Followers

Wednesday, May 28, 2008

Adat Bersendi Syarak


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Orang Melayu adalah masyarakat yang begitu mengambil berat dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan dengan adat. Sehubungan dengan itu, ada pepatah Melayu yang menyatakan 'Biar Mati Anak Jangan Mati Adat' .Menurut Kamus Dewan, Adat ialah peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun (sejak dahulu kala) di dalam sesuatu masyarakat (sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi).

Dalam Islam, adat yang diamalkan oleh masyarakat adalah diharuskan selagi ia tidak bercanggah dengan hukum Islam. Adat yang diharuskan ini ialah adat yang berkonsepkan demokrasi dan permuafakatan dan tidak bertentangan dengan agama Islam, sesuai dengan kata-kata ‘adat bersendi syarak dan syarak bersendi Kitabullah’ dan sesuai pula dengan perbilangan 'Adat bersendi Hukum' dan 'Hukum bersendi Kitabullah'.

Namun, kadang-kala masih terdapat dalam masyarakat Melayu golongan yang lebih mengutamakan adat daripada hukum syarak. Lalu, segala bentuk adat yang wujud akan diamalkan tanpa merujuk terlebih dahulu sama ada ada ia sesuai dan bertepatan dengan hukum syarak atau sebaliknya. Perbuatan ini lahir daripada sikap suka meniru amalan yang dilakukan sejak turun-temurun tanpa memikirkan implikasi amalan tersebut dari segi syarak dan akidah Islam. Apatah lagi, kedangkalan ilmu juga menjadi salah satu faktor utama yang menyebabkan adat yang bercanggah dengan syarak terus dijunjung.

Sebagai orang Islam, kita berkewajipan untuk menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai kayu pengukur dalam menentukan segala tindakan dan amalan kita seharian. Ini adalah bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: 'Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh dengan kedua-dua perkara tersebut, iaitu kitabullah (al-Quran) dan sunnah nabinya'.(Hadis riwayat Imam Malik). Apatah lagi firman Allah s.w.t. dalam surah Ali 'Imran ayat 102 bermaksud: 'Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Islam.' Untuk mati dalam keadaan Islam, hidup kita mestilah berpandukan dengan cara Islam, daripada saat dilahirkan sehinggalah saat dikebumikan.

Dalam masyarakat Melayu di Malaysia pada hari ini, terdapat banyak adat yang sudah ditinggalkan apabila diketahui ianya bercanggah dengan hukum syarak. Dalam pada itu, masih terdapat segelintir golongan yang masih degil yang tetap mempertahankan adat walaupun diketahui sesetengah adat itu merupakan saduran daripada pegangan dan amalan agama selain Islam seperti Hindu, Buddha, Aminisme dan sebagainya. Tambah mendukacitakan lagi, apabila sesuatu adatt yang diamalkan itu boleh membawa kepada khurafat dan syirik kepada Allah s.w.t.

Adat-adat tertentu yang diamalkan dalam masyarakat Melayu bermula dengan kelahiran seorang bayi ke atas dunia ini hinggalah kepada kematiannya. Pada artikel kali ini, akan disentuh beberapa adat yang masih diamalkan walau oleh segelintir masyarakat, dan akan dilihat persepsinya dari sudut syarak.


Pertamanya, adat yang berkaitan dengan perkahwinan. Dalam Islam, keutamaan dalam pemilihan pasangan untuk berkahwin adalah berdasarkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Pemilihan yang seumpama ini adalah supaya 'bahtera kehidupan' yang bakal ditempuh akan berasaskan sesuatu yang diredhai oleh Allah bermula sejak dari hari perkahwinan sehinggalah melahirkan zuriat yang soleh. Perkahwinan yang dilangsungkan hendaklah diisytihar sebagaimana sabda nabi yang bermaksud: 'buatlah kenduri walau dengan seekor kambing'.(Hadis riwayat Imam Bukhari).


Namun sesuatu yang malang terjadi apabila kenduri perkahwinan yang dilaksanakan itu bercampur dengan adat-adat yang tidak bertepatan dengan hukum syarak seperti upacara persandingan yang masih diamalkan oleh masyarakat sehingga ke hari ini. Dalam upacara persandingan, diadakan bertepung tawar, melontar beras dan sebagainya. Tidakkah melontar beras itu melibatkan suatu pembaziran yang diharamkan di dalam Islam? Atau ia dilakukan kerana terpengaruh dengan orang beragama Hindu yang mempercayai 'semangat' yang ada pada padi?

Manakala upacara bertepung tawar, ia seharusnya dilihat dengan lebih teliti tujuan dibuat perkara tersebut. Ini kerana dibimbangi ia melibatkan pengaruh perkara-perkara khurafat. Ini kerana, masyarakat Melayu dahulu-kala ketika hendak belayar di lautan, terdapat upacara menurunkan perahu atau kapal yang baru ke laut. Upacara ini di lakukan oleh Tok Bomoh dengan harapan perahu dan kapal tersebut selamat daripada gangguan hantu laut dan sebagainya semasa belayar di lautan luas. Upacara dilakukan dengan perahu itu dipulihkan dengan jampi serapah dan mantera dengan menggunakan tepung tawar dan sebagainya. Pada hari ini, terdapat pula upacara menepung tawar terhadap kenderaan yang baru dibeli atau rumah baru yang ingin didiami. Apakah upacara menepung tawar ini ada kaitan dengan amalan masyarakat Melayu dahulu-kala yang bercanggah dengan syarak itu? Tidak cukupkah doa yang dipohon kepada Allah agar kenderaan yang baru dibeli itu selamat di sepanjang perjalanan, di samping doa khusus yang dibaca setiap kali menaiki kenderaan dan memulakan perjalanan?

Berbalik kepada upacara persandingan, ianya masih diamalkan oleh masyarakat Melayu dengan berleluasa dalam negara kita. Seolahnya-olahnya, sesuatu perkahwinan itu tidak berseri tanpa persandingan. Ada pula yang berpendapat, apa salahnya perbuatan tersebut untuk seumur hidup sekali agar ia menjadi kenangan abadi hingga ke anak cucu. Lalu upacara persandingan ini terus dilakukan dalam upacara perkahwinan, termasuklah segelintir 'orang surau' yang mengetahui bahawa perbuatan tersebut bercanggah dengan syarak, tetapi tetap melakukannya.

Para ulama' dengan jelas menyatakan bahawa upacara persandingan itu adalah sesuatu yang haram apabila ia ditonjolkan di khalayak ramai yang bukan mahram. Walau bagaimanapun para ulama berbeza pendapat dalam mengetengahkan punca dan sebab ia diharamkan. Terdapat pandangan yang mengatakan bahawa bersanding itu haram kerana ia merupakan amalan baru yang diada-adakan yang tidak pernah dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w mahupun pada zaman para sahabat.

Pendapat seterusnya ialah berdasarkan terdapat beberapa perbuatan yang melanggar batas-batas syarak semasa upacara persandingan seperti pakaian yang mendedahkan aurat, pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, pengantin perempuan memakai wangi-wangian yang boleh menimbulkan fitnah dan sebagainya.

Begitu juga dengan soal pembaziran yang begitu ketara berlaku apabila wujudnya upacara persandingan ini. Perbelanjaan untuk membuat pelamin sahaja menelan belanja yang besar yang kadang-kala menjangkau ribuan ringgit. Perbuatan membazir seumpama ini jelas diharamkan di dalam Islam. Firman Allah swt dalam surah al-Isra' ayat 27 bermaksud: "Sesungguhnya orang yang boros dan membazir adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."

Terdapat pandangan ulama yang berpendapat bersanding merupakan sesuatu yang jelas keharamannya kerana ia adalah warisan dan ikutan daripada amalan masyarakat Hindu. Persandingan merupakan salah satu bentuk pemujaan dalam agama Hindu di mana mempelai yang bersanding itu sebenarnya meniru adat Hindu yang memuja Dewa Rama dan Dewi Sita. Persandingan secara ini memperlihatkan di sebelah perempuan Mak Andam sebagai pengiring utamanya dan di sebelah pihak lelaki pula Tok Bomoh sebagai pengiringnya. Kedua-dua mempelai ini diarak dan di sanjung serta dipuja sepertimana orang Hindu memuja Dewa Rama dan Dewi Sita, dengan sebab itulah pengantin baru di gelar sebagai Raja Sehari.

Umat Islam dilarang sama sekali untuk mengikut dan meniru amalan orang kafir, apatah lagi yang berkaitan dengan akidah dan kepercayaan. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: 'sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari golongan mereka.' (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).

Apabila diketahui sesuatu adat itu berasaskan perkara yang bercanggah dengan syarak, maka sewajarnya kita tidak berlengah lagi untuk meninggalkan adat tersebut demi mengharapkan keampunan dan keredhaan Allah. Adat yang boleh diamalkan ialah adat yang bersendikan syarak!

No comments:

Post a Comment