Followers

Saturday, June 7, 2008

Kaedah Menunaikan Solat Ketika Sakit

Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

(Artikel ini telah disiarkan di Majalah Milenia Muslim keluaran April 2008)

Solat merupakan ibadah yang paling penting dalam ajaran Islam dan ia wajib dilakukan dalam keadaan apa cara sekalipun. Apatah lagi solat adalah ibarat ‘tiang agama’, maka sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja atau di atas apa jua alasan, bermakna ia telah berusaha meruntuhkan agamanya sendiri. Solat umpama sebuah rumah yang pasti roboh tanpa tiang. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya ‘al-Ibadah fi al-Islam’, antara tanda yang menunjukkan kedudukan solat itu tinggi dan amat penting ialah ia telah difardhukan di langit berbeza dengan ibadah-ibadah lain yang difardhukan di bumi.

Rasulullah saw telah dijemput oleh Allah untuk menerima kefardhuan solat dalam peristiwa Isra’ Mi’raj. Sehubungan dengan itu, para ulama’ menyatakan bahawa meninggalkan solat boleh membawa kepada kufur sekiranya engkar terhadap kefardhuan solat. Akan tetapi sekiranya meninggalkan solat kerana malas, maka seseorang itu menjadi fasik dan berdosa besar. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya (sempadan) antara seseorang dengan syirik dan kekufuran ialah meninggalkan solat.”

Solat mempunyai kedudukan yang amat tinggi di dalam Islam. Justeru, solat merupakan ibadah pertama yang akan dihitung di Hari Pembalasan di akhirat kelak. Dalam sebuah hadis nabi saw yang sahih, baginda telah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya amalan pertama bagai seseorang hamba yang akan dihitung di akhirat kelak ialah solatnya”. (Hadis ini telah diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, Ahmad, Abu Daud, al-Nasa’ei, Ibnu Majah dan lain-lain). Oleh itu, setiap individu muslim wajib memelihara solatnya agar dia berjaya apabila amalan pertamanya dihitung oleh Allah kelak. Amat malang sekali apabila seseorang menunaikan ibadah wajib yang lain seperti menutup aurat, puasa, zakat, haji dan lain-lain tetapi dalam masa yang sama melupakan tanggungjawab menunaikan solat.

Hal ini boleh diumpamakan seperti seorang pelajar yang mendapat 9A dalam peperiksaan SPM, tetapi gagal dalam matapelajaran Bahasa Melayu, apakah pelajar ini dapat masuk ke universiti? Begitu juga apabila seseorang itu mendapat 4 Prinsipal A dalam STPM tetapi dalam masa yang sama gagal dalam subjek Pengajian Am, apakah pelajar ini juga dapat melanjutkan pelajarannya ke universiti? Jawapannya adalah tidak, kerana subjek Bahasa Melayu di peringkat SPM atau Pengajian Am di peringkat STPM merupakan subjek yang menjadi kriteria utama untuk lulus, baharulah subjek lain yang cemerlang akan di ambil kira untuk melayakkannya ke universiti. Begitulah perbandingannya dengan solat, sekiranya solat tidak ditunaikan sedangkan ia merupakan ibadah pertama yang akan dihitung oleh Allah di akhirat kelak, mana mungkin ibadah lain akan mendapat ganjaran yang setimpal walau ia dilakukan dengan cemerlang!.

Oleh yang demikian, sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh ialah hendaklah menunaikan solat walau di mana sahaja kita berada dan walau kita berada dalam keadaan sakit sekali pun. Namun, Islam agama fitrah yang realistik tidaklah membebankan sesuatu ibadah yang manusia tidak mampu melakukannya. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud: “Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupan dan kemampuannya”. Sekiranya seseorang itu berada dalam musafir, maka ajaran Islam telah memberikan rukhsah atau kemudahan kepadanya untuk menunaikan solat secara jamak (menghimpunkan dua solat dalam satu waktu) dan qasar (memendekkan solat empat rakaat menjadi dua rakaat). Manakala orang yang sakit pula diberikan kemudahan untuk menunaikan solat menurut keupayaan dan kemampuannya dalam menunaikan solat. Sesuatu yang amat penting ialah kita sebagai hamba Allah hendaklah sentiasa mengingati Allah dengan berhubung atau mi’raj dengan Allah pada setiap hari selagi nyawa masih dikandung badan, dan selagi mempunyai akal yang sihat dan waras. Firman Allah swt di dalam surah al-Jumu’ah ayat 10 bermaksud: “...dan ingatlah Allah banyak-banyak , agar kamu beroleh keuntungan dan kemenangan”.

Namun sesuatu yang amat mendukacitakan ialah tidak ramai orang yang sakit menunaikan solat. Sekiranya dilakukan ‘ziarah’ ke hospital untuk melawat orang sakit, maka akan didapati hanya beberapa orang sahaja yang menunaikan solat di katil tempat perbaringannya, sementara ramai yang lain seolahnya tidak menyedari langsung tentang kewajipan menunaikan solat. Alasannya mudah sahaja...bagaimana hendak melakukan solat sedangkan berada dalam keadaan sakit!. Begitu juga orang yang menziarahi pesakit, amat jarang memberi ingatan kepada pesakit untuk menunaikan solat apabila tiba waktu solat, sebaliknya hanya membawa makanan atau buah-buahan untuk diberikan kepada pesakit, sedangkan dia sendiri memahami bahawa orang sakit tidak punya selera makan macam orang sihat!.

Persoalannya, mengapakah solat tetap diwajibkan walaupun seseorang itu berada dalam kesakitan? Sebenarnyam ia jelas menunjukkan bahawa solat merupakan asas utama ibadah di dalam Islam. Hubungan dengan Allah tetap diteruskan walau kita berada dalam keadaan apa sekalipun, dan sesuatu yang lebih penting ialah kita sebagai hamba Allah amat mengharapkan pertolongan Allah dalam setiap ketika dan waktu, oleh itu kita berkewajipan mengingati Allah dengan menunaikan perintahNya.

Namun, Islam sebagai agama fitrah memberikan rukhsah kepada penganutnya dalam melaksanakan ibadah. Orang yang sakit diberikan kemudahan di dalam ajaran Islam untuk menunaikan solat mengikut keupayaannya. Ajaran Islam tidak memaksa orang yang sakit berdiri untuk menunaikan solat sekiranya pesakit itu tidak mampu untuk berdiri. Akan tetapi solat hendaklah diklakukan menurut kemampuan dan keupayaannya yang tersendiri. Sahabat nabi iaitu ‘Imran bin Husain r.a telah bertanya kepada nabi tentang bagaimana beliau hendak melakukan solat dalam keadaan beliau mempunyai penyakit buasir, lalu nabi Muhammad saw menjelaskan kepada beliau: “Hendaklah kamu menunaikan solat dalam keadaan berdiri, jika kamu tidak mampu, maka lakukanlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu juga, tunaikanlah solat dalam keadaan berbaring” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari).

Antara hikmah diberikan rukhsah solat ketika sakit adalah untuk membuktikan bahawa Islam agama yang mudah. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 185 bermaksud: “...Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menghadapi kesukaran...”. Selain itu, rukhsah dalam solat juga menunjukkan betapa kasih sayang Allah pada hambaNya. Justeru, sebenarnya tidak ada sebarang alasan untuk tidak menunaikan solat kerana kita dapat melaksanakannya mengikut kemampuan dalam sebarang keadaan.

Disebut dalam kitab al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatu karangan Dr. Wahbah al-Zuhayliy bahawa seseorang yang sakit yang tidak boleh berdiri ketika solat, maka gugurlah kwajipan berdiri, sebaliknya hendakalh ditunaikan solat secara duduk, dan ia hendaklah rukuk dan sujud seperti biasa, namun sekiranya tidak mampu rukuk mahupun sujud, maka memadai baginya untuk menundukkan kepala sebagai isyarat kepada rukuk dan sujud tersebut. Menundukkan kepala sebagai isyarat kepada sujud hendaklah dilebihkan sedikit berbanding menundukkan kepala sebagai isyarat kepada rukuk. Begitu juga apabila seseorang itu hanya mampu berdiri pada rakaat pertama sahaja, maka hendaklah dia berbuat demikian pada rakaat itu, manakala pada rakaat kedua dan seterusnya dia tidak mampu berdiri lagi, maka dia boleh meneruskan solat secara duduk sehingga selesai menunaikan solat tersebut.

Ringkasnya, kaedah menunaikan solat ketika sakit mengikut kemampuan adalah seperti yang berikut:

1. Solat secara duduk: Sekiranya berkemampuan hendaklah duduk secara iftirasy (duduk seperti semasa membaca tahiyat awal). Namun sekiranya tidak mampu, hendaklah duduk mengikut kemampuan. Ketika rukuk, hendaklah ditundukkan kepala sedikit iaiatu dahi berada setentang dengan tempat sujud atau bertentangan dengan hadapan lutut, manakala sujud dilakukan seperti biasa.

2. Solat secara mengiring: Berbaring sambil mengiring di atas rusuk kanan. Muka dan dada dihadapkan ke arah kiblat. Rukuk dan sujud dilakukan menerusi isyarat kepala.

3. Solat secara menelentang: Berada dalam keadaan berbaring sambil terlentang. Kaki menghala ke kiblat, kepala ditinggikan sedikit agar muka dapat dihadapkan ke arah kiblat. Rukuk dan sujud dilakukan menerusi isyarat kepala.

4. Solat secara melakukan isyarat kelopak mata: Berada dalam keadaan berbaring sambil terlentang. Kaki menghala ke arah kiblat. Rukuk dilakukan dengan menggerakkan kelopak mata, manakala sujud pula dilakukan dengan memejamkan mata.

5. Solat secara ingat di dalam hati: Menggerakkan ingatan di dalam hati menurut tertib solat.

8 comments:

  1. ustaz, maw tnya ni..
    bagaimana klu seorg lelaki yg ada penyakit pada kakinya sehingga dia tidak mampu utk duduk tahiyat akhir...dia juga tidak mampu utk duduk d lantai bg menunaikan solat.. adakah lelaki tersbut harus ke masjid utk menunaikan solat jumaat? atau, hanya perlu solat zohor di rumah?

    tolong jawab ya ustaz..

    ReplyDelete
  2. bagi pendapat saya ridzuan, dia boleh bawa kerusi dan solat berjemaah di masjid seperti biasa.

    ReplyDelete
  3. Ada pertanyaan:
    Jika seseorang dimasukkan ke hospital dan sentiasa dipakaikan kondom untuk saluran air kencingnya,tidak mampu bergerak sendiri dan tidak boleh bercakap,bagaimana hendak kita tolong dia untuk melakukan solat?Tidakkah kondom itu najis?Jika kondom itu ditanggalkan akan memberikan kesakitan pula..harap dapat membantu

    ReplyDelete
  4. macam mane pulak dengan orang yang sangat lemah. tak mampu nak turun dari kerusi semata-mata untuk sujud? even nak bangun lepas buang air kecil pun tak mampu. tu macam mana plak?

    ReplyDelete
  5. Pertanyaan:
    Mcm mana kaedah solat ketika sakit utk berdiri.. Sebab saya tgh sakit kaki kat lutut jd duduk tak boleh hanya dpt berdiri. Mohon penjelasannya.. Terima kasih

    ReplyDelete
  6. assalamualaikum ustaz.....sya nk tnye nie..........mcm mne nak solat kalau kaki patah?????dan macam maner nk solat ketika pundi kencing rosak?????tlong jwb pleazzzeeee...............

    ReplyDelete
  7. kawan2 kalau x mampu nak ambil wudhu' boleh tayamum. And tak perlu turun dari kerusi kalau nak sujud. just bongkokkan badan sdikit melebihi paras rukuk ketika duduk.. kalau duduk pun x boleh, solat berbaring.. bayangkan bagaimana step2 solat. atau gerakkan mata anda.

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum Ustaz. Saya ingin meminta pendapat sedikit mengenai solat dan harap ustaz sudi membantu dengan kemusykilan saya.
    1) Saya mengalami kemalangan pada kaki kiri saya menyebabkan saya tidak mampu duduk antara dua sujud dan juga sujud kerana ibu jari kaki saya tidak boleh dibengkokkan. Bagaimanakah caranya yang sesuai untuk saya solat berjemaah? Jika saya menggunakan kerusi, saya khuatir orang di belakang saya akan terganggu. Jika saya duduk bersila, saya boleh lakukannya tapi dari segi luruskan saf bagaimana?
    2) Adakah cara solat duduk ini betul? http://3.bp.blogspot.com/-7rO4PdcsdK8/T9g6S-_tdKI/AAAAAAAABNI/itHbNyez8GU/s1600/solatpesakit-763170.jpg
    bagaimana pula iktidal perlukah saya luruskan tangan di sisi macam biasa? Dan sewaktu sujud, tangan saya perlu diletakkan di lantai sebegini atau cukup di atas lutut saya?
    Diharapkan ustaz sudi berkongsi nasihat dan pengalaman sedikit. Maaf ya mengganggu

    ReplyDelete