Followers

Friday, April 25, 2008

Budaya Berjabat Tangan Dengan Bukan Mahram



Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Orang Melayu terkenal dengan masyarakat yang mementingkan adab, sopan-santun dan budi-pekerti yang mulia. Antara adab yang sentiasa dipraktikkan dalam masyarakat ialah bersalam atau berjabat tangan di antara satu sama lain apabila bertemu. Perbuatan ini merupakan sesuatu yang amat baik kerana ia dapat mengeratkan silaturahim dan persaudaraan di dalam masyarakat.

Namun akhir-akhir ini didapati bahawa bersalam atau berjabat tangan ini dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengira batas hukum syarak, sehinggakan gejala bersalam atau berjabat tangan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram menjadi semakin berleluasa dan semakin diterima di dalam masyarakat. Apatah lagi apabila bertemu dengan pemimpin, maka bukan sekadar berjabat tangan tetapi ada yang sanggup mencium tangan pemimpin tersebut sedangkan tidak ada ikatan mahram di antara mereka!.

Fenomena seumpama ini sekiranya dibiarkan, ia akan menjadi semakin parah yang akhirnya bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, malahan akan turut menghakis nilai-nilai murni dan adab tatasusila yang diamalkan dalam masyarakat Melayu selama ini. Walaupun para ulama’ mengharuskan seseorang lelaki berjabat tangan dengan wanita yang sudah tua yang sudah tidak ada lagi keinginan syahwat (rujuk dalam Fatawa Mu’asirah oleh Yusuf al-Qaradawi), namun ia janganlah dijadikan sebagai satu alasan untuk sewenang-wenangnya membudayakan berjabat tangan di antara lelaki dan perempuan.

Allah swt telah berfirman dalam surah al-Nur ayat 30-31 bermaksud: ”Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat (merendahkan) pandangan mereka (daripada memandang wanita yang bukan mahram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat (merendahkan) pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka.....”.

Dalam ayat ini, Allah swt memerintahkan agar orang lelaki dan perempuan agar menjaga dan merendahkan pandangan mereka daripada melihat sesuatu yang diharamkan seperti melihat orang yang bukan mahram sehinggakan boleh menimbulkan syahwat. Oleh itu, ajaran Islam mengharamkan seseorang lelaki melihat kepada wanita yang bukan isterinya atau wanita yang bukan mahramnya. Hal ini tidak pula bermaksud kita dikehendaki memejamkan mata ketika bertemu dengan orang yang bukan mahram, tetapi apa yang dimaksudkan ialah kita dilarang melihat berulang-kali terhadap seseorang yang bukan mahram kerana ia boleh menimbulkan syahwat dan fitnah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan Ahmad, nabi saw telah bersabda kepada Saidina Ali yang bermaksud: ”Wahai Ali, janganlah kamu mengikuti pandangan yang pertama (terhadap wanita yang bukan mahram) dengan pandangan yang seterusnya, kerana sesungguhnya pandangan pertama itu bagi kamu (diharuskan), tetapi kamu dilarang daripada pandangan yang kedua (iaitu terus memandang kepada wanita yang bukan mahram sehingga boleh menimbulkan syahwat)”.

Sekiranya memandang kepada wanita yang bukan mahram pun dilarang dalam hukum syara’, sudah tentu bersalam dan berjabat tangan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram diharamkan. Cubalah kita fikirkan, manakah yang lebih menimbulkan syahwat dan fitnah, memandang dari jauh atau bersalaman dan berjabat tangan yang melibatkan persentuhan kulit dengan kulit? Tepuk dada, tanya iman!.

Selain itu, antara hujah yang dikemukakan oleh para ulama’ yang mengharamkan berjabat tangan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram ialah nabi saw tidak berjabat tangan dengan wanita ketika melakukan bai’ah sedangkan dalam masa yang sama nabi saw berjabat tangan dengan lelaki ketika bai’ah dilakukan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad menyatakan bahawa, “Daripada Abdullah bin Amr’ ra, bahawa sesungguhnya Rasulullah saw tidak pernah berjabat tangan dengan wanita dalam bai’ah”. Justeru, sama-samalah kita murnikan kembali adab masyarakat Melayu yang berteraskan akhlak Islam yang murni.

No comments:

Post a Comment