. Penulis dan dua orang rakan menginap di sebuah hotel yang tiada bintang tetapi sewanya boleh tahan mahalnya. Bayangkanlah, dalam sebuah bilik yang kecil tanpa kemudahan televisyen apatah lagi peti sejuk, sewa bilik yang dikenakan ialah sebanyak 90 euro iaitu lebih kurang RM 400.00.

Pada keesokan harinya, penulis bersama dua orang rakan sudah bersiap sedia untuk ke Vatican City (Kota Vatikan). Perjalanan dari Termini ke Kota Vatikan tidaklah berapa jauh. Kami hanya perlu menaiki sebuah bas untuk ke sana. Sepanjang perjalanan ke sana, penulis melalui jalan-jalan yang terdapat di bandaraya Rome yang tidaklah terlalu luas. Pemandangan yang dapat disaksikan sepanjang perjalanan ialah bangunan-bangunan warisan dan lama yang terus dikekalkan. Akan tetapi sesuatu perkara yang boleh dianggap pelik ialah pada setiap bangunan yang terdapat di sini tidak terlepas daripada contengan yang telah diconteng dengan pelbagai perkataan dan dengan menggunakan cat dan sebagainya. Sikap vandalisme ini telah menyebabkan bangunan-bangunan kelihatan agak kotor pada dinding di aras bawah bangunan yang dapat dicapai oleh tangan-tangan yang melakukan perbuatan vandalisme ini.

Bas yang membawa penulis seterusnya melalui sebuah jambatan yang merentasi sebuah sungai yang memisahkan di antara kota Rome dan Kota Vatikan. Kota Vatikan terletak di atas bukit Vatikan di sebelah barat laut Kota Rome, iaitu beberapa ratus meter dari sungai Tiber. Beberapa minit sahaja selepas itu, bas pun berhenti di sebuah perhentian bas yang terletak berhampiran dengan gereja Katholik yang didiami oleh paderi besar bagi penganut agama Kristian Katholik. Kota Vatikan merupakan satu wilayah yang merdeka dan mempunyai pentadbirannya sendiri dan dianggap sebagai sebuah negeri yang terkecil di dunia. Pada tanggal 11 Februari tahun 1929, Kota Vatikan dengan secara rasminya memperoleh kemerdekaan apabila ditandatangani Perjanjian Lateran di antara Vatikan dan Itali.

Menurut sejarah, pada tahun 1870, iaitu semasa berlakunya gerakan penyatuan Itali, Kota Vatikan yang dikuasai oleh para pemimpin gereja telah dimasukkan dalam wilayah Itali. Namun, gereja Katholik Rome tidak menerima situasi ini, lalu timbullah konflik di antara pihak gereja dengan kerajaan Itali. Natijahnya, ia telah diselesaikan melalui Perjanjian Lateran. Perjanjian ini ditandatangani oleh Kardinal Gaspari yang mewakili gereja dan Benito Mussolini yang mewakili Raja Victor Emmanuel III. Dalam perjanjian ini, Itali secara rasminya mengakui kewujudan negara baru yang bernama Vatican City yang berdaulat, bebas dan merdeka.

Sebelumnya, iaitu pada sekitar abad ke 5 Masihi yang menyaksikan keruntuhan empayar Rome, gereja Vatican City telah berjaya menguasai bangsa Eropah. Pihak Vatican City telah berjaya mengambil kesempatan dengan mengisytiharkan bahawa pemimpin mereka, St. Peter adalah mewarisi seluruh kepimpinan daripada "Jesus" dengan mengambil gelaran Pope. Beliau seterusnya telah menurunkan kuasanya di bidang politik kepada salah seorang raja Eropah yang digelar sebagai "Maharaja Suci Rome". Bermula daripada situ, seluruh bangsa Eropah terkongkong di bawah kekuasaan Gereja Vatican City.

Seterusnya Pope pula telah menekankan ajaran dogma Kristian yang bercanggah dengan perkembangan ilmu dan sains di Eropah. Akibatnya, bangsa Eropah mulai tidak menghormati kuasa agama, lantas mencetuskan revolusi kebudayaan dan pembaharuan (Renaissance) yang berasaskan ilmu falsafah dan sains pada abad ke-15 Masihi. Melalui revolusi ini, lahirlah fahaman sekularisme, iaitu fahaman yang memisahkan agama daripada kehidupan dunia. Fahaman yang berasaskan kepada memerangi agama ini, akhirnya juga turut memerangi Islam. Fahaman sekular ini dengan jelas memisahkan di antara agama dan pentadbiran sebagaimana yang didefinisikan oleh kamus Oxford, bahawa sekular itu ialah: Wordly or material not religious or spiritual.

Dari perhentian bas, penulis sudah dapat nampak dengan jelas kubah gereja yang besar di Kota Vatikan itu. Kubahnya seumpama kubah masjid, namun terdapat kelainan dari sudut bentuk dan ukirannya yang tersendiri. Penulis bersama dua orang rakan seterusnya berjalan kaki menuju ke gereja tersebut. Apabila sampai sahaja di dataran hadapan gereja, penulis dapat saksikan pelbagai jenis patung yang terletak mengelilingi bangunan dan dataran di gereja tersebut. Begitu juga berhampiran dengan pintu masuk ke gereja, terdapat sebuah patung besar yang diukir iaitu patung St. Peter yang merupakan pemimpin pertama dalam gereja Katholik.

Terdapat ramai pelancong yang datang dari pelbagai negara melawat ke gereja tersebut. Penulis dapati bahawa di samping gereja tersebut yang menjadi pusat gereja bagi penganut Katholik, ia juga dijadikan sebagai destinasi pelancongan. Justeru, terdapat ramai pelancong yang datang ke sini. Seterusnya penulis bersama rakan pun mengikut pelancong-pelancong yang lain menuju ke dalam gereja tersebut.

Apabila melangkah sahaja masuk ke dalam gereja yang agak suram dengan cahaya yang agak malap, sekali lagi penulis terserempak dengan pelbagai jenis patung yang terdapat di dalamnya. Terdapat patung yang diukir untuk menggambarkan ‘Jesus’, Maryam, patung malaikat yang diukir dalam bentuk anak-anak kecil yang terbang dan sebagainya. Penulis berfikir sendirian, mengapakah terdapat terlalu banyak patung dalam gereja yang dianggap tempat yang paling suci bagi penganut Kristian Katholik ini? Seolahnya, mereka amat berbangga dengan pelbagai jenis patung dan secara tidak langsung apakah mereka menyembahnya?

Perjalanan ke Kota Vatikan ini telah memberikan ‘sesuatu’ kepada penulis, iaitu penulis dapat merasakan betapa hebat dan mulianya ajaran Islam dan tempat-tempat suci umat Islam. Ketenangan dan kedamaian dapat dirasakan apabila berada di Tanah Suci Makkah, tetapi perasaan itu tidak akan dapat diperoleh apabila berada di Kota Vatikan!.

No comments:

Post a Comment