Followers

Thursday, January 31, 2008

Isu solat sunat sebelum Maghrib

Ada seorang sahabat telah bertanya kepada saya tentang solat sunat dua rakaat sebelum Maghrib apakah ia boleh dilakukan. Saya pun memberitahunya bahawa mengikut ulama' mazhab Syafie solat sunat dua rakaat sebelum Maghrib adalah sunat yang tidak muakkad. Lalu beliau pun menyatakan kepada saya bahawa dia mendengar dakwaan yang menyatakan bahawa sesiapa yang melakukan solat tersebut hanya akan mendapat penat dan letih sahaja kerana solat sunat sebelum maghrib tidak disunatkan dan nabi pun tak pernah buat.

Nampaknya begitu mudah orang hari ini menidakkan sesuatu amalan tanpa mengkajinya terlebih dahulu secara mendalam. Sudahlah masyarakat Islam pada zaman moden ini sudah semakin kurang melaksanakan amalan-amalan sunat...ditambah lagi dengan 'petua' yang mengelirukan! Kita sewajarnya akur bahawa solat sunat sebelum maghrib sememangnya termasuk dalam 'khilaf' di antara ulama', justeru, kita hendaklah berlapang dada dengan sesuatu pendapat yang lain walaupun pendapat tersebut tak sama dengan pegangan kita. Jangan hanya kerana taksub dengan sesuatu pendapat, kita terus menyalahkan amalan orang lain tanpa usul periksa.

Para ulama' yang menyatakan bahawa solat sunat dua rakaat sebelum maghrib termasuk dalam amalan sunat mempunyai dalil dan hujah, dan bukanlah pendapat mereka itu hanya membuta tuli sahaja. Sebagai contohnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud: Solatlah kamu sebelum (solat) maghrib dan perkataan ini diulang oleh Rasulullah sebanyak tiga kali dan pada kali ketiga nabi menyatakan 'bagi sesiapa yang mahu mengerjakannya'. Manakala dalam hadis riwayat Muslim pula telah menyatakan bahawa Ibnu Abbas berkata yang bermaksud: 'Adalah kami (para sahabat) menunaikan solat dua rakaat sesudah terbenam matahari (sebelum solat fardhu maghrib), dan adalah nabi saw melihat kami, tetapi nabi tidak menyuruh dan tidak pula melarang'.

Kesimpulannya, solat sunat dua rakaat sebelum maghrib adalah sunat berhujahkan hadis 'qawli' (perkataan nabi), dan 'taqririy' (persetujuan atau pengakuan nabi terhadap amalan para sahabat). (Untuk penjelasan lanjut, sila rujuk kitab Subulus Salam syarah kepada Bulughul Maram, cetakan Maktabah Islamiah, Jordan tahun 2005 / 1426 H, halaman 296-297).

Oleh itu, sebelum kita melarang amalan orang lain seharusnya kita mengkaji terlebih dahulu. Tidak mengapa kalau kita tidak mahu buat sesuatu amalan yang tidak diwajibkan, tetapi janganlah sampai melarang orang lain untuk melakukannya tanpa kajian dan pemahaman yang mendalam terhadap sesuatu isu dan hukum. wallahu'alam.

Wednesday, January 30, 2008

Undang-Undang di Malaysia Sebelum Merdeka

Oleh: Ustaz Shauqi

Kejadian jenayah yang semakin menjadi-jadi pada zaman ini seharusnya 'membuka mata' kita semua untuk berfikir apakah silapnya? Adik Sharlinie masih belum dijumpai... adik nurin telah dizalimi dengan kejam.. dan pelbagai lagi kes jenayah yang berlaku sama ada yang dilaporkan oleh media massa atau tidak telah menghantui masyarakat kita pada hari ini. Seolahnya juga para penjenayah langsung tidak serik untuk melakukan jenayah. Apakah mereka ini tiada kesedaran atau mereka tidak takut kepada undang-undang yang sedia ada?

Sebelum kedatangan penjajah barat, undang-undang jenayah Islam telah pun dilaksanakan di Malaysia serta telah menjadi undang-undang dasar negara. Kenyataan ini berlandaskan kepada kewujudan Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Pahang, dan Undang-Undang Kedah (Lihat Mohd Azam Hamzah, 1986, Falsafah dan Prinsip Perundangan Islam, Kuala Lumpur, ms 177, dan M.B. Hooker, Undang-Undang Islam di Asia Tenggara (terj.), ms 10).

Hukum Kanun Melaka telah dilaksanakan sejak zaman kesultanan Melaka lagi, dan ia berdasarkan mazhab Syafie (Sila Rujuk Liew Yoke Fang, Undang-Undang Melaka, 1979, The Haque, dan Dr Mahmud Saedon, Perlaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia: Kenyataan dan Permasalahannya, YDIM, ms 62). Undang-undang Kanun Melaka mempunyai pengaruh yang besar dan berkesan di negeri-negeri Melayu di bawah pemerintahan empayarnya dan di negeri-negeri yang berjiran seperti Johor, Kedah, Pahang, Perak dan Brunei. Negeri-negeri tersebut telah menjadikan Undang-undang Kanun Melaka sebagai asas kepada undang-undang negeri mereka (Sila rujuk Mahmud Saedon, 1988, Ke arah Islamisasi Undang-Undang Islam di Malaysia, YDIM: Kuala Lumpur, ms 33). Umumnya, undang-undang jenayah Islam telah dilaksanakan dengan meluas di Tanah Melayu sebelum kedatangan penjajah.

Apabila Inggeris datang dan menjajah Tanah Melayu, mereka telah melakukan perubahan yang ketara dalam perundangan. Peruntukan Piagam Keadilan I (1807), Piagam II (1826), penguatkuasaan undang-undang sivil (1837), dan undang-undang Tanah Melayu yang baru pada tahun 1956 telah memberi kuasa yang banyak dan luas kepada British untuk mengubah dan menghapuskan undang-undang tempatan dan menggantikannya dengan undang-undang British (Lihat Ahmad Ibrahim, Sistem Perundangan di Malaysia, Kuala Lumpur, ms 71-72).

Situasi yang telah dilaksanakan oleh British telah memberikan kesan yang besar terhadap perundangan Islam terutamanya terhadap undang-undang jenayah Islam. Undang-undang Inggeris telah menyelinap masuk sedikit demi sedikit, dan seterusnya menggantikan perundangan Islam yang telah dilaksanakan sebelum ini. Ternyata undang-undang Inggeris tidak dapat menyelesaikan masalah jenayah pada hari ini malahan jenayah makin bertambah. Justeru, apa salahnya untuk kita kembali mengamalkan undang-undang Islam sebagaimana yang telah diamalkan di Tanah Melayu sejak dahulu kala .... Fikirkanlah...

Tuesday, January 29, 2008

Sorotan Penguasaan Israel Ke Atas Palestin

Sorotan Penguasaan Israel Ke Atas Palestin: Apakah Peranan Umat Islam?
Oleh
Mohd Sukki Othman
(
محمد شوقي عثمان
)

Firman Allah dalam Surah al-Isra’ ayat 1 bermaksud: “ Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda ( Kebesaran ) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.

Masjid al-Aqsa dan sekitarnya termasuk tanah, air, udara, batu, tanaman dan buah-buahan mempunyai keberkatan sebagaimana yang telah dinaskan oleh al-Quran. Oleh itu, bumi Palestin boleh dianggap sebagai muka bumi Islam yang suci ekoran Masjid al-Aqsa yang terdapat padanya. Masjid al-Aqsa adalah sebuah tempat yang telah disinggahi oleh nabi ketika berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj, di samping ia merupakan kiblat yang pertama bagi umat Islam.

Menunaikan solat di Masjid al-Aqsa mempunyai ganjaran lima ratus kali ganda berbanding mengerjakan solat di masjid yang lain (tidak termasuk Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi). Palestin adalah merupakan bumi para anbiya’ (nabi-nabi) dan bumi yang telah diturunkan wahyu. Ramai para nabi dan rasul pernah tinggal dan hidup di bumi Palestin ini termasuklah nabi Ibrahim, nabi Ishaq, nabi Ya’qub, nabi Yusuf, nabi Lut, nabi Sulaiman, nabi Daud, nabi Zakaria, nabi Yahya dan nabi Isa.

Pembukaan Baitul Maqdis telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Khalifah Umar al-Khattab (r.a) pada tahun keenam hijrah. Oleh itu, Palestin telah menjadi sebahagian daripada dunia Islam. Penduduk-penduduknya telah memeluk Islam dengan sukarela. Seterusnya ramai daripada para Sahabat dan Tabiin telah tinggal di Palestin dan mereka telah menjadikan Palestin sebagai pusat perkembangan tamadun Islam. Justeru, Palestin telah berkembang pesat dengan pembinaan sekolah, masjid, hospital, pasar dan sebagainya. Palestin telah menjadi tumpuan para ulama’ dari segenap ceruk rantau sehinggalah al-Quds menjadi terkenal sebagai pusat ilmu dan ulama’.

Bumi Baitul Maqdis ini terus dipelihara oleh pemerintah Islam manakala ulama’ pula mengambil inisiatif untuk terus mengekalkan peradaban Islamnya. Mereka sangat mengambil berat dengan bumi suci ini lebih daripada penjagaan terhadap diri mereka sendiri. Sultan Abdul Hamid telah membuat kenyataan dengan katanya: “Sesungguhnya setiap inci bumi Palestin telah diperolehi dengan pengorbanan darah datuk-nenek kita, oleh itu kita tidak boleh mempersia-siakan walau seinci dari bumi ini...” dan katanya lagi: “Kita tidak sekali-kali akan membenarkan Palestin yang telah dibuka dengan darah datuk-nenek kita menjadi Negara Yahudi...”.

Justeru, Sultan Abdul Hamid telah berusaha dengan sedaya upaya untuk menjaga dan memelihara Baitul Maqdis daripada ketamakan Yahudi. Sultan Abdul Hamid bertindak dengan mengeluarkan arahan supaya melarang golongan Yahudi membina penempatan mereka di Palestin. Dalam usaha memelihara Palestin daripada dicerobohi, baginda telah memisahkan Baitul Maqdis daripada pentadbiran Syria dengan memindahkannya kepada pentadbiran Khilafah Islamiah dengan secara langsung.

Dari detik itu, bermulalah usaha untuk menjatuhkan Khilafah Uthmaniah. Musuh-musuh Islam berusaha untuk menempatkan Yahudi di Palestin agar Khilafah Uthmaniah dapat ditewaskan dengan mudah. Manakala orang-orang Inggeris yang diketuai oleh Lawrence pula berusaha sedaya upaya untuk meniupkan semangat perkauman kepada orang-orang Arab demi menjatuhkan Khilafah Uthmaniah di Turki.

Lawrence telah berkata: “Matlamat kita yang utama ialah menghancurkan kesatuan Islam lantas memusnahkan empayar Islam Uthmaniah”. Katanya lagi: “Sekiranya kita mampu mempengaruhi orang Arab untuk berusaha mengembalikan hak-hak mereka dari orang Turki, maka sudah pasti kita akan dapat menewaskan Islam untuk selama-lamanya, bahkan kita berupaya memastikan agar orang Islam bercakaran sesama sendiri hingga gugurlah daripada mereka kuasa khilafah bagi orang Islam di Turki. Sekiranya perkara ini terjadi, kita tidak akan takut dan terancam dengan Islam buat selama-lamanya”.

Apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada tahun 1914, Inggeris dan Yahudi telah bersekongkol menentang Khilafah Uthmaniah. Kesan daripada peperangan ini ialah tewasnya Daulah Uthmaniah. Dengan kekalahan itu, Palestin telah menjadi milik Britain, lalu Britain telah menyerahkan Negara Palestin kepada Yahudi pada November 1917. Dengan ini bermulalah penempatan dan penguasaan Yahudi terhadap negara Palestin dan bilangan orang Yahudi yang mendiami Palestin telah bertambah dari semasa ke semasa. Lalu, Yahudi telah mengisytiharkan dengan rasminya kependudukan mereka di Palestin sebagai sebuah negara pada tahun 1948.

Semenjak daripada peristiwa itu, rakyat Palestin telah berusaha sedaya upaya untuk tidak berundur dari bumi Palestin. Mereka telah melancarkan serangan jihad terhadap Yahudi. Namun mereka telah ditewaskan, sebaliknya Yahudi telah mengisytiharkan Palestin sebagai negara mereka. Yahudi juga telah membahagikan Palestin kepada tiga bahagian: bahagian terbesar dari bumi Palestin menjadi hak milik negara Yahudi, Semenanjung Barat diserahkan kepada Jordan manakala Semenanjung Gaza telah diserahkan kepada Mesir.

Pada tahun 1967, Yahudi telah bertindak untuk menguasai kawasan-kawasan Palestin yang belum dikuasai oleh mereka. Dalam usaha ini, Yahudi telah menggunakan kekuatan tenteranya. Namun rakyat Islam Palestin tidak berdiam diri, malahan mereka berjuang habis-habisan dan berjihad menentang Yahudi. Rakyat Islam Palestin telah melancarkan ‘intifadah’ untuk menentang Yahudi pada tanggal 8 Disember 1987. Pengorbanan dan perjuangan rakyat Palestin ini membuahkan hasil apabila dapat mengkucar-kacirkan tentera Yahudi di samping dapat memusnahkan kereta-kereta kebal, kereta-kereta perisai dan sebagainya yang menjadi milik Yahudi.

Pada waktu gerakan ‘intifadah’ ini memuncak yang merisaukan Yahudi, maka terdengarlah suara-suara daripada luar yang meminta agar dimeterai perjanjian damai dengan Yahudi ini. Suara-suara itu meminta agar diadakan perdamaian dengan pengunduran puak Yahudi sedikit demi sedikit dari bumi suci umat Islam itu.

Maka dari sinilah, datangnya fatwa dari ulama-ulama Islam yang menghalang pengunduran umat Islam dari mana-mana bahagian dari bumi Palestin. Ini adalah kerana tanah Palestin melibatkan aqidah dan agama umat Islam yang tidak seharusnya sesiapapun mengabaikan bumi suci yang telah dibuka oleh orang Islam terdahulu dengan darah-darah mereka ini, dan yang terus memeliharanya sejak sekian lama.

Tambah memilukan lagi apabila keputusan Kongres Amerika bernombor (106) menyatakan bahawa bandar al-Quds sepatutnya menjadi ibu negara Israel untuk selama-lamanya. Dunia Islam dikejutkan dengan keputusan Kongres Amerika yang telah mengisytiharkan al-Quds sebagai milik Israel itu. Lalu, Majlis Fatwa Kerajaan Jordan menolak sekeras-kerasnya keputusan ini yang bercanggah dengan hak asasi manusia.

Sesungguhnya keputusan Kongres Amerika itu telah menggambarkan permusuhan mereka yang nyata dengan aqidah setiap umat Islam di atas muka bumi ini. Amerika Syarikat dan Israel juga telah bersatu untuk mengembangkan kezaliman dan permusuhan mereka terhadap bumi Palestin. Umat Islam perlu sedar bahawa sebenarnya merekalah yang bertanggungjawab terhadap al-Quds, untuk memeliharanya dengan baik di atas nilai-nilai keadilan, kasih-sayang, hormat-menghormati di antara agama dan sebagainya.

al-Quds adalah merupakan salah satu juzuk daripada aqidah umat Islam yang perlu dipelihara sebagaimana memelihara agama itu sendiri. Ini adalah berlandaskan perkara-perkara berikut:

1. Terdapat ikatan yang kukuh di antara al-Quds dan Masjid al-Aqsa dengan aqidah umat Islam. Ini adalah kerana ia merupakan bumi yang telah dipilih oleh Allah sebagai tempat berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj.

2. Ia juga merupakan kiblat pertama umat Islam. Umat Islam menghadapkan wajah mereka ke Baitul Maqdis semasa mengerjakan solat, iaitu ketika mereka berada di Makkah sebelum peristiwa hijrah, dan selama lapan belas bulan ketika berada di Madinah al-Munawwarah.

3. Masjid al-Aqsa merupakan masjid yang telah disabdakan oleh Rasulullah agar umat Islam berusaha untuk mendekatinya.

4. Rasulullah (s.a.w) juga telah menerangkan dan memberitahu mengenai kelebihan dan fadhilat tinggal di Baitul Maqdis dan kawasan sekitarnya. Sabda nabi (saw) yang bermaksud: “Akan berterusan segolongan dari umatku yang memperjuangkan kebenaran, dan mereka tidak dapat ditewaskan oleh musuh-musuh mereka hinggalah berlakunya Kiamat”. Sahabat bertanya: “Dimanakah mereka tinggal?”. Jawab Nabi: “Mereka tinggal di Baitul Maqdis dan kawasan-kawasan sekitarnya”.

Orang Islam sejak menerima kunci pembukaan al-Quds semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab lagi, telah menunaikan amanah penjagaannya dengan begitu baik sekali. Orang Islam ketika berkuasa terhadap al-Quds telah memberikan kebebasan kepada penganut-penganut agama lain untuk melaksanakan upacara ibadat mereka tanpa sebarang halangan. Keadilan Islam itu dapat dilihat dengan jelas apabila sampai sekarang pun gereja yang telah dibina oleh orang-orang Kristian tidak terusik

Friday, January 25, 2008

Siapakah Imam Mahdi?

Oleh
Mohd Sukki Othman


Baru-baru ini kawan saya Ustaz Rijaluddin yang lebih mesra dengan panggilan ustaz Rijal telah menyatakan kepada saya bahawa dia telah bertemu dengan Imam Mahdi. Saya agak terkejut dengan dakwaannya itu, lalu saya bertanya: “Di manakah anta jumpa Imam Mahdi tu?”. Dia menjawab: “Saya berjumpa dengan Imam Mahdi di perhentian bas Puduraya”. Lantas saya memintanya menceritakan dengan lebih lanjut tentang pertemuannya itu.

Ustaz Rijal pun bercerita: “Ana bertolak dari Parit Buntar ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas sebab ana rasa letih untuk memandu kereta pada hari itu. Ketika ana sampai di perhentian bas Puduraya, jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Jadi, ana terus pergi ke surau di hentian Puduraya menunggu masuknya waktu solat fardhu Subuh. Selesai sahaja menunaikan solat, ana pun turun ke tingkat bawah sambil berfikir-fikir sama ada hendak menggunakan perkhidmatan tren komuter atau bas untuk ke Bandar Baru Bangi. Tiba-tiba, ana didatangi oleh seorang yang berjubah putih yang sedang memegang tasbih di tangannya.

Lelaki berjubah putih itu terus menyapa, dan memberitahu bahawa dunia ini sudah hampir kiamat. Sambil itu dia menerangkan satu-persatu tentang tanda-tanda kiamat yang sudah hampir dengan memberikan contoh tentang kejadian zina yang dilakukan secara terang-terangan, arak yang diminum secara berleluasa, hiburan yang melampau dan sebagainya. Orang berjubah putih itu terus bercerita dengan penuh khusyuk tentang tanda-tanda akhir zaman sambil beristighfar dengan segala macam maksiat yang telah berlaku pada zaman ini. Sebelum lelaki berjubah putih itu beredar, dia pun bertanya: ‘Encik tahu tak siapa saya yang sebenarnya?, sayalah Imam Mahdi yang disebut-sebut tentang kemunculannya pada akhir zaman’. Lalu lelaki itu pun beredar”.

Selesai sahaja Ustaz Rijal bercerita, saya pun berkata kepadanya: “Orang itu tak siuman kot!”. Ustaz Rijal menafikan kata-kata saya sambil menyatakan bahawa melalui pemerhatiannya, orang itu adalah normal dan waras. Saya berkata lagi: “So, anta percaya ke yang dia tu Imam Mahdi?”. Sambil tersenyum, ustaz Rijal menyatakan: “Sudah tentu ana tak percaya, kerana masakan Imam Mahdi mengaku yang dia itu Imam Mahdi!”. Saya pun menambah: “Ya, ana setuju dengan anta, kerana sesiapa sahaja yang mengaku sebagai Imam Mahdi, confirmlah dia tu bukan Imam Mahdi kerana terdapat riwayat yang menyatakan bahawa Imam Mahdi tak akan mengaku sebagai Imam Mahdi sehinggalah beliau dipaksa untuk berbuat demikian iaitu untuk dibai'ah di hadapan kaabah”.

Persoalannya, siapakah Imam Mahdi sebenarnya? Untuk mengetahui siapakah Imam Mahdi, kita wajar merujuk kepada hadis-hadis nabi yang sahih tentangnya. Ini kerana ramai sangat yang mengaku menjadi Imam Mahdi akhir-akhir ini. Kalau tidak mengaku sebagai Imam Mahdi pun, ada orang yang tanpa segan silu mengaku sebagai Pemuda Bani Tamim. Ketika penulis belajar di Jordan kira-kira sepuluh tahun yang lalu pun, ada seorang lelaki Arab yang datang ke Fakulti Syariah, Universiti Yarmouk dan mengaku bahawa dia ialah Imam Mahdi. Sesuatu yang malang bagi lelaki itu ialah dia tersilap dengan membuat pengakuan di hadapan seorang ulama’ hadis di Fakulti Syariah itu yang memang mengkaji tentang hadis-hadis akhir zaman iaitu al-Marhum al-Syeikh Dr. Walid al-‘Ani. Lalu, dengan tegas ulama’ hadis tersebut menafikan kenyataan lelaki tersebut dan memintanya bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Islam agama ilmu. Sehubungan dengan itu, untuk mengetahui siapakah Imam Mahdi, umat Islam tidak boleh lari daripada membincangkannya dari sudut ilmu dan dari sumber yang sahih. Sesuatu yang dianggap malang yang berlaku pada zaman ini adalah apabila terdapat segelintir umat Islam yang begitu mudah menjadi 'pak turut' terhadap sesuatu perkara tanpa berpandukan lunas-lunas ilmu pengetahuan. Justeru, tidak hairanlah ajaran sesat boleh bertapak dan berkembang dengan begitu mudah dalam masyarakat kita.

Untuk mengetahui perbahasan tentang Imam Mahdi, boleh dirujuk pada kitab-kitab hadis seumpama kitab Hadis al-Bukhari, Muslim dan selainnya. Tambahan daripada itu, buku-buku yang banyak membicarakan tentang peristiwa akhir zaman berpandukan nas dan sumber yang sahih ialah al-Isya'ah Fi Asyrat al-Sa'ah oleh Imam al-Barzanji, Kitab al-Fitan oleh Abu Nu'aim, Kiamat Hampir Tiba susunan Abu Ali al-Banjari an-Nadwi, 74 Intipati Tanda-Tanda Hampirnya Kiamat oleh 'Iwadh Bin Ali dan terjemahannya oleh Abdullah al-Qari, dan sebagainya.

Sebagai ringkasan daripada sumber-sumber yang dinyatakan tadi, didapati bahawa Imam Mahdi mempunyai nama yang sama seperti nama Rasulullah iaitu Muhammad Bin Abdullah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Dunia tidak akan kiamat sehinggalah bangsa Arab dikuasai (diperintah) oleh seorang lelaki daripada keluargaku (keturunanku) yang namanya sama dengan namaku". Imam Mahdi adalah daripada keturunan Fatimah Binti Rasulullah daripada cabang keturunan Hasan Bin Ali. Menurut Ibnu Kathir, nama penuh Imam Mahdi ialah Muhammad Bin Abdullah al-'Alawi al-Fatimi al-Hasan.

Imam Mahdi dilahirkan di Madinah al-Munawwarah. Umurnya ialah di antara 30 ke 40 tahun ketika dibai'ah di dalam Masjidil Haram iaitu di antara kawasan Hajarul Aswad dan Maqam Ibrahim. Akhlaknya banyak menyerupai akhlak Rasulullah saw. Walau bagaimanapun, bentuk tubuh badannya tidak menyerupai bentuk tubuh Rasulullah, sebaliknya ia lebih mirip kepada bentuk tubuh Bani Israel. Hidungnya mancung dan membongkok di tengah, dahinya luas dan terserlah, mukanya bersinar dan warna kulitnya adalah seperti warna kulit orang Arab walaupun bentuk badannya seperti orang Bani Israel.

Pada mulanya Imam al-Mahdi bukanlah seorang yang terkenal dengan sifat keutamaan, namun Allah telah memberi taufik dan hidayah kepadanya sehingga dalam satu malam sahaja dia berubah menjadi seorang yang warak, alim, adil dan sebagainya. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "al-Mahdi itu dilahirkan dari keturunan Ahlul Bait (keturunan Fatimah r.a) yang telah disempurnakan oleh Allah akan segala kebaikannya pada satu malam sahaja". (Hadis riwayat Imam Ahmad, Isnadnya sahih). Kesempurnaan akhlak dan kebaikan yang dimiliki oleh Imam Mahdi ini melayakkannya untuk memimpin dunia dengan penuh keadilan serta menghapuskan segala bentuk kezaliman yang berleluasa.

Terdapat pelbagai pandangan mengenai tempoh pemerintahan Imam Mahdi iaitu selama tujuh tahun, tiga puluh tahun dan empat puluh tahun. Namun, menurut Imam Ibni Hajar al-Haitami semuanya itu adalah benar kerana riwayat yang menyatakan tujuh atau sembilan tahun ialah merujuk kepada zaman kegemilangan pemerintahannya, riwayat yang menyatakan tiga puluh tahun pula adalah merujuk kepada zaman pertengahan, manakala riwayat yang menyatakan bahawa zaman pemerintahannya adalah selama empat puluh tahun adalah merujuk kepada keseluruhan pemerintahan Imam Mahdi.

Pendokong kuat Imam Mahdi ialah Pemuda Bani Tamim yang sekaligus menjadi 'tulang belakang' kepada kekuatan Imam Mahdi. Pemuda Bani Tamim berasal dari Timur dan mengikut pandangan Syeikh Dr Walid al-'Ani yang dimaksudkan dengan Timur itu ialah Afghanistan. Namanya ialah Syuaib Bin Soleh. Beliau ialah seorang pemimpin tentera yang hebat. Pada waktu malam beliau terkenal sebagai seorang yang amat kuat dan khusyuk beribadah, manakala pada waktu siang pula, pula digeruni oleh musuh dengan ketangkasannya dalam medan perang.

Zaman pemerintahan Imam al-Mahdi akan menyaksikan keadilan kepimpinan yang hebat sehingga rahmat dan nikmat dari Allah berlimpah-ruah. Umat Islam akan hidup dalam keadaan aman dan makmur. Namun kemakmuran itu akan disusuli pula dengan fitnah pada akhir zaman yang amat mencabar iaitu dengan kedatangan Dajjal.

Bid'ah

Oleh: Shauqi al-Yarmouki

Bid’ah ialah sesuatu yang bercanggah dengan Sunnah. Menurut istilah syara’ bid’ah ialah sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan masalah agama (untuk mendekatkan diri kepada Allah) yang tidak ada contoh sebelumnya daripada Nabi SAW, dan tidak pernah dilakukan oleh para sahabat baginda. Bid'ah merupakan perbuatan yang bertentangan dengan sunnah kerana sunnah itu petunjuk sedangkan bid'ah adalah perbuatan yang dilakukan tanpa landasan wahyu (Al-Quran) atau sunnah Nabi SAW dan Ijma' ulama.

Bid'ah ialah ideologi dan pemikiran yang merosakkan. Imam Muslim dalam kitab sahihnya telah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda, maksudnya: sesungguhnya sebaik-baik perkataan ialah Kitab Allah, dan petunjuk yang terbaik ialah petunjuk Muhammad saw, perkara yang paling buruk ialah perkara yang direka-reka (dalam agama), dan setiap perkara yang direka-reka itu bid'ah dan sebarang bid'ah adalah sesat." Sayyidatina Aisyah telah meriwayatkan bahawa nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan dalam urusan kami ini sesuatu yang bukan daripadanya, maka ia tertolak.” (hadis riwayat Imam Muslim). Ibnu ‘Abbas r.a. pula ketika diminta wasiat daripadanya, beliau berkata yang bermaksud : « Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan beristiqamah, dan hendaklah kamu mengikut sunnah dan jangan sekali-kali melakukan perbuatan bid’ah ».

Ringkasnya, sesuatu yang boleh dikategorikan sebagai bid’ah ialah apabila ia menepati tiga syarat berikut:

  1. Sesuatu yang dikategorikan sebagai ibadat.
  2. Untuk mendekatkan diri kepada Allah.
  3. Tidak ada asal dalam agama.

Perkara-perkara bid’ah ini datang daripada tiga arah:

  1. Aqidah; dengan melakukan syirik kepada Allah serta memohon pertolongan kepada selain daripada Allah.
  2. Ibadah: dengan berlakunya penambahan dan pengurangan atau pengubahsuaian terhadap ibadah.
  3. Halal Haram: dengan mengharamkan sesuatu yang halal atau menghalalkan sesuatu yang haram.

Pada zaman nabi, terdapat tiga orang lelaki pergi ke rumah isteri-isteri nabi dan bertanyakan mereka tentang ibadat nabi. Apabila diberitahu kepada mereka tentang ibadat nabi, salah seorang daripada mereka berkata: “Aku akan bangun sepanjang malam untuk solat”. Seorang lagi berkata: “ Aku akan berpuasa sepanjang masa”. Manakala yang ketiga berkata: “Aku tidak akan berkahwin”. Apabila Rasulullah datang, Rasulullah pun bersabda: “Sesungguhnya aku ialah orang yang paling takut dan paling bertakwa kepada Allah, tetapi aku berpuasa dan aku berbuka, aku solat dan aku tidur, dan aku juga mengahwini wanita, sesiapa yang tidak suka kepada sunnahku, dia bukanlah daripada golonganku”. (hadis riwayat Imam Bukhari).

Kita harus sedar bahawa akal manusia tidak mampu berdikari untuk membezakan antara kebaikan dan keburukan, memahami yang mana mendatangkan bahaya atau sebaliknya dari segala kejadian yang berlaku, kerana akal itu sendiri tidak sempurna dan juga kerana sesuatu kebaikan itu kadangkala bertentangan dengan naluri dan syahwat.

Oleh itu, akal mestilah berpandukan wahyu Allah SWT yang berupa firman Allah yang bersih dari segala kekurangan dan kealpaan, kejahilan dan kesamaran. Sebenarnya akal kita dengan segala kekurangan, kejahilan, kealpaan dan ketidakmampuannya memahami perkara-perkara yang mempengaruhi nafsu, harus menerima cahaya wahyu Ilahi agar akal benar-benar dapat melihat kebenaran hakiki dan mengetahui sesuatu itu sama ada bermanfaat atau berbahaya, baik atau buruk, sempurna atau rosak.

Akal manusia diumpamakan seperti mata yang dapat melihat sesuatu di hadapannya hanya jika ada sinar cahaya yang meneranginya. Terang atau pudarnya penglihatan tersebut bergantung kepada kuat atau lemahnya sinaran itu. Sekiranya tidak ada cahaya yang meneranginya langsung, mata tidak akan mampu melihat sesuatu yang ada di dalam kegelapan. Begitu juga dengan akal manusia. Andaikata ia dibimbing oleh wahyu Allah iaitu al-Quran dan Sunnah, baharulah ia berupaya melihat sesuatu sebagaimana hakikatnya. Baharulah ia dapat melihat yang mana membahayakan dan yang mana dapat memberi manfaat, yang mana baik dan yang mana rosak, yang mana bagus dan yang mana hina. Apabila dikaitkan dengan ilmu dan iman, akal yang dibimbing wahyu Ilahi ini akan mendorong pemiliknya menjadi manusia yang banyak benarnya daripada salahnya dan menerangi hidupnya di atas nur kebenaran dari Allah SWT.

Sesungguhnya, Allah Taala telah menyempurnakan agama Islam bagi umat manusia. Dengan demikian, umat Islam memiliki sandaran untuk meraih kebahagiaan dari kesempatan ini yang tidak memerlukan apa-apa lagi tambahan. Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Ma’idah yang bermaksud: "Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Aku redai Islam itu menjadi agama bagimu " .

Namun, apa yang masih mendukacitakan mutakhir ini ialah apabila terdapat di kalangan umat Islam yang masih selesa untuk melakukan perkara-perkara bid’ah. Antara perkara bid’ah yang masih dilakukan pada zaman moden ini ialah menolak dan memperlekehkan perintah dan arahan yang diturunkan oleh Allah. Sesetengahnya, masih mahu menerima ideologi, pemikiran dan budaya penjajah barat yang merosakkan dengan menolak sistem lengkap yang ada pada Islam. Islam menegaskan bahawa riba itu haram, aurat itu wajib, solat itu tiang agama, dan Islam itu ‘is a complete way of life’. Namun begitu, terdapat di kalangan umat Islam yang masih tidak menunaikan solat, berurusan dengan riba, tidak menutup aurat, gemar melakukan maksiat dan sebagainya. Kalau maksiat terus bermaharajalela dalam diri, bid’ah menjadi penghias diri, ini bererti seseorang belum menjadi seorang muslim yang hakiki.

Wednesday, January 23, 2008

Kewajipan Membantu Saudara Muslim Rohingya

Oleh: Mohd Sukki Othman

(Artikel ini telah disiarkan di majalah Milenia Muslim keluaran Januari 2008)


Ajaran Islam amat menekankan mengenai pentingnya konsep persaudaraan. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis nabi yang mengetengahkan isu persaudaraan ini. Namun, sebagai umat Islam, apakah kita prihatin terhadap apa-apa yang telah dibentangkan di dalam al-Quran dan hadis nabi saw? Tepuk dada, tanya iman!

Allah SWT telah menyatakan dengan jelas mengenai konsep persaudaraan ini melalui surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud: ’Sesungguhnya orang mukmin itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara saudara-saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat’. Manakala dalam hadis nabi saw pula, Rasulullah bersabda yang bermaksud: ’Perumpamaan orang mukmin dalam berkasih sayang, cinta mencintai, dan kasih mengasihi ibarat satu tubuh, iaitu apabila terdapat salah satu anggota badan yang sakit, maka seluruh tubuh turut berasa sakit dengan tidak boleh tidur dan demam’. (Hadis Riwayat Imam Muslim).

Justeru, apabila kita meneliti dan memahami isi kandungan al-Quran dan hadis serta ajaran murni yang terdapat di dalam Islam, maka sudah tentu kita akan terpanggil untuk mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Setiap muslim sama ada yang mewakili individu, organisasi mahu pun pemerintah hendaklah bertanya pada diri apakah sumbangan yang telah dilaksanakan setakat ini untuk membantu saudara seIslam lain yang menghadapi kesusahan dan keperitan hidup? Kalau pun ada sumbangan yang telah diberikan, maka apakah ia sudah mencukupi?

Persoalan seumpama ini ditimbulkan apabila melihat kepada kesengsaraan dan penderitaan yang terpaksa dilalui oleh saudara Islam Rohingya yang menjadi pelarian di bumi Malaysia. Kehidupan mereka yang amat daif kadang-kala tidak diberikan perhatian sewajarnya oleh masyarakat Islam kita yang hidup dalam serba kemewahan. Masyarakat Rohingya adalah juga saudara Islam kita, jadi menjadi kewajipan kita untuk membantu mereka sedaya yang mampu.

Golongan Muslim Rohingya bukan memilih untuk menjadi pelarian, tetapi mereka terpaksa berbuat demikian ekoran diskriminasi melampau yang dikenakan terhadap mereka di Myanmar. Lalu ada di antara mereka memilih Malaysia sebuah negara yang majoriti penduduknya adalah Muslim untuk dijadikan sebagai tempat berlindung dan mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan. Terdapat lebih kurang 10 atau 12 ribu orang pelarian Muslim Rohingya yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) di Malaysia. Namun, di negara ini, undang-undang yang ada di bawah Akta Imigresen 1959/1963 tidak menjelaskan secara khusus perbezaan di antara pelarian dan pendatang yang berhijrah bagi tujuan ekonomi.

Sehubungan dengan itu, ia menjadikan pelarian terperangkap dalam beberapa situasi seperti tidak mempunyai pekerjaan yang sah selain anak-anak mereka tidak diberikan akses kepada pendidikan. Begitu juga tiada kemudahan perubatan dan hospital sebagaimana yang dinikmati oleh warganegara. Tambah menyedihkan ialah terdapat sesetengah majikan mengeksploitasi kehidupan susah mereka dengan membayar gaji terlampau sedikit dan tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan. Natijahnya, terdapat di antara mereka yang terpaksa bekerja sebagai pengemis untuk mencari sesuap nasi di samping meningkatnya masalah sosial yang sudah tentu akan merugikan semua pihak.

Penderitaan Muslim di Myanmar bermula pada 1982 lagi apabila secara tiba-tiba Muslim Rohingya diisytiharkan pendatang asing di negara sendiri. Muslim Rohingya ditindas melalui undang-undang “Burma Citizenship Law of 1982” yang bersifat perkauman agama dan penuh diskriminasi yang diluluskan oleh pemerintah junta Burma pada tahun 1982, yang mengakibatkan golongan muslim Rohingya tidak diiktiraf sebagai warganegara, malah diisytiharkan sebagai ‘pendatang’ di tanahair mereka sendiri. Oleh yang demikian, hak mereka dinafikan, malahan ada yang ditangkap, dipukul dan pelbagai kekejaman lain yang dikenakan kepada mereka.

Sejak diluluskan ‘Burma Citizenship Law’ ini juga, anak-anak kaum Muslimin telah dinafikan hak pelajaran mereka. Undang-undang ini telah menyebabkan bukan sahaja mereka tidak dapat menyambung pelajaran, malah ada yang langsung tidak dapat belajar ekoran daripada tekanan ekonomi, penangkapan, penyeksaan dan sebagainya. Tambah menyedihkan ialah wanita Islam tidak dibenarkan memakai hijab dan ramai di antara mereka yang ditindas, didiskriminasi, dirogol dan sebagainya. Bukan itu sahaja, malahan masyarakat Islam di sana turut dinafikan hak dari segi perubatan samada di hospital mahupun di klinik-klinik dan mereka dipaksa membayar dengan harga yang terlampau tinggi untuk setiap kos rawatan yang ingin mereka dapatkan. Tambah memilukan ialah masyarakat Islam juga tidak dibenarkan menunaikan haji ataupun menyembelih korban semasa menyambut kedatangan Aidiladha, justeru mereka tidak dapat menjalani kehidupan sebagai seorang muslim yang bebas melaksanakan ajaran agamanya.

Situasi seumpama ini menyebabkan golongan muslim Rohingya terpaksa melakukan penghijrahan dengan menjadi pelarian ke negara-negara seperti Bangladesh, Pakistan, United Arab Emirates, Arab Saudi, Thailand dan Malaysia. Sebagai umat Islam yang ingin mengaplikasikan ’konsep persaudaraan Islam’, maka kita tidak boleh memandang masalah yang dihadapi oleh golongan muslim Rohingya ini dengan ’sebelah mata’. Sebalikmya menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk membantu mereka sedaya- upaya bagi merealisasikan konsep persauadaraan sesama muslim.

Hayatilah peristiwa hijrah nabi saw. Golongan Muhajirin yang berhijrah dari Makkah ke Madinah telah dibantu oleh golongan Ansar yang merupakan penduduk Madinah di atas semangat persaudaraan Islam. Walaupun tidak boleh disamakan konsep hijrah golongan Muhajirin dengan pelarian Muslim Rohingya kerana golongan Muhajirin berhijrah di atas perintah Allah dan Rasul untuk membina masyarakat dan negara Islam di Madinah, namun sekurang-kurangnya pengajaran daripada semangat persaudaraan yang ditonjolkan dalam peristiwa hijrah itu dapat dijadikan panduan oleh umat Islam untuk lebih bersikap prihatin terhadap mereka yang amat memerlukan bantuan.

Dr Said Ramadhan al-Buti dalam bukunya Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah telah menyatakan dengan jelas bahawa wajib bagi umat Islam untuk membantu umat Islam yang lain walaupun berbeza negeri dan negara sekiranya mampu berbuat demikian. Para ulama’ juga bersependapat bahawa berdosa besar bagi orang Islam yang berkemampuan yang tidak menghulurkan bantuan dan pertolongan kepada saudara Islam lain yang lemah dan dizalimi di mana sahaja mereka berada. Jelasnya, membantu dan menghulurkan pertolongan kepada saudara seIslam yang lain adalah sesuatu yang wajib tanpa mengira bangsa, keturunan dan warna kulit. Apatah lagi saudara muslim tersebut berada dalam kalangan masyarakat kita.

Sehubungan dengan itu, masyarakat Islam di negara ini hendaklah ’membuka mata’ dengan melihat penderitaan pelarian muslim Rohingya yang berada dalam masyarakat kita dengan berusaha sedaya-upaya untuk membantu mereka di atas semangat persaudaraan Islam sekaligus dapat mengurangkan masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat. Jangan hanya menuding jari dengan menyalahkan mereka apabila mereka ’terpaksa’ menjadi pengemis untuk mencari ’sesuap nasi’ , namun dalam masa yang sama kita tidak begitu prihatin terhadap kesusahan mereka.

Agensi kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) hendaklah memainkan peranan penting dalam usaha membantu mereka yang memerlukan. Sesuatu yang amat menyedihkan apabila pertubuhan bukan kerajaan yang non-muslim bertindak memperjuangkan isu golongan pelarian muslim ini, tetapi dalam masa yang sama NGO muslim berpeluk tubuh dan tidak begitu mengambil berat sedangkan golongan pelarian muslim Rohingya tersebut adalah saudara seIslam kita. Begitu juga dengan agensi zakat yang sepatutnya memainkan peranan yang lebih aktif untuk memberikan bantuan kepada umat Islam yang memerlukan bantuan tanpa mengira status mereka. Janganlah ketika mengagihkan zakat dirujuk pada kewarganegaraan atau ’kewarganegerian’, sedangkan apabila mengutip hasil zakat, maka ia diambil daripada semua tanpa mengira status tersebut!

Sunday, January 20, 2008

Bahasa Terbaik

Oleh: Mohd Sukki Othman

Terdapat pelbagai bahasa di seluruh dunia. Akan tetapi bahasa apakah yang dianggap bahasa terbaik yang mempunyai ciri-ciri keistimewaannya yang tersendiri yang tidak terdapat pada bahasa-bahasa lain ?.

Bahasa yang terbaik ialah bahasa Arab (Mazin Mubarak 1981 : 118). Ibnu Faris telah menyatakan dalam Fiqh al-Lughah dengan katanya : « Bahasa Arab merupakan bahasa yang paling baik dan paling luas ». (al-Suyuti : 1/321).

Dalam al-Quran telah dinyatakan :

"وإنه لتنـزيل رب العالمين، نزل به الروح الأمين على قلبك لتكون من المنذرين بلسان عربي مبين"

Maksudnya: “Dan sesungguhnya al-Quran benar-benar diturunkan oleh Allah tuhan semesta alam. Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang yang memberi peringatn, dengan bahasa Arab yang jelas”. (Surah al-Syu’ara’ 192-195).

Dalam ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa Allah menegaskan bahawa bahasa Arab merupakan bahasa ‘al-bayan’ yang jelas. Firman Allah:

"خلق الإنسان، علمه البيان"
Maksudnya: “Dia (Allah) menciptakan manusia, mengajarnya pandai berbicara”. (al-Rahman 3-4).

Apabila Allah mengkategorikan bahasa Arab sebagai ‘al-bayan’, sekaligus menggambarkan bahawa bahasa Arab merupakan bahasa istimewa yang tidak terdapat pada bahasa-bahasa lain.

Pengenalan Bahasa Arab

Bahasa Arab ialah bahasa yang dipertuturkan oleh orang Arab. Perkataan ‘Arab’ berasal dari bahasa hebrew yang diambil daripada perkataan ‘Arbaha’ atau ‘Erbaha’ yang bererti tanah tandus. Ada juga yang menyebut ‘Abhar’ yang bererti berpindah kerana orang Arab suka berpindah dari satu tempat ke satu tempat untuk mencari air dan kawasan subur. (Mohd Sukki Othman & Wan Muhammad 1999 : 12 ).

Bangsa Arab berasal dari bangsa ‘Samitit’ yang mengambil nama sempena nama asal putera nabi Nuh iaitu Sam Bin Nuh. Arab yang masih kekal dapat dibahagikan kepada dua:

(a) Arab Qahtan: Keturunan nabi Nuh yang tinggal di Semenanjung Tanah Arab. Daripada suku ini terdapat kerajaan-kerajaan Hirah, Ghassan dan Kindah.

(b) Arab ‘Adnan: Dikenali juga sebagai ‘Arab celup’ (campuran) yang tinggal di Hijaz dan Mekah. Mereka berasal daripada keturunan nabi Ismail dan nabi Ibrahim. (Ahmad Hashim 1989: 10-11).

Al-Quran yang merupakan mu’jizat yang kekal hingga hari Kiamat diturunkan kepada nabi Muhammad saw juga menggunakan bahasa Arab.

Bahasa Arab sekiranya dibandingkan dengan bahasa yang lain adalah merupakan bahasa fleksi yang struktur sintaksisnya berdasarkan kepada imbuhan awalan, akhiran dan perubahan dalaman bagi perkataan. (Ishak Mohd Rejab 1996: 148). Bahasa Melayu pula adalah merupakan bahasa Aglutinatif iaitu bahasa yang struktur sintaksisnya berdasarakan berdasarkan kepada imbuhan awalan dan akhiran sahaja. Manakala bahasa Cina, ia merupakan bahasa isolatif iaitu bahasa yang struktur sintaksisnya berdasarkan ayat tertentu dan hanya menggunakan morfem bebas. (Ishak Mohd Rejab 1996: 148-149).

Hubungan al-Quran dengan Bahasa Arab

Sebagaimana yang diketahui bahawa al-Quran telah diturunkan dalam bahasa Arab. Oleh itu, bahasa Arab telah menjadi bahan kajian yang meluas dan diberi perhatian oleh para ulama’ demi menafsirkan al-Quran. Abu Hatim al-Razi berkata: “Sesungguhnya syair dan puisi itu akan lenyap sekiranya manusia tidak berhajat untuk mengetahui dan mendalami bahasa Arab, akan tetapi apabila manusia berpandukan syair untuk mengetahui makna-makna yang terdapat dalam al-Quran dan hadis nabi, maka syair dan puisi Arab terus mendapat tempat”. (Ramadan Abdul Tawwab 1994 : 111).

Justeru, dapat disaksikan dengan jelas bahawa pembelajaran dan pengkajian al-Quran telah menyebabkan syair-syair Arab telah diambil perhatian. Ilmu Nahu menjadi penting apabila seseorang hendak membaca al-Quran. Telah diriwayatkan bahawa Abu Aswad al-Du’ali merupakan orang pertama mengasaskan ilmu Nahu setelah beliau mendengar kesilapan yang telah dilakukan ketika dibaca ayat-ayat suci al-Quran.

Manakala pembelajaran ilmu uslub (gaya bahasa) Arab telah dimulakan apabila uslub-uslub al-Quran mula dikaji. Pembelajaran ini terkandung dalam ilmu al-Balaghah yang membicarakan tentang ilmu Bayan, Ma’ani dan Badi’. Ilmu Balaghah itu sendiri memberi maksud: “Penampilan makna yang menarik melalui ungkapan yang tepat di samping memberi kesan yang mendalam serta bersesuaian dengan makna. (Ishak Mohd Rejab 1996 : 58).

Kesimpulannya ialah al-Quran telah menjadi titik tolak kepada pembelajaran dan perkembangan bahasa Arab. Sekiranya tanpa al-Quran, nescaya bahasa Arab akan pupus ditelan dek zaman sebagaimana yang berlaku kepada bahasa Sanskrit dan sebagainya. Oleh itu, jelaslah bahawa al-Quran mempunyai hubungan yang kuat dengan bahasa Arab dan ianya telah memberi nafas kepada bahasa Arab untuk terus berada di puncak dan menjadi bahasa yang terbaik di atas muka bumi ini.

Ciri-Ciri Bahasa Arab

Terdapat banyak sekali ciri-ciri dan keistimewaan bahasa Arab yang tidak terdapat pada bahasa lain. Antaranya adalah seperti yang berikut :- (Sila lihat al-Muzhir : 327-339, al-Nusus al-Lughawiyyah : 118-154, al-Lughah al-‘Arabiyyah, Maharat Asasiyyah fi al-Lughah wa al-Adab : 21-25).

1. Fonologi

Huruf-huruf bahasa Arab begitu unik. Sebahagian daripadanya keluar daripada kerongkong, ada yang keluar daripada dua bibir, dan ada pula yang keluar antara kerongkong dan bibir. Dengan itu, terdapat keseimbangan dalam menuturkan perkataan-perkataan Arab.

2. I’rab (fleksi)

I’rab atau fleksi adalah merupakan perubahan keadaan pada akhir perkataan disebabkan oleh faktor-faktor tertentu. Fleksi dapat membezakan kedudukan makna dalam sesuatu ayat. Fleksi juga dapat membezakan di antara bahasa fasahah dan bahasa dialek. Oleh itu, telah disebut bahawa “Fleksi adalah cabang kepada makna”.

3. al-Isti’arah

Ia merupakan penggunaan sesuatu perkataan yang tidak mengikut pengertian asal kerana ada hubungan persamaan serta ada petanda yang menghalang daripada menggunakan pengertian asal.

4. al-Takrir wa al-I’adah

Ia merupakan kata yang diulang kerana ingin menguatkan amaran atau menambahkan peringatan.

5. al-Ishtiqaq (derivasi)

Ia membentuk perkataan daripada perkataan lain mengikut kaedah morfologi. Derivasi merupakan suatu perkara yang penting dalam perkembangan bahasa Arab.

6. Ta’rib

Ia adalah merupakan perkataan daripada bahasa lain yang masuk ke dalam bahasa Arab. Contohnya ialah perkataan ‘firdaus’ yang telah dita’ribkan daripada perkataan ‘baradaris’. Kemasukan perkataan ini ke dalam bahasa Arab telah diseimbangkan dengan ‘wazan’ (acuan) bahasa Arab agar ia menjadi cocok. Terdapat banyak perkataan yang telah dita’ribkan terutama setelah Islam menerima penganut dari pelbagai bangsa dan bahasa.

7. Isytirak (polisem)

Ia merupakan perkataan yang mempunyai lebih daripada satu makna iaitu perkataan yang sama bentuknya tetapi membawa makna yang berlainan di antara satu sama lain.

8. al-Taraduf (sinonim)

Ia merupakan perkataan yang mempunyai persamaan pada makna, iaitu sesuatu yang mempunyai nama yang pelbagai tetapi merujuk kepada benda yang sama. Contohnya ialah nama bagi perkataan pedang ialah ‘saif’, ‘muhannad’, ‘husam’, dan sebagainya.

9. al-Tadad

Ia meruapakan suatu perkataan yang memberi dua pengertian yang berlawanan. Contohnya ialah perkataan ‘al-jun’ memberi erti hitam dan putih, begitu juga perkataan ‘zauj’ adalah ditujukan kepada kedua-dua pasangan sama ada suami atau isteri.

Sebenarnya, banyak lagi ciri-ciri bahasa Arab yang tidak sempat dibincangkan di sini, namun untuk pengetahuan yang lebih mendalam, kita boleh merujuk kitab-kitab yang membincangkannya dengan terperinci. Ciri-ciri yang terdapat dalam bahasa Arab kebanyakannya tidak terdapat dalam bahasa yang lain, sekaligus menunjukkan keistimewaannya yang tersendiri

Sunday, January 13, 2008

Bolehkah Berpuasa Pada 1 Muharam?

Persoalan yang telah diajukan kepada saya ... bolehkah berpuasa pada 1 muharam? Kerana ada yang menyatakan bahawa yang sunat puasa hanya pada 9 & 10 Muharam bukan pada 1 Muharam. Sebenarnya bulan Muharam adalah termasuk dalam bulan 'haram' yang disunatkan berpuasa. (sila rujuk artikel sebelum ini tentang menghayati sambutan muharam). Apatah lagi 1 Muharam baru-baru ini jatuh pada hari Khamis yang sememangnya disunatkan berpuasa. wallahu'alam.

Apakah Doa Akhir & Awal Tahun itu Bid’ah?

Sememangnya kita ketahui bahwa doa akhir dan awal tahun tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah saw kerana pada zaman Rasulullah tahun Hijrah belum lagi wujud. Tahun Hijrah telah diasaskan oleh Saidina Umar al-Khattab pada tahun 17 Hijrah. Justeru, mana mungkin Rasulullah membaca doa akhir dan awal tahun. Akan tetapi sesuatu yang perlu difahami bahawa bukan semua amalan yang nabi tak buat kita tak boleh buat (seperti yang telah saya bincangkan dalam isu bid’ah dalam siri yang sebelum ini).
Ini kerana doa merupakan amalan yang digalakkan tanpa dikhususkan atau dikaitkan dengan waktu tertentu. Contohnya...nabi tidak menghadkan doa hanya boleh dibaca pada hari-hari tertentu sahaja...manakala pada hari yang lain tidak dibenarkan. Sedangkan...Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: ”berdoalah kamu kepadaKu, nescaya Aku pekenankannya”. Dalam hadis juga disebut bahawa doa itu asas ibadah (hadis riwayat al-Tirmidhi dan disahihkan oleh Albani). Oleh itu apa salahnya kalau memulakan tahun baru dengan berdoa kepada Allah?
Cuma yang perlu diberi kefahaman ialah jangan menyandarkan perbuatan ini kepada Rasulullah dan jangan meriwayatkan hadis palsu berkenaan doa awal tahun iaitu: Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata "Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun" .
Kesimpulannya ialah doa boleh diamalkan pada bila-bila masa sama ada pada awal tahun, pertengahan tahun mahu pun hujung tahun. Jadi, doa awal dan akhir tahun tidak termasuk dalam perkara bid'ah yang menyebabkan pembacanya masuk neraka! Cuma apa yang perlu diperbetulkan dan diberi kefahaman ialah jangan menyandarkan perbuatan tersebut pada nabi dan jangan mewar-warkan hadis palsu yang berkaitan dengan fadhilat doa tersebut. Wallahu’alam.

Wednesday, January 9, 2008

Menghayati Muharram 1429 Hijrah

Oleh
Mohd Sukki Bin Othman

Sambutan Tahun Baru Masihi baharu sahaja berlalu, kini tiba pula bulan Muharram yang merupakan bulan pertama dalam kalendar Islam yang akan disambut pada esok hari bersamaan 10 Januari 2008. Sambutan tahun baru Masihi yang baharu sahaja berlalu disambut dengan begitu meriah, percikan bunga api yang berwarna- warni dan gegak gempita dengan pelbagai program yang diadakan sempena ‘countdown 2008’. Konsert hiburan diadakan di pelbagai tempat di seluruh Negara. Stesen-stesen televisyen pun tidak melepaskan peluang menyemarakkan semangat masyarakat Malaysia untuk sama-sama menyambut kedatangan tahun baru masihi itu dengan tayangan filem-filem kesukaan ramai termasuk filem ‘box-office’ untuk santapan mata penonton. Masyarakat Malaysia kini seolahnya tidak akan dapat menyambut tahun baru sekiranya tidak ada konsert dan hiburan!

Itulah suasana sambutan tahun baru masihi yang lalu. Bagaimana pula dengan Muharram ? Adakah ianya datang dalam keadaan disedari ketibaannya, atau pun masing-masing seolah tidak tahu kewujudannya. Kadang-kala kedatangannya hanya disedari dengan adanya cuti umum pada hari tersebut. Umat Islam seolahnya semakin terpinggir daripada bulan-bulan Islam ini hinggakan ada yang tidak tahu langsung haribulan hijrah berbanding dengan masihi. Siapa yang patut dipersalahkan dalam hal ini?

Adakah wajar menuding jari kepada media massa semata-mata, kerana seolahnya mereka lebih mengutamakan dan membudayakan sambutan tahun baru masihi berbanding dengan sambutan tahun baru hijrah? Atau sikap individu yang kurang prihatin terhadap apa jua yang bersangkutan dengan Islam? Apa pun persepsi yang ada, umat Islam sewajarnya menghayati bulan muharram selaku bulan pertama dalam kalendar hijrah.

Sambutan muharram sepatutnya disambut dengan meriah dan gilang gemilang bersesuaian dengan majoriti penduduk malaysia yang beragama Islam. Bahkan sepatutnya, sambutan tahun baru islam ini lebih rancak dan hebat daripada sambutan tahun masihi. Namun, ini bukan bermakna bahawa perlu mengadakan ‘party muharram’, konsert rock, dangdut, pesta bunga api dan seumpamanya dalam memeriahkan sambutan bulan muharram. Sebaliknya, sambutan yang dilaksanakan mestilah bertepatan dengan kehendak Islam serta bebas daripada unsur-unsur jahiliyyah dan pengaruh budaya barat yang tidak bersesuaian dengan kehendak agama.

Amalan yang biasa dilakukan sempena menyambut bulan muharram ialah bacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun. Walaupun terdapat perbincangan dan kekhilafan tentang bacaan doa ini, namun selagi ia merupakan doa yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah, maka ianya baik untuk umat islam. Cuma, janganlah menyandarkan amalan ini kepada Rasulullah saw. Namun, apakah hanya sekadar berdoa sahaja yang perlu dilakukan untuk mengiringi kedatangan Muharram?. Apakah kelebihan yang terdapat dalam bulan Muharram?

Bulan Muharram merupakan salah satu dari bulan-bulan 'Haram' di dalam Islam. Firmah Allah s.w.t. di dalam Surah al-Taubah ayat 9 bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul dan lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa."

Menurut Tafsir al-Jalalain, yang dimaksudkan dengan "diantaranya empat bulan yang di hormati" ialah: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Allah swt telah mengurniakan kepada manusia empat bulan haram. Umat Islam diharamkan pergi berperang dalam bulan-bulan ini, kecualilah jika mereka diperangi.

Manakala hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Bakrah pula bermaksud : '… (Satu) tahun itu ada dua belas bulan, di antaranya ada empat bulan yang dihormati , tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijah, dan Muharram, satu lagi Rejab berada antara bulan Jamadilakhir dan Syaaban' .

Antara kemulian bulan-bulan haram ini ialah disunatkan berpuasa. Daripada Abu Hurairah dalam hadis marfu' telah berkata : Nabi ditanya : Apakah solat yang lebih afdhal selepas solat fardhu? dan apakah puasa yang lebih afdhal selepas bulan Ramadhan?. Maka jawab nabi s.a.w. : Sebaik-baik solat selepas solat yang telah difardhukan ialah solat pada pertengahan malam dan sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan adalah puasa pada bulan-bulan Allah al-Muharram (bulan-bulan haram).
- Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim, Abu Daud, al-Tirmidhi, al-Nasai'e dan Ibnu Majah.

Di samping itu, disunatkan juga kepada umat Islam untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Ini kerana tarikh 10 Muharram (atau dinamakan hari ‘asyura yang bermaksud sepuluh) mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri. Manakala disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharram sebagai mukhalafah (membezakan) di antara kaum Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami padaNya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kami lebih berhak daripada kamu terhadap Nabi Musa dalam hal ini. Kemudian baginda memerintahkan para Sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut. – Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Tirmidhi.

Dalam hadis yang lain, Ibnu Abbas berkata : Apabila Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan para sahabat berpuasa padanya, mereka berkata : Wahai Rasulullah, ini ialah hari yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani. Maka Rasulullah s.a.w. berkata, “Pada tahun hadapan – Insya Allah- kita berpuasa pada hari kesembilan.” Maka tidak tibanya tahun hadapan itu sehingga wafatlah Rasulullah s.a.w.. – Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud.

Mungkin timbul persoalan, mengapakah Nabi s.a.w mencontohi kaum Yahudi berpuasa pada 10 Muharram padahal baginda sendiri melarangnya di dalam sabdanya yang bermaksud: '… Berbezalah kamu dengan Yahudi serta Nasrani… berbezalah dengan Musyrikin'.?

Sebenarnya amalan berpuasa pada hari asyura' (10 Muharram) telah dilaksanakan oleh Rasulullah sebelum baginda berhijrah ke Madinah lagi. Ini berdasarkan hadis yang dinyatakan oleh Saidatina Aisyah yang bermaksud: 'Sesungguhnya hari ‘asyura merupakan hari yang berpuasa padanya kaum Quraisy di zaman Jahiliyyah. Rasulullah s.a.w. juga berpuasa padanya. Apabila baginda memasuki Madinah, baginda terus berpuasa dan memerintahkan manusia berpuasa. Apabila diwajibkan puasa Ramadhan, baginda bersabda, “Sesiapa yang ingin berpuasa, teruskan, Sesiapa yang ingin meninggalkan (juga dibolehkan)'. – Muttafaq ‘Alaih

Di samping melaksanakan ibadah puasa sunat ini, sesuatu yang sewajarnya dijadikan pengiktibaran pada peristiwa yang berlaku pada 10 Muharram ialah Allah menenggelamkan Firaun ke dalam laut akibat keengkaran dan keangkuhannya. Firman Allah s.w.t dalam Surah Yunus, ayat 90 bermaksud : Dan Kami bawakan Bani Israel ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan aku adalah dari orang yang berserah diri (menurut perintah)".

Bagaimana pula dengan program membuat bubur asyura yang sering diadakan oleh masyarakat Melayu? Perlulah dijelaskan bahawa program membuat bubur tersebut tidak lebih dari program gotong-royong dan jamuan makan yang sememangnya digalakkan di dalam Islam. Sebaliknya menjadi suatu kesalahan sekiranya menganggap bahawa membuat bubur tersebut adalah sebagai suatu sunnah daripada nabi. Begitu juga dakwaan yang menyatakan bahawa Nabi Nuh a.s. membuat bubur tersebut apabila turun dari kapal. Ia adalah satu dakwaan yang tidak bersandarkan kepada hujah yang jelas daripada agama.

Di samping melaksanakan ibadah puasa sunat pada bulan Muharram, sesuatu yang amat penting untuk diingati dan dihayati ialah peristiwa hijrah nabi s.a.w. Justeru, tidak hairanlah apabila Khalifah Umar al-Khattab menetapkan peristiwa hijrahnya Nabi Muhammad s.a.w. dengan sahabat-sahabatnya dari kota Mekah ke Madinah sejauh kira-kira 450 km itu sebagai tahun pertama dalam Islam yang dinamakan dengan tahun Hijrah.

Penggunaan Takwim Hijrah yang digunakan pada masa sekarang telah bermula pada tahun ke 17 Hijrah, iaitu pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Penetapan permulaan tarikh bagi Takwim Hijriyah ini, diambil sempena peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w. yang bermula pada tanggal 2 Rabiulawal bersamaan 14 September 622 Masihi. Baginda sampai di Quba' pada tanggal 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622 Masihi pada hari Isnin. Jika dihitungkan kembali, maka 1 Muharram bagi tahun pertama Hijrah jatuh pada 16 Julai 622 Masihi iaitu pada hari Jumaat berdasarkan kiraan rukyah.

Peristiwa hijrah perlu dikenang oleh umat Islam setiap tahun apatah lagi ketika menyambut sambutan awal Muharram, untuk menjadi pengajaran dan peringatan tentang pengorbanan Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya menegakkan Islam. Mudah-mudahan dengan kenangan itu dapat menimbulkan kesedaran di kalangan umat Islam bahawa kemuliaan Islam dan kewujudan negara Islam bukanlah diperoleh dengan mudah. Sebaliknya ia perlu melalui perjuangan yang gigih dan pengorbanan yang tinggi.

Sesungguhnya sifat pengorbanan yang dimiliki dan diperlihatkan oleh Rasulullah s.a.w. dan umat Islam pada zaman baginda merupakan bukti kesungguhan dan kecintaan mereka yang mendalam terhadap akidah Islam dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi terhadap perintah Allah s.w.t. Sifat seperti inilah yang sepatutnya ada dan diikuti oleh generasi umat Islam hari ini.

Oleh yang demikian, apakah yang harus dilakukan oleh umat Islam ketika menyambut tahun baru hijrah ini? Adakah sudah memadai ia disambut dengan hanya mengirimkan ucapan selamat tahun baru, melalui sms atau email?

Sambutan awal Muharram dan tahun baru hijrah ini hendaklah diikuti dengan usaha melakukan perubahan pada diri dan masyarakat agar penyelewengan akidah dan keruntuhan akhlak dapat diperbetulkan dan Islam sebagai agama yang mulia dan tinggi dapat didaulatkan dan diletakkan di tempat yang sewajarnya. Sehubungan dengan itu, sambutan Tahun Baru Hijrah tahun ini hendaklah disambut dengan lebih meriah dan bermakna, agar kecemerlangan dan kegemilangan Islam dapat dihayati dan dikembalikan kepada umat zaman ini.

Monday, January 7, 2008

Sunat Meletakkan Sutrah (Penghalang) Di Hadapan Ketika Solat

Oleh
Mohd Sukki Othman
(Artikel ini telah disiarkan di majalah Milenia Muslim keluaran Januari 2008)

Sutrah ialah sesuatu yang diletakkan di hadapan ketika menunaikan solat. Ia boleh dianggap penghadang atau penghalang bagi memisahkan di antara orang yang menunaikan solat dengan orang yang melalui di hadapan orang yang sedang solat. Tidak ada ketetapan bahan tertentu untuk dijadikan sutrah. Oleh itu, sekiranya terdapat tongkat, kayu, beg atau apa sahaja, ia hendaklah diletakkan dihadapan sedikit daripada tempat sujud. Sekiranya tiada bahan boleh digunakan, maka bolehlah dibuat garisan terutamanya apabila berada di tempat yang lapang seperti di padang bola atau di padang pasir.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad telah dinyatakan bahawa Rasulullah saw menganjurkan kepada setiap individu yang menunaikan solat agar meletakkan sutrah walaupun dengan anak panah atau tongkat. Sekiranya tidak ada bahan untuk dijadikan sutrah, maka hendaklah dibuat satu garisan.

Di samping itu, diharuskan juga menjadikan tiang-tiang masjid sebagai sutrah ketika menunaikan solat secara bersendirian. Hukum meletakkan sutrah ini adalah sunat dan ia bertujuan untuk meningkatkan khusyuk dalam solat dengan tidak diganggu oleh orang yang melintas di hadapan.

Diriwayatkan daripada Sayyidina Sahal r.a bahawa Nabi Muhammad saw bersabda, “Jika salah seorang di antara kamu melakukan solat menghadap ke sutrah (tabir atau penghalang), maka hendaklah mendekatinya....”. Difahami daripada hadis ini bahwa sutrah hendaklah diletakkan tidak terlalu jauh daripada tempat sujud orang yang menunaikan solat.

Diriwayatkan daripada Nafi’ bahawa setiap kali ‘Abdullah bin ‘Umar r.a memasuki Ka’bah, beliau akan terus berjalan sehinggalah jarak antaranya dan dinding yang ada di hadapannya itu lebih kurang tiga hasta, lalu ia melakukan solat. Oleh yang demikian, ia menunjukkan kepada kita bahawa sutrah yang diletakkan di hadapan ketika solat tidaklah jauh dari tempat sujud.

Menggunakan Sutrah Tidak Wajib, Tetapi Sunat

Diriwayatkan daripada Sayyidina ‘Abdullah bin ‘Abbas r.a bahawa beliau berkata: “Aku menerima tetamu yang menaiki keldai betina. Ketika itu aku sudah meningkat dewasa. Pada ketika itu juga, Rasulullah saw sedang menunaikan solat di Mina menghadap ke tempat yang tidak berdinding (tiada sutrah). Aku melintas di hadapan sebahagian saf (barisan solat). Lalu aku turun dan melepaskan keldai betina untuk merumput, lalu aku pun masuk ke dalam saf. Tidak seorang pun yang menentang perbuatanku itu.”

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam bukunya Fath al-Bari memberikan penjelasannya seperti berikut, “Kata-kata dalam hadis tersebut yang bermaksud menghadap ke tempat tak berdinding, menunjukkan bahawa Rasulullah pernah menghadap ke tempat yang tanpa sutrah. Ibn ‘Abbas telah menyebutkan sedemikian adalah untuk membuktikan bahawa melintas di hadapan orang yang sedang solat tidak membatalkan solatnya. Perkara ini dikuatkan oleh riwayat al-Bazzar yang bermaksud: “Dan Nabi Muhammad saw melakukan solat dengan tidak menghadap kepada sesuatu yang menutupinya (sutrah)”

Berdasarkan hadis-hadis sahih tersebut, jelaslah bahawa menggunakan sutrah (penghalang) itu tidaklah wajib. Namun, penggunaan sutrah dianggap sunat kerana Rasulullah pernah melakukannya. Jika seseorang yang melakukan solat meletakkan sutrah di hadapannya, maka sesiapa pun boleh melintas di hadapan sutrah tersebut. Akan tetapi, sekiranya seseorang itu melintas di hadapan orang solat (di kawasan tempat sujud iaitu di antara orang yang sedang menunaikan solat dengan sutrah), maka perbuatan melintas tersebut adalah haram.

Ini berdasarkan hadis nabi saw yang bermaksud: “Sekiranya orang yang melintas di hadapan orang yang sedang solat itu mengetahui mudarat dan dosa yang akan menimpanya (akibat perbuatan melintas tersebut), maka sudah tentu dia akan berhenti menunggu (tidak melintasnya hingga solat selesai) selama empat puluh hari lebih baik baginya daripadapada melintas di hadapan orang yang sedang melakukan solat tersebut.” Dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Jika salah seorang di antara kamu melakukan solat, maka ia tidak boleh membiarkan seseorang melintas di hadapannya, dan hendaklah ia menghalangnya. Jika orang tersebut tidak mahu berhenti bahkan hendak melintas juga, maka hendaklah ‘membunuhnya’ kerana sesungguhnya orang itu adalah syaitan.”

Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitab Fath al-Bari telah menjelaskan bahawa maksud sebenar daripada frasa ‘jika orang tersebut tidak mahu berhenti bahkan hendak melintas juga, maka hendaklah membunuhnya’, membawa maksud menghalang orang yang hendak melintas di hadapan ketika kita sedang solat dengan agak keras daripada halangan yang pertama. Ia bukanlah bermaksud ‘membunuh’ dalam erti kata yang sebenarnya. al-Qurtubi ketika mengulas hadis ini telah menyatakan bahawa para ulama bersepakat menyatakan bahawa tidak perlu membunuh dengan senjata. Jika yang dimaksudkan adalah membunuh dengan senjata, maka perkara itu sudah tentu bertentangan dengan kaedah yang menghendaki pelaksanaan solat dengan penuh fokus dan khusyuk.

Manakala Imam al-Syafi’e pula berpendapat bahawa orang yang sedang menunaikan solat tidak boleh berjalan dari tempatnya untuk menghalang orang yang melintas di hadapannya. Demikian pula ia tidak boleh menghalang orang tersebut dengan bergerak yang berlebihan, kerana perbuatan seperti itu boleh mengganggu solat.

Sehubungan dengan itu, hendaklah kita sentiasa berwaspada agar tidak dengan sewenang-wenangnya melintasi di hadapan orang yang sedang menunaikan solat. Sesiapa juga yang melintas di hadapan orang yang sedang solat hanya akan mengganggu kekhusyukan solat. Jika seseorang yang sedang menunaikan solat itu disibukkan dengan para pelintas di hadapannya, dikhuatiri akan memutuskan zikir (rasa ingat kepada Allah) dan tidak dapat menumpukan dengan penuh khusyuk terhadap solat yang ditunaikan, walaupun solat tersebut tidak dianggap batal

Sekiranya orang yang sedang mendirikan solat itu tidak meletakkan penghalang (sutrah), maka orang lain hanya boleh melintas di hadapannya sejarak tiga hasta. Mereka diharamkan melintasi tempat yang digunakannya untuk bersujud. Dalilnya ialah hadis riwayat Imam Bukhari yang menjelaskan bahawa Abdullah Bin Umar menunaikan solat dalam keadaan jarak dirinya dengan dinding adalah sejauh tiga hasta, kerana mengikut cara yang telah dilakukan oleh Rasulullah saw.

Friday, January 4, 2008

Isu Bid'ah

Kebelakangan ini banyak sangat kekeliruan yang timbul mengenai persoalan bid'ah. Mudah sangat seseorang itu menghukumkan sesuatu itu bid'ah tanpa meneliti terlebih dahulu perkara yang dibid'ahkan tersebut sama ada ia benar-benar bid'ah atau tidak. Melemparkan tuduhan bid'ah merupakan sesuatu yang besar kerana nabi saw telah menyatakan bahawa bid'ah itu merupakan perkara yang sesat, dan sesat itu tempatnya di neraka.
Tambah menyedihkan apabila seseorang itu berlagak hebat seolahnya dia memahami segala apa yang berkaitan dengan hadis nabi dan hukum syara' lalu sewenang-wenangnya melontarkan tuduhan bid'ah dengan alasan yang mudah bahawa sesuatu perkara yang dibid'ahkan itu merupakan perkara yang bukan daripada amalan nabi saw, sedangkan dia sendiri tidak 'faqih' dalam perkara agama. Benarlah apa yang disabdakan oleh nabi saw yang bermaksud: "Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, maka akan difahamkannya (Faqih) dalam urusan agama".
Baru-baru ini ada yang memberitahu saya bahawa apabila beliau menyuarakan kepada rakannya untuk membaca surah Yasin ketika hendak berpindah rumah, maka rakannya itu terus menegah perbuatan membaca Yasin tersebut dengan alasan nabi tidak pernah melakukan sedemikian, dan ia merupakan perkara bid'ah! Persoalannya, benarkah membaca Yasin ketika mendiami rumah baru itu satu perbuatan bid'ah yang sesat yang akan menghumbankan pembacanya itu ke dalam neraka??
Sebenarnya, perlu difahami dengan jelas apakah itu bid'ah. Bid'ah menurut istilah syara' ialah sesuatu perbuatan, perkataan atau pegangan yang tidak mendapat keizinan syara' sama ada daripada al-Qur'an, Sunnah, Ijma' dan Qiyas dan tidak termasuk dalam kaedah dan dasar umum bagi Islam (iaitu yang bercanggah dengan dasar ajaran Islam). Oleh itu, apabila berlaku sesuatu perkara atau amalan, hendaklah dilihat sama ada amalan tersebut ada dalam al-Qur'an, Sunnah, Ijma' atau Qiyas. Sekiranya tidak ada, maka hendaklah dilihat pula sama ada amalan tersebut menepati kaedah umum ajaran Islam atau tidak. Sekiranya amalan tersebut termasuk dalam kaedah umum Islam, maka ia tidak dinamakan bid'ah...tetapi kalau sebaliknya iaitu amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam, barulah dianggap bid'ah.
Apakah setiap amalan atau ibadah yang tidak dilakukan oleh nabi terus dianggap bid'ah? Sesuatu yang perlu difahami juga dalam persoalan bid'ah ini ialah ibadah yang dilakukan oleh nabi saw boleh dibahagikan kepada dua iaitu:
1. amalan nabi yang dikaitkan (dikhususkan) dengan masa, tempat, bilangan tertentu dan sebagainya seperti bilangan rakaat solat, waktu solat , hari yang diwajibkan berpuasa, cara ibadah haji dan sebagainya. Amalan seumpama ini hendaklah dilaksanakan tanpa menambah atau mengurang kadar yang telah ditetapkan. Sekiranya sengaja menambah bilangan rakaat solat maghrib umpamanya daripada 3 rakaat kepada 4 rakaat, maka inilah amalan yang dikatakan sebagai bid'ah.
2. amalan nabi atau apa yang datang daripada nabi dalam bentuk suruhan, galakan, wasiat dan sebagainya yang tidak dikaitkan (dikhususkan) dengan waktu-waktu tertentu untuk melakukannya dan tidak pula ada larangan nabi terhadap waktu-waktu tertentu untuk melakukannya, maka dengan itu umat Islam bebas untuk memilih waktu yang disukai olehnya untuk melaksanakan amalan tersebut dengan syarat tidak menyandarkan kepada nabi dengan mengatakan bahawa nabi menyuruh melakukan amalan tersebut pada waktu yang telah dibuat itu. Bahkan amalan itu boleh dilakukan berasaskan bahawa ia merupakan sesuatu yang termasuk dalam dasar ajaran Islam. Oleh itu, tidak ada salahnya membaca al-Quran ketika berpindah ke rumah baru kerana nabi tidak pernah menetapkan atau mengkhususkan waktu-waktu tertentu sahaja untuk membaca al-Quran, bahkan bacaan al-Quran memang digalakkan pada setiap masa dan ketika tanpa terikat dengan waktu. Allah telah menyatakan dalam surah al-Ra'd ayat 28 bermaksud: 'Bukankah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang...". Wallahu'alam.

Thursday, January 3, 2008

Seminar di Amman, Jordan

Baru-baru ini saya menghadiri serta membentangkan kertas kerja di seminar antarabangsa 'al-Multaqa al-Dawli al-Thani Li al-Tarjamah' yang diadakan di Hotel Le'Royal, Amman, Jordan. Seminar ini dianjurkan oleh beberapa badan antarabangsa termasuk yang utamanya ialah Arab Thought Foundation. Pada seminar tersebut, saya telah membentangkan kertas kerja mengenai sumbangan penterjemahan dari Bahasa Arab ke bahasa Melayu ke Arah Perkembangan Tamadun Islam di Nusantara. Seminar ini dijalankan dengan penuh 'gah' dengan kehadiran peserta dan pembentang dari seluruh pelusuk dunia iaitu dari Negara-Negara Arab, Eropah, Amerika Selatan dan Asia. Namun sesuatu yang amat mengecewakan ialah walaupun penganjurnya merupakan pertubuhan Arab Islam yang dinaungi oleh 'orang besar' dari Arab Saudi, tetapi mereka nampaknya amat tidak menitik-beratkan soal pokok di dalam Islam iaitu solat. Program seminar telah dijalankan bertepatan dengan waktu solat Jumaat. Mungkin ada yang berkata bahawa orang musafir boleh menjamakkan solat. Akan tetapi, bukan semua peserta terdiri daripada orang yang bermusafir. Bagaimana pula dengan penduduk tempatan yang menghadiri program tersebut? Atau sekurang-kurangnya hormatlah waktu solat Jumaat tersebut! Tambah menyedihkan ialah penganjur Arab Islam ini tidak menyediakan tempat untuk menunaikan solat secara berjamaah dan langsung tidak ada dalam tentatif program waktu solat!. Jadi, terpaksalah masing-masing naik ke bilik hotel untuk menunaikan solat . Bila dilihat situasi sebegini sedarlah kita betapa pemimpin-pemimpin Arab yang menerajui pertubuhan yang begitu hebat sudah lupa kepada nilai-nilai Islam yang sepatutnya diamalkan. Jadi, tidak hairanlah kalau didapati bahawa umat Arab yang beragama Islam ini kian hari kian hanyut dibuai dengan kesenangan dan kemewahan lalu mereka lupa kepada tanggungjawab sebagai hamba Allah. Tidak dinafikan bahawa ramai umat Arab Islam lain yang begitu komited dengan dakwah dan perjuangan Islam...namun dengan adanya segolongan manusia 'yang mempunyai pangkat, kekayaan dan nama' ini yang lupa pada Allah sudah tentu sedikit sebanyak akan mencacatkan serta memberi implikasi negatif dalam perkembangan Islam. Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah bahawa umat Islam kian ramai tetapi tidak dapat memberi manfaat kepada Islam kerana kebanyakan mereka ditimpa penyakit 'wahan' iaitu 'hubbu al-dunya wa karahiyyatul maut' yang bermaksud 'cinta dunia dan benci mati'!