Followers

Wednesday, May 28, 2008

Khaulah Binti Tha'labah


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Beliau ialah Khaulah Binti Tha'labah Bin Asram Bin Fahr bin Tsalabah Ghanam bin Auf. Ada pendapat yang menyatakan bahawa nama beliau ialah Khaulah Binti Malik Bin Asram Bin Fahr Bin Tha'alabah Bin Ghanam Bin Auf. Beliau merupakan seorang sahabiah daripada Ansar. Beliau dinikahi oleh Aus bin Samit bin Qais saudara kepada Ubadah bin Samit r.a yang mengikuti Perang Badar, Perang Uhud dan seluruh peperangan yang disertai oleh Rasulullah saw. Perkahwinannya dengan Aus inilah beliau melahirkan anak lelaki yang benama Rabi'.


Khaulah merupakan seorang wanita yang fasih berkata-kata, cerdik dan selalu merujuk kepada Allah dan RasulNya apabila menghadapi sesuatu masalah. Dalam keadaan apa sekalipun, imannya tetap teguh dan utuh. Surah al-Mujadalah menceritakan peristiwa penting yang berlaku kepada Khaulah iaitu ‘zihar’, dan ia dapat dijadikan panduan dan pengajaran kepada seluruh umat Islam.

KAITAN KHAULAH DENGAN SURAH AL-MUJADALAH
Pada suatu hari, Aus Bin Samit telah mengatakan kepada Khaulah Binti Tha'labah isterinya iaitu, "Bagiku engkau ini seperti punggung ibuku." Kemudian Aus keluar setelah mengatakan perkataan tesebut . Beberapa ketika kemudian, Aus masuk dan ingin bersama dengan Khaulah. Akan tetapi kesedaran hati dan kehalusan perasaan Khaulah membuatnya menolak hingga jelas hukum Allah tehadap kejadian ‘zihar’ yang baru pertama kali terjadi dalam sejarah Islam.
Khaulah berkata, "Tidak... jangan! Demi yang jiwa Khaulah berada di tangan-Nya, engkau tidak boleh menjamahku kerana engkau telah mengatakan sesuatu seperti yang telah engkau ucapkan terhadapku. Jadi, tunggulah sampai Allah dan Rasul-Nya memutuskan hukum tentang peristiwa yang menimpa kita."

Kemudian Khaulah keluar menemui Rasulullah saw dan duduk di hadapan Nabi serta menceritakan peristiwa yang menimpa dirinya dengan suaminya. Khaulah berdialog dan meminta fatwa tentang perkara tersebut. Rasulullah saw bersabda:"Aku belum pernah menerima perintah (wahyu) berkenaan urusanmu tersebut... aku tidak melihat melainkan engkau sudah haram baginya."

Khaulah mengulangi perkataannya dan menjelaskan kepada Rasululah saw apa yang akan menimpa dirinya dan anaknya jika dia harus bercerai, namun Rasulullah tetap menjawab, "Aku tidak melihat melainkan engkau telah haram baginya."

Selepas itu, Khaulah sentiasa mengangkat kedua tangannya memohon ke hadrat Ilahi untuk menguraikan kesedihan dan kesusahan yang terpendam di dalam hatinya itu. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, al-Hakim, Baihaqi serta lainnya dari 'Aisyah r.a., dia berkata :"Maha Suci Allah yang pendengaran-Nya mendengar segala sesuatu. Sungguh aku mendengar perkataan Khaulah binti Tsa'labah dan sebahagiannyatidak dapat ku dengar, ketika dia mengadukan perihal suaminya kepada Rasulullah sawdan berkata : Wahai Rasulullah, dia menghabiskan masa mudaku dan aku banyak melahirkan anak untuknya. Setelah usiaku menjadi tua dan aku ber-henti melahirkan, dia melakukan zihar terhadapku. Ya, Allah, aku mengeluhkepada-Mu."

Kemudian turunlah wahyu (Surah al-Mujadalah ayat 1-5) yang bermaksud:
[1] Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil dia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[2] Orang-orang yang "ziharkan" isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
[3] Dan orang-orang yang "ziharkan" isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu) dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.
[4] Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliah) dan itulah batas-batas hukum Allah dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

ARAHAN NABI TERHADAP KHAULAH DAN SUAMINYA
Apabila turunnya wahyu, Rasulullah saw pun menjelaskan kepada Khaulah tentang kaffarah zihar:
Nabi: Perintahkan kepadanya (suami Khaulah) untuk memerdekakan seorang budak. Khaulah: Ya Rasulullah, dia tidak memiliki seorang budak yang boleh dia merdekakan. Nabi: Jika demikian, perintahkan kepadanya untuk puasa dua bulan berturut-turut. Khaulah: Demi Allah, dia adalah lelaki yang tua dan tidak mampu untuk berpuasa. Nabi: Perintahkan kepadanya memberi makan kurma kepada sebanyak 60 orang miskin. Khaulah: Demi Allah, ya Rasulullah, dia tidak memilikinya. Nabi: Aku bantu separuhnya. Khaulah: Aku bantu separuhnya yang lain, wahai Rasulullah. Nabi: Engkau benar dan baik, maka pergilah dan sedekahkanlah kurma itu sebagai kaffarah baginya, kemudian bergaullah dengannya secara baik. Maka Khaulah pun melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah itu.

KHAULAH DAN SAIDINA UMAR
Khaulah pernah memberhentikan Khalifah Umar bin al-Khattab ra yang sedang berjalan untuk memberikan nasihat kepadanya. Beliau berkata, "Wahai Umar, aku telah mengenalmu sejak namamu dahulu masih Umair (Umar kecil) tatkala engkau berada di pasar Ukaz, engkau mengembala kambing dengan tongkatmu, kemudian berlalulah waktu hingga engkau bernama Umar, kemudian berlalu hari demi hari sehingga memiliki nama Amirul Mukminin, maka bertakwalah kepada Allah perihal rakyatmu, dan ketahuilah bahawa sesiapa yang takut kepada siksa Allah maka yang jauh akan menjadi dekat dengannya, dan sesiapa yang takut mati, maka dia akan takut kehilangan, dan sesiapa yang yakin akan adanya hisab, maka dia takut terhadap azab Allah."

Khaulah menasihati Sayyidina Umar Amirul Mukminin, dalam keadaan Sayyidina Umar berdiri sambil menundukkan kepalanya dan mendengar perkataan Khaulah dengan baik. Seorang sahabat yang bersama Umar bin al-Khattab ketika itu mengatakan kepada Khaulah, "Engkau telah banyak berbicara kepada Amirul Mukminin wahai wanita!"

Sayyidina Umar kemudian menegurnya, "Biarkan dia,.. tahukah kamu siapakah dia? Beliau adalah Khaulah yang Allah mendengarkan perkataannya dari langit yang ke tujuh, maka Umar lebih berhak untuk mendengarkan perkataannya." Dalam riwayat yang lain, Umar berkata, "Demi Allah, seandainya beliau tidak menyudahi nasihatnya kepadaku hingga malam hari, maka aku tidak akan menyudahinya sehingga beliau selesaikan apa yang dia kehendaki, kecuali jika telah datang waktu solat, maka aku akan mengerjakan solat, kemudian kembali untuk mendengarkannya hingga selesai keperluannya."

PENGAJARAN DARIPADA SIFAT KHAULAH

1. Kerukunan hidup suami isteri walaupun ketika tua. Kasih sayang di antara suami isteri di atas dunia ini, akan membawa kebahagiaan di akhirat nanti. Lantaran itu, Khaulah yang menyayangi suaminya berusaha mempastikan agar mereka tidak melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah.
2. Sentiasa mencari penyelesaian dengan merujuk kepada Allah dan RasulNya. Alangkah baiknya seorang wanita muslimah seumpama Khaulah, beliau berdiri di hadapan Rasulullah saw dan berdialog untuk meminta fatwa, serta mengadu perihal dirinya kepada Allah. Ini adalah bukti kejernihan iman dan tauhid yang tersemat kukuh dalam hati sanubari hasil yang telah dipelajari dari Rasulullah saw
3. Isteri yang solehah. Nabi saw bersabda mengenai hal ini yang bermaksud: "Tidaklah orang mukmin mendapat faedah sesudah taqwa kepada Allah yang lebih baik daripada isteri yang solehah. Jika dia menyuruhnya, maka isteri mentaatinya. Jika dia memandang kepadanya, isteri menyenangkannya. Jika dia tidak ada di rumah, isteri memelihara harta dan kehormatan suaminya." Dalam hadis yang lain, nabi saw bersabda yang bermaksud: “Dunia ini perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah’.
4. Allah membatalkan hukum zihar yang merupakan perceraian pada zaman Jahiliyyah, sebaliknya digantikan dengan kaffarah.
5. Wajib kembali kepada al-Quran dan Sunnah dalam sesuatu hukum.

No comments:

Post a Comment