Monday, March 17, 2008

Rasulullah Dicontohi Islam Dijunjungi

Oleh : Ustaz Shauqi


Masa berlalu dirasakan begitu pantas sekali, sedar tak sedar kita sudah berada pada bulan Rabiulawal 1429 Hijrah. Apabila kita berada pada bulan ini, sudah pasti ingatan kita singgah pada Rasulullah saw. Ini kerana, tanggal 12 Rabiulawal (atau 9 Rabiulawal menurut al-Mubarakfuri dalam al-Rahiq al-Makhtum) Tahun Gajah bersamaan 20 April 571 Masihi, junjungan nabi kita Muhammad saw lahir ke bumi dan seterusnya membawa sejuta rahmat kepada sekalian alam. Allah s.w.t sendiri telah menyatakan dalam al-Quran Surah al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud: ‘Tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk memberi rahmat kepada sekalian alam’.

Apabila tibanya bulan Rabiulawal khususnya pada hari Khamis ini (12 Rabiulawal), masyarakat Islam di Malaysia sekali lagi akan mengadakan sambutan Maulidurrasul sama ada yang akan diadakan di peringkat kampung, daerah, negeri mahu pun di peringkat kebangsaan. Sambutan maulidurrasul ini sudah menjadi acara tahunan yang pasti disambut apabila tibanya bulan Rabiulawal. Majlis sambutan maulidurrasul biasanya akan disambut dengan begitu meriah bermula dengan perarakan, selawat ke atas nabi secara beramai-ramai, majlis berzanji, mengadakan jamuan makan dan sebagainya. Namun, secara sedar atau pun tidak, di sebalik kehangatan sambutan tersebut, berapa ramaikah yang menghayati dan mengamalkan sunnah nabi yang merupakan suatu kemestian bagi setiap individu muslim?, atau apakah sambutan yang diraikan saban tahun itu hanyalah sebagai majlis untuk keramaian semata-mata?.

Sesuatu yang lebih malang lagi apabila masyarakat Islam yang menyambut maulidurrasul itu hanyalah sekadar bersuka-suka dengan sambutan dan kemeriahannya sahaja. Oleh yang demikian, ramai di kalangan umat Islam yang sehingga sekarang pun masih tidak mengetahui dan mendalami sunnah nabi saw. Alangkah ruginya apabila sambutan yang menelan belanja ribuan ringgit, tetapi tidak mendatangkan hasil yang memberangsangkan dalam mengubah cara hidup umat Islam ke arah yang sebenar-benarnya. Saban tahun maulidurrasul disambut, tetapi pegangan agama tetap longgar. Bahkan ada di antara pemuda dan pemudi yang menyambut maulidurrasul pada siangnya, manakala pada malamnya pula disusuli dengan hiburan yang melampau dan melalaikan. Akhirnya selawat yang didendangkan pada siang harinya itu akan ditinggalkan sebagai suatu kenangan sahaja.

Ini bukanlah bermakna sambutan maulidurrasul yang diadakan itu tidak mendatangkan sebarang kebaikan, tetapi anjakan paradigma sewajarnya wujud agar umat Islam tidak sekadar beretorik dengan memuji dan berselawat kepada Rasulullah, namun apa yang lebih penting daripada itu ialah usaha untuk mengaplikasikan kehidupan nabi dalam kehidupan umat Islam hari ini. Apatah lagi apabila kita melihat dunia Islam pada hari ini semakin gawat dengan pelbagai masalah, justeru usaha yang bersungguh-sungguh perlu digembleng bersama agar dapat mengembalikan kecemerlangan dan kegemilangan Islam. Cara yang terbaik untuk merealisasikan perkara ini ialah dengan mencontohi Rasulullah dalam segenap kehidupan kita. Baginda merupakan contoh terbaik yang bersifat universal iaitu keseluruhan hidup Baginda dapat dijadikan ikutan dan contoh di sepanjang zaman. Dalam hal ini, Allah s.w.t telah menyatakan dalam al-Quran, Surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud : ‘Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu menjadi contoh yang paling baik untuk (menjadi ikutan) kamu’. Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa Baginda Rasulullah s.a.w dapat diteladani di dalam aspek-aspek berikut:

* Dalam perkataannya: Baginda menjadi ikutan sebagai insan yang berbicara sesuatu dari hati nuraninya yang ikhlas. Baginda tidak berbicara dan berkata sesuatu yang tidak diperlukan, apa lagi yang sia-sia. Baginda berbicara sesuatu yang mempunyai hubungan dengan kepentingan umat dengan bahasa komunikatif yang mudah difahami. Baginda sentiasa jujur dan benar, sehingga Baginda berpesan bahawa sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah bercakap yang baik, atau diam sahaja.

* Dalam tindakan dan perbuatannya: Baginda sentiasa menyesuaikan perbuatannya dengan pengucapannya. Ketika Baginda meminta orang lain berbuat baik, maka Bagindalah yang terlebih dahulu melakukannya. Dalam banyak hal Baginda melakukan sesuatu sebelum meminta orang lain melakukannya seperti perbuatan solat iaitu ketika Baginda bersabda ''Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat.''

Keadaan songsang yang berlaku dalam masyarakat mesti diubah agar ia berada pada paksi yang benar dan lurus. Setiap individu muslim sewajarnya menjadikan Rasulullah sebagai ‘role model’ dalam kehidupan mereka serta berbangga dengan peraturan dan sistem Islam. Orang yang diredhai dan diberi keberkatan oleh Allah dalam hidupnya ialah mereka yang mengamalkan cara hidup Islam. Benarlah kata Saidina ‘Umar Bin al-Khattab: “Kita adalah satu kaum (golongan) yang dimuliakan Allah sekiranya kita berpegang kepada Islam’. Cuba kita renung di seluruh dunia hari ini, apa yang terjadi kepada umat Islam? Adakah mereka dipandang mulia?. Berdasarkan kata-kata Saidina Umar ini, jelaslah bahawa umat Islam akan dilanda kehinaan, kemunduran dan sebagainya sekiranya mereka masih menjadikan budaya, sistem dan ideologi yang bercanggah dengan Islam sebagai panduan dalam kehidupan mereka. Kalau setiap nikmat yang kita kecapi sewajarnya dikenang dan disyukuri, maka sebesar-besar nikmat yang wajib kita syukuri adalah nikmat mendapat hidayah beragama Islam, agama yang sempurna, lengkap dan mencakupi semua bidang kehidupan manusia sama ada dari segi aqidah mahupun syariah.

Marilah sama-sama pada tahun ini kita melakukan perubahan yang ketara apabila menyambut maulidurrasul dengan tekad untuik menjadikan nabi sebagai 'role model', dan seterusnya menjunjung sunnah yang dibawa oleh nabi sebagai manifestasi perhambaan yang sebenar-benarnya kepada Allah. Sesungguhnya hanya perlaksanaan Islam secara keseluruhan dalam diri, masyarakat dan negara sahaja yang dapat menyelamatkan Islam dan umatnya daripada cengkaman musuh-musuh Islam yang sentiasa bersedia untuk meratah umat Islam walau di mana sahaja mereka berada.

Antara perkara penting yang perlu dilakukan bagi menzahirkan kasih sayang kita terhadap Rasulullah saw sempena sambutan maulidurrasul kali ini ialah dengan mengambil tauladan daripada kehidupan Rasulullah s.a.w dalam semua keadaan, tauladan sebagai pemimpin, bapa, suami, jiran, sahabat, dan sebagainya. Jadikan contoh kehidupan Rasulullah sebagai prinsip hidup kita sesuai dengan yang diarahkan oleh Allah kepada kita. Oleh itu, setiap individu Muslim mestilah mengetahui riwayat hidup, pengajaran, tunjuk ajar serta kepimpinan baginda.

Di samping itu, kunci kejayaan Rasulullah dalam membawa kecemerlangan Islam ialah kunci kejayaan yang bersifat sejagat, universal dan menjadi panduan bagi masyarakat Islam dan bukan Islam buat selama-lamanya. Rahsia dan kunci kejayaan Baginda dapatlah dirumuskan sebagai berikut:

* Keperibadian yang unggul

* Akhlak dan perwatakan yang terpuji

* Pembicaraan dan perkataan yang selari dengan perbuatan

* Mempunyai sifat bijaksana dan berhikmah dalam setiap tindakan.

Moga sambutan maulidurrasul yang disambut pada tahun ini menjadi suatu sambutan yang bermakna dalam kehidupan kita sebagai muslim. Hayatilah Islam yang berpaksikan kepada al-Quran dan Sunnah sebagai pegangan yang utuh dalam kehidupan demi kecemerlangan dunia dan akhirat. Sebagaimana pesanan nabi dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya: iaitu Kitab Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w.”

No comments:

Post a Comment