Followers

Wednesday, March 12, 2008

Aurat Dalam Solat & Di Luar Solat

Solat Cara Rasulullah SAW (Siri 5)

Oleh
Mohd Sukki Bin Othman (Ust Shauqi)
(Artikel ini telah disiarkan dalam majalah Milenia Muslim bulan Februari 2008)


Aurat menurut pengertian syarak ialah sesuatu yang wajib ditutup dan diharamkan melihatnya. Menutup aurat merupakan syarat sah solat. Aurat hendaklah ditutup ketika menunaikan solat walau berada jauh daripada pandangan mata manusia atau berada dalam kegelapan. Para ulama’ bersepakat mengatakan bahawa batal solat orang yang tidak menutup aurat sedangkan dia mampu berbuat demikian.

Sempadan menutup aurat bagi lelaki ialah di antara pusat dan lutut. Manakala bagi perempuan ialah menutup seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan (pergelangan tangan). Allah swt telah berfirman dalam surah al-A’raf ayat 31, bermaksud: ”Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah pada setiap kali (memasuki) masjid...”. Ibnu Abbas telah menyatakan bahawa maksud daripada ayat ini ialah memakai pakaian (menutup aurat) ketika menunaikan solat. (Sila Rujuk Mughni Muhtaj dan al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh).

Al-Tirmidhi meriwayatkan daripada Saidatina Aisyah, katanya: Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: ”Tidak diterima solat perempuan yang telah baligh melainkan dengan kain yang menutup kepalanya”. Apabila kepala wajib ditutup, maka menutup seluruh badan adalah lebih utama.

Daripada Ummu Salamah, bahawasanya beliau pernah bertanya kepada rasulullah saw: ”Apakah seseorang wanita itu boleh menunaikan solat dengan memakai baju panjang dan penutup kepala tanpa memakai kain sarung?”. Jawab baginda Rasulullah: ”Boleh sekiranya baju itu luas yang boleh menutupi bahagian atas telapak kakinya”. (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud).

Terdapat beberapa syarat tambahan yang perlu dipatuhi di samping menutup antara pusat dan lutut bagi lelaki dan menutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan pergelangan tangan bagi perempuan. Syarat-syarat tersebut adalah seperti yang berikut:-

Wajib memakai pakaian tebal yang sekurang-kurangnya boleh menutup warna kulit badan. Sekiranya pakaian yang dipakai itu nipis dan menampakkan warna kulit, maka ia tidak dianggap menutup aurat dan solat tidak sah.
Pakaian yang dipakai tidak terlalu ketat yang boleh menampakkan susuk tubuh pemakainya.

Oleh yang demikian, hendaklah dipastikan bahawa pakaian yang dipakai untuk menutup aurat ketika menunaikan solat menepati kriteria yang ditetapkan oleh hukum syara’ agar solat yang ditunaikan itu menjadi sah dan diterima oleh Allah. Bagaimana pula hukumnya sekiranya aurat terdedah secara tiba-tiba ketika menunaikan solat akibat tiupan angin dan seumpamanya?

Para ulama’ ketika membincangkan persoalan ini telah menyatakan bahawa tidak batal solat apabila orang yang sedang menunaikan solat itu bersegera menutup kembali auratnya setelah menyedari ianya terdedah kerana tiupan angin. Akan tetapi sekiranya seseorang itu cuai dengan tidak mempedulikan auratnya yang terdedah atau ia mengambil masa yang agak lama untuk menutup auratnya kembali, maka solatnya itu dianggap batal dan tidak sah. Inilah pandangan yang telah dikemukakan oleh ulama’ aliran mazhab Syafe’i dan Hanbali. (Sila Rujuk al-Fiqh al-Islamiy Wa Adilatuh karangan Syeikh Dr Wahbah Zuhayli, jilid 1, halaman 582, cetakan Dar al-Fikr, Damsyik, tahun 1989).


Sempadan Aurat Di Luar Solat

Sempadan aurat seseorang itu apabila berada di hadapan orang yang bukan mahram ketika berada di luar solat adalah sama seperti keadaan auratnya ketika berada dalam solat. Oleh yang demikian seseorang yang mempraktikkan menutup aurat dalam kehidupan hariannya, sudah tentu akan memudahkannya untuk menunaikan solat walau di mana sahaja dia berada.

Kadang-kala berlaku kekeliruan terutamanya bagi wanita yang menganggap bahawa solat tidak sah tanpa memakai ’telekung sembahyang’. Oleh itu, apabila seseorang wanita itu terlupa untuk membawa ’telekung sembahyangnya’, maka dia akan meninggalkan solat dengan alasan tidak dapat menutup aurat!. Ini merupakan persepsi yang salah terhadap aurat. Sebenarnya, apabila seseorang muslimah itu beriltizam dengan menutup aurat apabila berada di luar rumah iaitu dengan menutup seluruh tubuhnya kecuali muka dan pergelangan tangan, maka dia boleh menunaikan solat dengan menggunakan pakaian tersebut asalkan ianya bersih, tanpa diperlukan ’telekung sembahyang’!.

Akan tetapi sesuatu yang amat menyedihkan berlaku dalam masyarakat kita ialah apabila sebilangan umat Islam hanya menutup aurat di dalam solatnya sahaja, tetapi apabila selesai menunaikan solat, kewajipan menutup aurat terus dilupakan. Seolahnya seseorang itu hanya mengabdikan diri kepada Allah ketika menunaikan solat sahaja, sebaliknya ketika tidak menunaikan solat, dia terus melakukan penderhakaan kepada Allah. Fenomena ini merupakan sesuatu yang amat malang dan perlu diperbetulkan segera agar solat yang ditunaikan itu dapat membina keperibadian muslim yang unggul yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah swt.

Di samping itu, terdapat juga kekeliruan terutama dalam kalangan wanita Islam tentang konsep aurat di luar solat. Ada yang menyangka bahawa apabila sudah ditutup kepalanya dengan tudung, maka ia sudah menutup aurat. Ramai remaja perempuan pada hari ini yang semakin keliru dengan pelbagai fesyen tudung yang wujud, lalu menganggapnya ianya sudah cukup untuk menutup aurat. Asalkan ada tudung di kepala, maka ia dikira menutup aurat! Kekeliruan yang timbul dalam isu tudung ini perlu di ambil perhatian oleh wanita muslimah yang prihatin terhadap hukum-hakam di dalam Islam. Janganlah kita hanya sekadar menjadi ’pak turut’ atau ’mak turut’ yang tidak tahu apakah yang kita lakukan itu benar atau salah. Akibatnya, ramai juga didapati wanita Islam yang memakai tudung tetapi tidak menutup aurat!


Al-Quran telah menjelaskan batas aurat bagi wanita muslimah. Antaranya ialah firman Allah yang bermaksud "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya (muka dan pergelangan tangan); dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka....." [Surah An-Nur:31} Dalam ayat yang lain, Allah menjelaskan melalui firmanNya yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Surah Al-Ahzab:59]


Sebelum turunnya ayat ini, kebiasaannya wanita Arab keluar rumah dengan memperlihatkan rambut, leher, telinga, dada dan sebahagian daripada kecantikan dan perhiasan yang ada pada mereka. Lalu ayat ini diturunkan dan memberi penjelasan kepada wanita muslimah agar menutup aurat mereka dengan sewajarnya. Ayat ini juga diturunkan oleh Allah sebagai penyelamat kepada wanita muslimah agar tidak diganggu oleh orang munafik dan fasik.

Ajaran Islam tidak pernah menyuruh wanita Islam bertudung semata-mata, tetapi dikehendaki menutup aurat. Sekiranya sekadar memakai tudung sahaja, ia tidak dinamakan menutup aurat mengikut kehendak Islam. Justeru, didapati bahawa wanita bertudung yang ditangkap ketika melakukan maksiat dan perkara-perkara tidak senonoh hampir kesemuanya atau majoritinya tidak menutup aurat walaupun mereka bertudung!

Masyarakat Islam wajar memahami perbezaan di antara tudung fesyen dan tudung yang menutup aurat. Boleh dikatakan amat ramai sekali wanita Islam pada hari ini memilih untuk memakai tudung fesyen daripada tudung untuk menutup aurat.Apa tidaknya, kelihatan amat ramai wanita yang memakai tudung, tetapi dalam masa yang sama mengenakan seluar ‘jeans’ yang ketat yang menonjolkan bentuk tubuh. Begitu juga mereka yang bertudung, tetapi juga dibaluti dengan baju ketat yang menonjolkan bentuk dada mereka dengan begitu jelas. Tidak kurang pula wanita yang bertudung ini memakai pakaian yang jarang menampakkan tubuh badan mereka. Kalau beginilah tudung yang dipakai, ia hanya boleh dianggap sebagai tudung fesyen, bukannya tudung yang menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki di dalam ajaran Islam.

Kalaulah perkara seumpama ini terus berlaku, maka jelaslah bahawa kekeliruan dalam persoalan aurat dalam kalangan wanita pada hari ini telah membawa kepada penyakit barah yang semakin lama semakin parah. Sehubungan dengan itu, perlulah disuntik kesedaran dengan segera berasaskan ilmu agar umat Islam kembali menghayati peraturan dan sistem aurat yang wujud dalam syariat Islam yang bertujuan membawa kebaikan dan keharmonian hidup individu mahupun masyarakat.

Lihat dua gambar di bawah yang jelas menunjukkan kejahilan apabila TIDAK menutup aurat ketika menunaikan solat, bahkan ia dibuat sesuka hati tanpa berpandukan ajaran Islam!



2 comments:

  1. assalamualaikum ustaz,
    saya amat bersetuju dengan apa diperkatakan oleh ustaz..
    bolehkah saya mengambil rencana ini un tuk dimuatkan di multiply saya?
    saya boleh dihubungi di limbuyong@yahoo.com
    terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam ...

    Boleh..tak de masalah. Sabda nabi saw bermaksud: Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat. So...ilmu hendaklah disampai-sampaikan.

    Wassalam.

    ReplyDelete