Followers

Wednesday, May 21, 2008

Tuntutan Bersegera Melakukan Kebajikan

Oleh: Ustaz Shauqi

Setiap individu Muslim berkewajipan untuk berusaha dan berlumba-lumba melakukan kebajikan dan amalan soleh. Dalam surah al-Ma’idah ayat 48, Allah berfirman yang bermaksud ‘… maka berlumba-lumbalah membuat kebajikan…’. Menurut Syeikh Muhammad ‘Ali al-Sobuni dalam Safwat al-Tafasir, ia bermaksud hendaklah bersegera melakukan sesuatu yang membawa kebaikan iaitu mentaati Allah dan melaksanakan segala peraturanNya.

Bersegera melakukan sesuatu bermaksud sesuatu yang tidak boleh ditangguh-tangguh lagi. Ini kerana orang yang beriman dan yang cerdik adalah mereka yang menyedari bahawa masa sentiasa menghambat mereka, dan masa yang terlepas tidak boleh dikembalikan lagi.

Allah sendiri bersumpah dengan masa dalam surah al-Asr bagi menggambarkan kepentingan untuk tidak bertangguh dalam melakukan sesuatu. Firman Allah bermaksud: “Demi masa sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.”( Surah al-Asr: 1- 3 ).

Nabi saw menyifatkan orang yang sentiasa bermuhasabah diri dan tidak bertangguh dalam melakukan sesuatu yang baik adalah orang yang cerdik sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi .

Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 114 bermaksud: ‘Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan mereka menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan; mereka itu termasuk orang yang soleh’. Dalam ayat 133 surah Ali ‘Imran pula Allah menyatakan yang maksudnya: ‘Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa’.

Menurut Wahbah Zuhaily dalam Tafsir Munir (1991: 2/86) , dalam ayat ini Allah menyuruh agar bersegera melakukan amalan ketaatan seperti sedekah, silaturrahim, bekerjasama, tolong-menolong dan menjauhi perkara-perkara dosa seperti riba dan seumpamanya. Amalan-amalan kebajikan yang dilakukan ini dapat mewujudkan masyarakat Islam yang saling rahmat merahmati dan hidup dalam keadaan tenang dan bahagia serta jauh daripada sifat hasad dengki, membenci-membenci dan sebagainya. Allah juga memberikan berita gembira kepada mereka dengan balasan syurga.

Perlaksanaan Amalan Kebajikan

Amalan kebajikan adalah sesuatu yang dituntut dan wajib dilakukan sebagai manifestasi perhambaan seseorang kepada Allah swt. Apabila seseorang itu bermuhasabah terhadap dirinya, maka dia akan menyedari betapa kehidupan di dunia adalah kehidupan yang memikul tanggung jawab dan akan dipersoalkan di akhirat sama ada tanggung jawab tersebut dilaksanakan atau tidak semasa kehidupan di dunia yang fana ini.Sehubungan dengan itu, antara tanggungjawab seorang mukmin ialah melaksanakan amalan kebajikan. Amalan kebajikan yang dilakukan oleh seseorang sebenarnya adalah untuk kebaikan dirinya sendiri dan untuk memberi manfaat dalam kehidupannya.

Sesuatu yang wajar diperingatkan ialah amalan kebajikan yang dilakukan hendaklah berniat ikhlas, iaitu tujuan dan niatnya hanya kepada Allah. Sekiranya mempunyai niat yang serong, maka amalan yang dilakukan hanya mendapat penat dan letih sahaja. Justeru, niat yang ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah mestilah dipupuk agar amalan tersebut termasuk dalam kategori amalan yang soleh. Namun begitu, ini tidak bermakna selagi tidak datang ikhlas maka amalan soleh tak perlu dibuat. Macam sesetengah orang yang mengatakan bahawa ”... aku tak akan tutup aurat sehinggalah ikhlas datang...kerana aku tak nak jadi hipokrit...lagipun tutup aurat kalau tak ihlas sia-sia juga..”. Kata-kata ini jelas menunjukkan betapa jahilnya seseorang itu, kerana apabila tidak dibuat amalan itu, bagaimana nak datang ikhlas? Ikhlas tak akan datang selagi sesuatu amalan itu tidak dilaksanakan! Sebab itu... kewajipan yang fardhu wajib dilaksanakan terlebih dahulu sama ada ’sudah ada ikhlas atau pun tidak’ seperti solat, puasa, tutup aurat dan sebagainya... dan ikhlas hendaklah dipupuk selepas itu untuk mendapatkan pahala dan ganjaran disisi Allah.

No comments:

Post a Comment