Friday, February 22, 2008

Mantapkan Ilmu Aqidah

Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


Seorang budak lelaki Palestin sedang melontar batu ke arah kereta-kereta kebal Israel. Lalu seorang wartawan yang sedang membuat liputan bertanya kepada kanak-kanak tersebut apakah batu-batu kecil yang dilontarkannya itu dapat memberi apa-apa kesan terhadap kereta kebal besi itu?. Kanak-kanak itu menjawab dengan penuh keyakinan bahawa sekiranya dizinkan oleh Allah, segala kereta perisai dan kereta kebal dapat dihancurkan walaupun dengan seketul batu yang kecil! Begitulah hebatnya keyakinan seorang budak terhadap kekuasaan Allah. Budak itu tidak berfikir berdasarkan lojik dan akal semata-mata sebaliknya meletakkan keyakinan dan keimanan kepada kudrat Allah Yang Maha Tinggi.

Generasi kini sewajarnya dididik untuk kembali kepada pegangan aqidah yang mantap demi mengembalikan generasi para sahabat yang telah ditarbiah dengan kekuatan aqidah yang menatijahkan kegemilangan Islam terpancar ke seluruh dunia. Tidak cukup bagi seseorang muslim untuk melaksanakan ibadah kepada Allah tetapi dalam masa yang sama masih tidak mengenali Allah! Sehubungan dengan itu, didapati dalam masyarakat Islam kini mereka yang tidak sensitif apabila Islam dihina, dan gejala murtad semakin berleluasa. Mengapakah semua ini terjadi? Tidak lain dan tidak bukan ia adalah berpunca daripada kerapuhan aqidah yang melanda umat pada zaman kini!.

Aqidah merupakan ilmu yang amat penting untuk dipelajari kerana ia berkaitan dengan makrifah kepada Allah, RasulNya dan agamaNya. Ilmu Aqidah juga dikenali sebagai ilmu Tauhid dan ilmu Iman. Ilmu yang berkaitan dengan aqidah, tauhid dan iman ini akan merealisasikan kebahagiaan dan kejayaan umat Islam di dunia dan di akhirat.

Allah telah menjanjikan kebaikan yang banyak kepada golongan yang beriman di atas dunia ini lagi. Antaranya ialah:

  • Memberi pertolongan dengan kemenangan terhadap musuh. Firman Allah dalam surah al-Rum ayat 47 bermaksud: ”… dan Kami selalu berkewajipan menolong orang yang beriman”.
  • Mempertahankan dan membela golongan beriman. Firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 38 bermaksud: ”Sesungguhnya Allah membela orang yang telah beriman”.
  • Pelindung kepada orang beriman. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 257 bermaksud: ” Allah pelindung orang yang beriman”
  • Memberi hidayah dan petunjuk. Firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 54 bermaksud: ”… Sesungguhnya Allah adalah pemberi petunjuk bagi orang yang beriman kepada jalan yang lurus”.
  • Golongan kafir tidak dapat menguasai golongan beriman. Firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 141 bermaksud: ”... dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang kafir untuk memusnahkan orang yang beriman”.
  • Kemampuan memerintah di atas dunia. Firman Allah dalam surah al-Nur ayat 55 bermaksud: ” Dan Allah telah berjanji kepada orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amalan yang soleh bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa”.
  • Rezeki yang baik dan keberkatan. Firman Allah dalam surah al-‘A’raf ayat 96 bermaksud: ”Jikalau sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi”.
  • Kemuliaan dan kekuatan. Firman Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 8 bermaksud: “Kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi rasul-Nya dan bagi orang mukmin” .
  • Kehidupan yang baik. Firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 97 bermaksud: “Barangsiapa yang mengerjakan amalan soleh, baik lelaki mahu pun perempuan dalam keadaan beriman, Maka Sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik”.

Manakala di akhirat pula, limpah kurnia Allah akan diberikan dengan amat banyak kepada golongan yang beriman. Ini ditegaskan melalui firman Allah dalam Surah al-Kahf ayat 107-108 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka adalah syurga Firdaus menjadi tempat tinggal, Mereka kekal di dalamnya, mereka tidak ingin berpindah daripadanya”.

Namun apabila dilihat secara realitinya terhadap apa yang berlaku kepada umat Islam akhir-akhir ini jelas menunjukkan bahawa janji Allah kepada orang beriman tidak dapat dikecapi lagi oleh umat Islam. Umat Islam pada zaman moden ini nampaknya begitu mudah dapat ditewaskan oleh musuh dan berada dalam kehinaan. Mereka juga amat takut dan gentar apabila berhadapan dengan Negara kerdil Yahudi iaitu Israel. Mengapakah semua ini terjadi kepada umat Islam?

Jawapan kepada persoalan tersebut sangat berkaitan dengan keimanan umat Islam pada hari ini. Jelasnya, umat Islam pada hari ini mempunyai keimanan yang sangat lemah dan rapuh, sifat-sifat keimanan juga semakin pudar daripada menghiasi keperibadian seorang muslim. Lalu, bagaimanakah umat Islam akan mendapat pertolongan daripada Allah? Pertolongan Allah hanya akan diberikan kepada mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dengan aqidah yang mantap dan teguh. Benarlah seperti apa yang telah dikatakan oleh Saidina Umar al-Khattab yang bermaksud: ”Kita adalah golongan yang dimuliakan oleh Allah apabila kita berpegang dengan Islam, tetapi apabila kita tidak lagi berpandukan ajaran Islam, nescaya Allah akan menghina kita”.

Sekiranya umat Islam pada hari ini terus mengekalkan sifat keimanan yang rapuh, maka sudah tentu mereka akan terus ditimpa kehinaan di atas dunia ini. Manakala di akhirat pula, azab yang pedih sedang menanti di neraka Allah.

Justeru, umat Islam wajib kembali memperbaharui semangat dan tekad untuk mengukuhkan iman dan aqidah melalui jalan ilmu, dan seterusnya memperluaskan ilmu aqidah dalam kalangan umat Islam yang lain serta bersama-sama memelihara hukum syara’ agar ia sentiasa dapat dilaksanakan dengan baik.

Para ulama’ dan pemerintah Islam pula mestilah segera menangani segala masalah aqidah yang berlaku dalam kalangan masyarakat Islam. Jangan dibiarkan aqidah umat Islam terus rapuh, sedangkan dalam masa yang sama gerakan yang berusaha untuk menghancurkan aqidah Islam terus bergerak dan berjalan dengan sewenang-wenangnya dan dengan jayanya seperti gerakan kristianisasi, ajaran sesat dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment