Saturday, April 12, 2008

Peraturan Mewajibkan Orang Memeluk Islam Membuat Perisytiharan?

KUALA LUMPUR 11 April - Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) hari ini membantah langkah kerajaan memperkenalkan satu peraturan mewajibkan mereka yang mahu memeluk Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka.

Naib Presidennya, Mohd. Ridhuan Tee Abdullah berkata, Macma berpendapat langkah kerajaan itu tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya ia hanya akan membantutkan usaha dakwah untuk menarik minat lebih ramai orang bukan Islam menganut Islam.

Beliau berkata, banyak pihak tidak sedar bahawa bebanan serta tekanan menjadi saudara baru terutama di peringkat awal adalah amat hebat kerana kebanyakan keluarga tidak merestui mereka menganut Islam.

''Dugaan dan cabaran yang kami terima tidak sehebat mereka yang telah menganut Islam sejak dilahirkan. Macma sendiri pernah menerima aduan yang mana hidup saudara-saudara baru tertekan selepas memberitahu status keislaman mereka pada keluarga masing-masing.

''Ini merupakan satu keadaan yang amat malang dan yang lebih malang lagi ada antaranya keluar dari Islam dan menganut agama asal. Keluarga mereka sanggup buat apa sahaja asalkan anak mereka itu kembali murtad''. Beliau mengulas keputusan kerajaan memperkenalkan satu peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka bagi mengelak masalah di kemudian hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan memeluk Islam yang dibuat secara senyap-senyap seperti diamalkan sebelum ini, mengundang banyak masalah sehingga menyebabkan berlaku ketegangan kaum.Mohd. Ridhuan berkata, beliau sendiri terpaksa memberitahu keluarganya selepas setahun memeluk Islam.

Ujarnya, seperti yang dijangka kesemua ahli keluarganya termasuk ibu bapanya menentang keras tindakannya itu hingga beliau terpaksa berhadapan dengan cabaran itu secara berseorangan. ''Alhamdulillah Allah telah memberi kekuatan kepada saya untuk menghadapi cabaran tersebut, cuma apa yang saya mahu timbulkan di sini ialah mengenai penentangan hebat daripada keluarga saya walaupun saya telah menganut Islam selama setahun.

''Persoalannya bagaimana pula dengan mereka yang memeluk Islam dalam tempoh sehari atau seminggu dan mereka terpaksa memberitahu keluarga dalam tempoh terdekat. 'Adakah dalam tempoh ini mereka mempunyai satu kekuatan yang mampu menahan tentangan daripada keluarga masing-masing? Saya tidak fikir mereka mampu menghadapinya,'' ujarnya.

Beliau berkata, hakikatnya, kebanyakan keluarga bukan Islam di negara ini tidak mahu anak-anak mereka memeluk agama suci itu. ''Kita perlu akui sifat prejudis yang tinggi pada keluarga bukan Islam terhadap anak-anak yang memeluk Islam di Malaysia. Kita tidak boleh menafikan fakta ini,'' katanya lagi.

Katanya, beliau bercakap berdasarkan pengalaman dan sehubungan itu Macma tidak mahu peraturan itu menyekat hasrat orang bukan Islam menganut Islam. ''Macma bimbang jika peraturan ini dikuatkuasakan ia akan lebih membebankan mereka dan akhirnya mereka kembali ke agama asal,'' tambahnya.

Ketika diberitahu tujuannya adalah untuk mengelakkan perkara berbangkit, beliau berkata, perkara itu tidak seharusnya timbul kerana saudara baru mempunyai dokumen-dokumen sebagai bukti keislamannya. ''Jika tidak ada dokumen mayat mereka akan diserahkan kepada keluarga asal untuk diuruskan seperti kes Nyonya Tahir. Janganlah disebabkan timbul satu dua kes, kerajaan terburu-buru memperkenalkan peraturan ini,'' tambahnya.

Dalam pada itu, beliau kesal dengan tindakan kerajaan yang tidak merujuk dengan mana-nama persatuan seperti Macma sebelum memperkenalkan apa jua peraturan berkaitan saudara baru.

1 comment:

  1. Sudahlah orang kafir cuba memurtadkan orang Islam dengan segala daya dan usaha. Orang Islam pula yang membuat agama Islam kelihatan begitu "susah" dan "tidak mesra". Semoga peraturan yang dicadangkan itu tidak akan dijalankan.

    ReplyDelete