Followers

Saturday, May 31, 2008

Maulana Jalaluddin al-Rumi


Oleh: Ustaz Shauqi

Jalaluddin al-Rumi telah dilahirkan di Wakhsh (Tajikistan), daerah Balkh Afghanistan pada 30 September 1207 Masihi. Bapanya Bahauddin Valad merupakan seorang tokoh agama yang tersohor. Di bawah didikannya Jalaluddin menerima pendidikan daripada Syed Burhanuddin. Ketika berumur 18 tahun, keluarga Jalaluddin menunaikan haji dan seterusnya berpindah ke Konya, Turki dan menetap di sana.

Ketika berumur 25, beliau telah dihantar ke Aleppo (Halab) untuk meneruskan pengajian dan seterusnya ke Damsyik. Jalaluddin al-Rumi meneruskan pengajiannya sehingga berumur 40 tahun. Walaubagaimanapun beliau telah menjadi seorang 'professor' di salah sebuah madrasah di Konya ketika berumur 24 tahun iaitu setelah kematian bapanya. Antara gurunya yang terkenal ialah Syed Burhanuddin dan Shamsuddin al-Tibriz. Beliau meninggal dunia di Konya pada tahun 672 Hijrah bersamaan 17 Disember 1273 Masihi setelah dikenali sebagai seorang maulana dalam tarikat kesufian.

Akhlak dan Peribadi:

Maulana Jalaluddin al-Rumi mempunyai keistimewaan yang tersendiri serta memiliki akhlak dan peribadi yang mulia. Antara keistimewaan dan kehebatan yang dipamerkan oleh beliau ialah:

  1. Tidak pernah selesa ketika tidur. Beliau tidak mempunyai bantal atau tilam untuk tidur, sebaliknya apabila terasa mengantuk beliau akan tidur di mana sahaja beliau sedang duduk. Beliau melakukan sedemikian agar beliau sentiasa dapat 'terjaga' daripada tidur dan dapat menumpukan perhatian kepada ibadah dan berzikir kepada Allah swt. Ini kerana beliau merasakan kehidupan di dunia hanyalah sebentar dan sementara sahaja, justeru hendaklah dimanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya.
  2. Munajat. Sebaik sahaja tiba waktu solat fardhu, beliau bertukar sama sekali dan serta-merta mengadap kiblat dengan penuh kekhusyukan. Beliau tidak lagi memikirkan segala urusan dunia. Beliau juga sentiasa bermunajat kepada Allah memohon keampunan daripadaNya.
  3. Zuhud. Apa jua hadiah yang diterimanya daripada raja, pembesar atau hartawan disedekahkannya kepada orang lain. Beliau bersifat pemurah sehingga beliau tidak pernah mengecewakan seorang pengemis pun yang meminta bantuan daripadanya.
  4. Rezeki Yang Halal. Beliau juga sentiasa berhati-hati agar tidak masuk dalam mulutnya sesuatu yang bersumberkan daripada yang haram. Ini kerana rezeki yang haram akan menyebabkan hati menjadi kotor, lantas akan lupa dan lalai daripada mengingati Allah.

Sumbangan / Karya

Sumbangan beliau lebih tertumpu kepada bidang tasawuf. Beliau banyak menghasilkan puisi yang berunsur kesufian. Karyanya yang paling masyhur dikenali sebagai 'Mathnawi' yang menghimpunkan banyak puisi kesufian dan perbincangan agama.

Kitab Mathnawi ini terdiri daripada enam kitab (bahagian) puisi dan ia mempunyai kekuatan sehinggakan pembacanya akan dapat merasai kebahagiaan dan kelazatan spiritual yang hebat Karya ini dihasilkan dalam tempoh empat puluh tiga tahun. Selain daripada itu, beliau juga telah menghasilkan 'al-Diwan' yang menghimpunkan puisi, dan 'fihi-ma-fihi' yang bermaksud 'Di dalamnya adalah apa yang ada di dalamnya' yang merupakan koleksi kata-kata yang penuh mistik. Fihi Ma Fihi ini telah digunakan sebagai buku rujukan bagi para sufi.

Karya-karyanya ditulis dalam bahasa Parsi, dan dipandang tinggi oleh orang Parsi kerana kandungannya yang puitis serta nilai kesusasteraan yang terdapat di dalamnya. Mereka menyanjungi karya-karya beliau, sehinggakan ia disebut sebagai "al-Qur'an dalam bahasa Pehlevi (bahasa Parsi)", meskipun karya-karya ini bertentangan dengan Syiah yang merupakan kepercayaan orang Parsi.

Karya Maulana Jalaluddin al-Rumi juga begitu mendapat tempat di barat. Justeru, boleh dikatakan ketika ini hampir kesemua karya-karyanya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Profesor Arberry telah memujinya dengan berkata: 'Beliau merupakan penyair mistik terbesar dalam sejarah manusia'.

Jalaluddin al-Rumi dan Puisi

Jalaluddin al-Rumi merupakan seorang ahli sufi yang hebat dalam mengutarakan puisi yang bersifat ketuhanan . Antara tajuk dan puisi yang diutarakannya adalah seperti yang berikut:-

1. Cinta:

al-Rumi menjelaskan maksud cinta melalui puisinya:

Dengan cinta, yang pahit jadi manis,

tembaga jadi emas ;

dengan cinta, keladak jadi jernih,

kesakitan jadi penawar ;

dengan cinta, penjara jadi taman,

tanpanya taman terbiar ;

Dengan cinta, batu jadi cair,

tanpanya, lilin jadi sekeras logam ;

Dengan cinta, sakit bertukar sihat,

dan bala menjadi rahmat;

Dengan cinta, yang mati jadi hidup,

dan raja menjadi hamba.

Kata-kata al-Rumi menghuraikan cinta:

‘Cinta ialah satu-satunya penyakit yang direstui pesakit; dia tidak ingin pulih daripadanya. Bahkan pesakit cinta ingin supaya kesakitannya bertambah’.

‘Semua yang sakit ingin dipulihkan, tetapi pesakit cinta bertangisan seraya merayu, tambahkanlah sakitku!’.

‘Tidak aku dapati minuman yang lebih manis daripada racun ini; tiada kesihatan yang lebih nyaman daripada penyakit ini’.

2. Hati dan Alam Qalbu

al-Rumi menganggap bahawa tiada persamaan di antara hati yang hidup dan hati yang mati kecuali persamaan pada panggilan dan persamaan pada jasad tempat ia menetap. Air longkang dan air sungai kedua-duanya digelar air; tetapi yang satu menghilangkan dahaga, sedangkan yang satu lagi cemar tiada berguna. Begitu juga dengan hati, yang satu dimiliki oleh para Auliya’ dan Salihin. Hati mereka jernih, roh mereka terangkat dan mulia. Hati yang satu pula berdenyut dalam jasad orang fasiq, iaitu cuma seketul daging buat penambah berat badan.

Kata engkau; hatiku, hatiku!

Tetapi bukankah hati sebenar,

Terlebih tinggi daripada petala langit yang tertinggi?

Benar, dalam tanah hitam yang terkandung air;

tetapi terbasuhkah tanganmu dengan airnya?

Kerana air itu tercemar dengan tanah,

bagai hatimu yang tercemar,

dengan cemaran duniawi,

maka jangan kata ini juga hati,

kerana hati sebenar terlebih tinggi

daripada tujuh petala langit;

itulah hati para nabi dan orang suci

3. Darjat dan Nilai Manusia

Falsafah dan agama yang menyeleweng telah tersebar pada zaman itu. Akibatnya susunan kehidupan masyarakat menjadi terancam dan porak-peranda. Lalu dalam suasana ini, lahirlah aliran sufi yang menyeru kepada aliran fana’ yang melampau. Slogan mereka ialah: ‘matilah kamu sebelum kamu dimatikan’. Akibat daripada fahaman dan falsafah ini, tersebarlah kesusasteraan yang bersifat duka dan kecewa, yang memandang kepada alam kehidupan dengan pandangan yang hitam dan pilu, yang menyeru kepada pengasingan diri daripada bidang kehidupan, serta mengecam sifat kelelakian yang menginginkan zuriat keturunan.

Natijahnya, manusia hilang keyakinan terhadap diri sendiri, tidak ada matlamat dalam kehidupan, putus harapan, sentiasa berada dalam kebimbangan, tiada daya usaha untuk meningkatkan kecemerlangan hidup, sehinggakan ada yang menganggap manusia lebih lemah dan hina daripada haiwan dan tumbuhan.

Jalaluddin al-Rumi cuba membetulkan kesilapan yang berlaku dikalangan masyarakat pada masa itu melalui puisinya yang menghuraikan nilai ketinggian manusia yang diciptakan Allah.

Bacalah dalah surah al-Tin ungkapan 'ahsani taqwim', demi sesungguhnya roh itu adalah mutiara yang berharga. Roh yang diciptakan dalam ciptaan paling sempurna, melebihi kesempurnaan tujuh petala langit. Roh, yang sebaik-baik ciptaan ini, di luar pencapaian fikiran’.

Mahkota 'laqad karramna' berada di atas kepalamu, dan rantai 'inna ‘atainaka' tergantung pada dadamu.

Katanya lagi:

Setiap keelokan, kecantikan

dan kesempurnaan yang ada pada alam ini

hanyasanya diciptakan untuk kamu

Mereka bertawaf di sekelilingmu

Kamulah yang dicemburui

Oleh Malaikat Muqarrabun

Tiadalah kamu berhajat

kepada kecantikan yang lain

kerana diri kamulah kecantikan

manusia ialah intan permata

alam angkasa raya pancaran cahayanya

setiap yang lain hanyalah cabang dan tangga

engkaulah maksud dan matlamat

segenap kejadian wajib berkhidmat kepadamu

kamulah raja yang lain pengiring

tidak sayugia raja tunduk kepada pengiring

4. Antara Ikhtiar dan Tawakal

al-Rumi juga membangkitkan semangat kaum muslimin ke arah usaha, kerja dan perjuangan. al-Rumi memuatkan kesemuanya ini dalam Mathnawi. al-Rumi menolak sesetengah golongan sufi yang menolak adanya usaha dan ikhtiar bagi manusia. Beliau menganggap ajaran kerahiban, pemencilan diri daripada urusan duniawi adalah suatu yang bercanggah dengan ajaran Islam.

al-Rumi menegaskan: ‘ Kalau hidup bermasyarakat suatu yang tiada dikehendaki oleh Allah, nescaya Dia tidak fardhukan solat lima waktu berjamaah, solat jumaat dan tugas menyuruh yang baik dan mencegah kemungkaran’.

Campuri masyarakat, itulah maksud rahmat Allah; jangan abaikan syariat, contohilah teladannya’.

al-Rumi berkata lagi:

Nabi bersabda: Tatkala berserah kepada Allah, ikatlah juga unta kamu’, fahamilah benar-benar kata hikmah, si pekerja ialah kekasih Allah. Apabila bertawakkal, jangan lupa kepada cara dan asbab’

‘Hendaklah kamu menggabungkan di antara usaha dengan tawakkal kepada Allah. Carilah sara hidup, berusaha gigih dan bekerja kuat. Berusahalah demi menunaikan tanggungjawab kamu, kalau daya usaha kamu kendur, tentulah kamu orang yang bodoh’.

Kematian Jalaluddin al-Rumi

Beliau meninggal dunia pada 5 Jamadilakhir 672 Hijrah. Ramai orang menangis ketika perarakan jenazahnya. Orang Yahudi dan Kristian turut serta dalam perarakan jenazah itu. Apabila ditanya oleh gabenor Konya mengapakah mereka ingin turut serta, mereka menjawab bahawa mereka telah menemui pada peribadinya segala tanda dan ciri para nabi yang tersebut dalam kitab-kitab mereka. Selain itu, mereka juga dapat mempelajari daripada al-Rumi sifat para wali dan orang soleh yang tidak diketahui oleh mereka selama ini.

Wednesday, May 28, 2008

Adat Bersendi Syarak


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Orang Melayu adalah masyarakat yang begitu mengambil berat dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan dengan adat. Sehubungan dengan itu, ada pepatah Melayu yang menyatakan 'Biar Mati Anak Jangan Mati Adat' .Menurut Kamus Dewan, Adat ialah peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun (sejak dahulu kala) di dalam sesuatu masyarakat (sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi).

Dalam Islam, adat yang diamalkan oleh masyarakat adalah diharuskan selagi ia tidak bercanggah dengan hukum Islam. Adat yang diharuskan ini ialah adat yang berkonsepkan demokrasi dan permuafakatan dan tidak bertentangan dengan agama Islam, sesuai dengan kata-kata ‘adat bersendi syarak dan syarak bersendi Kitabullah’ dan sesuai pula dengan perbilangan 'Adat bersendi Hukum' dan 'Hukum bersendi Kitabullah'.

Namun, kadang-kala masih terdapat dalam masyarakat Melayu golongan yang lebih mengutamakan adat daripada hukum syarak. Lalu, segala bentuk adat yang wujud akan diamalkan tanpa merujuk terlebih dahulu sama ada ada ia sesuai dan bertepatan dengan hukum syarak atau sebaliknya. Perbuatan ini lahir daripada sikap suka meniru amalan yang dilakukan sejak turun-temurun tanpa memikirkan implikasi amalan tersebut dari segi syarak dan akidah Islam. Apatah lagi, kedangkalan ilmu juga menjadi salah satu faktor utama yang menyebabkan adat yang bercanggah dengan syarak terus dijunjung.

Sebagai orang Islam, kita berkewajipan untuk menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai kayu pengukur dalam menentukan segala tindakan dan amalan kita seharian. Ini adalah bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: 'Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh dengan kedua-dua perkara tersebut, iaitu kitabullah (al-Quran) dan sunnah nabinya'.(Hadis riwayat Imam Malik). Apatah lagi firman Allah s.w.t. dalam surah Ali 'Imran ayat 102 bermaksud: 'Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Islam.' Untuk mati dalam keadaan Islam, hidup kita mestilah berpandukan dengan cara Islam, daripada saat dilahirkan sehinggalah saat dikebumikan.

Dalam masyarakat Melayu di Malaysia pada hari ini, terdapat banyak adat yang sudah ditinggalkan apabila diketahui ianya bercanggah dengan hukum syarak. Dalam pada itu, masih terdapat segelintir golongan yang masih degil yang tetap mempertahankan adat walaupun diketahui sesetengah adat itu merupakan saduran daripada pegangan dan amalan agama selain Islam seperti Hindu, Buddha, Aminisme dan sebagainya. Tambah mendukacitakan lagi, apabila sesuatu adatt yang diamalkan itu boleh membawa kepada khurafat dan syirik kepada Allah s.w.t.

Adat-adat tertentu yang diamalkan dalam masyarakat Melayu bermula dengan kelahiran seorang bayi ke atas dunia ini hinggalah kepada kematiannya. Pada artikel kali ini, akan disentuh beberapa adat yang masih diamalkan walau oleh segelintir masyarakat, dan akan dilihat persepsinya dari sudut syarak.


Pertamanya, adat yang berkaitan dengan perkahwinan. Dalam Islam, keutamaan dalam pemilihan pasangan untuk berkahwin adalah berdasarkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Pemilihan yang seumpama ini adalah supaya 'bahtera kehidupan' yang bakal ditempuh akan berasaskan sesuatu yang diredhai oleh Allah bermula sejak dari hari perkahwinan sehinggalah melahirkan zuriat yang soleh. Perkahwinan yang dilangsungkan hendaklah diisytihar sebagaimana sabda nabi yang bermaksud: 'buatlah kenduri walau dengan seekor kambing'.(Hadis riwayat Imam Bukhari).


Namun sesuatu yang malang terjadi apabila kenduri perkahwinan yang dilaksanakan itu bercampur dengan adat-adat yang tidak bertepatan dengan hukum syarak seperti upacara persandingan yang masih diamalkan oleh masyarakat sehingga ke hari ini. Dalam upacara persandingan, diadakan bertepung tawar, melontar beras dan sebagainya. Tidakkah melontar beras itu melibatkan suatu pembaziran yang diharamkan di dalam Islam? Atau ia dilakukan kerana terpengaruh dengan orang beragama Hindu yang mempercayai 'semangat' yang ada pada padi?

Manakala upacara bertepung tawar, ia seharusnya dilihat dengan lebih teliti tujuan dibuat perkara tersebut. Ini kerana dibimbangi ia melibatkan pengaruh perkara-perkara khurafat. Ini kerana, masyarakat Melayu dahulu-kala ketika hendak belayar di lautan, terdapat upacara menurunkan perahu atau kapal yang baru ke laut. Upacara ini di lakukan oleh Tok Bomoh dengan harapan perahu dan kapal tersebut selamat daripada gangguan hantu laut dan sebagainya semasa belayar di lautan luas. Upacara dilakukan dengan perahu itu dipulihkan dengan jampi serapah dan mantera dengan menggunakan tepung tawar dan sebagainya. Pada hari ini, terdapat pula upacara menepung tawar terhadap kenderaan yang baru dibeli atau rumah baru yang ingin didiami. Apakah upacara menepung tawar ini ada kaitan dengan amalan masyarakat Melayu dahulu-kala yang bercanggah dengan syarak itu? Tidak cukupkah doa yang dipohon kepada Allah agar kenderaan yang baru dibeli itu selamat di sepanjang perjalanan, di samping doa khusus yang dibaca setiap kali menaiki kenderaan dan memulakan perjalanan?

Berbalik kepada upacara persandingan, ianya masih diamalkan oleh masyarakat Melayu dengan berleluasa dalam negara kita. Seolahnya-olahnya, sesuatu perkahwinan itu tidak berseri tanpa persandingan. Ada pula yang berpendapat, apa salahnya perbuatan tersebut untuk seumur hidup sekali agar ia menjadi kenangan abadi hingga ke anak cucu. Lalu upacara persandingan ini terus dilakukan dalam upacara perkahwinan, termasuklah segelintir 'orang surau' yang mengetahui bahawa perbuatan tersebut bercanggah dengan syarak, tetapi tetap melakukannya.

Para ulama' dengan jelas menyatakan bahawa upacara persandingan itu adalah sesuatu yang haram apabila ia ditonjolkan di khalayak ramai yang bukan mahram. Walau bagaimanapun para ulama berbeza pendapat dalam mengetengahkan punca dan sebab ia diharamkan. Terdapat pandangan yang mengatakan bahawa bersanding itu haram kerana ia merupakan amalan baru yang diada-adakan yang tidak pernah dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w mahupun pada zaman para sahabat.

Pendapat seterusnya ialah berdasarkan terdapat beberapa perbuatan yang melanggar batas-batas syarak semasa upacara persandingan seperti pakaian yang mendedahkan aurat, pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, pengantin perempuan memakai wangi-wangian yang boleh menimbulkan fitnah dan sebagainya.

Begitu juga dengan soal pembaziran yang begitu ketara berlaku apabila wujudnya upacara persandingan ini. Perbelanjaan untuk membuat pelamin sahaja menelan belanja yang besar yang kadang-kala menjangkau ribuan ringgit. Perbuatan membazir seumpama ini jelas diharamkan di dalam Islam. Firman Allah swt dalam surah al-Isra' ayat 27 bermaksud: "Sesungguhnya orang yang boros dan membazir adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."

Terdapat pandangan ulama yang berpendapat bersanding merupakan sesuatu yang jelas keharamannya kerana ia adalah warisan dan ikutan daripada amalan masyarakat Hindu. Persandingan merupakan salah satu bentuk pemujaan dalam agama Hindu di mana mempelai yang bersanding itu sebenarnya meniru adat Hindu yang memuja Dewa Rama dan Dewi Sita. Persandingan secara ini memperlihatkan di sebelah perempuan Mak Andam sebagai pengiring utamanya dan di sebelah pihak lelaki pula Tok Bomoh sebagai pengiringnya. Kedua-dua mempelai ini diarak dan di sanjung serta dipuja sepertimana orang Hindu memuja Dewa Rama dan Dewi Sita, dengan sebab itulah pengantin baru di gelar sebagai Raja Sehari.

Umat Islam dilarang sama sekali untuk mengikut dan meniru amalan orang kafir, apatah lagi yang berkaitan dengan akidah dan kepercayaan. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: 'sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari golongan mereka.' (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).

Apabila diketahui sesuatu adat itu berasaskan perkara yang bercanggah dengan syarak, maka sewajarnya kita tidak berlengah lagi untuk meninggalkan adat tersebut demi mengharapkan keampunan dan keredhaan Allah. Adat yang boleh diamalkan ialah adat yang bersendikan syarak!

Khaulah Binti Tha'labah


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Beliau ialah Khaulah Binti Tha'labah Bin Asram Bin Fahr bin Tsalabah Ghanam bin Auf. Ada pendapat yang menyatakan bahawa nama beliau ialah Khaulah Binti Malik Bin Asram Bin Fahr Bin Tha'alabah Bin Ghanam Bin Auf. Beliau merupakan seorang sahabiah daripada Ansar. Beliau dinikahi oleh Aus bin Samit bin Qais saudara kepada Ubadah bin Samit r.a yang mengikuti Perang Badar, Perang Uhud dan seluruh peperangan yang disertai oleh Rasulullah saw. Perkahwinannya dengan Aus inilah beliau melahirkan anak lelaki yang benama Rabi'.


Khaulah merupakan seorang wanita yang fasih berkata-kata, cerdik dan selalu merujuk kepada Allah dan RasulNya apabila menghadapi sesuatu masalah. Dalam keadaan apa sekalipun, imannya tetap teguh dan utuh. Surah al-Mujadalah menceritakan peristiwa penting yang berlaku kepada Khaulah iaitu ‘zihar’, dan ia dapat dijadikan panduan dan pengajaran kepada seluruh umat Islam.

KAITAN KHAULAH DENGAN SURAH AL-MUJADALAH
Pada suatu hari, Aus Bin Samit telah mengatakan kepada Khaulah Binti Tha'labah isterinya iaitu, "Bagiku engkau ini seperti punggung ibuku." Kemudian Aus keluar setelah mengatakan perkataan tesebut . Beberapa ketika kemudian, Aus masuk dan ingin bersama dengan Khaulah. Akan tetapi kesedaran hati dan kehalusan perasaan Khaulah membuatnya menolak hingga jelas hukum Allah tehadap kejadian ‘zihar’ yang baru pertama kali terjadi dalam sejarah Islam.
Khaulah berkata, "Tidak... jangan! Demi yang jiwa Khaulah berada di tangan-Nya, engkau tidak boleh menjamahku kerana engkau telah mengatakan sesuatu seperti yang telah engkau ucapkan terhadapku. Jadi, tunggulah sampai Allah dan Rasul-Nya memutuskan hukum tentang peristiwa yang menimpa kita."

Kemudian Khaulah keluar menemui Rasulullah saw dan duduk di hadapan Nabi serta menceritakan peristiwa yang menimpa dirinya dengan suaminya. Khaulah berdialog dan meminta fatwa tentang perkara tersebut. Rasulullah saw bersabda:"Aku belum pernah menerima perintah (wahyu) berkenaan urusanmu tersebut... aku tidak melihat melainkan engkau sudah haram baginya."

Khaulah mengulangi perkataannya dan menjelaskan kepada Rasululah saw apa yang akan menimpa dirinya dan anaknya jika dia harus bercerai, namun Rasulullah tetap menjawab, "Aku tidak melihat melainkan engkau telah haram baginya."

Selepas itu, Khaulah sentiasa mengangkat kedua tangannya memohon ke hadrat Ilahi untuk menguraikan kesedihan dan kesusahan yang terpendam di dalam hatinya itu. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, al-Hakim, Baihaqi serta lainnya dari 'Aisyah r.a., dia berkata :"Maha Suci Allah yang pendengaran-Nya mendengar segala sesuatu. Sungguh aku mendengar perkataan Khaulah binti Tsa'labah dan sebahagiannyatidak dapat ku dengar, ketika dia mengadukan perihal suaminya kepada Rasulullah sawdan berkata : Wahai Rasulullah, dia menghabiskan masa mudaku dan aku banyak melahirkan anak untuknya. Setelah usiaku menjadi tua dan aku ber-henti melahirkan, dia melakukan zihar terhadapku. Ya, Allah, aku mengeluhkepada-Mu."

Kemudian turunlah wahyu (Surah al-Mujadalah ayat 1-5) yang bermaksud:
[1] Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil dia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[2] Orang-orang yang "ziharkan" isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
[3] Dan orang-orang yang "ziharkan" isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu) dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.
[4] Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliah) dan itulah batas-batas hukum Allah dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

ARAHAN NABI TERHADAP KHAULAH DAN SUAMINYA
Apabila turunnya wahyu, Rasulullah saw pun menjelaskan kepada Khaulah tentang kaffarah zihar:
Nabi: Perintahkan kepadanya (suami Khaulah) untuk memerdekakan seorang budak. Khaulah: Ya Rasulullah, dia tidak memiliki seorang budak yang boleh dia merdekakan. Nabi: Jika demikian, perintahkan kepadanya untuk puasa dua bulan berturut-turut. Khaulah: Demi Allah, dia adalah lelaki yang tua dan tidak mampu untuk berpuasa. Nabi: Perintahkan kepadanya memberi makan kurma kepada sebanyak 60 orang miskin. Khaulah: Demi Allah, ya Rasulullah, dia tidak memilikinya. Nabi: Aku bantu separuhnya. Khaulah: Aku bantu separuhnya yang lain, wahai Rasulullah. Nabi: Engkau benar dan baik, maka pergilah dan sedekahkanlah kurma itu sebagai kaffarah baginya, kemudian bergaullah dengannya secara baik. Maka Khaulah pun melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah itu.

KHAULAH DAN SAIDINA UMAR
Khaulah pernah memberhentikan Khalifah Umar bin al-Khattab ra yang sedang berjalan untuk memberikan nasihat kepadanya. Beliau berkata, "Wahai Umar, aku telah mengenalmu sejak namamu dahulu masih Umair (Umar kecil) tatkala engkau berada di pasar Ukaz, engkau mengembala kambing dengan tongkatmu, kemudian berlalulah waktu hingga engkau bernama Umar, kemudian berlalu hari demi hari sehingga memiliki nama Amirul Mukminin, maka bertakwalah kepada Allah perihal rakyatmu, dan ketahuilah bahawa sesiapa yang takut kepada siksa Allah maka yang jauh akan menjadi dekat dengannya, dan sesiapa yang takut mati, maka dia akan takut kehilangan, dan sesiapa yang yakin akan adanya hisab, maka dia takut terhadap azab Allah."

Khaulah menasihati Sayyidina Umar Amirul Mukminin, dalam keadaan Sayyidina Umar berdiri sambil menundukkan kepalanya dan mendengar perkataan Khaulah dengan baik. Seorang sahabat yang bersama Umar bin al-Khattab ketika itu mengatakan kepada Khaulah, "Engkau telah banyak berbicara kepada Amirul Mukminin wahai wanita!"

Sayyidina Umar kemudian menegurnya, "Biarkan dia,.. tahukah kamu siapakah dia? Beliau adalah Khaulah yang Allah mendengarkan perkataannya dari langit yang ke tujuh, maka Umar lebih berhak untuk mendengarkan perkataannya." Dalam riwayat yang lain, Umar berkata, "Demi Allah, seandainya beliau tidak menyudahi nasihatnya kepadaku hingga malam hari, maka aku tidak akan menyudahinya sehingga beliau selesaikan apa yang dia kehendaki, kecuali jika telah datang waktu solat, maka aku akan mengerjakan solat, kemudian kembali untuk mendengarkannya hingga selesai keperluannya."

PENGAJARAN DARIPADA SIFAT KHAULAH

1. Kerukunan hidup suami isteri walaupun ketika tua. Kasih sayang di antara suami isteri di atas dunia ini, akan membawa kebahagiaan di akhirat nanti. Lantaran itu, Khaulah yang menyayangi suaminya berusaha mempastikan agar mereka tidak melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah.
2. Sentiasa mencari penyelesaian dengan merujuk kepada Allah dan RasulNya. Alangkah baiknya seorang wanita muslimah seumpama Khaulah, beliau berdiri di hadapan Rasulullah saw dan berdialog untuk meminta fatwa, serta mengadu perihal dirinya kepada Allah. Ini adalah bukti kejernihan iman dan tauhid yang tersemat kukuh dalam hati sanubari hasil yang telah dipelajari dari Rasulullah saw
3. Isteri yang solehah. Nabi saw bersabda mengenai hal ini yang bermaksud: "Tidaklah orang mukmin mendapat faedah sesudah taqwa kepada Allah yang lebih baik daripada isteri yang solehah. Jika dia menyuruhnya, maka isteri mentaatinya. Jika dia memandang kepadanya, isteri menyenangkannya. Jika dia tidak ada di rumah, isteri memelihara harta dan kehormatan suaminya." Dalam hadis yang lain, nabi saw bersabda yang bermaksud: “Dunia ini perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah’.
4. Allah membatalkan hukum zihar yang merupakan perceraian pada zaman Jahiliyyah, sebaliknya digantikan dengan kaffarah.
5. Wajib kembali kepada al-Quran dan Sunnah dalam sesuatu hukum.

Tuesday, May 27, 2008

Fadhilat Berzikir Kepada Allah


Oleh: Ustaz Shauqi

Nabi saw bersabda, maksudnya: “Dua perkataan yang mudah dituturkan oleh lidah, berat timbangannya di dalam mizan (neraca timbangan disisi Allah), dan disukai oleh al-Rahman (Allah) iaitu: Subhanallahi wa bihamdihi, subhanallahil ‘azim”.(Muttafaqun 'alaih)

Sabda nabi saw dalam hadis yang lain, maksudnya: ‘Menyebut subhanallah, alhamdulillah, lailahaillallah, dan allahu akbar lebih aku sukai daripada terbitnya matahari’. (Hadis riwayat Imam Muslim)

Sabda nabi saw lagi, maksudnya: ‘Bandingan orang yang berzikir kepada Allah dengan orang yang tidak berzikir adalah seumpama orang yang hidup dan orang yang mati’. (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Pada suatu hari nabi saw telah menyatakan kepada para sahabat baginda: ‘Tidak mampukah kamu untuk mendapatkan seribu kebajikan pada setiap hari?. Lalu Rasulullah saw pun ditanya tentang cara untuk mendapatkannya. Lantas Rasulullah menyatakan apabila seseorang itu bertasbih sebanyak seratus kali, maka akan ditulis untuknya seribu kebajikan dan dihapuskan daripadanya seribu dosa. Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Sabda nabi saw:

من قال سبحان الله وبحمده، في يوم مائة مرة، حُطَّتْ خطاياه وإن كانت مثل زبد البحر متفق عليه

Maksudnya: ‘Sesiapa yang mengucapkan subhanallah wabihamdihi sehari seratus kali, digugurkan dosa-dosanya walau sebanyak buih di lautan’. (muttafaqun 'alaih)

Doa menghilangkan syirik

Doa yang diajar oleh Nabi saw kepada Abu Bakar al-Siddiq ra:

اللهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُبِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ، وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada aku mensyirikkan Engkau sedangkan aku mengetahui, dan aku memohon keampunan daripadaMu sekiranya aku tidak mengetahui (menyedari)”.

Thursday, May 22, 2008

Forum Perdana

Forum Perdana di Masjid al-Falah USJ 9 akan diadakan pada hari SABTU bersamaan 24 MEI 2008 selepas solat Maghrib. Ahli Panel forum adalah seperti berikut:

Pengerusi : Ustaz Yussaine Yahya
Ahli Panel : Ustaz Shauqi Othman
Ahli Panel : Ustaz Zulkifli Ahmad

Tajuk Forum: "Kasih Ibu Sepanjang Masa".

Wednesday, May 21, 2008

Tuntutan Bersegera Melakukan Kebajikan

Oleh: Ustaz Shauqi

Setiap individu Muslim berkewajipan untuk berusaha dan berlumba-lumba melakukan kebajikan dan amalan soleh. Dalam surah al-Ma’idah ayat 48, Allah berfirman yang bermaksud ‘… maka berlumba-lumbalah membuat kebajikan…’. Menurut Syeikh Muhammad ‘Ali al-Sobuni dalam Safwat al-Tafasir, ia bermaksud hendaklah bersegera melakukan sesuatu yang membawa kebaikan iaitu mentaati Allah dan melaksanakan segala peraturanNya.

Bersegera melakukan sesuatu bermaksud sesuatu yang tidak boleh ditangguh-tangguh lagi. Ini kerana orang yang beriman dan yang cerdik adalah mereka yang menyedari bahawa masa sentiasa menghambat mereka, dan masa yang terlepas tidak boleh dikembalikan lagi.

Allah sendiri bersumpah dengan masa dalam surah al-Asr bagi menggambarkan kepentingan untuk tidak bertangguh dalam melakukan sesuatu. Firman Allah bermaksud: “Demi masa sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.”( Surah al-Asr: 1- 3 ).

Nabi saw menyifatkan orang yang sentiasa bermuhasabah diri dan tidak bertangguh dalam melakukan sesuatu yang baik adalah orang yang cerdik sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi .

Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 114 bermaksud: ‘Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan mereka menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan; mereka itu termasuk orang yang soleh’. Dalam ayat 133 surah Ali ‘Imran pula Allah menyatakan yang maksudnya: ‘Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa’.

Menurut Wahbah Zuhaily dalam Tafsir Munir (1991: 2/86) , dalam ayat ini Allah menyuruh agar bersegera melakukan amalan ketaatan seperti sedekah, silaturrahim, bekerjasama, tolong-menolong dan menjauhi perkara-perkara dosa seperti riba dan seumpamanya. Amalan-amalan kebajikan yang dilakukan ini dapat mewujudkan masyarakat Islam yang saling rahmat merahmati dan hidup dalam keadaan tenang dan bahagia serta jauh daripada sifat hasad dengki, membenci-membenci dan sebagainya. Allah juga memberikan berita gembira kepada mereka dengan balasan syurga.

Perlaksanaan Amalan Kebajikan

Amalan kebajikan adalah sesuatu yang dituntut dan wajib dilakukan sebagai manifestasi perhambaan seseorang kepada Allah swt. Apabila seseorang itu bermuhasabah terhadap dirinya, maka dia akan menyedari betapa kehidupan di dunia adalah kehidupan yang memikul tanggung jawab dan akan dipersoalkan di akhirat sama ada tanggung jawab tersebut dilaksanakan atau tidak semasa kehidupan di dunia yang fana ini.Sehubungan dengan itu, antara tanggungjawab seorang mukmin ialah melaksanakan amalan kebajikan. Amalan kebajikan yang dilakukan oleh seseorang sebenarnya adalah untuk kebaikan dirinya sendiri dan untuk memberi manfaat dalam kehidupannya.

Sesuatu yang wajar diperingatkan ialah amalan kebajikan yang dilakukan hendaklah berniat ikhlas, iaitu tujuan dan niatnya hanya kepada Allah. Sekiranya mempunyai niat yang serong, maka amalan yang dilakukan hanya mendapat penat dan letih sahaja. Justeru, niat yang ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah mestilah dipupuk agar amalan tersebut termasuk dalam kategori amalan yang soleh. Namun begitu, ini tidak bermakna selagi tidak datang ikhlas maka amalan soleh tak perlu dibuat. Macam sesetengah orang yang mengatakan bahawa ”... aku tak akan tutup aurat sehinggalah ikhlas datang...kerana aku tak nak jadi hipokrit...lagipun tutup aurat kalau tak ihlas sia-sia juga..”. Kata-kata ini jelas menunjukkan betapa jahilnya seseorang itu, kerana apabila tidak dibuat amalan itu, bagaimana nak datang ikhlas? Ikhlas tak akan datang selagi sesuatu amalan itu tidak dilaksanakan! Sebab itu... kewajipan yang fardhu wajib dilaksanakan terlebih dahulu sama ada ’sudah ada ikhlas atau pun tidak’ seperti solat, puasa, tutup aurat dan sebagainya... dan ikhlas hendaklah dipupuk selepas itu untuk mendapatkan pahala dan ganjaran disisi Allah.

Saturday, May 17, 2008

Rahsia Di Sebalik Surah al-Baqarah

Oleh: Ustaz Shauqi

Sebagaimana yang diketahui bahawa al-Quran mempunyai sebanyak 30 juzuk, 114 surah dan 6236 ayat. Di antara surah-surah di dalam al-Quran, terdapat satu surah yang paling panjang iaitu Surah al-Baqarah. Sebagai umat Islam, kita wajar menyelami rahsia di sebalik setiap surah dalam al-Quran bagi menghayati isi kandungannya dengan lebih mendalam. Apatah lagi Surah al-Baqarah merupakah surah yang terpanjang di dalam al-Quran, maka setiap individu muslim hendaklah berusaha untuk menyelami rahsia di sebalik isi kandungan surah ini.

Surah al-Baqarah ialah surah kedua dalam al-Quran al-Karim selepas surah al-Fatihah dan ia datang sebelum surah Ali Imran. Ia mempunyai sebanyak 286 ayat yang kebanyakannya diturunkan di Madinah. Sebahagian besar ayat dalam surah al-Baqarah diwahyukan pada permulaan Hijrah. Mengikut pandangan majoriti ulama’ ayat 281 Surah al-Baqarah merupakan ayat yang terakhir diturunkan oleh Allah bukannya ayat 3 surah al-Ma’idah sebagaimana yang masyhur dalam kalangan masyarakat (Sila rujuk kitab ’Ulum al-Qur’an oleh Manna’ Khattan dan Subhi Soleh & Tafsir al-Maraghiy 1/39). Surah ini merupakan surah yang terpanjang di antara surah-surah dalam al-Quran al-Karim, malah ayat yang terpanjang juga terdapat di dalam surah ini iaitu ayat 282 yang menceritakan perihal tentang hutang.

Surah ini dinamakan surah al-Baqarah yang membawa maksud sapi betina (lembu betina) kerana di dalamnya telah disebutkan kisah penyembelihan sapi betina yang diperintahkan Allah s.w.t kepada Bani Israel. Kisah ini bermula daripada ayat 67 sehingga ayat 74. Muhammad ‘Ali al-Sabuniy dalam kitab tafsirnya yang terkenal iaitu ‘Safwah al-Tafasir’ telah menjelaskan bahawa tujuan surah ini dinamakan sebagai al- Baqarah ( sapi betina ) adalah bertujuan untuk mengingatkan kembali mukjizat yang telah berlaku pada zaman Nabi Musa a.s.

Pada zaman Nabi Musa as, terdapat seorang lelaki dalam kalangan Bani Israel yang telah dibunuh, tetapi pembunuhnya tidak diketahui. Apabila mereka mengadu tentang pembunuhan ini kepada Nabi Musa a.s., Allah s.w.t telah mewahyukan kepada Baginda supaya menyuruh mereka (Bani Israel) untuk menyembelih seekor sapi betina, kemudian memukul mayat dengan sebahagian anggota sapi tersebut. Dengan izin Allah, mayat yang mati dibunuh itu dapat hidup semula dan memberitahu mereka siapakah pembunuhnya. Mukjizat ini membuktikan betapa Allah s.w.t berkuasa menghidupkan semula makhluk walaupun sesudah mati.

Ketika Bani Israel diperintahkan untuk menyembelih sapi betina itu, al-Quran telah merakamkan bagaimana kedegilan golongan Bani Israel yang tidak mahu melaksanakan perintah Allah tersebut dengan mencari pelbagai alasan dan hujah. Namun, akhirnya mereka terpaksa juga melakukannya kerana tiada lagi hujah dan tipu daya yang dapat mereka bentangkan kepada nabi Musa. Inilah sikap Bani Israel (Yahudi) sehingga ke hari ini. Mereka secara terang dan jelas menceroboh wilayah Palestin, namun dalam masa yang sama mereka membuat tipu helah dengan membunuh umat Islam Palestin dengan alasan untuk mempertahankan diri.

Surah al-Baqarah juga dinamakan sebagai Fustat al-Quran dan Sinam al-Quran yang bermaksud puncak al-Quran kerana kepentingan dan kebesarannya yang memuatkan hukum-hukum yang tidak disebut dalam surah lain. Justeru, beberapa ulama telah menyatakan bahawa surah ini mengandungi seribu perintah, seribu larangan dan seribu pemberitahuan.

Surah al-Baqarah mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan seperti yang dinyatakan oleh beberapa hadis. Antaranya ialah hadis nabi saw yang bermaksud: ‘Pelajarilah surah al-Baqarah! kerana mengamalkannya membawa keberkatan, meninggalkannya akan mengundang penyesalan dan ahli-ahli sihir tidak berupaya menguasai pembaca surah ini ( atau mereka sendiri tidak mampu menghafalnya )’.

Imam Muslim pula telah meriwayatkan hadis nabi saw yang bermaksud: ‘Bacalah al-Quran! Kerana ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah dua penyeri iaitu surah al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-duanya akan datang pada Hari Kiamat dalam bentuk dua kelompok awan atau seperti dua kumpulan burung yang terbang berbaris (menaungi pembacanya ), kedua-duanya akan berhujah membela pembacanya. Bacalah surah al-Baqarah kerana membacanya membawa keberkatan, meninggalkannya akan mengundang penyesalan dan ahli-ahli sihir tidak berupaya menguasai pembaca surah ini.”

Imam al-Tirmidhi pula telah meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud : ‘Daripada Abu Hurairah r.a bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda : Janganlah kamu menjadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya setiap rumah yang dibacakan di dalamnya surah al- Baqarat tidak akan dimasuki syaitan’.

Ketiga-tiga hadis yang dinyatakan di atas adalah memadai untuk menunjukkan kelebihan dan keistimewaan surah al-Baqarah. Justeru, boleh dirumuskan berdasarkan ketiga-tiga hadis di atas bahawa kelebihan surah ini ialah seperti berikut :

· Membawa keberkatan

· Mengelakkan penyesalan

· Menghindarkan diri daripada kejahatan ahli sihir

· Mengamankan rumah daripada gangguan syaitan

· Menjadi pemberi syafaat kepada pembacanya pada Hari Kiamat kelak di samping berhujah mempertahankannya.

· Melindungi serta menaungi pembacanya daripada kepanasan padang Mahsyar.

Secara umumnya surah al-Baqarah adalah sama seperti surah-surah madaniyyah yang lain yang banyak memfokuskan aspek syariat. Ia menangani persoalan undang-undang dan hukum-hakam yang diperlukan oleh umat Islam dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Surah ini mengandungi kebanyakan hukum-hukum syariat dalam perkara aqidah, ibadah, jual-beli, akhlak, urusan perkahwinan, talak dan lain-lain lagi.

Permulaan surah ini menyentuh tentang sifat-sifat orang beriman, orang kafir dan orang munafik. Ia menjelaskan hakikat keimanan dan hakikat kekufuran serta kemunafikan di samping membandingkan di antara orang yang bahagia dengan orang yang sengsara. Kemudian, disusuli dengan kisah Nabi Adam a.s dan peristiwa-peristiwa menarik yang berlaku sewaktu penciptaannya. Kisah ini antara lain menunjukkan penghormatan yang diberikan Allah s.w.t kepada manusia.

Seterusnya, surah ini membicarakan tentang Ahli Kitab (orang Yahudi dan Nasrani) khususnya Bani Israel iaitu nenek-moyang orang Yahudi yang berjiran dengan kaum muslimin di kota Madinah. Justeru, ia mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berwaspada dengan tipu daya dan kejahatan yang terpendam dalam diri mereka seperti hasad-dengki, memandang hina, pengkhianatan, pencabulan janji serta segala keburukan yang dilakukan oleh golongan perosak ini. Hal ini menjelaskan betapa dahsyat dan besarnya bahaya dan kemudharatan yang dibawa oleh mereka. Sebab itulah ayat-ayat yang memaparkan kisah mereka amat banyak sekali sehingga melebihi sepertiga surah al- Baqarah bermula daripada ayat 40 sehingga ayat 124.

Ayat-ayat yang selebihnya membincangkan aspek syariat, kerana pada waktu itu umat Islam di permulaan peringkat membentuk “negara Islam”. Jadi, mereka sangat memerlukan panduan rabbani ( ketuhanan ) dan syariat samawi( langit ) yang boleh menunjuk arah kehidupan baru mereka sama ada dari sudut ibadat mahupun mu‘amalat.

Oleh yang demikian, surah ini banyak menyentuh pelbagai hukum-hakam seperti perintah mengerjakan solat, menunaikan zakat, hukum puasa, haji dan umrah, hukum Qisas, hukum jihad dan perang di jalan Allah s.w.t, perkara-perkara yang halal dan haram, membelanjakan harta pada jalan Allah s.w.t, hukum arak dan judi, cara menjaga anak yatim, larangan memakan riba, hutang-piutang, hukum nafkah dan orang yang berhak menerimanya, hukum wasiat kepada kedua ibubapa dan kaum kerabat, hukum sumpah, kewajipan menyampaikan amanat, hukum sihir, hukum merosak masjid, hukum mengubah kitab-kitab Allah, hal-ehwal keluarga tentang perkahwinan, perceraian seperti talak, khulu‘ dan ila’, hukum penyusuan anak, ‘iddah, hukum melamar, mahar, pengharaman mengahwini wanita musyrik dan sebaliknya serta larangan ’menggauli’ isteri ketika haid.

Sayyid Qutb dalam kitab tafsirnya ‘Fi Zilal al-Quran telah menjelaskan bahawa surah ini mengandungi pelbagai tajuk, tetapi kesemuanya dihimpunkan oleh satu paksi yang mempunyai dua cabang garisan, yang saling berkait-rapat. Dari satu sudut, surah ini memaparkan pendirian Bani Israel ( orang Yahudi ) terhadap dakwah Islam di Madinah terutamanya penentangan mereka terhadap Rasulullah s.a.w dan “jama‘ah Islam” yang sedang berkembang serta pembelotan mereka menerusi usaha-usaha menjalinkan hubungan intim dengan orang munafik dan musyrikin. Dari sudut yang lain pula, surah ini memaparkan pendirian “jama‘ah islam” pada peringkat permulaan dan persediaan untuk memikul amanah dakwah serta khilafah di atas muka bumi.

Surah ini diakhiri dengan seruan kepada orang beriman supaya bertaubat dan kembali kepada Allah s.w.t. Di samping itu, ia mengajak orang beriman agar memohon bantuan dan kemenangan daripada Allah s.w.t serta berdoa memohon kebaikan dunia dan akhirat .

Wednesday, May 14, 2008

Islam Hanya Pada Nama?


Oleh: Mohd Sukki Bin Othman (Ustaz Shauqi)

Dewasa ini, dunia semakin canggih. Kecanggihan yang ada bukan hanya terletak pada perkembangan teknologi dan kecanggihan penciptaan alat-alat moden sahaja, akan tetapi perangai dan kelakuan manusia pun semakin 'canggih'. Sekiranya kecanggihan yang dihasilkan itu merupakan sesuatu yang bermanfaat menurut syara', bolehlah ia dibanggakan. Akan tetapi sekiranya ia merobek budaya bangsa dan nilai ketimuran serta pegangan agama, maka ia adalah sesuatu yang memilukan.

Hari ini, fenomena wanita Melayu Islam yang bertudung kepala berpelukan bersama 'boyfriend'nya di taman-taman bunga, atau di atas motor yang dipecut laju, atau di tempat-tempat hiburan seperti di konsert-konsert yang melalaikan adalah merupakan suatu fenomena biasa yang boleh dilihat di mana-mana terutamanya di kota-kota metropolitan. Manakala lelaki Islam pula kelihatan begitu bangga apabila telinganya dihiasi dengan anting-anting yang berjuntaian, atau leher yang dililiti dengan rantai yang bergemerlapan, dan seluar yang sengaja dikoyakkan di lutut, kononnya mengikuti peredaran zaman. Itulah antara fenomena 'canggih' yang wujud dalam masyarakat moden yang 'tidak ketinggalan zaman' pada hari ini.

Persoalannya ialah mengapa masih terjadi sedemikian dalam sebuah masyarakat Islam hadhari yang sedang menuju ke arah ketamadunan yang tinggi? Apakah 'hadhari' hanya perlu ada pada pembangunan material semata-mata? Bagaimana pula dengan 'hadhari' dalam pembangunan jiwa dan akhlak manusia?

Sesungguhnya Islam ialah agama yang mulia dan sempurna. Sehubungan dengan itu, Islam telah menyusun dan memberikan panduan yang lengkap ke arah kehidupan yang baik dan sempurna. Firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 3 bermaksud: Pada hari ini, Aku (Allah) telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Islam yang lengkap dan sempurna ini dianugerahkan oleh Allah kepada manusia agar mereka dapat menuju kecemerlangan dan kegemilangan dalam kehidupan. Akan tetapi apakah cukup sekiranya seseorang itu hanya berbangga lahir dalam keadaan Islam sedangkan perangai dan tingkah laku yang dipamerkan tidak ada bezanya dengan orang bukan Islam?!

Nikmat Islam mahal harganya, namun berapa ramaikah yang tahu menilai nikmat tersebut? Dengan sebab itulah penekanan kepada ilmu merupakan perkara asas dalam Islam agar umat islam tidak tergolong daripada golongan yang hanya menjadi 'pak turut' dalam segala perkara tanpa melihat kepada kebaikan dan keburukan dalam sesuatu perkara yang diamal dan dilaksanakan dalam kehidupan.

Seseorang yang menghayati serta tahu nilai Islam, sudah tentu dia akan menghargainya dengan sebaik mungkin. Lihat sahaja Yusuf Islam yang dahulunya dikenali sebagai Cat Steven, daripada seorang 'rockers' bertukar menjadi seorang pendakwah Islam yang gigih. Prof Dr Maurice Bucaille, seorang tokoh perubatan Perancis yang terkenal dengan bukunya 'The Bible, The Qur'an and Science' tertarik dengan Islam melalui kajiannya terhadap ayat-ayat saintifik dalam al-Quran. Seorang bekas pelajar Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) di Scotland yang berbangsa Inggeris memeluk Islam adalah kerana kajian yang dibuatnya untuk mendapatkan Ijazah Doktor Falsafahnya itu sudah diterangkan maklumatnya di dalam al-Quran!.

Kajian yang telah dibuat oleh beliau ialah tentang kulit manusia yang tidak akan merasai sakit apabila dibakar berulang-kali. Beliau amat terpegun apabila mendapati bahawa al-Quran telah sekian lama membicarakan perkara tersebut melalui ayat 56 Surah al-Nisa' yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang kufur dan engkar kepada ayat-ayat keterangan Kami (Allah), Kami akan bakar mereka dalam api Neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka terus merasai azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". Dalam ayat ini, dengan jelas Allah menyatakan bahawa kulit penghuni neraka yang hangus terbakar akan digantikan dengan kulit baru yang lain. Ia bertujuan agar penghuni neraka tersebut akan terus merasai sakit dan peritnya api neraka. Apabila menghayati ayat ini, lantas tanpa ragu-ragu lagi beliau terus memeluk agama Islam yang suci murni ini.

Jelaslah di sini bahawa orang yang memeluk Islam dengan penuh keyakinan hasil daripada ilmu yang dimiliki akan menghasilkan keimanan yang mantap dan teguh kepada Allah S.W.T. Akan tetapi, apabila Islam itu hanyalah dijadikan sebagai ikutan yang tidak didasarkan kefahaman yang jelas terhadap nilai dan kewajipan yang terdapat di dalamnya, maka akan wujudlah manusia yang Islamnya hanya pada nama tetapi perbuatan dan akhlaknya bercanggah sama sekali dengan Islam!. Ada pula yang mencampuradukkan budaya Islam dengan budaya luar yang merosakkan!

Justeru, tidak hairanlah apabila didapati remaja-remaja wanita yang bertudung di kepalanya, tetapi terbuka di bahagian bawahnya. Remaja yang bertudung kepala yang hanya menurut fesyen ini yang bukan berasaskan tuntutan syara' berpeleseran dengan orang yang bukan mahram yang akhirnya memburukkan imej Islam itu sendiri di mata masyarakat!. Maksiat dilakukan secara terang-terang tanpa langsung ada sifat malu. Begitu juga pemuda-pemuda yang waktu malamnya dihiasi dengan hiburan semata seolahnya hidup ini tiada tujuan dan matlamat. Ada pula yang mengucapkan 'alhamdulillah' ketika menerima sesuatu kejayaan dalam program-program maksiat seolah tiada nilai perkataan tersebut!.

Sedar ataupun tidak, perlakuan remaja lelaki dan wanita masa kini yang songsang itu sebenarnya adalah menunjukkan betapa berjayanya musuh-musuh Islam untuk menghancurkan akhlak umat islam melalui racun 'serangan pemikiran' yang sekian lama telah dirancang. Allah SWT telah memperingatkan tentang perkara ini dalam Surah al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud: "Dan mereka (musuh Islam) terus memerangi kamu sehinggalah mereka memalingkan kamu daripada agama kamu, sekiranya mereka mampu". Musuh-musuh Islam tidak pernah jemu melaksanakan tugas mereka. Serangan pemikiran yang dilancarkan kepada umat Islam meliputi hampir keseluruhan bidang kehidupan manusia sehingga umat Islam sudah tidak dapat membezakan di antara hak dan batil.

Sehubungan dengan itu, umat Islam sewajarnya kembali merenung apakah kehidupan mereka pada hari ini menunjukkan bahawa mereka benar-benar memahami Islam. Apakah mereka rela menganut Islam hanya pada nama sahaja? Seterusnya apakah umat Islam kini dapat menjadi 'uswatun hasanah' kepada bangsa-bangsa lain yang terkapai-kapai dalam mencari kebenaran dan hidayah Allah. Apakah ertinya menganut Islam sekiranya kehidupan terpengaruh dengan gamitan kehidupan bukan Islam. Apakah juga ertinya kehidupan seorang muslim sekiranya mereka meninggalkan tuntutan agama dan memilih nilai-nilai hidup yang bertentangan dengan hukum dan nilai Islam.

Sudah tiba masanya untuk masing-masing merenung secara mendalam untuk kembali kepada penghayatan Islam dalam segenap aspek kehidupan. Umat Islam wajib kembali hidup secara Islam. Syeikh Fathi Yakan telah menggariskan beberapa perkara yang penting untuk dihayati agar dapat hidup secara Islam iaitu:

  1. Mengetahui tujuan hidup

Kehidupan yang songsang timbul akibat seseorang yang tidak mempunyai matlamat dalam kehidupan. Lalu mereka akan mencedok apa sahaja yang datang kepada mereka tanpa melihat baik buruknya. Sedangkan Allah SWT telah menyatakan dengan tegas dalam surah al-Zariyat ayat 56 tentang motif penciptaan manusia melalui firmanNya yang bermaksud: "Tidak Aku (Allah) ciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu". Justeru, apakah seseorang yang sudah akil baligh masih tidak mempunyai matlamat dalam kehidupan mereka untuk mengabdikan diri kepada Allah?

  1. Mengetahui nilai dunia berbanding akhirat

Kehidupan dunia hanyalah sementara. Kehidupan yang abadi ialah kehidupan di akhirat. Oleh itu, seorang muslim yang cerdik dan bijak ialah yang pandai menggunakan kesempatan hidup di dunia untuk kebahagiaan di akhirat. Apakah seseorang yang tanpa segan-silu melakukan maksiat semasa hidup di dunia akan memperoleh kebahagiaan di akhirat?

  1. Menyedari tentang kematian

Kematian ialah sesuatu yang pasti. Firman Allah dalam Surah al-Mulk ayat 2 bermaksud: "Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)". Adakah para belia hari ini menyedari hakikat kematian yang tidak mengenal usia? Apakah para remaja yang mati dalam keadaan meneguk minuman najis yang memabukkan atau yang meniarap di atas motor yang dipecut laju sambil memadamkan lampu itu berkeyakinan bahawa mereka mati dalam keadaan 'husnul khatimah'?

  1. Mengetahui dan memahami hakikat Islam

Islam ialah agama ilmu. Orang yang berilmu sahajalah yang dapat merasai kehebatan nilai Islam, lantas tidak akan membuang masa mengejar keredhaan Allah. Manakala orang Islam yang Islamnya hanya pada nama yang tidak memahami hakikat Islam, nescaya akan tersasar jauh daripada kebenaran. Terdapat segelintir remaja lelaki dan wanita yang meninggalkan perintah Allah seperti solat, atau melakukan maksiat seperti tidak menutup aurat, lalu menyatakan bahawa Allah tidak melihat luaran, akan tetapi Allah melihat hati seseorang. Apakah orang sebegini memahami hakikat Islam? Apakah mereka tidak merenung sabda nabi S.A.W. yang bermaksud: "Sekiranya baik, baiklah keseluruhannya, dan sekiranya buruk, buruklah keseluruhannya, tidak lain dan tidak bukan itulah hati".

  1. Mengetahui hakikat jahiliah.

Saidina Umar pernah berkata: 'ikatan Islam akan terungkai satu persatu apabila wujud di dalam masyarakat Islam itu mereka yang sudah tidak mengenali Jahiliah'. Apakah umat Islam pada hari ini sudah tidak mengenali Jahiliah, sehingga ada yang sanggup menderhaka kepada ibubapa, mengunjungi pub, disko dan kelab malam, berhibur di luar batasan, berpelukan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, berzina dan sebagainya?

Masanya sudah tiba untuk sama-sama merenung tanggungjawab dan amanah yang wajib ditunaikan sebagai seorang hamba Allah. Bukanlah masanya untuk umat Islam terus lena dan dibuai mimpi yang tidak berkesudahan sedangkan nilai dan ajaran Islam dilucut dan ditelanjangkan satu-persatu. Ibubapa wajib memberi perhatian kepada anak-anaknya yang masuk ke peringkat akil baligh akan tanggung jawab mereka sebagai hamba Allah. Masyarakat juga hendaklah prihatin dengan keadaan persekitaran agar busuknya bangkai maksiat itu tidak menerjah ke dalam hidung-hidung mereka. Kerajaan turut berperanan untuk mempastikan agar budaya songsang seperti hedonisme dan seumpamanya tidak terus berlegar dalam negara.

Inilah juga masa yang sesuai untuk umat Islam dalam segenap lapisan peringkat umur untuk bermuhasabah dan bertanya apakah sudah cukup Islam itu hanya pada nama? Jadilah seorang Islam yang sebenarnya dan seorang muslim yang hakiki yang mendapat keredhaan Allah S.W.T di dunia dan di akhirat.

Friday, May 9, 2008

Doa Nabi SAW

Apabila mendapat kesusahan dalam urusannya, maka nabi saw akan berdoa:
ياَ حَيُّ يَا قَيُّوْمُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ
Maksudnya: Wahai (Allah) Yang Maha Hidup dan Yang Maha Berdiri sendiri, dengan rahmatMu aku memohon pertolongan. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi daripada Anas ra).

Thursday, May 8, 2008

Warna Hijau Dalam Al-Qur'an



Terdapat banyak perkataan "hijau" di dalam ayat Al-Qur'an yang menjelaskan keadaan penghuni syurga ataupun segala yang ada disekelilingnya, berupa kenikmatan, suasana, kesenangan, dan ketenangan jiwa. Contohnya ialah di dalam surah Al-Rahman:

متّكئين على رفرفٍ خضرٍ وعبقريٍ حسان (الرحمن: 76)

Maksudnya: “Penduduk syurga itu (bersenang-senang di dalamnya dengan) berbaring di atas (bantal-bantal dan) cadar-cadar yang hijau warnanya serta permaidani-permaidani Yang sangat indah”. (QS. Al-Rahman: 76)

عاليهم ثياب سندسٍ خضر وإستبرق وخلوا أساور من فضّة وسقاهم ربّهم شرابا طهورا (الإنسان: 21)

Maksudnya: “Mereka di dalam syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan gelang-gelang tangan dari perak; dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka Dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih suci”. (Q.S. Al-Insan: 21)

ويلبسون ثيابا خضرا من سندس وإستبرق (الكهف: 31)

Maksudnya: “Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah syurga tempat berehat yang semolek-moleknya. (Q.S. Al-Kahf: 31)

Salah seorang pakar psikologi, Ardatsham, mengatakan, "Sesungguhnya pengaruh warna terhadap manusia sangat besar, dan saya pernah melakukan sejumlah penelitian dan menjelaskan bahwa warna berpengaruh terhadap kejiwaan dan semangat kita; merasa panas; atau dingin; atau nyaman; atau bahagia; bahkan boleh berpengaruh terhadap keperibadian seseorang dan berpengaruh terhadap kehidupan.

Sebuah hospital pernah mengundang sejumlah pakar untuk memberikan saranan bagi warna dinding ruang pesakit atau warna dinding hospital, sehingga ia boleh membantu dalam mengubati mereka. Hospital juga meminta saranan tentang warna yang terbaik untuk pakaian pesakit. Sejumlah eksperimen telah membuktikan bahawa warna kuning boleh membangkitkan semangat di saraf pusat. Adapun warna ungu boleh membangkitkan ketenangan; manakala warna biru, maka orang yang melihatnya akan merasa dingin. Sebaliknya, warna merah maka orang akan merasa panas atau gersang. Dan para pakar tersebut mengatakan bahwa warna yang boleh membangkitkan kebahagiaan, gembira, bersemangat hidup adalah warna hijau.

Oleh kerana itu, warna yang utama dan sesuai untuk bilik atau ruang pembedahan, pakaian para ahli bedah dan pakaian pesakit adalah warna hijau. Sebuah pengalaman unik telah terjadi di London, di kawasan Black Fryer yang dikenal dengan "kawasan bunuh diri" kerana majoriti kejadian bunuh diri banyak terjadi di kawasan ini. Kemudian diadakan perubahan warna dari warna gelap gurun ke warna hijau metalik. Dengan hal ini ternyata terjadi penurunan jumlah kejadian bunuh diri dengan sangat signifikan. Warna hijau juga boleh menjadikan pandangan mata menjadi nyaman.

Sumber: ( Kitab: Ma'a Al-Thib fii Al-Qur'an Al-Karim, Dr. Abdul Hamid Diyab, Dr. Ahmad Qarquz, Mu'assasah Ulum Al-Qur'an, Dimasyq. )

Saturday, May 3, 2008

Rahsia Khusyuk Dalam Solat



Oleh:محمد شوقي عثمان

Solat adalah tiang agama. Solat umpama sebuah rumah yang pasti roboh tanpa tiang. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya (sempadan) antara seseorang dengan syirik dan kekufuran ialah meninggalkan solat.” Solat yang bermutu ialah solat yang dilakukan dengan penuh khusyuk. Firman Allah dalam Surah Al Mu'minuun ayat 1 - 3 maksudnya :"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam solat dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia."

Walaupun khusyuk di dalam solat menurut jumhur ulamak adalah sunat hukumnya, namun ia adalah sesuatu yang amat dituntut agar ibadah solat diterima olah Allah. Khusyuk membawa pengertian seseorang menunaikan solat dengan penuh fokus dan tumpuan dengan hati yang hadir, tidak berpaling kekiri dan kekanan, mata tertumpu ke tempat sujud dan fikiran ditumpukan kepada bacaan di dalam solat. Nabi SAW sangat-sangat menganjurkan kepada umatnya supaya khusyuk di dalam solat.

Walaupun orang yang tidak khusyuk di dalam solatnya tidaklah membuatkan batal solatnya, namun pahala solat diberi oleh Allah SWT bergantung kepada sejauh mana kekhusyukan seseorang itu didalam solatnya. Jika ia khusyuk di satu perdua solatnya, maka ia mendapat pahala satu perdua sahaja dari solatnya. Jika ia khusyuk sebanyak satu perlapan sahaja dari solatnya, bererti ia mendapat pahala sebanyak satu perlapan sahaja dari solatnya.

Solat yang didirikan lima kali sehari cukup berfungsi sebagai tali pengikat insan yang lemah untuk sentiasa mengingati Allah, tetapi itu bukan bererti ketika solat saja kita ingat kepada-Nya dan selepas itu kembali lalai. Bahkan solat yang betul dan berkesan dapat mempengaruhi peribadi seseorang sehingga dia merasai pengawasan Allah pada seluruh ruang dan waktu dalam kehidupannya.

Masalahnya, bukan sedikit orang Islam yang masih kabur mengenai makna dan hakikat solat, apatah bagi kita yang buta dengan bahasa yang digunakan dalam solat. Ini menyebabkan kenikmatan ibadat itu tidak dapat dirasai dengan sempurna dan ada juga yang berputus asa setelah sekian lama belajar, masih belum mendapatkan kepuasan solat diimpikan.Orang yang berilmu tinggi pun tidak terlepas daripada masalah kelalaian dalam solatnya dan untuk itu ulangkaji dalam menuntut ilmu adalah penting sebagai penyegar kualiti ibadat seseorang.

Walau apapun syarat khusyu’, yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam solat bermula dari khusyuk di luar solat. Kalau di luar solat hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam solat. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Solat itu merupakan "munajat" (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya.

Orang yang bertakwa kepada Allah dan menyedari ia hanyalah hamba, akan patuh apa sahaja yang diperintahkan serta akan khusyuk, lalu mendapat nikmat solat seperti firman Allah yang bermaksud: "Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya" [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].

Doa Nabi saw



Doa yang sering dibaca oleh Nabi saw ialah:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ ثَبِّتْ قَلْبِيْ عَلىَ دِيْنِكَ
Maksudnya: Ya Allah yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agamamu.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dari Ummu salamah ra, nabi saw bersabda yang bermaksud: "Tidak ada seorang pun anak adam melainkan hatinya berada dalam genggaman Allah, kalau Allah menghendaki nescaya diteguhkannya, dan jika Dia menghendaki, maka dipalingkannya".

Dalam Bilik Kuliah

"Hei, kamu yang berdiri di belakang," tegur pensyarah "Cuba sebutkan individu yang terlibat dalam Perjanjian Kemerdekaan!"

"Maaf, saya tidak tahu.. encik"

"Apa? tidak tahu? Baiklah, kalau begitu sebutkan saja tahun berapa perjanjian itu ditandatangani? "

"Maaf, saya tidak tahu juga, encik.."

"tidak tahu sama sekali? Maklumat itu kan sudah saya berikan untuk dibaca minggu lalu. Jadi untuk apa kamu datang ke sini kalau tidak tahu?"

"Mahu memeriksa kabel lampu ini, encik.. Saya petugas TNB"