Followers

Friday, February 29, 2008

Mengumpat Yang Diharuskan

Al-Imam Nawawi r.a.telah berkata: Ketahuilah! Sesungguhnya mengumpat diharuskan kerana tujuan yang benar dan menurut syariat. Terdapat enam sebab dibenarkan mengumpat: (Rujuk kitab Riyadus Solihin, cetakan Dar al-Taybah, Makkah dan al-Maktabah al-Islamiah, Jordan, 1412 H, muka surat 396-397).

1. Pengaduan penganiayaan : Harus bagi orang yang dizalimi untuk mengadukan kezaliman yang dikenakan keatasnya kepada Sultan atau hakim atau pihak berkuasa yang lain untuk menyekat kezaliman tadi. Contohnya dia berkata: Si fulan ini telah menzalimiku dengan begini-begini.

2. Meminta pertolongan untuk mencegah kemungkaran dan menarik si pelaku maksiat kepada kebenaran: Harus bagi seseorang menceritakan keburukan seseorang kepada orang yang mampu untuk mencegah kemungkaran itu dengan katanya sebagai contoh : Si fulan itu telah buat sekian-sekian, maka kamu laranglah dia. Tujuannya menceritakan keburukan itu adalah untuk menghilangkan kemungkaran itu. Tetapi jika tujuannya bukan untuk itu (iaitu bukan untuk mencegah kemungkaran) maka ia adalah haram.

3. Meminta Fatwa atau cara penyelesaian: Harus baginya berkata bagi orang yang ditanyainya itu (sebagai contoh): Ayahku atau abangku atau suamiku atau si fulan telah menzalimiku dengan begini-begini. Adakah haknya untuk berbuat demikian? Dan apakah caranya untuk aku selesaikan masalah ini, atau apakah caranya untuk aku dapatkan hak aku, atau apakah caranya untuk aku sekat kezaliman ini atau sebagainya? Semua ini adalah harus kerana keperluan. Tetapi yang lebih baik ialah dengan berkata: Apakah pendapatmu tentang seorang lelaki atau seseorang atau suami (tanpa menyebutkan nama dan menentukan sesiapa) yang berbuat begini-begini? Ini kerana tujuannya untuk bertanya tadi telahpun terhasil sekalipun tidak dinyatakan seseorang yang tertentu. Walau bagaimanapun menyatakan dengan jelas tentang seseorang yang dimaksudkan itu adalah harus hukumnya.

4. Mengingatkan muslim yang lain daripada kejahatan atau memberi nasihat: Terdapat beberapa situasi. Antaranya ialah menyatakan kecacatan dan kecelaan yang terdapat pada perawi-perawi hadis atau para saksi. Maka perkara ini adalah harus dengan ijmak kaum muslimin bahkan menjadi wajib jika perlu. Antaranya juga ialah apabila diminta pandangan untuk berbesan (mencari menantu dan pasangan hidup), bersyarikat, memberikan amanah barang-barang, bergaul, berjiran atau sebagainya, maka wajib bagi orang yang diminta pandangan itu (memberitahu segalanya dan) tidak menyembunyikan hal keadaannya yang sebenar, bahkan dia perlu memberitahu keburukan-keburukan yang ada pada orang itu dengan niat nasihat. Begitu juga apabila seseorang itu melihat orang yang ingin menuntut ilmu (agar faham agama), tetapi telah merujuk atau menuntut ilmu kepada orang yang salah seperti orang yang melakukan bid’ah atau orang fasik, maka hendaklah dinasihati penuntut ilmu tersebut tentang keburukan gurunya itu agar ia terselamat daripada kemudharatan. Akan tetapi, hal ini banyak yang disalah gunakan. Ini kerana ada yang memberitahu kepada orang lain kerana kedengkiannya dan syaitan pula telah menipu dan memesongkannya seolah-olah itu adalah nasihat. Maka hendaklah berhati-hati dengan perkara ini.

Dan termasuk dalam bab ini juga ialah seseorang pemimpin yang tidak memimpin dengan baik, samada kerana dia tidak layak atau kerana dia adalah seorang yang fasiq atau seorang yang cuai atau sebagainya. Maka wajib diberitahukan kepada orang atasannya untuk memecatnya dan menggantikannya dengan orang yang lebih sesuai atau supaya orang atasan itu mengetahui keadaannya dan memberikan tindakan yang sewajarnya dan tidak tertipu dengan tindak tanduknya. Juga supaya dia (orang atasan) memberikan dorongan kepada pemimpin itu supaya lebih istiqamah atau akan ditukar (digantikan dengan orang lain).

5. Jika dia seorang yang jelas menunjukkan kefasiqannya atau bid’ahnya: Contohnya orang yang menunjuk-nunjuk bahawa dia meminum arak atau orang yang terang-terang merampas harta orang ramai, memungut cukai (duit pau dan sebagainya), mengenakan cukai secara zalim atau mengetuai dalam perkara-perkara kejahatan. Maka harus disebutkan kejahatan-kejahatan yang dilakukannya secara terang-terangan itu. Tetapi haram menyebut lain-lain keaiban yang ada padanya melainkan jika ia juga diharuskan dengan sebab-sebab lain yang telah disebutkan sebelum ini.

6. Untuk dikenali: Apabila seseorang yang sudah masyhur dengan gelaran seperti seseorang yang matanya berair atau kabur, atau yang tempang, yang tuli, yang buta, yang juling atau sebagainya, maka harus disebutkan pengenalan mereka tadi. Tetapi haram jika disebutnya dengan niat untuk mencelanya. Dan jika boleh mengenalkan mereka dengan cara atau pengenalan lain yang lebih elok, maka itulah yang lebih baik.

Keenam-enam sebab (yang diharuskan mengumpat ini) telah disebutkan oleh para ulama’ dan kebanyakannya ulama’ telah berijma’ mengenainya, dan dalilnya adalah berdasarkan hadis-hadis yang sahih dan masyhur.

Tuesday, February 26, 2008

Hidup Berkat Tanpa Rasuah

Oleh: Ustaz Shauqi

Pada musim pilihanraya ini, kadang-kala terdapat mereka yang sanggup mengorbankan keberkatan dalam hidup dengan memberikan rasuah semata-mata untuk mendapat kemenangan. Apa gunanya menang dan mendapat jawatan tetapi kemenangan tersebut disaluti dengan perkara haram yang mengundang ketidak berkatan dalam hidup di dunia ini... apatah lagi di akhirat!. Perlu diingatkan bahawa kehidupan ini tidak akan membawa apa-apa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta atau rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya walaupun hartanya banyak tetapi tidak ada keberkatan, akan dirasakan sempit dan susah.

Setiap orang yang mengaku dirinya beragama Islam, hendaklah yakin dan percaya bahawa jawatan dan harta yang diperolehi melalui jalan yang tidak diredai Allah tidak akan berkat. Untuk mendapatkan harta yang berkat maka ia mesti diperolehi dari jalan yang diredai Allah. Harta yang diberkati Allah akan berkekalan dan mencukupi untuk membiayai hidup walaupun jumlahnya sedikit. Begitu juga jawatan yang diperoleh dengan cara yang ’bersih’ dan diredhai Allah, akan membawa ketenangan dalam hidup. Janganlah umat Islam hari ini tergolong dalam kalangan manusia yang rakus sehinggakan hidup mereka berkonsepkan membujur lalu melintang patah!.

Hidup yang dihiasi dengan keberkatan akan mengundang ketenangan dan kebahagiaan dalam diri. Betapa ramai manusia yang kaya pada hari ini serta yang mempunyai jawatan yang tinggi, namun adakah mereka semua hidup dalam ketenangan dan kebahagiaan? Tepuk dada, tanya iman!. Ketenangan dan kebahagiaan sesuatu yang tidak mampu dibeli oleh sesiapa. Bolehkah seseorang itu pergi ke hypermarket yang paling besar, lalu memesan ‘tenang’ dan ‘bahagia’ untuk dibeli? Sudah tentu tidak boleh!. Sebabnya ketenangan dan kebahagiaan merupakan anugerah Allah kepada hamba-Nya.

Anugerah ini hanya diberi kepada mereka yang mempunyai harta dan kehidupan yang berkat. Akan tetapi, ketenangan dan kebahagiaan tidak akan dianugerahkan Allah kepada manusia yang hartanya dan hidupnya tidak berkat!.

Kekayaan dan jawatan yang disaluti rasuah akan menyebabkan harta yang dimiliki tidak ada keberkatan. Seterusnya ia akan menghakis ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Apa guna wang yang banyak dan jawatan yang tinggi kalau hidup sentiasa diburu resah gelisah. Gelisah di dunia, di akhirat pula akan dihumban ke dalam neraka!

Menurut hukum syarak rasuah adalah tergolong dalam perbuatan dosa-dosa besar, kerana ia termasuk dalam perkara memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah. Ini berdasarkan dalil-dalil al-Quran, hadis dan ijmak para ulama.

Allah s.w.t berfirman maksudnya, Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (al-Baqarah: 188).

Dalam ayat yang lain, Allah s.w.t menyatakan yang mafhumnya, Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)... (al-Ma’idah: 42)

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran di atas, Allah melarang umat-Nya memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah. Perbuatan rasuah termasuk memakan harta dengan jalan yang salah itu. Ayat berikutnya pula menjelaskan sifat atau karakter orang Yahudi yang sentiasa mengagungkan kebatilan, pembohongan serta memakan rasuah.

Pengharaman rasuah juga disebut oleh Rasulullah s.a.w dengan hukuman laknat atau kutukan Allah dan Rasul-Nya. Antara hadis yang membincang tentang rasuah ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru, beliau berkata yang bermaksud, bersabda Rasulullah, Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah. (riwayat Ibnu Majah) .

Ancaman terhadap rasuah ini bukan sahaja ditujukan kepada pemberi dan penerimanya, malahan juga kepada orang tengah atau pengantara perbuatan rasuah tersebut. Hal ini disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Tsauban r.a katanya, Rasulullah s.a.w melaknat pemberi rasuah, penerima dan pengantara iaitu yang menjadi penghubung antara keduanya. (riwayat Imam Ahmad).

Mereka yang terlibat dengan perbuatan rasuah itu selain daripada mendapat laknat Allah dan Rasul-Nya, mereka juga akan menerima azab yang pedih di akhirat kelak, sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a. yang bermaksud, Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka. (riwayat al-Tabrani).

Sehubungan itu, jauhilah diri daripada sebarang unsur rasuah demi ketenangan hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat.

Friday, February 22, 2008

Mantapkan Ilmu Aqidah

Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


Seorang budak lelaki Palestin sedang melontar batu ke arah kereta-kereta kebal Israel. Lalu seorang wartawan yang sedang membuat liputan bertanya kepada kanak-kanak tersebut apakah batu-batu kecil yang dilontarkannya itu dapat memberi apa-apa kesan terhadap kereta kebal besi itu?. Kanak-kanak itu menjawab dengan penuh keyakinan bahawa sekiranya dizinkan oleh Allah, segala kereta perisai dan kereta kebal dapat dihancurkan walaupun dengan seketul batu yang kecil! Begitulah hebatnya keyakinan seorang budak terhadap kekuasaan Allah. Budak itu tidak berfikir berdasarkan lojik dan akal semata-mata sebaliknya meletakkan keyakinan dan keimanan kepada kudrat Allah Yang Maha Tinggi.

Generasi kini sewajarnya dididik untuk kembali kepada pegangan aqidah yang mantap demi mengembalikan generasi para sahabat yang telah ditarbiah dengan kekuatan aqidah yang menatijahkan kegemilangan Islam terpancar ke seluruh dunia. Tidak cukup bagi seseorang muslim untuk melaksanakan ibadah kepada Allah tetapi dalam masa yang sama masih tidak mengenali Allah! Sehubungan dengan itu, didapati dalam masyarakat Islam kini mereka yang tidak sensitif apabila Islam dihina, dan gejala murtad semakin berleluasa. Mengapakah semua ini terjadi? Tidak lain dan tidak bukan ia adalah berpunca daripada kerapuhan aqidah yang melanda umat pada zaman kini!.

Aqidah merupakan ilmu yang amat penting untuk dipelajari kerana ia berkaitan dengan makrifah kepada Allah, RasulNya dan agamaNya. Ilmu Aqidah juga dikenali sebagai ilmu Tauhid dan ilmu Iman. Ilmu yang berkaitan dengan aqidah, tauhid dan iman ini akan merealisasikan kebahagiaan dan kejayaan umat Islam di dunia dan di akhirat.

Allah telah menjanjikan kebaikan yang banyak kepada golongan yang beriman di atas dunia ini lagi. Antaranya ialah:

  • Memberi pertolongan dengan kemenangan terhadap musuh. Firman Allah dalam surah al-Rum ayat 47 bermaksud: ”… dan Kami selalu berkewajipan menolong orang yang beriman”.
  • Mempertahankan dan membela golongan beriman. Firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 38 bermaksud: ”Sesungguhnya Allah membela orang yang telah beriman”.
  • Pelindung kepada orang beriman. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 257 bermaksud: ” Allah pelindung orang yang beriman”
  • Memberi hidayah dan petunjuk. Firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 54 bermaksud: ”… Sesungguhnya Allah adalah pemberi petunjuk bagi orang yang beriman kepada jalan yang lurus”.
  • Golongan kafir tidak dapat menguasai golongan beriman. Firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 141 bermaksud: ”... dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang kafir untuk memusnahkan orang yang beriman”.
  • Kemampuan memerintah di atas dunia. Firman Allah dalam surah al-Nur ayat 55 bermaksud: ” Dan Allah telah berjanji kepada orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amalan yang soleh bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa”.
  • Rezeki yang baik dan keberkatan. Firman Allah dalam surah al-‘A’raf ayat 96 bermaksud: ”Jikalau sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi”.
  • Kemuliaan dan kekuatan. Firman Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 8 bermaksud: “Kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi rasul-Nya dan bagi orang mukmin” .
  • Kehidupan yang baik. Firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 97 bermaksud: “Barangsiapa yang mengerjakan amalan soleh, baik lelaki mahu pun perempuan dalam keadaan beriman, Maka Sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik”.

Manakala di akhirat pula, limpah kurnia Allah akan diberikan dengan amat banyak kepada golongan yang beriman. Ini ditegaskan melalui firman Allah dalam Surah al-Kahf ayat 107-108 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka adalah syurga Firdaus menjadi tempat tinggal, Mereka kekal di dalamnya, mereka tidak ingin berpindah daripadanya”.

Namun apabila dilihat secara realitinya terhadap apa yang berlaku kepada umat Islam akhir-akhir ini jelas menunjukkan bahawa janji Allah kepada orang beriman tidak dapat dikecapi lagi oleh umat Islam. Umat Islam pada zaman moden ini nampaknya begitu mudah dapat ditewaskan oleh musuh dan berada dalam kehinaan. Mereka juga amat takut dan gentar apabila berhadapan dengan Negara kerdil Yahudi iaitu Israel. Mengapakah semua ini terjadi kepada umat Islam?

Jawapan kepada persoalan tersebut sangat berkaitan dengan keimanan umat Islam pada hari ini. Jelasnya, umat Islam pada hari ini mempunyai keimanan yang sangat lemah dan rapuh, sifat-sifat keimanan juga semakin pudar daripada menghiasi keperibadian seorang muslim. Lalu, bagaimanakah umat Islam akan mendapat pertolongan daripada Allah? Pertolongan Allah hanya akan diberikan kepada mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dengan aqidah yang mantap dan teguh. Benarlah seperti apa yang telah dikatakan oleh Saidina Umar al-Khattab yang bermaksud: ”Kita adalah golongan yang dimuliakan oleh Allah apabila kita berpegang dengan Islam, tetapi apabila kita tidak lagi berpandukan ajaran Islam, nescaya Allah akan menghina kita”.

Sekiranya umat Islam pada hari ini terus mengekalkan sifat keimanan yang rapuh, maka sudah tentu mereka akan terus ditimpa kehinaan di atas dunia ini. Manakala di akhirat pula, azab yang pedih sedang menanti di neraka Allah.

Justeru, umat Islam wajib kembali memperbaharui semangat dan tekad untuk mengukuhkan iman dan aqidah melalui jalan ilmu, dan seterusnya memperluaskan ilmu aqidah dalam kalangan umat Islam yang lain serta bersama-sama memelihara hukum syara’ agar ia sentiasa dapat dilaksanakan dengan baik.

Para ulama’ dan pemerintah Islam pula mestilah segera menangani segala masalah aqidah yang berlaku dalam kalangan masyarakat Islam. Jangan dibiarkan aqidah umat Islam terus rapuh, sedangkan dalam masa yang sama gerakan yang berusaha untuk menghancurkan aqidah Islam terus bergerak dan berjalan dengan sewenang-wenangnya dan dengan jayanya seperti gerakan kristianisasi, ajaran sesat dan sebagainya.

Friday, February 15, 2008

Amanah Dalam Melantik Pemimpin

Oleh: Ustaz Shauqi


Bahang pilihanraya umum yang kedua belas melanda ke seluruh negara. Rata-rata orang bercakap mengenainya di mana-mana sahaja. Siapakah calon yang sesuai?, bagaimanakah tahap wakil rakyat yang lama, apakah wakil rakyat tersebut menjalankan tanggung jawab dengan penuh dedikasi atau hanya menjenguk kawasannya tatkala pilihanraya menjelma?, siapakah pula wakil yang akan dipilih pada kali ini, dan pelbagai soalan lain lagi berlegar-legar di kebanyakan benak pemikiran pengundi yang berumur 21 tahun ke atas yang layak mengundi.

Apa pun persoalan yang timbul, yang pastinya ialah kepimpinan dan perlantikan pemimpin merupakan suatu amanah yang tidak boleh dipandang remeh dan tidak boleh dipandang sepi. Ini kerana kepimpinan merupakan suatu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh mereka yang diberikan amanah tersebut. Pemimpin merupakan orang yang akan melaksanakan tanggungjawab sebagai ’khalifah’ di kawasan yang ditadbirnya. Tanggungjawab khalifah sebagaimana yang disebut oleh al-Imam al-Mawardi dalam kitabnya yang tersohor iaitu ’al-Ahkam al-Sultaniyyah’ ialah kewajipan melaksanakan dan menegakkan agama serta mengurus, mentadbir dan memakmurkan dunia ini dengan cara yang tidak bercanggah dengan agama.

Amanah bukanlah sesuatu ’keseronokan’ yang hendak direbut dengan rakus dan tamak, tetapi ia merupakan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah di akhirat kelak. Justeru, setiap mereka yang berpotensi untuk dilantik menjadi pemimpin hendaklah sentiasa bermuhasabah diri agar tidak hanyut dibuai gelombang rakus dalam merebut jawatan tetapi menginsafi dengan amanah yang wajib dipikul apabila mendapat mandat daripada rakyat. Sehubungan dengan itu, Saidina Umar pernah berkata: ’Fahamlah terlebih dahulu (tanggungjawab dan amanah tersebut), sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin’.

Nabi saw pernah bersabda dalm sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud: ”Sekiranya amanah itu disia-siakan, maka tunggulah kehancuran”. Lalu para sahabat baginda bertanya tentang bagaimanakah yang dikatakan bahawa amanah itu disia-siakan? Lalu nabi saw menjawab: ”(Amanah itu disia-siakan) apabila kamu menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang tidak layak memikulnya, maka tunggulah akan kehancuran!”. Dalam hadis nabi saw yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, baginda bersabda yang bermaksud: ”Setiap kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab kepada setiap perkara yang berada di bawah kepimpinan kamu, seorang imam (pemerintah) merupakan pemimpin, maka dia bertanggungjawab kepada sesiapa pun yang berada di bawah kepimpinannya...”.

Sekiranya kepimpinan itu merupakan suatu amanah, maka begitu juga soal melantik pemimpin juga merupakan suatu tanggungjawab dan amanah yang wajib ditunaikan menurut landasan syarak. Ini kerana, sekiranya berlaku kesilapan dalam melantik pemimpin, maka bermakna kita telah menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang tidak layak menerimanya dan perbuatan ini jelas bercanggah dengan ajaran Islam sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadis nabi saw sebelum ini. Oleh yang demikian, kita tidak boleh melantik ’wakil’ di kawasan kita hanyalah berasaskan sentimen, hubungan kerabat, kepentingan diri dan sebagainya, akan tetapi perlantikan pemimpin hendaklah berdasarkan kelayakan seseorang itu untuk memikul amanah dan tanggungjawab sebagaimana yang digariskan di dalam ajaran Islam. Sekiranya kita memilih serta melantik seseorang yang sememangnya diketahui bahawa dia tidak layak untuk memegang amanah tersebut, maka kita turut sama terlibat dalam mensia-siakan amanah yang akan dipertanggungjawabkan kesalahan tersebut di akhirat kelak.

Sehubungan dengan itu, bagaimanakah cara yang terbaik untuk kita menilai sama ada seseorang itu memang layak atau sebaliknya? Sesuatu yang lumrah, bahawa kita menilai seseorang dari sudut zahirnya sahaja bukan batinnya kerana kita tidak mempunyai kemampuan untuk menilai seseorang mengenai batinnya atau apa yang terbuku di hatinya. Akan tetapi apa yang kita mampu membuat penilaian hanyalah melihat kepada zahirnya sahaja, kerana kebiasaannya, hati yang baik akan melahirkan sifat dan kelakuan yang baik juga. Apatah lagi, kaedah dalam hukum syara’ menyatakan bahawa ’kita hanya berhukum secara zahir, tetapi Allah lah yang mengetahui apa yang ada pada batin seseorang’.

Ciri yang paling penting sekali dalam melantik wakil rakyat dan pemimpin ialah akidah dan keimanannya kepada Allah swt. Orang yang paling layak untuk menjaga dan mengambil berat urusan dan hal ehwal orang Islam hanyalah orang yang beriman kepada Allah swt. Mana mungkin seseorang yang tidak mempunyai akidah serta tidak beriman kepada Allah diberi tanggungjawab untuk menjadi wakil kepada orang Islam apatah lagi untuk menjaga urusan umat Islam. Hal ini amat jelas melalui apa yang telah difirmankan oleh Allah dalam Surah Ali ’Imran ayat 28 yang bermaksud: ”Janganlah orang yang beriman mengambil orang kafir menjadi wali (teman rapat atau pemimpin) dengan meninggalkan orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) daripada Allah dalam sesuatu apapun...”. Manakala dalam Surah al-Nisa’ ayat 144, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: ”Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?”.

Muhammad ’Ali al-Sobuni ketika memberikan tafsiran dan ulasan mengenai ayat 28 Surah Ali ’Imran dalam kitabnya Rawa’i al-Bayan Fi Tafsir Ayat al-Ahkam Min al-Qur’an telah menyatakan bahawa Allah melarang hambanya yang beriman memberikan wala’ (ketaatan, kasih sayang serta melantik menjadi pemimpin) kepada orang kafir dan mendekatkan diri dengan mereka dengan mawaddah wa mahabbah (kasih sayang dan kecintaan) serta membenarkan mereka, kerana ia merupakan sesuatu yang amat tidak wajar apabila memberikan wala’ kepada musuh-musuh Allah. Ini kerana sesuatu yang tidak dapat diterima akal bahawa seseorang itu boleh menghimpunkan kecintaannya kepada Allah dengan kecintaannya kepada musuh Allah dalam waktu yang sama. Oleh itu, tidak harus bagi seseorang muslim memberikan wala’ kepada orang yang tidak beriman dengan mengetepikan golongan yang beriman kepada Allah SWT. Manakala Sayyid Qutb pula ketika mentafsirkan ayat 28 Surah Ali ’Imran dalam kitab tafsirnya yang tersohor iaitu Fi Zilal al-Quran telah menyatakan bahawa tidak akan dapat berhimpun dalam hati manusia dua perkara dalam satu masa iaitu hakikat keimanan kepada Allah dan dalam masa yang sama memberi wala’ kepada musuh-musuh Allah.

Jelasnya, ayat tersebut menegaskan dengan terang larangan melantik orang kafir menjadi pemimpin kepada orang Islam. Ini kerana dalam Islam seorang pemimpin bertanggungjawab soal amar makruf dan nahi mungkar, soal ibadat, dan lain-lain, sedangkan orang yang kafir tidak bertanggungjawab terhadap masalah ini. Apatah lagi, wajarkah seseorang itu melantik seseorang yang sememangnya diketahui bahawa dia tidak redha untuk berhukum dengan kitab Allah dalam kehidupan ini?. Ini sekaligus memberikan gambaran bahawa orang yang melantik orang kafir itu sendiri tidak redha kepada hukum Allah untuk dilaksanakan!.

Sehubungan dengan itu, apabila berlaku pertembungan untuk memilih pemimpin di antara orang Islam dan bukan Islam, maka tidak ada alasan bagi orang yang mengaku Islam dan beriman kepada Allah untuk memilih serta melantik orang kafir untuk menjadi pemimpin mereka dengan mengetepikan orang Islam yang beriman kepada Allah SWT. Sekiranya seseorang Islam itu tetap melantik golongan kuffar dengan mengetepikan golongan beriman, maka nescaya akan mengundang kemurkaan daripada Allah kerana mengutamakan kekufuran melebihi keimanan. Untuk mengelakkan kutukan dan kemurkaan Allah, amanah kepimpinan hendaklah diberikan kepada golongan yang berhak dan layak. Firman Allah dalam surah al-Ma’dah ayat 55 bermaksud: ”Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang yang beriman, yang mendirikan solat, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah)”.

Persoalan seterusnya ialah apakah kriteria yang sepatutnya digunakan dalam melantik pemimpin atau wakil rakyat apabila berlaku pertembungan di antara dua orang Islam yang sama-sama beriman kepada Allah SWT?. Ciri yang penting dalam pemilihan ialah berdasarkan keperibadian dan syakhsiah iaitu orang Islam yang benar-benar layak untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Ini kerana sekiranya diberikan urusan kepimpinan kepada mereka yang rosak akhlaknya, maka amanah yang diberikan itu akan mudah dikhianati dengan amalan-amalan yang haram seperti rasuah, penipuan, penyelewengan harta awam dan sebagainya. Firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 41 bermaksud: ”Mereka (umat Islam) yang jika Kami (Allah) berikan mereka kekuasaan memerintah dibumi, nescaya mereka mendirikan solat serta mengeluarkan zakat, dan menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perbuatan yang munkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan".

Oleh yang demikian, menjadi suatu kewajipan kepada kita sebagai pengundi untuk melantik mereka yang menepati kriteria sebagai pemimpin yang boleh memikul amanah kepimpinan dengan baik sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah di dalam al-Quran. Janganlah memperjudikan masa depan umat Islam dengan memilih mereka yang mempunyai keperibadian yang songsang serta yang mempunyai akhlak yang buruk. Justeru, pemimpin yang wajar diberikan amanah dan tanggungjawab ialah mereka yang menitik beratkan aspek solat, zakat, amar makruf nahi munkar, pengurusan serta pentadbiran yang bersih dan mantap dan sebagainya yang boleh mendatangkan kebaikan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Justeru, kriteria penting dalam memilih pemimpin adalah melantik pemimpin yang bijak dalam melaksanakan amanah Allah SWT di atas muka bumi ini.

Syeikh Mustafa Muhammad at-Tohhan di dalam bukunya Syakhsiah al-Muslim al-Mu’asir telah menyenaraikan beberapa amanah yang perlu dipikul oleh para pemimpin. Antaranya ialah menegakkan syariat Allah berpandukan apa yang telah diturunkan oleh Allah. Seterusnya menegakkan keadilan dalam kalangan manusia tanpa mengira warna kulit dan bangsa serta mengambil tahu dan prihatin terhadap permasalahan rakyat. Selain itu, amanah yang perlu dilaksanakan ialah membangunkan negara dengan jaminan pendidikan dan kesihatan, membuka ruang perdagangan, perusahaan dan pertanian, menjamin hak asasi manusia dan hak persamaan mereka di sisi undang-undang dan seterusnya menjamin kebebasan mengeluarkan pendapat dalam kalangan rakyat jelata.

Satu lagi persoalan yang mungkin timbul dalam suasana pemilihan wakil rakyat dalam pilihanraya umum ini ialah bagaimanakah cara atau kriteria yang terbaik untuk melantik pemimpin dalam kalangan masyarakat bukan Islam iaitu yang melibatkan perebutan jawatan di antara dua orang dalam kalangan bukan Islam?. Sekiranya berhadapan dengan situasi seumpama ini, maka kaedah fiqh yang bermaksud ’mengambil mudharat yang lebih ringan daripada dua kemudharatan’ boleh diambil kira dan diguna pakai. Maksudnya ialah hendaklah dipilih calon yang boleh bekerjasama dan bertolak ansur dengan orang Islam dan kepentingan orang Islam dan mengetepikan calon yang agak susah berkompromi dalam sesuatu yang melibatkan maslahat dan kebaikan masyarakat Islam.

Kesimpulannya ialah kepimpinan bukanlah satu kebanggaan, bukan satu kehebatan dan bukan pula satu perkara yang menyeronokkan, tetapi kepimpinan adalah amanah Allah s.w.t yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab. Kepimpinan bermakna seseorang itu menerima bebanan besar dan akan dibicarakan oleh Allah s.w.t di Padang Mahsyar kelak. Oleh yang demikian, pengundi yang bijak serta cerdik sudah tentu akan memilih pemimpin yang berkelayakan memikul amanah dan tanggungjawab demi mencapai keredhaan Allah. Janganlah membiarkan diri dibelenggu dengan dosa dan kemurkaan Allah dengan sengaja memilih pemimpin yang tidak layak untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang besar ini.

Tuesday, February 12, 2008

Valentine's Day: Wajarkah Umat Islam Turut Menyambutnya?

Oleh:
Ustaz Shauqi

Setiap tahun, tanggal 14 Februari merupakan tarikh 'keramat' dan 'bersejarah' bagi sesetengah orang terutamanya golongan belia dan beliawanis termasuk remaja Islam. Tarikh 'keramat' ini diingati sebagai Valentine's Day atau Hari Kekasih yang dirasakan amat rugi sekiranya ia dilupakan. Biasanya, ia disambut dengan pelbagai acara yang dianggap oleh pasangan kekasih sebagai paling istimewa.

Ada yang saling bertukar-tukar bunga, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, saling meluahkan perasaan cinta di taman-taman bunga dan sebagainya. Pada hari inilah ucapan kasih sayang dilafazkan sebagai bukti ketulusan cinta mereka. Pada hari ini juga pelbagai hadiah dibeli untuk diberikan kepada yang orang yang dicintai dan disayangi.

Budaya menyambut Hari Kekasih ini semakin popular dari semasa ke semasa. Anak-anak muda yang baru mencecah usia baligh pun sudah tahu apa itu Valentine, sedangkan pada masa yang sama mereka masih terpinga-pinga apabila ditanya tentang tarikh kelahiran Rasulullah s.a.w. dan seumpamanya. Malahan ada yang sanggup bersusah payah mengumpul wang bertujuan untuk membeli hadiah kepada 'kekasih hati' sempena menyambut hari yang dianggap penuh romantik ini.

Apa yang lebih membimbangkan dan mendukacitakan ialah sambutan Hari Kekasih ini turut diraikan di pub, di disko dan di kelab-kelab malam, bahkan terdapat segelintir remaja yang sanggup menghadiahkan kehormatan diri kepada pasangan masing-masing demi membuktikan kesetiaan dan kasih sayang mereka.

Apatah lagi apabila menjelangnya bulan Februari, didapati iklan-iklan tentang sambutan Valentine's Day ini boleh didapati dimana-mana, yang sekaligus menyemarakkan jiwa remaja untuk menyambutnya. Tempat-tempat hiburan seperti disko, dan kelab malam pula, berlumba-lumba untuk mengaut keuntungan dengan mempromosi dan menawarkan pelbagai acara untuk merayakan Valentine's Day ini. Media massa juga tidak ketinggalan dalam menghidangkan promosi secara besar-besaran melalui iklan dan tayangan filem yang berkisar tentang perayaan ini.

Sebagai umat Islam, kita harus bertanya apakah Valentine's Day ini suatu bentuk perayaan yang boleh disambut atau pun tidak?. Umat Islam tidak sewajarnya menjadikan budaya 'meniru' dan bertaqlid secara membuta tuli dalam melakukan sesuatu dalam kehidupan mereka. Umat Islam juga tidak sepatutnya terus ditipu dan diperdaya oleh musuh-musuh Islam yang sentiasa inginkan kehancuran berlaku pada masyarakat Islam. Firman Allah s.w.t dalm surah al-Baqarah ayat 120 bermaksud: “Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu sehinggalah kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu”.

Umat Islam sewajarnya mengetahui bahawa beramal dan mengikut budaya dan agama selain daripada Islam, terutamanya di dalam meraikan hari-hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan tersebut, sebenarnya akan menjerumuskan umat Islam kepada kehancuran. Ini kerana perkara-perkara seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak orang Islam, malahan boleh menjejaskan keimanan dan akidah mereka.

Justeru, umat Islam hendaklah menggunakan falsafah iqra' dalam menilai sesuatu perkara yang hendak dilakukan, agar tidak terus hanyut dilambung ombak ganas seumpama 'tsunami' yang boleh menghancurkan sesiapa sahaja. Jadikanlah al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan agar kita tidak tersasar daripada kebenaran. Oleh itu, sebelum umat Islam turut menyambut Valentine's Day, mereka hendaklah mengkaji asal-usul perayaan tersebut agar mereka tidak termasuk dalam golongan 'pak turut' yang melaksanakan sesuatu secara membuta tuli! Firman Allah dalam Surah al-Isra' ayat 36 bermaksud: : “Dan janganlah kamu megikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan dipertanggung jawabkan.”

Mengikut sejarah, Valentine atau nama sebenarnya St. Valentino merupakan seorang paderi paling berpengaruh di zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol. Kedudukannya dikatakan di tempat kedua selepas Pope. Ada beberapa versi yang mengaitkan paderi St. Valentino ini dengan sambutan Valentine's Day.
Versi pertama ialah dia merupakan orang terpenting yang berperanan menumpaskan kerajaan Islam Cordova, Sepanyol. Jasanya itu dianggap sesuatu yang tidak boleh dilupakan dan sangat bermakna. Sehubungan dengan itu, tanggal 14 Februari ditetapkan sebagai cuti umum untuk merayakan kemenangan tersebut pada setiap tahun, sekaligus dapat mengenang jasa St. Valentino itu.
Menurut versi kedua pula, St. Valentino sebelum kejayaannya menumpaskan kerajaan Islam Sepanyol, dikatakan mempunyai dua orang kekasih. Kekasih pertama dikatakan beragama Islam, manakala yang kedua beragama Kristian berfahaman Protestan. Oleh kerana berlainan agama, St. Valentino terpaksa melupakan kekasih pertama dan menumpukan perhatian kepada kekasih kedua. Apabila beliau ditanya tentang bentuk ganjaran yang beliau inginkan berikutan kejayaannya mengalahkan umat Islam, St. Valentino terus menyatakan bahawa dia ingin berkahwin dengan kekasih keduanya itu. Perkara ini menimbulkan kegemparan di kalangan rakyat Cordova kerana Valentino merupakan paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengikut mazhab Protestan, apatah lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Ratu Isabella murka dengan hasrat St. Valentino itu, lantas memerintahkan agar beliau dipenjarakan. Namun, baginda tetap mahu mengingati jasa paderinya itu dengan menetapkan tarikh 14 Februari sebagai 'Hari Mengingati Kekasih' yang ditujukan khas untuk memperingati St. Valentino.
Versi yang seterusnya menyatakan bahawa pada tanggal 14 Februari 270 M, St. Valentino dibunuh kerana penentangannya terhadap penguasa Romawi pada waktu itu iaitu Raja Claudius II (268 - 270 M). Ekoran daripada itu, St Valentino telah dianggap sebagai simbol ketabahan dan keberanian dalam menghadapi cabaran hidup, lalu untuk mengagungkannya, para pengikutnya telah menjadikan tarikh memperingati kematian St. Valentine sebagai 'upacara keagamaan'.
Berdasarkan apa yang dipaparkan mengenai asal-usul sambutan Valentine's Day ini, mengapakah masih terdapat umat Islam yang menganggap bahawa Hari Valentine itu begitu istimewa? Mengapakah masih terdapat umat Islam yang hanya mengikut budaya Barat secara membuta tuli dan semberono sedangkan mereka mengetahui siapakah sebenarnya St. Valentino itu! Diharap agar kesilapan lalu tidak diulangi lagi, lantas masyarakat Islam harus sedar agar tidak lagi terlibat dalam sambutan yang bercanggah dengan Islam ini!
Menurut Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, umat Islam yang meraikan Hari Memperingati Kekasih pada 14 Februari boleh dianggap murtad atau terkeluar daripada Islam jika cara melakukannya mirip dengan agama asal perayaan itu, iaitu Kristian. Beliau berkata bahawa hukum itu boleh jatuh kepada mereka berdasarkan sebuah hadis sahih yang bermaksud: 'Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut.' Datuk Seri Harussani menyatakan sedemikian bagi mengulas sikap umat Islam di negara ini khususnya muda-mudi yang masih cenderung untuk meraikan Valentine's Day setiap kali muncul 14 Februari biarpun telah banyak penerangan disampaikan oleh para ulama. Beliau juga turut menyeru umat Islam agar tidak sekali-kali meniru budaya asing yang ternyata bercanggah dengan ajaran Islam, apatah lagi ia turut menjerumuskan mereka ke lembah kemaksiatan.
Kadang-kala terdapat mereka yang menimbulkan persoalan, salahkah menyambut Hari Kekasih ini sedangkan tujuan sambutan tersebut adalah murni iaitu semata-mata untuk mengingati orang yang disayangi seperti ibu bapa, guru dan seumpamanya?. Sebenarnya, sebagai umat Islam kita tidak perlukan Valentine's Day untuk mengingati seseorang yang dikasihi dan dicintai. Ini kerana Islam sememangnya menggalakkan umatnya kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang waktu dan bukannya menetapkan pada hari-hari tertentu atau berkala sahaja. Bahkan jika tidak bertegur sapa sesama saudara muslim selama tiga hari berturut-turut, hukumnya sudahpun jatuh haram. Jadi amalan atau budaya Islam sendiri sudah terbukti jauh lebih baik daripada yang lain.
Tambahan daripada itu, berkasih sayang bagi Islam juga tidak terhad kepada golongan tertentu sebaliknya meliputi semua pihak dengan keutamaannya diberikan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara muslim dan manusia keseluruhannya. Sehubungan dengan itu, Islam menggalakkan program ziarah-menziarahi di antara satu sama lain, selain berkongsi suka-duka dengan tumpang bersyukur jika senang dan bertakziah atau bersimpati apabila ditimpa malapetaka.
Nabi s.a.w. sendiri memberi penekanan betapa pentingnya persaudaraan dan kasih sayang sesama Islam dalam bentuk saling bekerjasama dan tolong menolong di antara satu sama lain. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah bersabda, maksudnya: 'Allah S.W.T. menolong hamba-Nya selama hamba itu menolong saudaranya' .
Orang yang dapat merasai kemanisan iman ialah mereka yang dapat menjalinkan kasih sayang di antara sesama manusia semata-mata kerana Allah, bukan kerana pangkat, kebendaan dan sebagainya. Perasaan kasih sayang ini bertunjangkan aqidah tauhid kepada Allah yang seterusnya dapat membina perpaduan yang utuh di antara sesama muslim sebagaimana eratnya perpaduan Muhajirin dan Ansar. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: 'Kamu tidak akan dapat masuk syurga sehinggalah kamu beriman, dan kamu tidak dianggap beriman selagi tidak menjalinkan kasih sayang sesama kamu...'
Kasih sayang dalam Islam juga dapat difahami dengan jelas apabila direnung dan dihayati hadis Rasulullah s.a.w. yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud: 'Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah dia mencintai bagi saudaranya apa yang dia cintai bagi dirinya sendiri'.

Monday, February 11, 2008

Kepercayaan Khurafat Dalam Bulan Safar

Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


MUHARAM baharu sahaja berlalu meninggalkan seribu satu azam dan cita-cita di kalangan umat Islam dalam usaha melakukan `penghijrahan' ke arah yang lebih baik serta diredhai Allah s.w.t.

Sambutan tahun baru hijrah yang lalu mengingatkan umat Islam betapa perlunya melakukan perubahan dalam diri masing-masing demi memperoleh kecemerlangan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Namun, sesuatu yang agak menyedihkan ialah semangat hijrah yang diharapkan berkekalan, tidak dapat bertahan lama dalam diri sesetengah umat Islam. Umpama kata pepatah: `Kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari'.

Ini kerana, apabila tibanya bulan Safar terdapat segelintir umat Islam yang masih terbelenggu dengan amalan-amalan dan kepercayaan karut serta bidaah yang diamalkan dalam bulan Safar.

Walaupun sekarang amalan tersebut tidak begitu ketara, namun masih ramai yang percaya bahawa bulan Safar membawa celaka dan sial.

Justeru, terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu yang menggunakan kertas atau papan yang ditulis dengan ayat-ayat tertentu dan mandi dengan air yang direndam ayat-ayat berkenaan untuk menolak bala.

Bulan Safar adalah bulan kedua mengikut perkiraan kalendar Islam yang berdasarkan tahun Qamariah. Safar bermaksud kosong. Ia juga memberi erti, meninggalkan sesuatu tempat apabila merujuk kepada perkataan `safir'. Telah dinyatakan juga bahawa dinamakan bulan Safar ekoran kebiasaan orang Arab yang selalu meninggalkan kampung halaman untuk berperang dan mengembara pada bulan tersebut.

Pada zaman Jahiliah, orang yang hendak bermusafir akan melepaskan seekor burung. Apabila burung itu terbang ke atas atau ke kanan, maka ia akan membawa petanda baik, tetapi jika ia terbang ke kiri atau ke bawah, mereka akan menangguhkan perjalanan kerana mereka beranggapan bahawa bala akan menimpa sekiranya perjalanan diteruskan.

Seterusnya, amalan khurafat dan bidaah yang bertentangan dengan syariat Islam diamalkan di dalam bulan Safar sebagai kesinambungan kepada warisan zaman Jahiliah. Ini kerana menurut kepercayaan turun-temurun sesetengah orang Islam yang jahil, bulan Safar merupakan bulan turunnya bala bencana dan malapetaka, khususnya pada hari Rabu minggu terakhir. Oleh sebab itu setiap tahun mereka akan melakukan amalan-amalan karut dan bidaah sebagai cara untuk menolak bala.

Sama ada sedar atau tidak, masyarakat Melayu Islam di Malaysia masih lagi dibelenggu dengan amalan khurafat dan tahyul seumpama ini pada bulan Safar. Di antara amalan khurafat yang pernah muncul di alam Melayu ialah upacara Pesta Mandi Safar. Amalan ini menjadi popular pada suatu waktu dahulu. Apabila tiba bulan Safar, umat Islam terutamanya yang tinggal berhampiran dengan pantai atau sungai akan mengadakan upacara mandi beramai-ramai dengan kepercayaan bahawa perbuatan tersebut boleh menghapuskan dosa dan menolak bala. Pada kebiasaannya, amalan mandi Safar ini dilakukan pada hari Rabu minggu terakhir dalam bulan Safar.

Selain itu, dalam kalangan masyarakat Melayu juga, khususnya dalam kalangan orang tua, mereka tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dalam bulan Safar. Ini kerana mereka berpendapat dan mempercayai bahawa kedua-dua pengantin tidak akan mendapat zuriat sekiranya majlis perkahwinan dilangsungkan dalam bulan ini. Amalan dan kepercayaan seperti ini jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah seseorang.

Sebenarnya sial dan bala bencana tidak berlaku hanya pada bulan Safar. Firman Allah di dalam surah at-Taubah ayat 51 bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pengawal yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu), maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal".

Rasulullah s.a.w. menyatakan melalui sabdanya yang bermaksud: "Tidak ada penularan penyakit (tanpa izin Allah), tidak ada penentuan nasib dengan burung, tiada kemudaratan burung hantu, dan tiada bala bencana bulan Safar". (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Tambahan daripada itu, Rasulullah s.a.w. juga mengingatkan bahawa orang yang mempercayai keburukan itu datangnya daripada sesuatu selain daripada Allah adalah syirik, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Menyandarkan keburukan kepada sesuatu adalah syirik, dan tidak termasuk dalam golongan kami melainkan orang yang beriman sahaja, dan Allah akan menghilangkan syirik itu dengan tawakkal". (Riwayat Ibnu Majah).

Sesuatu yang tambah menyedihkan lagi ialah apabila terdapatnya umat Islam yang melakukan pelbagai upacara menolak bala pada bulan Safar dengan tidak menganggapnya sebagai suatu perkara khurafat. Mereka seolah-olah tidak memahami apa itu khurafat, lalu melakukan amalan khurafat dengan sewenang-wenangnya.

Khurafat ialah mempercayai sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Kesan paling besar yang akan dihadapi oleh umat Islam apabila mempercayai perkara khurafat ini ialah ia akan menjerumuskan umat Islam ke lembah kekufuran dan kesyirikan. Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut nyata ditegah oleh syarak.

Di samping itu, amalan khurafat tidak mendatangkan sebarang faedah, sebaliknya hanya boleh merosakkan akidah seseorang. Oleh yang demikian, umat Islam hendaklah menjauhkan diri daripada sangkaan atau kepercayaan karut tersebut supaya terselamat daripada amalan-amalan yang boleh membawa kepada syirik.

Amalan khurafat juga boleh menjejaskan kegiatan sosial dan ekonomi umat Islam. Ia akan melahirkan budaya malas berusaha, minda menjadi jumud, kegiatan ekonomi terbantut, mudah berputus asa, tidak bertawakal kepada Allah serta menjejaskan martabat Islam yang syumul.

Apabila seseorang itu percaya kepada makhluk selain Allah, maka ia akan membawa kepada lenyapnya keimanan kepada rukun Islam keenam iaitu percaya kepada qada dan qadar Allah s.w.t. Kepercayaan dan amalan khurafat yang masih membelenggu umat Islam hari ini berpunca daripada akidah yang tidak mantap dan tidak mempunyai kefahaman yang jelas tentang hukum-hakam yang terdapat di dalam Islam. Perlu diingatkan bahawa sebagai seorang Islam, sewajarnya hanya memohon dan meminta sesuatu kepada Allah.

Kepercayaan dan amalan khurafat hanya boleh dibanteras jika seseorang itu berpegang teguh kepada ajaran Islam dengan menjadikan al-Quran dan sunah sebagai rujukan dalam segala tindakan. Dalam hal ini, Nabi s.a.w. menjelaskan kepada kita melalui sabda baginda yang bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya sekiranya berpegang dengan kedua-dua perkara tersebut, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku".

Kepercayaan dan amalan khurafat memang tidak memberikan manfaat langsung, malah lebih menjurus kepada perkara-perkara negatif. Oleh itu, bagi menangani masalah khurafat ini termasuk kepercayaan khurafat dalam bulan Safar, akidah umat Islam hendaklah diperteguhkan agar tidak terus berada di dalam kepompong kejahilan. Apabila akidah sudah mantap, maka minda umat Islam tidak mudah terpengaruh dengan unsur khurafat, sebaliknya akan lebih terbuka serta `berpijak di bumi nyata'.

Firman Allah dalam Surah al-A'raf ayat 33 bermaksud: Katakanlah: Yang diharamkan Tuhanku hanyalah segala yang keji, baik yang lahir mahupun yang batin, maksiat dan melampaui batas tanpa kebenaran dan kamu mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang tiada diberi keterangan kepadanya, dan kamu katakan kepada Allah sesuatu yang tidak kamu ketahui.

Tuesday, February 5, 2008

Gurauan Rasulullah

Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


Gurauan merupakan suatu perkara lumrah dalam kehidupan manusia. Hidup dirasakan bertambah ceria dan bererti apabila terdapatnya gurauan yang menyenangkan hati dan perasaan. Akan tetapi sekiranya gurauan dilakukan dengan secara melampau dan berlebihan, maka bukan keceriaan yang diperoleh, sebaliknya kekusutan, dendam dan pelbagai perkara negatif lain yang akan hadir dalam kehidupan. Bagaimana pula dengan insan agung iaitu Rasulullah saw? Apakah baginda pernah bergurau dalam melayari kehidupan di atas dunia ini, atau baginda bersikap serius dalam segenap perkara?

Sebenarnya, apabila diteliti dalam sirah nabi saw, didapati bahawa Rasulullah sendiri pernah bergurau dengan para sahabat dan juga bergurau dengan isteri-isteri baginda. Malahan, gurauan nabi saw telah menceriakan suasana kehidupan dalam rumahtangga baginda dan mengeratkan lagi persaudaraan dengan para sahabat.

Rasulullah saw juga sentiasa membuatkan ahli keluarganya ceria ketika baginda berada di rumah. Hal yang demikian berlaku kerana Rasulullah saw berjaya menghidupkan suasana yang harmoni dalam rumah dengan sesuatu yang menghiburkan. Anas Bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah saw merupakan orang yang paling menyenangkan bagi isteri-isteri baginda dengan gurauan yang menghiburkan. Aisyah pula berkata bahawa Rasulullah saw ketika berada bersama dengan keluarga di rumah, baginda merupakan seorang yang boleh membuatkan seseorang itu tersenyum dan ketawa.

Namun, sesuatu yang perlu diberi perhatian ialah Rasulullah tidak pernah berbohong dan mereka-reka cerita semata-mata untuk bergurau seperti yang banyak berlaku pada hari ini, sebaliknya Rasulullah tetap menyatakan sesuatu yang benar dan sahih dalam setiap gurauan yang diucapkan oleh baginda saw.

Rasulullah saw juga berusaha mempastikan agar gurauan baginda itu tidak menyakiti hati saudaranya yang lain, sebaliknya ia merupakan suatu perkara yang boleh mendatangkan kegembiraan dan keceriaan. Rasulullah saw pernah bersabda selepas bergurau dengan para sahabat, yang maksudnya: 'Aku hanya mengeluarkan perkataan dan ucapan yang benar'.(Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmidhi dan Imam Ahmad).

Justeru, seseorang yang hendak bergurau, hendaklah memelihara adab-adab gurauan agar gurauan tersebut berlaku dalam suasana kasih sayang dan keceriaan dan tidak menyebabkan berlakunya permusuhan dan dendam. Itulah indahnya Islam!. Sehubungan dengan itu, hindarkanlah daripada gurauan yang boleh menyakiti hati orang lain seperti mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya, menghina orang lain, memperlekehkan seseorang, menggelarkan orang lain dengan sesuatu gelaran yang tidak disukainya, apatah lagi apabila mereka-reka cerita dan berbohong dalam bergurau.

Begitu juga setiap orang hendaklah menghindari gurauan yang keterlaluan. Terdapat dalam masyarakat, mereka yang sentiasa bergurau tanpa mengira masa sehingga perkara yang sepatutnya menjadi serius pun tidak diambil berat. Gurauan seharusnya menjadi ’penambah perisa’ dalam pergaulan, bukannya dijadikan ’bahan utama’.

Terdapat juga golongan yang sanggup melakukan apa sahaja demi membuatkan orang lain ketawa terbahak-bahak walaupun terpaksa melakukan perkara yang bercanggah dengan hukum syarak dan berlawanan dengan ajaran Islam yang suci murni. Untuk tujuan itu, terdapat lelaki yang dengan sengaja berperwatakan wanita semata-mata untuk membuatkan orang lain ketawa. Hal ini amat tidak sesuai dan sudah tentu bercanggah dengan hukum Islam kerana Rasulullah sendiri telah menyatakan bahawa Allah melaknat seseorang lelaki yang meniru perwatakan wanita, dan wanita yang meniru perwatakan lelaki.

Oleh itu, setiap umat Islam wajar mencontohi Rasulullah saw dalam mengutarakan gurau senda agar gurauan yang dilakukan itu dapat memberi kebaikan kepada semua. Antara gambaran gurauan yang diucapkan oleh Rasulullah semasa hayat baginda adalah seperti yang berikut:

  1. Pada suatu hari, datang emak saudara nabi iaitu Sofiyyah Binti Abdul Muttalib, lalu memohon agar Rasulullah mendoakan baginya syurga. Rasulullah saw pun berkata kepada ibu saudaranya itu bahawa orang tua tidak masuk syurga. Ibu saudaranya pun menangis kerana disangkakan bahawa beliau tidak layak untuk masuk ke syurga.

Lalu nabi saw pun menyatakan maksud sebenar daripada gurauannya tadi iaitu penghuni syurga semuanya akan dijadikan muda-muda belaka, maka sudah tentu tiada lagi orang tua di dalam syurga.

  1. Daripada Zaid Bin Muslim menyatakan bahawa terdapat seorang wanita yang dikenali sebagai Ummu Aiman telah datang kepada Rasulullah saw dan memberitahu baginda bahawa suaminya menjemput baginda untuk ke rumahnya. Lalu Rasulullah saw pun bertanya kepada wanita tersebut dengan sabda baginda yang bermaksud, 'siapakah suami awak itu?, apakah kedua-dua matanya berwarna putih?'.

Lalu, wanita tersebut menafikan sekeras-kerasnya dengan menyatakan bahawa suaminya bukanlah seorang yang bermata putih. Walaupun mendengar penafian wanita tersebut, nabi saw tetap mengulanginya sekali lagi dengan menyatakan bahawa suaminya bermata putih. Wanita tersebut pun menafikannya juga. Lalu nabi saw memberitahu maksud sebenar kepada wanita tersebut, bahawa setiap orang mempunyai mata putih yang melingkungi mata hitamnya.

  1. Daripada Anas Bin Malik meriwayatkan bahawa terdapat seorang wanita datang kepada Rasulullah saw seraya berkata: ’Berikanlah aku seekor unta untuk aku menunggangnya’. Lalu jawab Rasulullah: ’Bahkan aku akan memberikan kepadamu anak unta untuk engkau tungganginya’. Wanita itu pun berkata: ’Anak unta tidak dapat memberi manfaat kepadaku kerana ia sudah tentu tidak mampu untuk berjalan apabila aku menungganginya’.

Maka berkatalah Rasulullah menerangkan maksudnya yang sebenar iaitu setiap unta itu adalah anak kepada unta yang lain, jadi yang dimaksudkan bukanlah anak unta yang kecil, sebaliknya unta yang besar.

  1. Abu Talhah mempunyai anak lelaki kecil yang dikenali sebagai ’Abu ’Umair’. Anak lelaki Abu Talhah ini memelihara seekor anak burung yang diberi nama ’Nughair’. Rasulullah saw selalu bergurau dengan budak kecil ini apabila bertemu dengannya dengan bertanya kepada budak itu tentang anak burung yang dipeliharanya dengan kata baginda: ’Wahai Abu ’Umair, apakah yang dibuat oleh Nughair’. Gurauan Rasulullah ini membuatkan budak kecil itu berasa gembira dan senang dengan Rasulullah.
  1. Anas Bin Malik menyatakan bahawa Rasulullah saw pernah bergurau dengannya dan memanggilnya dengan kata-kata berikut: ’Wahai orang yang mempunyai dua telinga’.

Monday, February 4, 2008

Wanita Dan Tudung

Oleh: Ustaz Shauqi


Saya pernah terbaca dalam akhbar mengenai kisah seorang artis wanita yang bertudung yang telah menyatakan prinsipnya bahawa beliau sekali-kali tidak akan menanggalkan tudungnya demi kerjaya. Namun, akhbar tersebut juga selepas daripada itu telah melaporkan bahawa artis wanita ini telah membuka tudungnya demi untuk melibatkan diri dalam sebuah teater lakonan. Apabila diajukan persoalan oleh pihak wartawan, artis ini menyatakan dengan tegas bahawa beliau tidak pernah membuka aurat. Apa yang disaksikan sebenarnya ialah rambut palsu bagi menutup rambutnya yang asal. Oleh itu, beliau menegaskan apabila rambutnya yang asal tidak kelihatan, dan yang kelihatan hanyalah rambut palsu dan lehernya, maka dia dikira masih beriltizam dengan prinsip untuk tidak membuka aurat!.

Di samping kisah di atas, kedapatan fesyen tudung pada hari ini yang semakin digemari oleh wanita Islam ialah yang hanya menutup kepala dan rambut tetapi menampakkan leher mereka yang jinjang. Saya juga pernah berjumpa dengan wanita yang sebelum ini memakai tudung yang menutupi kepala dan leher telah menukar kepada tudung yang dianggap sebagai fesyen baru ini iaitu dengan menampakkan leher. Kononnya inilah yang dianggap ‘up to date’.

Persoalannya, apakah tudung yang dipakai ini sudah dianggap menutup aurat dan menepati hukum syarak? Ramai remaja perempuan yang semakin keliru dengan pelbagai fesyen tudung yang wujud pada hari ini, lalu menganggapnya ianya sudah cukup untuk menutup aurat. Asalkan ada tudung di kepala, maka ia dikira menutup aurat! Kekeliruan yang timbul dalam isu tudung ini perlu di ambil perhatian oleh wanita muslimah yang prihatin terhadap hukum-hakam di dalam Islam. Janganlah kita hanya sekadar menjadi ’pak turut’ atau ’mak turut’ yang tidak tahu apakah yang kita lakukan itu benar atau salah. Akibatnya, majoriti wanita Islam yang memakai tudung tidak menutup aurat!

Al-Quran telah menjelaskan batas aurat bagi wanita muslimah. Antaranya ialah firman Allah yang bermaksud:
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya (muka dan pergelangan tangan); dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka....." [Surah An-Nur:31}

Dalam ayat yang lain, Allah menjelaskan melalui firmanNya yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Surah Al-Ahzab:59].

Sebelum turunnya ayat ini, kebiasaannya wanita Arab keluar rumah dengan memperlihatkan rambut, leher, telinga, dada dan sebahagian daripada kecantikan dan perhiasan yang ada pada mereka. Lalu ayat ini diturunkan dan memberi penjelasan kepada wanita muslimah agar menutup aurat mereka dengan sewajarnya. Ayat ini juga diturunkan oleh Allah sebagai penyelamat kepada wanita muslimah agar tidak diganggu oleh orang munafik dan fasik.

Justeru, Para ulama telah memberikan panduan kepada kita berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah bahawa aurat seorang wanita muslimah itu bukanlah hanya terletak pada tudungnya sahaja. Sebaliknya aurat bagi wanita muslimah itu datang dalam satu ’pakej’ iaitu:

  1. Pakaian yang menutupi seluruh tubuh kecuali muka dan pergelangan tangan
  2. Pakaian yang tidak ketat yang boleh menampakkan susuk tubuh
  3. Pakaian yang tidak jarang sehingga menampakkan warna kulit dan anggota badan

Sunday, February 3, 2008

Wanita Bertudung Melakukan Maksiat

Oleh: Ustaz Shauqi

Sejak akhir-akhir ini terdapat banyak laporan yang melibatkan wanita bertudung yang melakukan maksiat, sama ada ditangkap ketika berkhalwat, berpelukan dengan lelaki yang bukan mahram, melakukan aksi-aksi yang tidak senonoh dan menjolok mata dan pelbagai jenis maksiat lagi. Bahkan apa yang lebih dahsyat, kedapatan wanita yang bertudung juga merupakan pelacur yang menggadai kehormatan diri untuk mendapat habuan rezeki bagi menampung kehidupan.

Sehubungan dengan itu, timbul persoalan apakah tudung yang dipakai oleh wanita-wanita tersebut tidak dapat menginsafkan diri atau menyelamatkan diri daripada terlibat dalam gejala-gejala negatif dan maksiat? Apa guna memakai tudung, tetapi maksiat tetap dilakukan! Akibatnya, ia memberikan tanggapan negatif kepada wanita yang bertudung. Ia juga mengakibatkan wanita yang berjinak-jinak dengan Islam dan berkeinginan untuk menutup aurat, telah ‘tertutup selera’ untuk mengenakan tudung di kepala kerana ia seolahnya telah membawa satu impak yang negatif.

Natijahnya, nilai wanita yang bertudung dan tidak bertudung menjadi sama sahaja di mata masyarakat, bahkan wanita yang bertudung kelihatan seolahnya lebih banyak terlibat dalam perlakuan maksiat jika dibandingkan dengan wanita yang tidak bertudung. Seolahnya juga, peraturan ‘bertudung’ yang digariskan oleh Islam tidak dapat memberi apa-apa kesan ke arah untuk mengubah sikap dan akhlak agar menjadi lebih baik. Justeru, terdapat suara-suara yang menafikan terus kewajipan bertudung dalam kalangan wanita Islam, kerana ianya tidak dapat memberi apa-apa kebaikan, sebaliknya hanya memberikan kesan yang negatif semata-mata.

Oleh itu, bagaimanakah penyelesaian terhadapa perkara ini?. Persoalan yang perlu difikirkan bersama ialah adakah Islam benar-benar mewajibkan wanita memakai tudung, atau ajaran Islam memberikan kebebasan kepada wanita dalam hal ini? Jawapannya sudah tentu tidak!. Ajaran Islam tidak pernah menyuruh wanita Islam bertudung semata-mata, tetapi mereka dikehendaki menutup aurat. Timbul persoalan lagi, apakah tudung itu bukan menutup aurat?. Ya, sekiranya sekadar memakai tudung sahaja, ia tidak dinamakan menutup aurat mengikut kehendak Islam. Justeru, wanita bertudung yang ditangkap ketika melakukan maksiat itu hamper kesemuanya atau majoritinya tidak menutup aurat!

Mungkin kenyataan ini agak kontroversi, tetapi itulah hakikat yang harus diterima, iaitu majority wanita Islam yang bertudung pada hari ini, mereka tidak termasuk dalam golongan yang menutup aurat. Oleh itu, tidak hairanlah mereka ini sering terjebak dalam perkara maksiat, kerana tudung semata-mata tidak membawa apa-apa erti sekiranya seseorang itu tidak menutup aurat!. Masyarakat Islam wajar memahami perbezaan di antara tudung fesyen dan tudung yang menutup aurat. Boleh dikatakan amat ramai sekali wanita Islam pada hari ini memilih untuk memakai tudung fesyen daripada tudung untuk menutup aurat.

Apa tidaknya, kelihatan amat ramai wanita yang memakai tudung, tetapi dalam masa yang sama mengenakan seluar ‘jeans’ yang ketat yang menonjolkan bentuk tubuh yang menggiurkan teman-teman lelaki mereka. Begitu juga mereka yang bertudung, tetapi juga dibaluti dengan baju ketat yang menonjolkan bentuk buah dada mereka dengan begitu jelas. Tidak kurang pula wanita yang bertudung ini memakai pakaian yang jarang menampakkan tubuh badan mereka. Kalau beginilah tudung yang dipakai, ia hanya boleh dianggap sebagai tudung fesyen, bukannya tudung yang menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki di dalam ajaran Islam.