Wednesday, January 23, 2008

Kewajipan Membantu Saudara Muslim Rohingya

Oleh: Mohd Sukki Othman

(Artikel ini telah disiarkan di majalah Milenia Muslim keluaran Januari 2008)


Ajaran Islam amat menekankan mengenai pentingnya konsep persaudaraan. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis nabi yang mengetengahkan isu persaudaraan ini. Namun, sebagai umat Islam, apakah kita prihatin terhadap apa-apa yang telah dibentangkan di dalam al-Quran dan hadis nabi saw? Tepuk dada, tanya iman!

Allah SWT telah menyatakan dengan jelas mengenai konsep persaudaraan ini melalui surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud: ’Sesungguhnya orang mukmin itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara saudara-saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat’. Manakala dalam hadis nabi saw pula, Rasulullah bersabda yang bermaksud: ’Perumpamaan orang mukmin dalam berkasih sayang, cinta mencintai, dan kasih mengasihi ibarat satu tubuh, iaitu apabila terdapat salah satu anggota badan yang sakit, maka seluruh tubuh turut berasa sakit dengan tidak boleh tidur dan demam’. (Hadis Riwayat Imam Muslim).

Justeru, apabila kita meneliti dan memahami isi kandungan al-Quran dan hadis serta ajaran murni yang terdapat di dalam Islam, maka sudah tentu kita akan terpanggil untuk mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Setiap muslim sama ada yang mewakili individu, organisasi mahu pun pemerintah hendaklah bertanya pada diri apakah sumbangan yang telah dilaksanakan setakat ini untuk membantu saudara seIslam lain yang menghadapi kesusahan dan keperitan hidup? Kalau pun ada sumbangan yang telah diberikan, maka apakah ia sudah mencukupi?

Persoalan seumpama ini ditimbulkan apabila melihat kepada kesengsaraan dan penderitaan yang terpaksa dilalui oleh saudara Islam Rohingya yang menjadi pelarian di bumi Malaysia. Kehidupan mereka yang amat daif kadang-kala tidak diberikan perhatian sewajarnya oleh masyarakat Islam kita yang hidup dalam serba kemewahan. Masyarakat Rohingya adalah juga saudara Islam kita, jadi menjadi kewajipan kita untuk membantu mereka sedaya yang mampu.

Golongan Muslim Rohingya bukan memilih untuk menjadi pelarian, tetapi mereka terpaksa berbuat demikian ekoran diskriminasi melampau yang dikenakan terhadap mereka di Myanmar. Lalu ada di antara mereka memilih Malaysia sebuah negara yang majoriti penduduknya adalah Muslim untuk dijadikan sebagai tempat berlindung dan mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan. Terdapat lebih kurang 10 atau 12 ribu orang pelarian Muslim Rohingya yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) di Malaysia. Namun, di negara ini, undang-undang yang ada di bawah Akta Imigresen 1959/1963 tidak menjelaskan secara khusus perbezaan di antara pelarian dan pendatang yang berhijrah bagi tujuan ekonomi.

Sehubungan dengan itu, ia menjadikan pelarian terperangkap dalam beberapa situasi seperti tidak mempunyai pekerjaan yang sah selain anak-anak mereka tidak diberikan akses kepada pendidikan. Begitu juga tiada kemudahan perubatan dan hospital sebagaimana yang dinikmati oleh warganegara. Tambah menyedihkan ialah terdapat sesetengah majikan mengeksploitasi kehidupan susah mereka dengan membayar gaji terlampau sedikit dan tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan. Natijahnya, terdapat di antara mereka yang terpaksa bekerja sebagai pengemis untuk mencari sesuap nasi di samping meningkatnya masalah sosial yang sudah tentu akan merugikan semua pihak.

Penderitaan Muslim di Myanmar bermula pada 1982 lagi apabila secara tiba-tiba Muslim Rohingya diisytiharkan pendatang asing di negara sendiri. Muslim Rohingya ditindas melalui undang-undang “Burma Citizenship Law of 1982” yang bersifat perkauman agama dan penuh diskriminasi yang diluluskan oleh pemerintah junta Burma pada tahun 1982, yang mengakibatkan golongan muslim Rohingya tidak diiktiraf sebagai warganegara, malah diisytiharkan sebagai ‘pendatang’ di tanahair mereka sendiri. Oleh yang demikian, hak mereka dinafikan, malahan ada yang ditangkap, dipukul dan pelbagai kekejaman lain yang dikenakan kepada mereka.

Sejak diluluskan ‘Burma Citizenship Law’ ini juga, anak-anak kaum Muslimin telah dinafikan hak pelajaran mereka. Undang-undang ini telah menyebabkan bukan sahaja mereka tidak dapat menyambung pelajaran, malah ada yang langsung tidak dapat belajar ekoran daripada tekanan ekonomi, penangkapan, penyeksaan dan sebagainya. Tambah menyedihkan ialah wanita Islam tidak dibenarkan memakai hijab dan ramai di antara mereka yang ditindas, didiskriminasi, dirogol dan sebagainya. Bukan itu sahaja, malahan masyarakat Islam di sana turut dinafikan hak dari segi perubatan samada di hospital mahupun di klinik-klinik dan mereka dipaksa membayar dengan harga yang terlampau tinggi untuk setiap kos rawatan yang ingin mereka dapatkan. Tambah memilukan ialah masyarakat Islam juga tidak dibenarkan menunaikan haji ataupun menyembelih korban semasa menyambut kedatangan Aidiladha, justeru mereka tidak dapat menjalani kehidupan sebagai seorang muslim yang bebas melaksanakan ajaran agamanya.

Situasi seumpama ini menyebabkan golongan muslim Rohingya terpaksa melakukan penghijrahan dengan menjadi pelarian ke negara-negara seperti Bangladesh, Pakistan, United Arab Emirates, Arab Saudi, Thailand dan Malaysia. Sebagai umat Islam yang ingin mengaplikasikan ’konsep persaudaraan Islam’, maka kita tidak boleh memandang masalah yang dihadapi oleh golongan muslim Rohingya ini dengan ’sebelah mata’. Sebalikmya menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk membantu mereka sedaya- upaya bagi merealisasikan konsep persauadaraan sesama muslim.

Hayatilah peristiwa hijrah nabi saw. Golongan Muhajirin yang berhijrah dari Makkah ke Madinah telah dibantu oleh golongan Ansar yang merupakan penduduk Madinah di atas semangat persaudaraan Islam. Walaupun tidak boleh disamakan konsep hijrah golongan Muhajirin dengan pelarian Muslim Rohingya kerana golongan Muhajirin berhijrah di atas perintah Allah dan Rasul untuk membina masyarakat dan negara Islam di Madinah, namun sekurang-kurangnya pengajaran daripada semangat persaudaraan yang ditonjolkan dalam peristiwa hijrah itu dapat dijadikan panduan oleh umat Islam untuk lebih bersikap prihatin terhadap mereka yang amat memerlukan bantuan.

Dr Said Ramadhan al-Buti dalam bukunya Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah telah menyatakan dengan jelas bahawa wajib bagi umat Islam untuk membantu umat Islam yang lain walaupun berbeza negeri dan negara sekiranya mampu berbuat demikian. Para ulama’ juga bersependapat bahawa berdosa besar bagi orang Islam yang berkemampuan yang tidak menghulurkan bantuan dan pertolongan kepada saudara Islam lain yang lemah dan dizalimi di mana sahaja mereka berada. Jelasnya, membantu dan menghulurkan pertolongan kepada saudara seIslam yang lain adalah sesuatu yang wajib tanpa mengira bangsa, keturunan dan warna kulit. Apatah lagi saudara muslim tersebut berada dalam kalangan masyarakat kita.

Sehubungan dengan itu, masyarakat Islam di negara ini hendaklah ’membuka mata’ dengan melihat penderitaan pelarian muslim Rohingya yang berada dalam masyarakat kita dengan berusaha sedaya-upaya untuk membantu mereka di atas semangat persaudaraan Islam sekaligus dapat mengurangkan masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat. Jangan hanya menuding jari dengan menyalahkan mereka apabila mereka ’terpaksa’ menjadi pengemis untuk mencari ’sesuap nasi’ , namun dalam masa yang sama kita tidak begitu prihatin terhadap kesusahan mereka.

Agensi kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) hendaklah memainkan peranan penting dalam usaha membantu mereka yang memerlukan. Sesuatu yang amat menyedihkan apabila pertubuhan bukan kerajaan yang non-muslim bertindak memperjuangkan isu golongan pelarian muslim ini, tetapi dalam masa yang sama NGO muslim berpeluk tubuh dan tidak begitu mengambil berat sedangkan golongan pelarian muslim Rohingya tersebut adalah saudara seIslam kita. Begitu juga dengan agensi zakat yang sepatutnya memainkan peranan yang lebih aktif untuk memberikan bantuan kepada umat Islam yang memerlukan bantuan tanpa mengira status mereka. Janganlah ketika mengagihkan zakat dirujuk pada kewarganegaraan atau ’kewarganegerian’, sedangkan apabila mengutip hasil zakat, maka ia diambil daripada semua tanpa mengira status tersebut!

No comments:

Post a Comment