Followers

Tuesday, April 1, 2008

April Fool

Hari ini tanggal 1 April. Biasanya apabila datang 1 April maka remaja Islam terikut-ikut dengan budaya barat yang menjadikan tarikh ini sebagai hari untuk 'memperbodohkan' atau 'mengenakan' orang lain. Telah dikatakan bahawa sejarah 'April Fool' merujuk kepada Tentera Kristian di Sepanyol yang berjaya menipu dan membunuh umat Islam secara beramai-ramai di Sepanyol, sehinggakan tarikh keramat ini dirayakan pada setiap tahun sebagai 'The Aprils Fool Day'. Walaupun cerita atau kisah ini tidak dapat dipastikan kesahihannya.... namun budaya menyambut April Fool ini seolah-olah telah dapat diterima di seluruh dunia termasuk dalam kalangan umat Islam sendiri. Sebagai muslim, kita hendaklah menjadikan ajaran Islam sebagai panduan supaya tidak terikut-ikut dengan sesuatu yang bukan daripada ajaran Islam, apatah lagi sesuatu yang boleh membawa kepada implikasi yang negatif. Sabda Rasulullah saw yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad bermaksud: "Sesiapa yang meniru sesuatu kaum (golongan), dia termasuk dalam kalangan mereka". Mereka yang menyambut April Fool ini sanggup berbuat apa sahaja termasuk menipu dan sebagainya semata-mata untuk menghidupkan budaya ini. Ini merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima kerana menipu, mengaibkan orang dan sebagainya merupakan perkara dosa yang hanya boleh merenggangkan dan memutuskan hubungan sesama manusia. Walaupun kadang-kadang ia hanyalah sekadar untuk bergurau, namun gurauan itu pun ada had dan batasnya. Gurauan memang merupakan suatu perkara lumrah dalam kehidupan manusia. Hidup dirasakan bertambah ceria dan bererti apabila terdapatnya gurauan yang menyenangkan hati dan perasaan. Akan tetapi sekiranya gurauan dilakukan dengan secara melampau dan berlebihan, maka bukan keceriaan yang diperoleh, sebaliknya kekusutan, dendam dan pelbagai perkara negatif lain yang akan hadir dalam kehidupan. Justeru, seseorang yang hendak bergurau, hendaklah memelihara adab-adab gurauan agar gurauan tersebut berlaku dalam suasana kasih sayang dan keceriaan dan tidak menyebabkan berlakunya permusuhan dan dendam. Itulah indahnya Islam!. Sehubungan dengan itu, hindarkanlah daripada gurauan yang boleh menyakiti hati orang lain seperti mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya, menghina orang lain, memperlekehkan seseorang, menggelarkan orang lain dengan sesuatu gelaran yang tidak disukainya, apatah lagi apabila mereka-reka cerita dan berbohong dalam bergurau.

No comments:

Post a Comment