Oleh
Jalaluddin al-Rumi telah dilahirkan di Wakhsh (
Ketika berumur 25, beliau telah dihantar ke
Akhlak dan Peribadi:
Maulana Jalaluddin al-Rumi mempunyai keistimewaan yang tersendiri serta memiliki akhlak dan peribadi yang mulia. Antara keistimewaan dan kehebatan yang dipamerkan oleh beliau ialah:
- Tidak pernah selesa ketika tidur. Beliau tidak mempunyai bantal atau tilam untuk tidur, sebaliknya apabila terasa mengantuk beliau akan tidur di mana sahaja beliau sedang duduk. Beliau melakukan sedemikian agar beliau sentiasa dapat 'terjaga' daripada tidur dan dapat menumpukan perhatian kepada ibadah dan berzikir kepada Allah swt. Ini kerana beliau merasakan kehidupan di dunia hanyalah sebentar dan sementara sahaja, justeru hendaklah dimanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya.
- Munajat. Sebaik sahaja tiba waktu solat fardhu, beliau bertukar sama sekali dan serta-merta mengadap kiblat dengan penuh kekhusyukan. Beliau tidak lagi memikirkan segala urusan dunia. Beliau juga sentiasa bermunajat kepada Allah memohon keampunan daripadaNya.
- Zuhud. Apa jua hadiah yang diterimanya daripada raja, pembesar atau hartawan disedekahkannya kepada orang lain. Beliau bersifat pemurah sehingga beliau tidak pernah mengecewakan seorang pengemis pun yang meminta bantuan daripadanya.
- Rezeki Yang Halal. Beliau juga sentiasa berhati-hati agar tidak masuk dalam mulutnya sesuatu yang bersumberkan daripada yang haram. Ini kerana rezeki yang haram akan menyebabkan hati menjadi kotor, lantas akan lupa dan lalai daripada mengingati Allah.
Sumbangan / Karya
Sumbangan beliau lebih tertumpu kepada bidang tasawuf. Beliau banyak menghasilkan puisi yang berunsur kesufian. Karyanya yang paling masyhur dikenali sebagai 'Mathnawi' yang menghimpunkan banyak puisi kesufian dan perbincangan agama.
Kitab Mathnawi ini terdiri daripada enam kitab (bahagian) puisi dan ia mempunyai kekuatan sehinggakan pembacanya akan dapat merasai kebahagiaan dan kelazatan spiritual yang hebat Karya ini dihasilkan dalam tempoh empat puluh tiga tahun. Selain daripada itu, beliau juga telah menghasilkan 'al-Diwan' yang menghimpunkan puisi, dan 'fihi-ma-fihi' yang bermaksud 'Di dalamnya adalah apa yang ada di dalamnya' yang merupakan koleksi kata-kata yang penuh mistik. Fihi Ma Fihi ini telah digunakan sebagai buku rujukan bagi para sufi.
Karya-karyanya ditulis dalam bahasa Parsi, dan dipandang tinggi oleh orang Parsi kerana kandungannya yang puitis serta nilai kesusasteraan yang terdapat di dalamnya. Mereka menyanjungi karya-karya beliau, sehinggakan ia disebut sebagai "al-Qur'an dalam bahasa Pehlevi (bahasa Parsi)", meskipun karya-karya ini bertentangan dengan Syiah yang merupakan kepercayaan orang Parsi.
Karya Maulana Jalaluddin al-Rumi juga begitu mendapat tempat di barat. Justeru, boleh dikatakan ketika ini hampir kesemua karya-karyanya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Profesor Arberry telah memujinya dengan berkata: 'Beliau merupakan penyair mistik terbesar dalam sejarah manusia'.
Jalaluddin al-Rumi dan Puisi
Jalaluddin al-Rumi merupakan seorang ahli sufi yang hebat dalam mengutarakan puisi yang bersifat ketuhanan . Antara tajuk dan puisi yang diutarakannya adalah seperti yang berikut:-
1. Cinta:
al-Rumi menjelaskan maksud cinta melalui puisinya:
Dengan cinta, yang pahit jadi manis,
tembaga jadi emas ;
dengan cinta, keladak jadi jernih,
kesakitan jadi penawar ;
dengan cinta, penjara jadi taman,
tanpanya taman terbiar ;
Dengan cinta, batu jadi cair,
tanpanya, lilin jadi sekeras logam ;
Dengan cinta, sakit bertukar sihat,
dan bala menjadi rahmat;
Dengan cinta, yang mati jadi hidup,
dan raja menjadi hamba.
Kata-kata al-Rumi menghuraikan cinta:
‘Cinta ialah satu-satunya penyakit yang direstui pesakit; dia tidak ingin pulih daripadanya. Bahkan pesakit cinta ingin supaya kesakitannya bertambah’.
‘Semua yang sakit ingin dipulihkan, tetapi pesakit cinta bertangisan seraya merayu, tambahkanlah sakitku!’.
‘Tidak aku dapati minuman yang lebih manis daripada racun ini; tiada kesihatan yang lebih nyaman daripada penyakit ini’.
2. Hati dan Alam Qalbu
al-Rumi menganggap bahawa tiada persamaan di antara hati yang hidup dan hati yang mati kecuali persamaan pada panggilan dan persamaan pada jasad tempat ia menetap. Air longkang dan air sungai kedua-duanya digelar air; tetapi yang satu menghilangkan dahaga, sedangkan yang satu lagi cemar tiada berguna. Begitu juga dengan hati, yang satu dimiliki oleh para Auliya’ dan Salihin. Hati mereka jernih, roh mereka terangkat dan mulia. Hati yang satu pula berdenyut dalam jasad orang fasiq, iaitu cuma seketul daging buat penambah berat badan.
Kata engkau; hatiku, hatiku!
Tetapi bukankah hati sebenar,
Terlebih tinggi daripada petala langit yang tertinggi?
Benar, dalam tanah hitam yang terkandung air;
tetapi terbasuhkah tanganmu dengan airnya?
Kerana air itu tercemar dengan tanah,
bagai hatimu yang tercemar,
dengan cemaran duniawi,
maka jangan kata ini juga hati,
kerana hati sebenar terlebih tinggi
daripada tujuh petala langit;
itulah hati para nabi dan orang suci
3. Darjat dan Nilai Manusia
Falsafah dan agama yang menyeleweng telah tersebar pada zaman itu. Akibatnya susunan kehidupan masyarakat menjadi terancam dan porak-peranda. Lalu dalam suasana ini, lahirlah aliran sufi yang menyeru kepada aliran fana’ yang melampau. Slogan mereka ialah: ‘matilah kamu sebelum kamu dimatikan’. Akibat daripada fahaman dan falsafah ini, tersebarlah kesusasteraan yang bersifat duka dan kecewa, yang memandang kepada alam kehidupan dengan pandangan yang hitam dan pilu, yang menyeru kepada pengasingan diri daripada bidang kehidupan, serta mengecam sifat kelelakian yang menginginkan zuriat keturunan.
Natijahnya, manusia hilang keyakinan terhadap diri sendiri, tidak ada matlamat dalam kehidupan, putus harapan, sentiasa berada dalam kebimbangan, tiada daya usaha untuk meningkatkan kecemerlangan hidup, sehinggakan ada yang menganggap manusia lebih lemah dan hina daripada haiwan dan tumbuhan.
Jalaluddin al-Rumi
‘Bacalah dalah surah al-Tin ungkapan 'ahsani taqwim', demi sesungguhnya roh itu adalah mutiara yang berharga. Roh yang diciptakan dalam ciptaan paling sempurna, melebihi kesempurnaan tujuh petala langit. Roh, yang sebaik-baik ciptaan ini, di luar pencapaian fikiran’.
‘Mahkota 'laqad karramna' berada di atas kepalamu, dan rantai 'inna ‘atainaka' tergantung pada dadamu.
Katanya lagi:
Setiap keelokan, kecantikan
dan kesempurnaan yang ada pada alam ini
hanyasanya diciptakan untuk kamu
Mereka bertawaf di sekelilingmu
Kamulah yang dicemburui
Oleh Malaikat Muqarrabun
Tiadalah kamu berhajat
kepada kecantikan yang lain
kerana diri kamulah kecantikan
manusia ialah intan permata
alam angkasa raya pancaran cahayanya
setiap yang lain hanyalah cabang dan tangga
engkaulah maksud dan matlamat
segenap kejadian wajib berkhidmat kepadamu
kamulah raja yang lain pengiring
tidak sayugia raja tunduk kepada pengiring
4. Antara Ikhtiar dan Tawakal
al-Rumi juga membangkitkan semangat kaum muslimin ke arah usaha, kerja dan perjuangan. al-Rumi memuatkan kesemuanya ini dalam Mathnawi. al-Rumi menolak sesetengah golongan sufi yang menolak adanya usaha dan ikhtiar bagi manusia. Beliau menganggap ajaran kerahiban, pemencilan diri daripada urusan duniawi adalah suatu yang bercanggah dengan ajaran Islam.
al-Rumi menegaskan: ‘ Kalau hidup bermasyarakat suatu yang tiada dikehendaki oleh Allah, nescaya Dia tidak fardhukan solat
‘Campuri masyarakat, itulah maksud rahmat Allah; jangan abaikan syariat, contohilah teladannya’.
al-Rumi berkata lagi:
‘Nabi bersabda: Tatkala berserah kepada Allah, ikatlah juga unta kamu’, fahamilah benar-benar kata hikmah, si pekerja ialah kekasih Allah. Apabila bertawakkal, jangan lupa kepada cara dan asbab’
‘Hendaklah kamu menggabungkan di antara usaha dengan tawakkal kepada Allah. Carilah sara hidup, berusaha gigih dan bekerja kuat. Berusahalah demi menunaikan tanggungjawab kamu, kalau daya usaha kamu kendur, tentulah kamu orang yang bodoh’.
Kematian Jalaluddin al-Rumi
Beliau meninggal dunia pada 5 Jamadilakhir 672 Hijrah. Ramai orang menangis ketika perarakan jenazahnya. Orang Yahudi dan Kristian turut serta dalam perarakan jenazah itu. Apabila ditanya oleh gabenor