Followers

Saturday, May 17, 2008

Rahsia Di Sebalik Surah al-Baqarah

Oleh: Ustaz Shauqi

Sebagaimana yang diketahui bahawa al-Quran mempunyai sebanyak 30 juzuk, 114 surah dan 6236 ayat. Di antara surah-surah di dalam al-Quran, terdapat satu surah yang paling panjang iaitu Surah al-Baqarah. Sebagai umat Islam, kita wajar menyelami rahsia di sebalik setiap surah dalam al-Quran bagi menghayati isi kandungannya dengan lebih mendalam. Apatah lagi Surah al-Baqarah merupakah surah yang terpanjang di dalam al-Quran, maka setiap individu muslim hendaklah berusaha untuk menyelami rahsia di sebalik isi kandungan surah ini.

Surah al-Baqarah ialah surah kedua dalam al-Quran al-Karim selepas surah al-Fatihah dan ia datang sebelum surah Ali Imran. Ia mempunyai sebanyak 286 ayat yang kebanyakannya diturunkan di Madinah. Sebahagian besar ayat dalam surah al-Baqarah diwahyukan pada permulaan Hijrah. Mengikut pandangan majoriti ulama’ ayat 281 Surah al-Baqarah merupakan ayat yang terakhir diturunkan oleh Allah bukannya ayat 3 surah al-Ma’idah sebagaimana yang masyhur dalam kalangan masyarakat (Sila rujuk kitab ’Ulum al-Qur’an oleh Manna’ Khattan dan Subhi Soleh & Tafsir al-Maraghiy 1/39). Surah ini merupakan surah yang terpanjang di antara surah-surah dalam al-Quran al-Karim, malah ayat yang terpanjang juga terdapat di dalam surah ini iaitu ayat 282 yang menceritakan perihal tentang hutang.

Surah ini dinamakan surah al-Baqarah yang membawa maksud sapi betina (lembu betina) kerana di dalamnya telah disebutkan kisah penyembelihan sapi betina yang diperintahkan Allah s.w.t kepada Bani Israel. Kisah ini bermula daripada ayat 67 sehingga ayat 74. Muhammad ‘Ali al-Sabuniy dalam kitab tafsirnya yang terkenal iaitu ‘Safwah al-Tafasir’ telah menjelaskan bahawa tujuan surah ini dinamakan sebagai al- Baqarah ( sapi betina ) adalah bertujuan untuk mengingatkan kembali mukjizat yang telah berlaku pada zaman Nabi Musa a.s.

Pada zaman Nabi Musa as, terdapat seorang lelaki dalam kalangan Bani Israel yang telah dibunuh, tetapi pembunuhnya tidak diketahui. Apabila mereka mengadu tentang pembunuhan ini kepada Nabi Musa a.s., Allah s.w.t telah mewahyukan kepada Baginda supaya menyuruh mereka (Bani Israel) untuk menyembelih seekor sapi betina, kemudian memukul mayat dengan sebahagian anggota sapi tersebut. Dengan izin Allah, mayat yang mati dibunuh itu dapat hidup semula dan memberitahu mereka siapakah pembunuhnya. Mukjizat ini membuktikan betapa Allah s.w.t berkuasa menghidupkan semula makhluk walaupun sesudah mati.

Ketika Bani Israel diperintahkan untuk menyembelih sapi betina itu, al-Quran telah merakamkan bagaimana kedegilan golongan Bani Israel yang tidak mahu melaksanakan perintah Allah tersebut dengan mencari pelbagai alasan dan hujah. Namun, akhirnya mereka terpaksa juga melakukannya kerana tiada lagi hujah dan tipu daya yang dapat mereka bentangkan kepada nabi Musa. Inilah sikap Bani Israel (Yahudi) sehingga ke hari ini. Mereka secara terang dan jelas menceroboh wilayah Palestin, namun dalam masa yang sama mereka membuat tipu helah dengan membunuh umat Islam Palestin dengan alasan untuk mempertahankan diri.

Surah al-Baqarah juga dinamakan sebagai Fustat al-Quran dan Sinam al-Quran yang bermaksud puncak al-Quran kerana kepentingan dan kebesarannya yang memuatkan hukum-hukum yang tidak disebut dalam surah lain. Justeru, beberapa ulama telah menyatakan bahawa surah ini mengandungi seribu perintah, seribu larangan dan seribu pemberitahuan.

Surah al-Baqarah mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan seperti yang dinyatakan oleh beberapa hadis. Antaranya ialah hadis nabi saw yang bermaksud: ‘Pelajarilah surah al-Baqarah! kerana mengamalkannya membawa keberkatan, meninggalkannya akan mengundang penyesalan dan ahli-ahli sihir tidak berupaya menguasai pembaca surah ini ( atau mereka sendiri tidak mampu menghafalnya )’.

Imam Muslim pula telah meriwayatkan hadis nabi saw yang bermaksud: ‘Bacalah al-Quran! Kerana ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah dua penyeri iaitu surah al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-duanya akan datang pada Hari Kiamat dalam bentuk dua kelompok awan atau seperti dua kumpulan burung yang terbang berbaris (menaungi pembacanya ), kedua-duanya akan berhujah membela pembacanya. Bacalah surah al-Baqarah kerana membacanya membawa keberkatan, meninggalkannya akan mengundang penyesalan dan ahli-ahli sihir tidak berupaya menguasai pembaca surah ini.”

Imam al-Tirmidhi pula telah meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud : ‘Daripada Abu Hurairah r.a bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda : Janganlah kamu menjadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya setiap rumah yang dibacakan di dalamnya surah al- Baqarat tidak akan dimasuki syaitan’.

Ketiga-tiga hadis yang dinyatakan di atas adalah memadai untuk menunjukkan kelebihan dan keistimewaan surah al-Baqarah. Justeru, boleh dirumuskan berdasarkan ketiga-tiga hadis di atas bahawa kelebihan surah ini ialah seperti berikut :

· Membawa keberkatan

· Mengelakkan penyesalan

· Menghindarkan diri daripada kejahatan ahli sihir

· Mengamankan rumah daripada gangguan syaitan

· Menjadi pemberi syafaat kepada pembacanya pada Hari Kiamat kelak di samping berhujah mempertahankannya.

· Melindungi serta menaungi pembacanya daripada kepanasan padang Mahsyar.

Secara umumnya surah al-Baqarah adalah sama seperti surah-surah madaniyyah yang lain yang banyak memfokuskan aspek syariat. Ia menangani persoalan undang-undang dan hukum-hakam yang diperlukan oleh umat Islam dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Surah ini mengandungi kebanyakan hukum-hukum syariat dalam perkara aqidah, ibadah, jual-beli, akhlak, urusan perkahwinan, talak dan lain-lain lagi.

Permulaan surah ini menyentuh tentang sifat-sifat orang beriman, orang kafir dan orang munafik. Ia menjelaskan hakikat keimanan dan hakikat kekufuran serta kemunafikan di samping membandingkan di antara orang yang bahagia dengan orang yang sengsara. Kemudian, disusuli dengan kisah Nabi Adam a.s dan peristiwa-peristiwa menarik yang berlaku sewaktu penciptaannya. Kisah ini antara lain menunjukkan penghormatan yang diberikan Allah s.w.t kepada manusia.

Seterusnya, surah ini membicarakan tentang Ahli Kitab (orang Yahudi dan Nasrani) khususnya Bani Israel iaitu nenek-moyang orang Yahudi yang berjiran dengan kaum muslimin di kota Madinah. Justeru, ia mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berwaspada dengan tipu daya dan kejahatan yang terpendam dalam diri mereka seperti hasad-dengki, memandang hina, pengkhianatan, pencabulan janji serta segala keburukan yang dilakukan oleh golongan perosak ini. Hal ini menjelaskan betapa dahsyat dan besarnya bahaya dan kemudharatan yang dibawa oleh mereka. Sebab itulah ayat-ayat yang memaparkan kisah mereka amat banyak sekali sehingga melebihi sepertiga surah al- Baqarah bermula daripada ayat 40 sehingga ayat 124.

Ayat-ayat yang selebihnya membincangkan aspek syariat, kerana pada waktu itu umat Islam di permulaan peringkat membentuk “negara Islam”. Jadi, mereka sangat memerlukan panduan rabbani ( ketuhanan ) dan syariat samawi( langit ) yang boleh menunjuk arah kehidupan baru mereka sama ada dari sudut ibadat mahupun mu‘amalat.

Oleh yang demikian, surah ini banyak menyentuh pelbagai hukum-hakam seperti perintah mengerjakan solat, menunaikan zakat, hukum puasa, haji dan umrah, hukum Qisas, hukum jihad dan perang di jalan Allah s.w.t, perkara-perkara yang halal dan haram, membelanjakan harta pada jalan Allah s.w.t, hukum arak dan judi, cara menjaga anak yatim, larangan memakan riba, hutang-piutang, hukum nafkah dan orang yang berhak menerimanya, hukum wasiat kepada kedua ibubapa dan kaum kerabat, hukum sumpah, kewajipan menyampaikan amanat, hukum sihir, hukum merosak masjid, hukum mengubah kitab-kitab Allah, hal-ehwal keluarga tentang perkahwinan, perceraian seperti talak, khulu‘ dan ila’, hukum penyusuan anak, ‘iddah, hukum melamar, mahar, pengharaman mengahwini wanita musyrik dan sebaliknya serta larangan ’menggauli’ isteri ketika haid.

Sayyid Qutb dalam kitab tafsirnya ‘Fi Zilal al-Quran telah menjelaskan bahawa surah ini mengandungi pelbagai tajuk, tetapi kesemuanya dihimpunkan oleh satu paksi yang mempunyai dua cabang garisan, yang saling berkait-rapat. Dari satu sudut, surah ini memaparkan pendirian Bani Israel ( orang Yahudi ) terhadap dakwah Islam di Madinah terutamanya penentangan mereka terhadap Rasulullah s.a.w dan “jama‘ah Islam” yang sedang berkembang serta pembelotan mereka menerusi usaha-usaha menjalinkan hubungan intim dengan orang munafik dan musyrikin. Dari sudut yang lain pula, surah ini memaparkan pendirian “jama‘ah islam” pada peringkat permulaan dan persediaan untuk memikul amanah dakwah serta khilafah di atas muka bumi.

Surah ini diakhiri dengan seruan kepada orang beriman supaya bertaubat dan kembali kepada Allah s.w.t. Di samping itu, ia mengajak orang beriman agar memohon bantuan dan kemenangan daripada Allah s.w.t serta berdoa memohon kebaikan dunia dan akhirat .

No comments:

Post a Comment