Followers

Wednesday, April 16, 2008

Rasulullah Mengambil Berat Soal Kebersihan

Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Dalam surah al-Anbiya’ ayat 107, Allah SWT berfirman yang bermaksud: ‘Tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) kecuali sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam’. Rahmat yang dibawa oleh Rasulullah meliputi seluruh makhluk, dan sesiapa sahaja (termasuk orang bukan Islam) yang mengambil pengajaran dan contoh daripada apa yang dibawa oleh Rasulullah daripada ajaran Islam yang suci murni itu, sudah tentu akan memperoleh rahmat dan kebaikan.

Salah satu ajaran dan contoh tauladan yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita semua ialah amalan menjaga serta memelihara kebersihan diri. Rasulullah amat mengambil berat tentang penampilan dan kebersihan diri. Rasulullah membasuh tangan sebelum dan selepas makan, serta menggunakan siwak (membersihkan mulut dan gigi) pada setiap keadaan dan masa. Begitu juga baginda memelihara kesihatan dan kebersihan diri dengan membuang segala kekotoran di badan dan sentiasa berusaha agar sentiasa kelihatan kemas dan bersih.

Justeru, baginda menggunting misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari. Dalam sebuah hadis, Rasulullah menegaskan bahawa terdapat lima perkara fitrah yang perlu dilakukan iaitu berkhatan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, memendekkan misai dan memanjangkan janggut.

Rasulullah SAW sentiasa mengajar umatnya agar sentiasa berada dalam keadaan bersih, dan melarang daripada kekotoran. Sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi maksudnya: Sesungguhnya Allah itu baik dan suka akan kebaikan, bersih dan suka akan kebersihan, mulia dan suka akan kemuliaan...’.

Sesuatu yang jelas yang menunjukkan kebersihan pada diri baginda ialah bau badan dan peluh baginda begitu wangi melebihi haruman amber dan kasturi. Haruman wangi dapat dihidu di sepanjang perjalanan yang telah dilalui oleh Rasulullah. Walaupun wangian peluh dan badan nabi merupakan perkara khusus yang dikurniakan Allah kepada nabi, namun ia juga secara langsung menunjukkan bahawa Rasulullah begitu mengambil berat dalam menjaga kebersihan dan menghindarkan diri dari segala kekotoran dan bauan yang tidak enak.

Rasulullah amat mengambil berat tentang kebersihan gigi dan bau mulut. Oleh itu, dalam pelbagai situasi, Rasulullah SAW menggunakan siwak bagi membersihkan gigi baginda, iaitu ketika hendak mengerjakan solat, ketika berwuduk, ketika hendak tidur dan ketika bangun daripada tidur. Bahkan Rasulullah SAW menggesa umatnya untuk bersiwak dengan sabda baginda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Nasaei yang bermaksud: ‘Amalan siwak dapat membersihkan mulut serta mendapat keredhaan Allah’.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: ‘Sekiranya tidak memberati kepada umatku, nescaya aku akan menyuruh mereka untuk bersiwak setiap kali hendak menunaikan solat (Dalam riwayat Bazzar dan Tabrani : aku akan mewajibkan siwak kepada mereka ketika hendak menunaikan solat seperti diwajibkan wuduk kepada mereka).

Rasulullah merupakan penghulu segala nabi. Sehubungan dengan itu, baginda merupakan makhluk Allah yang paling bersih sama ada pada tubuh badan, pakaian, rumah dan sebagainya. Rasulullah juga memberikan perhatian terhadap sesuatu situasi dalam mengenakan pakaian. Contohnya, apabila menyambut mana-mana rombongan yang datang berjumpa nabi, baginda akan memakai pakaian yang cantik bersesuaian dengan majlis yang dihadiri. Begitu juga pakaian yang dipakai ketika keramaian seperti pada hari raya, dan pada hari jumaat (Sila rujuk buku Muhammad al-Insan al-Kamil oleh al-Sayyid Muhammad Bin al-Sayyid ‘Alawi al-Maliki). Tambahan daripada itu, Rasulullah juga melarang daripada melabuhkan pakaian sehingga meleret ke tanah kerana ia boleh menyebabkan kekotoran melekat pada pakaian tersebut.

Kebersihan Rumah dan Masjid

Rasulullah saw bukan sahaja memberikan perhatian kepada penampilan dan kebersihan diri, bahkan baginda amat mengambil berat terhadap kebersihan persekitaran terutamanya kebersihan rumah dan masjid. Rasulullah SAW menganjurkan kepada umatnya untuk menjaga kebersihan di rumah kerana ia akan dapat memberikan keselesaan pada kehidupan, dan seterusnya dapat melaksanakan ibadah kepada Allah dengan selesa.

Sesuatu yang wajar diingatkan terutamanya kepada keluarga yang masih mempunyai anak-anak kecil supaya mengambil berat soal kebersihan di dalam rumah agar solat yang ditunaikan diterima oleh Allah. Kadang-kala terdapat ibu bapa yang memandang ringan terhadap air kencing bayi yang terdapat di atas lantai dengan tidak membersihkannya mengikut hukum syarak iaitu dengan cara dan kaedah membersihkan najis mutawassitah. Natijahnya, apabila ibu atau bapa berwuduk dan melalui kawasan yang bernajis itu (dengan cara yang tidak disedari), lalu berdiri di atas sejadah untuk menunaikan solat, bukan sahaja sejadah itu bernajis, malahan solatnya itu pun tidak sah dan tidak diterima oleh Allah. Oleh yang demikian, setiap individu muslim tidak sewajarnya memandang ringan terhadap memelihara kebersihan di rumah sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Apatah lagi di masjid, Rasulullah SAW amat menitik beratkan kebersihan masjid dan Rasulullah amat gembira jika ada orang yang secara sukarela menjaga kebersihan masjid. Pada zaman nabi, terdapat seseorang yang ditugaskan untuk mewangikan masjid dengan wangi-wangian. Pahala yang amat besar akan diperoleh sekiranya seseorang itu prihatin untuk membersihkan masjid walau daripada kekotoran yang amat sedikit sekalipun.

Namun, sesuatu yang amat malang ialah apabila terdapat segelintir umat Islam yang sepatutnya mencontohi nabi dalam soal kebersihan ini, tidak memelihara kebersihan masjid dan kebersihan persekitaran dengan baik. Kadang-kala kedapatan negara-negara barat dan negara-negara bukan Islam ‘lebih mencontohi nabi’ dalam menjaga kebersihan. Orang barat tahu di mana bakul sampah untuk dibuang sampah, akan tetapi segelintir umat Islam yang mengaku sebagai umat nabi Muhammad masih tidak mengenali bakul dan tong sampah, lalu membuang sampah di merata-rata tempat. Bukan itu sahaja, terdapat pemandu dan penumpang kenderaan begitu bebas membuang sampah di atas jalan raya ketika kenderaan sedang bergerak. Golongan seumpama ini tidak wajar untuk mengaku diri sebagai umat nabi Muhammad!.

Jelasnya, Rasulullah SAW perlu dicontohi oleh setiap individu muslim dalam menjaga kebersihan. Pastikan tubuh badan, pakaian, tempat tinggal dan persekitaran bersih sebagaimana yang dilakukan dan dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

No comments:

Post a Comment