Oleh:محمد شوقي عثمان
Solat adalah tiang agama. Solat umpama sebuah rumah yang pasti roboh tanpa tiang. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya (sempadan) antara seseorang dengan syirik dan kekufuran ialah meninggalkan solat.” Solat yang bermutu ialah solat yang dilakukan dengan penuh khusyuk. Firman Allah dalam Surah Al Mu'minuun ayat 1 - 3 maksudnya :"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam solat dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia."
Walaupun khusyuk di dalam solat menurut jumhur ulamak adalah sunat hukumnya, namun ia adalah sesuatu yang amat dituntut agar ibadah solat diterima olah Allah. Khusyuk membawa pengertian seseorang menunaikan solat dengan penuh fokus dan tumpuan dengan hati yang hadir, tidak berpaling kekiri dan kekanan, mata tertumpu ke tempat sujud dan fikiran ditumpukan kepada bacaan di dalam solat. Nabi SAW sangat-sangat menganjurkan kepada umatnya supaya khusyuk di dalam solat.
Walaupun orang yang tidak khusyuk di dalam solatnya tidaklah membuatkan batal solatnya, namun pahala solat diberi oleh Allah SWT bergantung kepada sejauh mana kekhusyukan seseorang itu didalam solatnya. Jika ia khusyuk di satu perdua solatnya, maka ia mendapat pahala satu perdua sahaja dari solatnya. Jika ia khusyuk sebanyak satu perlapan sahaja dari solatnya, bererti ia mendapat pahala sebanyak satu perlapan sahaja dari solatnya.
Solat yang didirikan lima kali sehari cukup berfungsi sebagai tali pengikat insan yang lemah untuk sentiasa mengingati Allah, tetapi itu bukan bererti ketika solat saja kita ingat kepada-Nya dan selepas itu kembali lalai. Bahkan solat yang betul dan berkesan dapat mempengaruhi peribadi seseorang sehingga dia merasai pengawasan Allah pada seluruh ruang dan waktu dalam kehidupannya.
Masalahnya, bukan sedikit orang Islam yang masih kabur mengenai makna dan hakikat solat, apatah bagi kita yang buta dengan bahasa yang digunakan dalam solat. Ini menyebabkan kenikmatan ibadat itu tidak dapat dirasai dengan sempurna dan ada juga yang berputus asa setelah sekian lama belajar, masih belum mendapatkan kepuasan solat diimpikan.Orang yang berilmu tinggi pun tidak terlepas daripada masalah kelalaian dalam solatnya dan untuk itu ulangkaji dalam menuntut ilmu adalah penting sebagai penyegar kualiti ibadat seseorang.
Walau apapun syarat khusyu’, yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam solat bermula dari khusyuk di luar solat. Kalau di luar solat hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam solat. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.
Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Solat itu merupakan "munajat" (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya.
Orang yang bertakwa kepada Allah dan menyedari ia hanyalah hamba, akan patuh apa sahaja yang diperintahkan serta akan khusyuk, lalu mendapat nikmat solat seperti firman Allah yang bermaksud: "Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya" [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].
No comments:
Post a Comment