(Artikel ini telah disiarkan di Majalah Milenia Muslim keluaran Mac 2008)
Sahabat nabi iaitu ‘Imran bin Husain r.a telah bertanya kepada nabi tentang bagaimana beliau hendak melakukan solat dalam keadaan beliau mempunyai penyakit buasir, lalu nabi Muhammad saw menjelaskan kepada beliau: “Hendaklah kamu menunaikan solat dalam keadaan berdiri, jika kamu tidak mampu, maka lakukanlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu juga, tunaikanlah solat dalam keadaan berbaring” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari). Telah nyata daripada hadis ini bahawa Rasulullah saw mengarahkan ‘Imran bin Husain untuk berdiri sekiranya berkemampuan walaupun dia berada dalam keadaan sakit, kerana solat yang ditunaikannya itu adalah solat fardu.
Sehubungan dengan itu, berdiri dalam solat fardhu bagi yang berkemampuan dikategorikan sebagai rukun di dalam solat di sisi ulama’ kempat-empat mazhab iaitu al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah, al-Syafie’iyyah dan al-Hanabilah (Sila rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh karangan Syeikh Dr Wahbah al-Zuhayli, jilid 1, halaman 623-631, cetakan Dar al-Fikr, Damsyik 1989). Keadaan seseorang itu dianggap berdiri menurut ulama’ aliran mazhab Hanafi ialah sekiranya seseorang itu meluruskan tangannya, maka ia tidak dapat menyentuh kedua belah lututnya.
Manakala ulama’ aliran mazhab Maliki dan Hanbali pula berpendapat bahawa keadaan seseorang itu dianggap berdiri ialah apabila seseorang itu tidak berada dalam keadaan duduk serta tidak berada dalam keadaan bongkok kerana ia akan menjadi rukuk. Akan tetapi sekiranya sekadar menundukkan kepala, maka ia tidak mengapa kerana masih lagi dinamakan sebagai orang yang berdiri.
Ulama’ aliran mazhab Syafei pula mensyaratkan agar ditegakkan tulang belakang ketika berdiri dan tidak disyaratkan untuk ditegakkan tengkuk. Sekiranya seseorang itu berdiri dalam keadaan condong ke kanan atau ke kiri sehingga tidak dapat dikatakan sebagai berdiri, maka tidak sah perbuatan tersebut kerana meninggalkan yang wajib tanpa sebarang keuzuran. Berdiri dalam keadaan condong yang menafikan berada dalam keadaan berdiri ialah badannya berada dalam keadaan yang lebih hampir kepada rukuk daripada berdiri. Jumhur ulama’ menyatakan bahawa wajib seseorang itu berdiri ketika takbiratul ihram dan membaca Fatihah sahaja (Rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh, jilid 1, halaman 636).
al-Imam al-Nawawi dalam Sharh al-Muhazzab ketika membincangkan persoalan berdiri ketika solat ini telah menyatakan bahawa , “Berdiri yang menjadi syarat sahnya solat adalah menegakkan tulang belakang. Bagi orang yang berkemampuan, ia tidak boleh berdiri dengan mengiring ke salah satu arah sehingga tidak memperlihatkan bentuk berdiri yang sebenarnya. Ia juga tidak boleh membongkok seperti orang yang rukuk. Sekiranya ia membongkok sehingga mirip dengan orang yang sedang rukuk (walaupun tidak sampai ke tahap rukuk), maka solatnya tidak sah, kerana ia tidak termasuk dalam kategori berdiri tegak. Jika ia merendahkan kepalanya tanpa membongkok, maka solatnya sah tanpa sebarang khilaf kerana ia masih dianggap berdiri.
Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, telah dinyatakan bahawa seseorang itu dianggap berdiri apabila dia berada dalam keadaan tegak. Sekiranya dia membongkok (tanpa keuzuran) dengan sekira-kira tapak tangannya boleh menyentuh lututnya, maka batal solatnya. Ini kerana rukun berdiri sudah tidak ada lagi di dalam solatnya itu.
Seringkali berlaku dalam masyarakat kita mereka yang masih kurang faham tentang kewajipan berdiri ketika menunaikan solat fardu ini. Oleh yang demikian terdapat dalam kalangan masyarakat Islam yang menunaikan solat di atas kerusi dari mula sehingga akhir sedangkan beliau mampu berdiri walau sekurang-kurangnya untuk bertakbiratul ihram! Berdasarkan hadis dan ajaran nabi saw, dapat diambil panduan bahawa seseorang yang sakit yang tidak mampu melakukan rukuk dan sujud, tetapi mampu berdiri, maka ia wajib berdiri. Jika seseorang itu tidak berdiri lalu menunaikan solat dalam keadaan duduk di atas kerusi (padahal ia mampu berdiri), maka solat itu dikira batal dan tidak sah. Hal ini adalah disebabkan mereka telah meninggalkan kewajipan berdiri, sedangkan mereka mampu melakukannya.
Justeru, sekiranya orang yang menunaikan solat itu hanya mampu berdiri seketika sahaja di dalam solat, dan tidak mampu berdiri pada ketika yang lain, maka dia hendaklah berdiri pada ketika yang dia mampu itu dan duduk pada ketika yang sudah tidak berkemampuan.
Tidak Wajib Berdiri Ketika Menunaikan Solat Sunat
Seseorang yang melakukan solat sunat tidak diwajibkan berdiri sebagaimana wajibnya berdiri ketika menunaikan solat fardhu. Rasulullah saw bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan solat dalam keadaan berdiri, maka itu lebih utama (afdhal), dan sesiapa yang menunaikan solat dalam keadaan duduk, maka ia mendapat pahala separuh daripada orang solat dalam keadaan berdiri, dan sesiapa yang melakukan solat dalam keadaan berbaring akan mendapat pahala separuh daripada orang yang menunaikannya dalam keadaan duduk.”
Selain itu, telah diriwayatkan juga bahawa Rasulullah saw telah melakukan solat sunat di atas tunggangan dalam keadaan duduk. Dalam Sahih al-Bukhari disebutkan hadis daripada Sayyidina Ibn ‘Umar r.a bahawa ia mengatakan: “Nabi Muhammad saw ketika bermusafir telah melakukan solat di atas tunggangan (dalam keadaan duduk)...”. Dimaksudkan solat yang dilakukan oleh nabi di sini ialah solat sunat.
Dalam Sahih al-Bukhari, telah disebutkan bahawa Sayyidah ‘A’isyah r.a Ummul Mukminin pernah berkata bahawa, “Rasulullah saw menunaikan solat dalam keadaan duduk. Pada ketika itu, baginda membaca Al-Quran (bacaan dalam solat) juga dalam keadaan duduk. Apabila bacaan baginda berbaki sekitar tiga puluh atau empat puluh ayat, maka baginda saw pun berdiri dan membaca ayat-ayat tersebut dalam keadaan berdiri. Seterusnya Rasulullah saw rukuk, dan kemudiannya sujud. Baginda melakukan seperti itu juga dalam rakaat yang kedua. Setelah selesai menunaikan solat, baginda melihat sama ada aku (Aisyah) masih berjaga atau tidur, Sekiranya masih berjaga baginda akan berbicara denganku, dan sekiranya aku sedang tidur, baginda akan berbaring.” Solat yang ditunaikan oleh Rasulullah ini ialah solat malam (qiamullail) yang merupakan solat sunat.
Diriwayatkan daripada Sayyidina Anas r.a, bahawa pada suatu hari Rasulullah saw keluar dan baginda melihat terdapat sebilangan orang yang melakukan solat dalam keadaan duduk. Lantas, nabi bersabda: “(pahala) solat orang yang duduk adalah separuh daripada (pahala) solat orang yang berdiri.”
Dalam kitab Majmu’, al-Imam al-Nawawi telah mengatakan bahawa, “Harus menunaikan solat sunat dalam keadaan duduk, meskipun seseorang itu berkemampuan untuk berdiri. Perkara ini merupakan suatu ijma’ (kesepakatan ulama’) berdasarkan dalil-dalil hadis yang sahih... Akan tetapi pahalanya adalah separuh daripada pahala orang yang menunaikan solat dalam keadaan berdiri sebagaimana yang terdapat di dalam hadis nabi saw. Namun sekiranya seseorang itu menunaikan solat sunat secara duduk atau berbaring adalah kerana ia tidak mampu untuk berdiri atau duduk kerana sakit atau seumpamanya, maka pahalanya adalah sama dengan pahala orang yang berdiri tanpa sebarang khilaf. Ia adalah sama seperti solat fardu yang dilakukan secara duduk atau berbaring kerana tidak mampu berdiri disebabkan sakit, maka pahalanya pun sama seperti pahala orang yang menunaikannya dalam keadaan berdiri tanpa sebarang khilaf”.
No comments:
Post a Comment