Oleh: Ustaz Shauqi
Pada musim pilihanraya ini, kadang-kala terdapat mereka yang sanggup mengorbankan keberkatan dalam hidup dengan memberikan rasuah semata-mata untuk mendapat kemenangan. Apa gunanya menang dan mendapat jawatan tetapi kemenangan tersebut disaluti dengan perkara haram yang mengundang ketidak berkatan dalam hidup di dunia ini... apatah lagi di akhirat!. Perlu diingatkan bahawa kehidupan ini tidak akan membawa apa-apa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta atau rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya walaupun hartanya banyak tetapi tidak ada keberkatan, akan dirasakan sempit dan susah.
Setiap orang yang mengaku dirinya beragama Islam, hendaklah yakin dan percaya bahawa jawatan dan harta yang diperolehi melalui jalan yang tidak diredai Allah tidak akan berkat.
Hidup yang dihiasi dengan keberkatan akan mengundang ketenangan dan kebahagiaan dalam diri. Betapa ramai manusia yang kaya pada hari ini serta yang mempunyai jawatan yang tinggi, namun adakah mereka semua hidup dalam ketenangan dan kebahagiaan?
Anugerah ini hanya diberi kepada mereka yang mempunyai harta dan kehidupan yang berkat. Akan tetapi, ketenangan dan kebahagiaan tidak akan dianugerahkan Allah kepada manusia yang hartanya dan hidupnya tidak berkat!.
Kekayaan dan jawatan yang disaluti rasuah akan menyebabkan harta yang dimiliki tidak ada keberkatan. Seterusnya ia akan menghakis ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Apa guna wang yang banyak dan jawatan yang tinggi kalau hidup sentiasa diburu resah gelisah. Gelisah di dunia, di akhirat pula akan dihumban ke dalam neraka!
Menurut hukum syarak rasuah adalah tergolong dalam perbuatan dosa-dosa besar, kerana ia termasuk dalam perkara memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah. Ini berdasarkan dalil-dalil al-Quran, hadis dan ijmak para ulama.
Allah s.w.t berfirman maksudnya, Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (al-Baqarah: 188).
Dalam ayat yang lain, Allah s.w.t menyatakan yang mafhumnya, Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)... (al-Ma’idah: 42)
Berdasarkan ayat-ayat al-Quran di atas, Allah melarang umat-Nya memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah. Perbuatan rasuah termasuk memakan harta dengan jalan yang salah itu. Ayat berikutnya pula menjelaskan sifat atau karakter orang Yahudi yang sentiasa mengagungkan kebatilan, pembohongan serta memakan rasuah.
Pengharaman rasuah juga disebut oleh Rasulullah s.a.w dengan hukuman laknat atau kutukan Allah dan Rasul-Nya. Antara hadis yang membincang tentang rasuah ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru, beliau berkata yang bermaksud, bersabda Rasulullah, Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah. (riwayat Ibnu Majah) .
Ancaman terhadap rasuah ini bukan sahaja ditujukan kepada pemberi dan penerimanya, malahan juga kepada orang tengah atau pengantara perbuatan rasuah tersebut. Hal ini disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Tsauban r.a katanya, Rasulullah s.a.w melaknat pemberi rasuah, penerima dan pengantara iaitu yang menjadi penghubung antara keduanya. (riwayat Imam Ahmad).
Mereka yang terlibat dengan perbuatan rasuah itu selain daripada mendapat laknat Allah dan Rasul-Nya, mereka juga akan menerima azab yang pedih di akhirat kelak, sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a. yang bermaksud, Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka. (riwayat al-Tabrani).
Sehubungan itu, jauhilah diri daripada sebarang unsur rasuah demi ketenangan hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat.
No comments:
Post a Comment