Followers

Monday, January 7, 2008

Sunat Meletakkan Sutrah (Penghalang) Di Hadapan Ketika Solat

Oleh
Mohd Sukki Othman
(Artikel ini telah disiarkan di majalah Milenia Muslim keluaran Januari 2008)

Sutrah ialah sesuatu yang diletakkan di hadapan ketika menunaikan solat. Ia boleh dianggap penghadang atau penghalang bagi memisahkan di antara orang yang menunaikan solat dengan orang yang melalui di hadapan orang yang sedang solat. Tidak ada ketetapan bahan tertentu untuk dijadikan sutrah. Oleh itu, sekiranya terdapat tongkat, kayu, beg atau apa sahaja, ia hendaklah diletakkan dihadapan sedikit daripada tempat sujud. Sekiranya tiada bahan boleh digunakan, maka bolehlah dibuat garisan terutamanya apabila berada di tempat yang lapang seperti di padang bola atau di padang pasir.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad telah dinyatakan bahawa Rasulullah saw menganjurkan kepada setiap individu yang menunaikan solat agar meletakkan sutrah walaupun dengan anak panah atau tongkat. Sekiranya tidak ada bahan untuk dijadikan sutrah, maka hendaklah dibuat satu garisan.

Di samping itu, diharuskan juga menjadikan tiang-tiang masjid sebagai sutrah ketika menunaikan solat secara bersendirian. Hukum meletakkan sutrah ini adalah sunat dan ia bertujuan untuk meningkatkan khusyuk dalam solat dengan tidak diganggu oleh orang yang melintas di hadapan.

Diriwayatkan daripada Sayyidina Sahal r.a bahawa Nabi Muhammad saw bersabda, “Jika salah seorang di antara kamu melakukan solat menghadap ke sutrah (tabir atau penghalang), maka hendaklah mendekatinya....”. Difahami daripada hadis ini bahwa sutrah hendaklah diletakkan tidak terlalu jauh daripada tempat sujud orang yang menunaikan solat.

Diriwayatkan daripada Nafi’ bahawa setiap kali ‘Abdullah bin ‘Umar r.a memasuki Ka’bah, beliau akan terus berjalan sehinggalah jarak antaranya dan dinding yang ada di hadapannya itu lebih kurang tiga hasta, lalu ia melakukan solat. Oleh yang demikian, ia menunjukkan kepada kita bahawa sutrah yang diletakkan di hadapan ketika solat tidaklah jauh dari tempat sujud.

Menggunakan Sutrah Tidak Wajib, Tetapi Sunat

Diriwayatkan daripada Sayyidina ‘Abdullah bin ‘Abbas r.a bahawa beliau berkata: “Aku menerima tetamu yang menaiki keldai betina. Ketika itu aku sudah meningkat dewasa. Pada ketika itu juga, Rasulullah saw sedang menunaikan solat di Mina menghadap ke tempat yang tidak berdinding (tiada sutrah). Aku melintas di hadapan sebahagian saf (barisan solat). Lalu aku turun dan melepaskan keldai betina untuk merumput, lalu aku pun masuk ke dalam saf. Tidak seorang pun yang menentang perbuatanku itu.”

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam bukunya Fath al-Bari memberikan penjelasannya seperti berikut, “Kata-kata dalam hadis tersebut yang bermaksud menghadap ke tempat tak berdinding, menunjukkan bahawa Rasulullah pernah menghadap ke tempat yang tanpa sutrah. Ibn ‘Abbas telah menyebutkan sedemikian adalah untuk membuktikan bahawa melintas di hadapan orang yang sedang solat tidak membatalkan solatnya. Perkara ini dikuatkan oleh riwayat al-Bazzar yang bermaksud: “Dan Nabi Muhammad saw melakukan solat dengan tidak menghadap kepada sesuatu yang menutupinya (sutrah)”

Berdasarkan hadis-hadis sahih tersebut, jelaslah bahawa menggunakan sutrah (penghalang) itu tidaklah wajib. Namun, penggunaan sutrah dianggap sunat kerana Rasulullah pernah melakukannya. Jika seseorang yang melakukan solat meletakkan sutrah di hadapannya, maka sesiapa pun boleh melintas di hadapan sutrah tersebut. Akan tetapi, sekiranya seseorang itu melintas di hadapan orang solat (di kawasan tempat sujud iaitu di antara orang yang sedang menunaikan solat dengan sutrah), maka perbuatan melintas tersebut adalah haram.

Ini berdasarkan hadis nabi saw yang bermaksud: “Sekiranya orang yang melintas di hadapan orang yang sedang solat itu mengetahui mudarat dan dosa yang akan menimpanya (akibat perbuatan melintas tersebut), maka sudah tentu dia akan berhenti menunggu (tidak melintasnya hingga solat selesai) selama empat puluh hari lebih baik baginya daripadapada melintas di hadapan orang yang sedang melakukan solat tersebut.” Dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Jika salah seorang di antara kamu melakukan solat, maka ia tidak boleh membiarkan seseorang melintas di hadapannya, dan hendaklah ia menghalangnya. Jika orang tersebut tidak mahu berhenti bahkan hendak melintas juga, maka hendaklah ‘membunuhnya’ kerana sesungguhnya orang itu adalah syaitan.”

Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitab Fath al-Bari telah menjelaskan bahawa maksud sebenar daripada frasa ‘jika orang tersebut tidak mahu berhenti bahkan hendak melintas juga, maka hendaklah membunuhnya’, membawa maksud menghalang orang yang hendak melintas di hadapan ketika kita sedang solat dengan agak keras daripada halangan yang pertama. Ia bukanlah bermaksud ‘membunuh’ dalam erti kata yang sebenarnya. al-Qurtubi ketika mengulas hadis ini telah menyatakan bahawa para ulama bersepakat menyatakan bahawa tidak perlu membunuh dengan senjata. Jika yang dimaksudkan adalah membunuh dengan senjata, maka perkara itu sudah tentu bertentangan dengan kaedah yang menghendaki pelaksanaan solat dengan penuh fokus dan khusyuk.

Manakala Imam al-Syafi’e pula berpendapat bahawa orang yang sedang menunaikan solat tidak boleh berjalan dari tempatnya untuk menghalang orang yang melintas di hadapannya. Demikian pula ia tidak boleh menghalang orang tersebut dengan bergerak yang berlebihan, kerana perbuatan seperti itu boleh mengganggu solat.

Sehubungan dengan itu, hendaklah kita sentiasa berwaspada agar tidak dengan sewenang-wenangnya melintasi di hadapan orang yang sedang menunaikan solat. Sesiapa juga yang melintas di hadapan orang yang sedang solat hanya akan mengganggu kekhusyukan solat. Jika seseorang yang sedang menunaikan solat itu disibukkan dengan para pelintas di hadapannya, dikhuatiri akan memutuskan zikir (rasa ingat kepada Allah) dan tidak dapat menumpukan dengan penuh khusyuk terhadap solat yang ditunaikan, walaupun solat tersebut tidak dianggap batal

Sekiranya orang yang sedang mendirikan solat itu tidak meletakkan penghalang (sutrah), maka orang lain hanya boleh melintas di hadapannya sejarak tiga hasta. Mereka diharamkan melintasi tempat yang digunakannya untuk bersujud. Dalilnya ialah hadis riwayat Imam Bukhari yang menjelaskan bahawa Abdullah Bin Umar menunaikan solat dalam keadaan jarak dirinya dengan dinding adalah sejauh tiga hasta, kerana mengikut cara yang telah dilakukan oleh Rasulullah saw.

No comments:

Post a Comment