Friday, January 25, 2008

Siapakah Imam Mahdi?

Oleh
Mohd Sukki Othman


Baru-baru ini kawan saya Ustaz Rijaluddin yang lebih mesra dengan panggilan ustaz Rijal telah menyatakan kepada saya bahawa dia telah bertemu dengan Imam Mahdi. Saya agak terkejut dengan dakwaannya itu, lalu saya bertanya: “Di manakah anta jumpa Imam Mahdi tu?”. Dia menjawab: “Saya berjumpa dengan Imam Mahdi di perhentian bas Puduraya”. Lantas saya memintanya menceritakan dengan lebih lanjut tentang pertemuannya itu.

Ustaz Rijal pun bercerita: “Ana bertolak dari Parit Buntar ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas sebab ana rasa letih untuk memandu kereta pada hari itu. Ketika ana sampai di perhentian bas Puduraya, jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Jadi, ana terus pergi ke surau di hentian Puduraya menunggu masuknya waktu solat fardhu Subuh. Selesai sahaja menunaikan solat, ana pun turun ke tingkat bawah sambil berfikir-fikir sama ada hendak menggunakan perkhidmatan tren komuter atau bas untuk ke Bandar Baru Bangi. Tiba-tiba, ana didatangi oleh seorang yang berjubah putih yang sedang memegang tasbih di tangannya.

Lelaki berjubah putih itu terus menyapa, dan memberitahu bahawa dunia ini sudah hampir kiamat. Sambil itu dia menerangkan satu-persatu tentang tanda-tanda kiamat yang sudah hampir dengan memberikan contoh tentang kejadian zina yang dilakukan secara terang-terangan, arak yang diminum secara berleluasa, hiburan yang melampau dan sebagainya. Orang berjubah putih itu terus bercerita dengan penuh khusyuk tentang tanda-tanda akhir zaman sambil beristighfar dengan segala macam maksiat yang telah berlaku pada zaman ini. Sebelum lelaki berjubah putih itu beredar, dia pun bertanya: ‘Encik tahu tak siapa saya yang sebenarnya?, sayalah Imam Mahdi yang disebut-sebut tentang kemunculannya pada akhir zaman’. Lalu lelaki itu pun beredar”.

Selesai sahaja Ustaz Rijal bercerita, saya pun berkata kepadanya: “Orang itu tak siuman kot!”. Ustaz Rijal menafikan kata-kata saya sambil menyatakan bahawa melalui pemerhatiannya, orang itu adalah normal dan waras. Saya berkata lagi: “So, anta percaya ke yang dia tu Imam Mahdi?”. Sambil tersenyum, ustaz Rijal menyatakan: “Sudah tentu ana tak percaya, kerana masakan Imam Mahdi mengaku yang dia itu Imam Mahdi!”. Saya pun menambah: “Ya, ana setuju dengan anta, kerana sesiapa sahaja yang mengaku sebagai Imam Mahdi, confirmlah dia tu bukan Imam Mahdi kerana terdapat riwayat yang menyatakan bahawa Imam Mahdi tak akan mengaku sebagai Imam Mahdi sehinggalah beliau dipaksa untuk berbuat demikian iaitu untuk dibai'ah di hadapan kaabah”.

Persoalannya, siapakah Imam Mahdi sebenarnya? Untuk mengetahui siapakah Imam Mahdi, kita wajar merujuk kepada hadis-hadis nabi yang sahih tentangnya. Ini kerana ramai sangat yang mengaku menjadi Imam Mahdi akhir-akhir ini. Kalau tidak mengaku sebagai Imam Mahdi pun, ada orang yang tanpa segan silu mengaku sebagai Pemuda Bani Tamim. Ketika penulis belajar di Jordan kira-kira sepuluh tahun yang lalu pun, ada seorang lelaki Arab yang datang ke Fakulti Syariah, Universiti Yarmouk dan mengaku bahawa dia ialah Imam Mahdi. Sesuatu yang malang bagi lelaki itu ialah dia tersilap dengan membuat pengakuan di hadapan seorang ulama’ hadis di Fakulti Syariah itu yang memang mengkaji tentang hadis-hadis akhir zaman iaitu al-Marhum al-Syeikh Dr. Walid al-‘Ani. Lalu, dengan tegas ulama’ hadis tersebut menafikan kenyataan lelaki tersebut dan memintanya bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Islam agama ilmu. Sehubungan dengan itu, untuk mengetahui siapakah Imam Mahdi, umat Islam tidak boleh lari daripada membincangkannya dari sudut ilmu dan dari sumber yang sahih. Sesuatu yang dianggap malang yang berlaku pada zaman ini adalah apabila terdapat segelintir umat Islam yang begitu mudah menjadi 'pak turut' terhadap sesuatu perkara tanpa berpandukan lunas-lunas ilmu pengetahuan. Justeru, tidak hairanlah ajaran sesat boleh bertapak dan berkembang dengan begitu mudah dalam masyarakat kita.

Untuk mengetahui perbahasan tentang Imam Mahdi, boleh dirujuk pada kitab-kitab hadis seumpama kitab Hadis al-Bukhari, Muslim dan selainnya. Tambahan daripada itu, buku-buku yang banyak membicarakan tentang peristiwa akhir zaman berpandukan nas dan sumber yang sahih ialah al-Isya'ah Fi Asyrat al-Sa'ah oleh Imam al-Barzanji, Kitab al-Fitan oleh Abu Nu'aim, Kiamat Hampir Tiba susunan Abu Ali al-Banjari an-Nadwi, 74 Intipati Tanda-Tanda Hampirnya Kiamat oleh 'Iwadh Bin Ali dan terjemahannya oleh Abdullah al-Qari, dan sebagainya.

Sebagai ringkasan daripada sumber-sumber yang dinyatakan tadi, didapati bahawa Imam Mahdi mempunyai nama yang sama seperti nama Rasulullah iaitu Muhammad Bin Abdullah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Dunia tidak akan kiamat sehinggalah bangsa Arab dikuasai (diperintah) oleh seorang lelaki daripada keluargaku (keturunanku) yang namanya sama dengan namaku". Imam Mahdi adalah daripada keturunan Fatimah Binti Rasulullah daripada cabang keturunan Hasan Bin Ali. Menurut Ibnu Kathir, nama penuh Imam Mahdi ialah Muhammad Bin Abdullah al-'Alawi al-Fatimi al-Hasan.

Imam Mahdi dilahirkan di Madinah al-Munawwarah. Umurnya ialah di antara 30 ke 40 tahun ketika dibai'ah di dalam Masjidil Haram iaitu di antara kawasan Hajarul Aswad dan Maqam Ibrahim. Akhlaknya banyak menyerupai akhlak Rasulullah saw. Walau bagaimanapun, bentuk tubuh badannya tidak menyerupai bentuk tubuh Rasulullah, sebaliknya ia lebih mirip kepada bentuk tubuh Bani Israel. Hidungnya mancung dan membongkok di tengah, dahinya luas dan terserlah, mukanya bersinar dan warna kulitnya adalah seperti warna kulit orang Arab walaupun bentuk badannya seperti orang Bani Israel.

Pada mulanya Imam al-Mahdi bukanlah seorang yang terkenal dengan sifat keutamaan, namun Allah telah memberi taufik dan hidayah kepadanya sehingga dalam satu malam sahaja dia berubah menjadi seorang yang warak, alim, adil dan sebagainya. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "al-Mahdi itu dilahirkan dari keturunan Ahlul Bait (keturunan Fatimah r.a) yang telah disempurnakan oleh Allah akan segala kebaikannya pada satu malam sahaja". (Hadis riwayat Imam Ahmad, Isnadnya sahih). Kesempurnaan akhlak dan kebaikan yang dimiliki oleh Imam Mahdi ini melayakkannya untuk memimpin dunia dengan penuh keadilan serta menghapuskan segala bentuk kezaliman yang berleluasa.

Terdapat pelbagai pandangan mengenai tempoh pemerintahan Imam Mahdi iaitu selama tujuh tahun, tiga puluh tahun dan empat puluh tahun. Namun, menurut Imam Ibni Hajar al-Haitami semuanya itu adalah benar kerana riwayat yang menyatakan tujuh atau sembilan tahun ialah merujuk kepada zaman kegemilangan pemerintahannya, riwayat yang menyatakan tiga puluh tahun pula adalah merujuk kepada zaman pertengahan, manakala riwayat yang menyatakan bahawa zaman pemerintahannya adalah selama empat puluh tahun adalah merujuk kepada keseluruhan pemerintahan Imam Mahdi.

Pendokong kuat Imam Mahdi ialah Pemuda Bani Tamim yang sekaligus menjadi 'tulang belakang' kepada kekuatan Imam Mahdi. Pemuda Bani Tamim berasal dari Timur dan mengikut pandangan Syeikh Dr Walid al-'Ani yang dimaksudkan dengan Timur itu ialah Afghanistan. Namanya ialah Syuaib Bin Soleh. Beliau ialah seorang pemimpin tentera yang hebat. Pada waktu malam beliau terkenal sebagai seorang yang amat kuat dan khusyuk beribadah, manakala pada waktu siang pula, pula digeruni oleh musuh dengan ketangkasannya dalam medan perang.

Zaman pemerintahan Imam al-Mahdi akan menyaksikan keadilan kepimpinan yang hebat sehingga rahmat dan nikmat dari Allah berlimpah-ruah. Umat Islam akan hidup dalam keadaan aman dan makmur. Namun kemakmuran itu akan disusuli pula dengan fitnah pada akhir zaman yang amat mencabar iaitu dengan kedatangan Dajjal.

1 comment:

  1. Aslkm....
    perlambang yg dijelaskan Nabi Muhammad, janganlah kita telan mentah2 begitu saja. tetapi cobalah kita kupas kedalaman makna dan kandungan dari bulir-bulir hikmah yang ada...
    terima kasih.

    ReplyDelete