Oleh
Khansa’ merupakan seorang wanita yang berubah dengan begitu ketara setelah memeluk Islam. Semasa Jahiliah, beliau merupakan seorang yang amat kuat menangis sehingga boleh dikatakan bahawa beliau ‘ketua bagi orang menangis’ di sepanjang sejarah. Namun, apabila menerima cahaya Islam, beliau telah berubah secara drastik, sehingga boleh dikatakan pula bahawa beliau seorang ‘ketua bagi orang yang sabar’. Beliau menjadi seorang wanita yang mempunyai sifat redha, cekal, sabar dan sentiasa memuji Allah pada setiap waktu dan ketika.
Beliau digelar dengan nama ‘al-Khansa’ kerana memiliki hidung yang cantik. Khansa’ berkahwin dengan sepupunya yang bernama Rawahah Bin Abdul Aziz al-Sulamiy. Bersama Rawahah, Khansa’ dikurniakan anak yang diberi nama Abdullah. Kemudian, beliau juga pernah berkahwin dengan Mirdas Bin Abi ‘Amir al-Sulamiy, dan memperoleh empat orang anak iaitu Yazid, Muawiyah, ‘Amru dan ‘Umrah.
Khansa’ mempunyai dua orang saudara lelaki yang amat dikasihi olehnya iaitu yang bernama Muawiyah dan Sakhr. Muawiyah mati dibunuh pada tahun 612 Masihi, manakala Sakhr pula meninggal dunia pada tahun 615 Masihi. Khansa’ sangat menyayangi Sakhr. Justeru, apabila Sakhr meninggal dunia, Khansa’ tidak henti-henti menangis sehingga matanya menjadi buta. Khansa’ menangis dan melahirkan kesedihan melalui puisi-puisi yang diucapkan olehnya. Antara puisi yang diucapkan olehnya ialah:
"Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, si malang. Aku pula masih teringatkan dia setiap mega hilang dii ufuk barat Kalaulah tidak kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka, nescaya aku bunuh diriku."
Puisi-puisi yang dihasilkan oleh Khansa’ dalam meratapi kematian Muawiyah dan Sakhr mpunyai nilai estetika yang tinggi. Al-Nabighah al-Zibyani ketika mendengar puisi yang diucapkan oleh Khansa’ telah berkata: ‘aku tidak pernah berjumpa dengan seorang yang mempunyai kehebatan dalam puisi seperti Khansa’. Jarir seorang penyair pula menyatakan: ‘aku adalah seorang yang paling hebat dalam puisi sekiranya dengan ketiadaan Khansa’.
Pada zaman Jahiliah, Khansa’ banyak menangis. Apabila beliau berada dalam majlis keramaian pun beliau akan tetap menangis. Tangisan beliau itu menyebabkan para hadirin dalam majlis tersebut turut menangis bersamanya kerana kesedihan.
Khansa’ tinggal bersama Bani Sulaim yang mendiami di satu penempatan yang tidak jauh dari Madinah al-Munawwarah, iaitu lebih kurang 200 km ke timur Madinah. Apabila Islam tersebar, Khansa’ merupakan salah seorang yang begitu mudah menerima agama Islam kerana berpuas hati, faham dan yakin dengan kebenaran Islam. Oleh itu, apabila rombongan daripada kaumnya pergi menemui Rasulullah, beliau turut serta untuk berbai’ah dengan Rasulullah untuk memeluk Islam. Rasulullah saw sendiri kagum dengan kelebihan yang dimiliki oleh Khansa’ dalam bidang syair dan puisi.
Semasa peperangan al-Qadisiah, Khansa’ berdiri teguh di belakang empat orang anaknya iaitu Yazid, Muawiyah, ‘Amru dan ‘Umrah dengan memberikan semangat dan kata-kata perangsang kepada mereka untuk menuju ke medan perang berjihad di jalan Allah dan menegakkan agama Allah. Keberanian dan kepandaiannya bersyair telah digunakannya untuk menyemarakkan semangat juang anak-anaknya. Sebelum anak-anaknya itu keluar ke medan peperangan al-Qadisiah, Khansa’ telah memberikan kata-kata perangsang kepada mereka dengan katanya:
“Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan suka rela pula. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara maramu, aku tidak pernah merendahkan keturunan kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu tentang pahala yang disediakan oleh Allah kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasanya tempat yang kekal itu (Akhirat) lebih baik daripada tempat yang binasa (dunia) .”
Lalu, Khansa’ membacakan firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 200 yang bermaksud: Wahai orang yang beriman bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung’.
Seterusnya Khansa berkata: “Jika kalian bangun esok pagi, insya Allah, dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh-musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan daripada Allah. Jika kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang sedang bergejolak, masuklah kamu ke dalamnya. Semoga kamu akan berjaya mendapatkan balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal.”
Begitulah hebatnya Khansa’ dalam memberikan perangsang kepada anak-anaknya untuk turun ke medan jihad. Sehubungan dengan itu, anak-anaknya pergi berjihad dalam keadaan penuh semangat dan memikul amanat serta nasihat ibu mereka , dan tidak sekali-kali berasa gentar dengan musuh apatah lagi untuk lari meninggalkan medan peperangan. Keempat-empat anak lelaki Khansa’ ini, akhirnya gugur syahid dalam peperangan tersebut.
Ramai yang teragak-agak untuk menyampaikan berita kepada Khansa’ tentang kematian anak-anaknya, kerana bimbang beliau akan menangis lagi. Sebagaimana yang diketahui, sepanjang hidupnya semasa zaman Jahiliah digunakan untuk menangis meratapi kematian saudaranya Muawiyah dan Sakhr. Apatah lagi pada kali ini, empat orang anaknya sekaligus gugur syahid dalam medan peperangan.
Namun demikian, ada seorang pejuang yang turut serta dalam peperangan tersebut, pergi menemui Khansa’ dan meyampaikan berita tentang kematian anak-anaknya itu. Apabila mendengar sahaja berita itu, Khansa’ tidak menangis, sebaliknya menunjukkan kesabaran yang tinggi apabila beliau berkata: ‘segala puji bagi Allah yang memuliakan daku dengan kesyahidan anak-anakku, dan aku mengharapkan agar Allah mempertemukan kami di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!’. Inilah kata-kata yang diucapkan oleh seorang ibu yang cukup kental dan sabar. Ini kerana ajaran Islam telah menyedarkan beliau tentang kelebihan syahid melalui firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 169 yang bermaksud: ‘Janganlah kamu menyangka bahawa orang yang gugur (syahid) di jalan Allah itu mati; bahkan mereka hidup di sisi tuhannya dengan mendapat rezeki’.
Sesungguhnya ajaran Islam telah mengubah sikap Khansa’ yang kuat menangis kepada seorang manusia yang memiliki kesabaran yang tinggi. Inilah keimanan yang jitu dan unggul yang ditonjolkan oleh seorang ibu yang bernama Khansa’.
No comments:
Post a Comment