Friday, April 25, 2008

Keunggulan Khutbah Yang Perlu Dikembalikan




Oleh: Mohd Sukki Bin Othman (Ustaz Shauqi)

Khutbah merupakan elemen dakwah yang semakin dipinggirkan oleh masyarakat Malaysia. Walaupun kenyataan ini agak kontroversi, tetapi itulah hakikat yang sebenarnya terjadi terhadap khutbah. Rata-rata masjid di Malaysia hanya menjadikan khutbah sebagai syarat untuk solat Jumaat menjadi sah sahaja, tetapi tidak berusaha agar peranan khutbah dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Justeru, tidak boleh disalahkan para makmum yang tidur ketika khutbah disampaikan, kerana khutbah yang disampaikan langsung tidak memberi kesan lantas tidak sampai kepada telinga para pendengar! Apakah tidak boleh dibuat pembaharuan terhadap khutbah agar mesejnya yang berguna dapat sampai dengan baik?

Kedapatan di banyak masjid, khutbah disampaikan oleh khatib yang terlalu tua yang suara pun tidak jelas. Ada pula khatib yang tidak fasih dan tidak lancar hatta membaca ayat al-Quran pun tersekat-sekat dan banyak melakukan kesilapan dalam membacanya. Tambahan pula, khatib yang bertugas langsung tidak membuat persediaan, lalu menyampaikan secara teragak-agak kerana isi kandungan khutbah baharu hendak dibaca ketika berada di atas mimbar. Mengapa semua ini terjadi?

Apakah di dalam sesuatu qariah masjid tidak ada langsung orang yang mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai khatib dengan baik? Teruk sangatkah masyarakat Islam di Malaysia sehinggakan di sesetengah qariah masjid, tidak ada yang benar-benar layak untuk menyampaikan khutbah ? Atau khatib menjadi suatu tugas rebutan untuk menampilkan diri di khalayak masyarakat agar dihormati dan disanjungi ? Atau khatib seolahnya menjadi jawatan politik yang mahal nilainya ?

Mangsanya ialah para jemaah yang hadir untuk mendengar khutbah. Seolahnya masa dibuang begitu sahaja tanpa apa-apa manfaat daripada khutbah yang didengar. Seolahnya juga khutbah itu bagaikan buaian yang mendodoi anak kecil untuk melelapkan mata sebelum solat ditunaikan !. Tambah menyedihkan lagi, khatib yang menyampaikan khutbah langsung tidak mengetahui rukun, syarat dan segala yang berkaitan dengan khutbah, lalu dia hanya membacanya sahaja, tetapi sesuatu menjadi amat malang apabila teks yang dipegang ‘terbang’ dibawa angin menyebabkan khatib tercari-cari teks yang jatuh itu.

Ahli Fuqaha’ telah bersependapat bahawa khutbah adalah syarat kepada sahnya solat Jumaat (Lihat Dr. Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh, Juz 2, hal. 282). Perkataan ‘al-zikr’ dalam Surah al-Jumu’ah ayat 9 adalah bermaksud khutbah (Ibid). Perkataan khutbah itu berasal dari perkataan ‘khataba’ yang bermaksud ‘wa’aza’ iaitu pengajaran (Lihat Kamus al-Munjid, hal. 186). Jelasnya, khutbah ialah suatu medium yang penting untuk menyampaikan peringatan , nasihat serta pengajaran kepada umat Islam, apatah lagi Islam itu sendiri adalah ‘agama nasihat’.

Terdapat lima rukun bagi khutbah iaitu :

  1. Memuji Allah Taala . ( Lafaz Alhamdulillah ).
  2. Selawat ke atas nabi.
  3. Berwasiat supaya bertakwa kepada Allah pada khutbah pertama dan kedua.
  4. Membaca sekurang-kurangnya satu ayat al-Quran yang difahami.
  5. Membaca doa berkenaan urusan akhirat untuk orang Islam di dalam khutbah kedua.

Manakala syarat sah khutbah menurut ulama’ aliran mazhab Syafe’i adalah seperti yang berikut:

  1. Khatib hendaklah berdiri sekiranya berkemampuan kerana mengikut cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah. Jika tidak mampu, khatib boleh menyampaikan khutbah secara duduk.
  2. Rukun khutbah hendaklah disampaikan di dalam Bahasa Arab.
  3. Khatib hendaklah duduk di antara dua khutbah beserta dengan toma’ninah. Jika tidak mampu duduk, maka hendaklah diam seketika.
  4. Dua khutbah hendaklah dibaca selepas gelincirnya matahari.
  5. Kesemua rukun khutbah hendaklah didengari oleh 39 orang makmum di kalangan ahli Jumaat walaupun mereka tidak memahami rukun khutbah yang dibaca dalam bahasa Arab itu.
  6. Berturut-turut tiap-tiap kalimah daripada dua khutbah dan di antara dua khutbah dengan solat.
  7. Khatib hendaklah suci daripada hadas kecil dan besar serta suci dari najis. Sekiranya khatib berhadas ketika khutbah disampaikan, hendaklah dia bersuci dan memulai semula khutbah tersebut.
  8. Khatib dikehendaki agar menutup aurat.

Khutbah mempunyai peranan yang besar dalam mengajak masyarakat ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Oleh itu, khutbah yang baik tidaklah terlalu panjang atau terlalu ringkas, sebaliknya mesej dapat disampaikan dengan berkesan. Melalui khutbah, dapat diberikan peringatan dari semasa ke semasa agar manusia sentiasa taat dan patuh kepada perintah Allah. Mesej khutbah dapat disampaikan kepada para jemaah apabila ia disampaikan dengan baik, seterusnya ia boleh menjadi medium pendidikan dan pembelajaran ilmu fardu ‘ain dan fardhu kifayah kepada masyarakat Islam.

Penyampaian khutbah yang berkesan ialah penyampaian yang memberi keyakinan kepada pendengar, dapat mempengaruhi pendengar dan menyebabkan pendengar boleh menerima malah sanggup menurut saranan dan gesaan yang diutarakan. Walaubagaimanapun terdapat pelbagai kelemahan yang menjejaskan penyampaian mesej tersebut dalam kebanyakan khutbah pada hari ini. Antara kelemahan yang ketara adalah :

● Bahasa yang tidak dapat difahami.

● Suara yang tidak jelas.

● Kesihatan yang tidak baik.

● Perbezaan taraf hidup.

● Masalah Peribadi.

● Kekurangan isi.

● Isi yang tidak tersusun.

Persoalan seterusnya ialah bagaimanakah cara terbaik untuk menyediakan khutbah yang bermutu dan berkesan?. Di sini, diberikan beberapa cadangan agar khutbah dapat disampaikan secara baik dan berkesan.

1. Penyediaan bahan atau isi khutbah.

Mengenalpasti tajuk khutbah.

Mengenalpasti Objektif khutbah.

Mengetahui siapa pendengarnya (audience)

Mengumpul bahan – Penyelidikan, perbincangan, petikan, pendapat orang lain, pendapat sendiri, buku, majalah, akhbar dll.

2. Menyusun isi

Segala isi yang dikumpulkan perlu dianalisis dan disesuaikan dengan pendengar dan objektif khutbah. Isi khutbah perlu diteliti dan disusun dengan rapi bagi menyesuaikannya dengan satu-satu isu disamping menyesuaikannya dengan kebolehan khatib serta pendengar dari berbagai peringkat.

3. Gaya dan Teknik Penyampaian

4. Ingatan

Ingatan yang baik sangat penting dalam menyampaikan khutbah. Menyampaikan khutbah dengan membaca teks tidak begitu baik. Komunikasi yang baik memerlukan pertembungan mata yang akan melahirkan ungkapan yang datang dari hati. Dengan terlalu membaca teks maka pertembungan mata dengan pendengar tidak dapat dilakukan.

Kesimpulan

Khutbah yang dapat disampaikan dengan baik sudah tentu akan memberikan kesan yang mendalam. Khutbah adalah merupakan suattu perencanaan Allah kepada manusia, justeru sekiranya ia dihayati sudah tentu akan menghasilkan seorang hamba yang beriman da bertakwa.

No comments:

Post a Comment