Followers

Wednesday, March 26, 2008

Perdamaian Dengan Israel: Adakah Syara’ Mengharuskannya?

Oleh: Ustaz Shauqi


Apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada tahun 1914, Inggeris dan Yahudi telah bersekongkol menentang Khilafah Uthmaniah. Kesan daripada peperangan ini ialah tewasnya Daulah Uthmaniah. Dengan kekalahan itu, Palestin telah menjadi milik Britain, lalu Britain telah menyerahkan Negara Palestin kepada Yahudi pada November 1917. Dengan ini bermulalah penempatan dan penguasaan Yahudi terhadap negara Palestin dan bilangan orang Yahudi yang mendiami Palestin telah bertambah dari semasa ke semasa. Lalu, Yahudi telah mengisytiharkan dengan rasminya kependudukan mereka di Palestin sebagai sebuah negara pada tahun 1948.

Semenjak daripada peristiwa itu, rakyat Palestin telah berusaha sedaya upaya untuk tidak berundur dari bumi Palestin. Mereka telah melancarkan serangan jihad terhadap Yahudi. Namun mereka telah ditewaskan, sebaliknya Yahudi telah mengisytiharkan Palestin sebagai negara mereka. Yahudi juga telah membahagikan Palestin kepada tiga bahagian: bahagian terbesar dari bumi Palestin menjadi hak milik negara Yahudi, Semenanjung Barat diserahkan kepada Jordan manakala Semenanjung Gaza telah diserahkan kepada Mesir.

Pada tahun 1967, Yahudi telah bertindak untuk menguasai kawasan-kawasan Palestin yang belum dikuasai oleh mereka. Dalam usaha ini, Yahudi telah menggunakan kekuatan tenteranya. Namun rakyat Islam Palestin tidak berdiam diri, malahan mereka berjuang habis-habisan dan berjihad menentang Yahudi. Rakyat Islam Palestin telah melancarkan ‘intifadah’ untuk menentang Yahudi pada tanggal 8 Disember 1987. Pengorbanan dan perjuangan rakyat Palestin ini membuahkan hasil apabila dapat mengkucar-kacirkan tentera Yahudi di samping dapat memusnahkan kereta-kereta kebal, kereta-kereta perisai dan sebagainya yang menjadi milik Yahudi.

Pada waktu gerakan ‘intifadah’ ini memuncak yang merisaukan Yahudi, maka terdengarlah suara-suara daripada luar yang meminta agar dimeterai perjanjian damai dengan Yahudi ini. Suara-suara itu meminta agar diadakan perdamaian dengan pengunduran puak Yahudi sedikit demi sedikit dari bumi suci umat Islam itu.

Maka dari sinilah, datangnya fatwa dari ulama-ulama Islam yang menghalang pengunduran umat Islam dari mana-mana bahagian dari bumi Palestin. Ini adalah kerana tanah Palestin melibatkan aqidah dan agama umat Islam yang tidak seharusnya sesiapapun mengabaikan bumi suci yang telah dibuka oleh orang Islam terdahulu dengan darah-darah mereka ini, dan yang terus memeliharanya sejak sekian lama.

Tambah memilukan lagi apabila keputusan Kongres Amerika bernombor (106) menyatakan bahawa bandar al-Quds sepatutnya menjadi ibu negara Israel untuk selama-lamanya. Dunia Islam dikejutkan dengan keputusan Kongres Amerika yang telah mengisytiharkan al-Quds sebagai milik Israel itu. Lalu, Majlis Fatwa Kerajaan Jordan menolak sekeras-kerasnya keputusan ini yang bercanggah dengan hak asasi manusia. Sesungguhnya keputusan Kongres Amerika itu telah menggambarkan permusuhan mereka yang nyata dengan aqidah setiap umat Islam di atas muka bumi ini. Amerika Syarikat dan Israel juga telah bersatu untuk mengembangkan kezaliman dan permusuhan mereka terhadap bumi Palestin.

Kekejaman Israel bukanlah perkara baru. Sejak mereka berjaya menguasai wilayah Palestin secara kekerasan dan rampasan, mereka sering sahaja melakukan siri serangan dan kezaliman kepada penduduk Palestin. Dalam pada itu, terdapat usaha-usaha yang dilakukan untuk berdamai dengan Israel. Apakah tindakan perdamaian dengan Israel merupakan sesuatu yang wajar dan dibenarkan oleh syarak?

Sebenarnya, perselisihan yang terdapat di kalangan para ulama’ hanyalah meliputi perkara-perkara yang berkaitan dengan perdamaian antara golongan Islam dan golongan yang memerangi Islam (ahlul harbi). Sebahagian daripada ulama’ melarang keras perdamaian ini, malahan tidak harus untuk bekerjasama dengan golongan yang memerangi umat Islam. Kenyataan ini adalah berdasarkan ayat-ayat Allah yang menyeru supaya berperang dengan golongan yang memerangi Islam sehinggalah mereka menyerah kalah dan patuh kepada pemerintahan Islam.

Firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 29, maksudnya: “Perangilah orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada Hari Akhirat dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan tidak beragama dengan agama yang benar( agama Allah ), (iaitu orang) yang diberikan al-Kitab kepada mereka, sampai mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk”.

Begitu juga firman Allah dalam Surah Muhammad ayat 4 yang bermaksud: “Apabila kamu bertemu dengan orang kafir ( di medan perang ) maka pancunglah leher mereka. Sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka maka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sampai perang berhenti”.

Sesungguhnya ayat-ayat al-Quran ini menyeru kepada peperangan terhadap golongan yang memerangi Islam sehinggalah mereka menyerah atau menghentikan peperangan. Sesungguhnya apabila umat Islam masih diperangi oleh mereka, maka tiada perdamaian dan tiada kerjasama dengan mereka.

Manakala ulama’ yang mengharuskan perdamaian dengan golongan yang memerangi umat Islam pula, mereka berhujah bahawa ayat al-Quran yang diturunkan tidak pun menentang perdamaian . Ini dapat dilihat dengan jelas pada permulaan dakwah Islam sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah”.

Selain daripada itu, Rasulullah juga pernah mengadakan beberapa perjanjian damai dengan musuh-musuh Islam seperti yang terdapat pada Perjanjian Hudaibiyyah di samping beberapa perjanjian yang telah dimeterai oleh Rasulullah dengan puak-puak Yahudi. Inilah sebenarnya hujah-hujah yang telah digunakan oleh segelintir ulama’ dalam menegakkan pendapat mengenai keharusan membuat perdamaian dengan Israel tatkala umat Islam tidak mampu untuk berhadapan dengan musuh-musuh Islam itu.

Sememangnya terdapat para ulama’ yang mengharuskan perdamaian sebagaimana yang terkandung dalam beberapa ayat al-Quran di samping perdamaian yang telah dilaksanakan oleh baginda Rasulullah sendiri. Akan tetapi harus diingat bahawa ulama’ telah mengharuskan perdamaian dengan musuh Islam adalah dengan syarat sekiranya umat Islam betul-betul berada dalam keadaan ‘darurat’ serta perdamaian itu akan membawa maslahat dan kebaikan kepada umat Islam sendiri.

Begitu pun, pendapat ulama’ yang mengharuskan perdamaian dengan musuh Islam adalah tidak termasuk perdamaian dengan Israel. Perdamaian hanya berlaku dengan musuh yang mempunyai negara, raja dan pemerintahan sendiri yang mana mereka itu ingin menguasai dan menawan negara-negara lain. Manakala Israel, mereka langsung tidak mempunyai negara, sebaliknya mereka telah merampas tanah umat Islam. Sekiranya perdamaian dilaksanakan dengan mereka, maka ini akan membawa erti bahawa umat Islam menyerahkan bumi mereka kepada musuh yang merampasnya dan seterusnya mengiktiraf kependudukan Israel yang telah dilakukan dengan secara zalim itu. Ini merupakan sesuatu perkara yang tidak boleh diterima oleh sesiapa pun jua!.

Siapakah yang berani mengatakan bahawa perdamaian dengan Yahudi itu mendatangkan maslahah dan kebaikan?. Apakah maslahah yang didapati oleh umat Islam apabila mereka meninggalkan bumi Palestin untuk dicengkam dan dikuasai oleh Yahudi, seterusnya umat Islam Palestin akan menjadi mangsa pelarian di tanahair sendiri. Sesungguhnya umat Islam mestilah meneruskan perjuangan yang jitu untuk mengembalikan bumi Palestin daripada tangan Yahudi yang durjana. Oleh itu, umat Islam seluruh dunia hendaklah terus berjuang untuk menyelamatkan Palestin daripada terus dinodai.

No comments:

Post a Comment