Wednesday, July 30, 2008

Puasa 27 Rejab

Hari ini tanggal 27 Rejab.... umat Islam di Malaysia bahkan di seluruh dunia merayakan serta mengingati kembali peristiwa Isra' Mi'raj. Keimanan kepada Israk Mikraj adalah wajib bagi setiap umat Islam. Allah telah merakamkan peristiwa israk melalui firmanNya dalam ayat 1 Surah al-Israk : سبحان الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي باركنا حوله لنريه من آياتنا، إنه هو السميع البصير yang bermaksud: Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat (Mengetahui).

Persoalan yang sering ditimbulkan apakah sunat berpuasa khusus pada 27 Rejab sempena Israk Mikraj ini? Lalu lahirlah 2 aliran... satu aliran menyatakan sunat muakkad puasa sempena israk mikraj iaitu pada 27 Rejab... manakala satu aliran lagi menyatakan berpuasa pada 27 Rejab adalah bid'ah. Jadi mana satu yang betul?

Sebelum menjawab persoalan tersebut.... elok kita menelusuri sedikit tentang tarikh sebenar berlakunya Israk dan Mikraj ini. Sebenarnya para ulama' tidak bersependapat mengenai tarikh sebenar berlakunya israk mikraj ini walaupun yang pastinya ia berlaku sebelum hijrah nabi ke Madinah....ada pelbagai pendapat tentang tarikh ini iaitu ada yang menyatakan ia berlaku pada 17 Rabiulawal, bulan Zulkaedah, Syawal, Ramadhan , Rejab, 17 Ramadhan, 27 Rejab dan lain-lain lagi. Jadi daripada sini, dapat diambil kesimpulan bahawa kalau tarikhnya pun tidak disepakati oleh para ulama', mana mungkin ada sunat khusus puasa sempena 27 Rejab. Jadi apakah pada tanggal 27 Rejab tak boleh berpuasa?

Sebenarnya bulan Rejab itu sendiri sunat berpuasa kerana ia termasuk dalam bulan-bulan Haram yang disunatkan berpuasa. Jadi secara umumnya tak kira berapa haribulan sekalipun dalam bulan Rejab ini, sunat untuk kita berpuasa... wallahu'alam

Monday, July 28, 2008

Bunuh Diri

Beberapa hari lalu, akhbar melaporkan bahawa mayat seorang pekerja kilang dijumpai tergantung bersama tali nilon di lehernya pada alang bilik di rumah. Beliau telah bertindak membunuh diri dan sebelum daripada itu, beliau telah membunuh dua orang anaknya dengan memberi mereka minum racun. Mengapa orang Melayu Islam kebelakangan ini sanggup melakukan perkara-perkara terkutuk yang diharamkan dengan sewenang-wenangnya? Biasanya bab bunuh diri ini hanya didapati dalam 'filem' Hindustan atau Tamil aje... tapi dewasa ini orang Islam pun tergamak melakukannya. Inilah menunjukkan dunia makin hampir dengan kiamat!.

Ajaran Islam telah mengharamkan perbuatan membunuh diri. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang membunuh diri dengan besi di tangannya, dia (akan) menikam perutnya di dalam neraka jahannam, (dan) dikekalkan di dalamnya selama-lamanya. Dan barangsiapa yang meminum racun lalu membunuh diri dengannya, maka dia (akan) meminumnya perlahan-lahan di dalam neraka jahannam yang kekal, (dan) dikekalkan di dalamnya selama-lamanya. Dan barangsiapa yang membunuh diri dengan menjatuhkan dirinya dari atas gunung, dia akan jatuh ke dalam neraka jahannam yang kekal (dan) dikekalkan di dalamnya selama-lamanya."

Dalam hadis yang lain pula, nabi saw telah menyatakan bahawa : ”Barangsiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu di dunia, maka dia akan disiksa dengan (alat tersebut) pada hari kiamat” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Sehubungan dengan itu, para ulama’ bersependapat bahawa perbuatan membunuh diri merupakan sesuatu yang haram dan berdosa besar. Antaranya ialah fatwa yang telah dikeluarkan oleh Syeikh Ibn ’Uthaimin: ”bunuh diri secara sengaja dengan sebab apapun, adalah diharamkan dan termasuk dosa yang paling besar”.

Kalau membunuh diri sendiri pun diharamkan, maka apatah lagi membunuh orang lain. Perbuatan membunuh orang lain jelas dilarang dan diharamkan di dalam Islam melalui firman Allah dalam surah al-Ma’idah ayat 32, yang bermaksud: …barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan dimuka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia…”. Dalam ayat ini, Allah SWT dengan jelas menghargai semua jiwa manusia. Membunuh manusia tanpa kebenaran sangat dibenci Allah SWT sehingga Allah menganggapnya sebagai kejahatan terhadap seluruh umat manusia.

Ada orang bertanya tentang jenazah orang yang membunuh diri apakah ia wajar dikebumikan ditanah perkuburan Islam? Jawapannya Ya... jenazah tersebut tetap disemadikan di tanah perkuburan Islam kerana orang yang membunuh diri itu masih dianggap Islam selagi tidak ada tanda-tanda bahawa beliau telah murtad atau telah keluar daripada agama Islam.

Tuesday, July 22, 2008

Dilema Anak Angkat


Pada jam 8.30 pagi ini 22 Julai 2008... Insya allah saya akan membincangkan tajuk Dilema anak angkat di TV 1 bersama hos Us Irwan Johari. Bagi mereka yang belum dikurniai rezeki cahayamata walau setelah berkahwin dalam tempoh yang lama sudah tentu berada dalam dilema sama ada mengambil anak angkat atau pun tidak. Saya terbaca keluhan seorang isteri dalam salah sebuah laman web:

"saya skrg tgh dlm dilema.. sy da berkahwin selama 4 thn tp sampai skrg masih belum ade harapan utk mengandung anak sendiri... da pegi cek, semuanya ok.. takde ape masalah.. cuma mungkin belum ade rezeki.. tapi, sy rasa anda semua pun tahu ape yg sy rasakan skrg ni.. sunyi... jadi sy dan suami bercadang utk mengambil anak angkat... sebagai penyeri dlm rumah tangga kami..."

Ajaran Islam tidak pernah melarang untuk mengambil anak angkat apatah lagi sekiranya ia adalah bertujuan untuk menolong sesama manusia dengan mengambil anak yatim umpamanya atau sesiapa sahaja untuk dipelihara dan dicurahkan kasih sayang serta menanggung segala perbelanjaan, pendidikan dan keperluan hidupnya. Namun sesuatu yang perlu diberi perhatian ialah haram menasabkan anak angkat kepada ayah angkat dengan di 'bin' atau di 'binti'kan kepadanya. Dalilnya ialah firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 4-5 yang bermaksud: "Dan dia tidak menjadikan anak-anak angkat kamu sebagai anak kamu sendiri , yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja… Panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah"

Tuesday, July 15, 2008

Tangani stres cara Islam


Mohd. Sukki Othman
Dalam hidup ini terutama bagi yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur, penduduknya terdedah kepada pelbagai bentuk stres atau tekanan.

Antara punca stres adalah kehilangan sesuatu, berasa bosan, kecewa dan juga perubahan hidup. Kita boleh mengalami stres hatta di pejabat, rumah atau semasa bercuti bersama keluarga.

Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud: (Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram. (al-Ra’d: 28)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto ASMARUDDIN JAMALUDDIN menemu bual Pensyarah Bahasa Arab di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Mohd. Sukki Othman bagi mengupas persoalan stres dan Islam.

MEGA: Apakah yang dikatakan stres dari perspektif Islam?
MOHD. SUKKI: Stres atau tekanan adalah fitrah dalam hidup. Ia biasa timbul apabila seseorang itu menghadapi ujian, dugaan dan cabaran. Bezanya, hanyalah tahap stres yang dialami sama ada serius atau tidak. Perihal ujian Allah ini telah dijelaskan menerusi al-Quran.

Allah berfirman: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai kelaparan) dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang bersabar. (al-Baqarah: 155)

Dalam Islam, semakin besar tekanan yang datang maka semakin besarlah pahala dan ganjaran di sisi Allah. Apa yang penting adalah kesabaran dan keazaman yang tinggi untuk mencari ketenangan dan keredaan Allah.

Hayatilah firman Allah: Sesiapa yang beramal soleh dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik...(al-Nahl: 97)

Ada antara umat Islam yang apabila stres tidak mahu mendekatkan diri kepada Allah. Sebaliknya mereka cuba mencari penyelesaian melalui hiburan duniawi. Bagaimana membetulkan keadaan ini?
MOHD. SUKKI: Bagi umat Islam, mereka ada kekuatan akidah keimanan kepada qada dan qadar. Ini akan mendorong seseorang tabah menghadapi segalanya serta tidak berputus asa dalam meneruskan kehidupan di dunia.

Penyelesaian stres melalui hiburan duniawi seperti menonton konsert hiburan yang melalaikan sehingga membawa kepada minum minuman keras hanya memberi penyelesaian sementara. Perbuatan ini pula adalah haram di sisi agama.

Apabila seseorang yang mengalami stes mengeluh dengan merasakan ‘nasib’ tidak berlaku adil padanya, maka jiwanya akan semakin tertekan.

Orang yang menghadapi tekanan perlu tahu formula pengurusannya agar ia tidak bertambah parah dan kritikal. Dalam Islam, banyak cara boleh dilakukan untuk mengatasi stres.

Antaranya, membaca, memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran. Membaca al-Quran itu sahaja pun sudah mendatangkan ketenangan apatah lagi apabila cuba memahami, menghayati serta beramal dengan isu kandungannya. Ingatlah firman Allah sebagai mana yang disebut dalam surah al-Ra’d ayat 28 di atas.

Bagi warga kota, terperangkap dalam kesesakan lalu lintas setiap hari juga boleh mendatangkan stres. Bagaimana kita boleh memanfaatkan masa tersebut untuk mengingati Allah?
MOHD. SUKKI: Apabila kita memikirkan tentang kesesakan lalu lintas secara keterlaluan maka ia akan jadi tekanan. Ini boleh membawa kepada tindakan luar biasa. Antaranya seperti kita mula hendak memotong barisan kenderaan dari sebelah kiri atau mula cepat panas baran. Semua ini berlaku kerana jiwa atau hati tidak tenang.

Namun, keadaan ini boleh kita tukarkan kepada yang lebih positif. Seperti yang kita sebut tadi, dengan mengingati Allah maka hati menjadi tenang.

Sehubungan itu, kita boleh mengambil beberapa tindakan. Pertama, dalam kesesakan itu tadi kita baca ayat-ayat al-Quran yang kita hafal. Kalau tidak mampu, kita dengarlah kaset atau cakera padat (CD) bacaan al-Quran.

Walaupun di peringkat permulaan, barangkali kita rasa masih tidak tenang, tetapi jika kita istiqamah, insya-Allah rasa tenang itu akan dikurniakan oleh Allah. Dalam bab amalan begini, kita tidak boleh mengharap kesan yang serta-merta sudah itu ia mengambil sedikit masa.

Kita perlu kurangkan tabiat hanya suka mendengar lagu semasa memandu kenderaan. Jika tidak, sampai bila pun kita tidak akan berubah. Lebih malang lagi, kadang-kadang rasa tension itu dibawa bersama ke rumah dan yang menjadi mangsa kemarahan sudah pastilah isteri dan anak-anak.

Kedua, kita boleh berzikir. Paling mudah ialah beristighfar, mengucap Lailahaillallah atau berselawat. Ini tidak perlukan modal walau pun RM1 dan ia mudah dilakukan.

Ketiga, kita boleh gunakan kesempatan itu untuk menuntut ilmu. Bagi tujuan ini, kita perlulah membeli CD kuliah-kuliah agama atau fardu ain untuk disimpan dalam kenderaan. Selain dapat mengingatkan diri kita, ia juga bermanfaat untuk anak-anak dan isteri.

Gejala sosial yang melanda masyarakat juga turut menyumbang kepada berlakunya stres terutama di kalangan ibu bapa. Apakah langkah yang perlu diambil dalam menangani masalah ini?
MOHD. SUKKI: Tidak dapat tidak, ibu bapa perlu mainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak. Lebih-lebih lagi, bapa sebagai ketua keluarga.

Sebab itu Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud; Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpinnya. (riwayat Muslim)

Perisai paling utama mencegah gejala sosial ialah solat. Allah berfirman: ...sesungguhnya solat itu mencegah daripada melakukan perkara keji dan mungkar... (al-Ankabut: 45)

Dalam keadaan sekarang, tugas ibu bapa semakin mencabar. Mereka perlu mengetahui siapakah kawan anak-anak sebabnya rakan sebaya ini akan menentukan sahsiah anak-anak.

Jika mereka bergaul dengan kawan yang baik, maka akan tersuburlah segala kebaikan yang ditanamkan di rumah. Sebaliknya, jika mereka berkawan dengan golongan yang kurang baik dikhuatiri akan terhakislah segala kebaikan yang diajar di rumah.

Sebagai ketua keluarga, bapa perlu menerapkan sungguh-sungguh ibadat solat kepada anak-anak. Kita perlu menerapkan anak-anak dengan sikap mencapai kejayaan di dunia (akademik) dan akhirat (laksana perintah Allah). Sebabnya, hidup kita di akhirat adalah lebih panjang tempohnya berbanding hidup di dunia yang sementara ini.

Setiap daripada kita juga perlu kenal diri. Mengapa Allah ciptakan kita di muka bumi dan apakah bakal kesudahan kita di akhirat kelak.

Untuk itu, setiap kita perlu ada masa bermuhasabah (menghitung) nikmat Allah sekurang-kurangnya 10 ke 15 minit sebelum tidur.

Fikir dan renungkan kebesaran Allah. Apakah yang telah kita lakukan pada siang hari tadi. Adakah perbuatan yang baik atau dosa, jika kita dimatikan adakah kita sudah bersedia?

Bolehkah ustaz huraikan maksud orang yang berpaling dalam firman Allah: Dan barang siapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. (Tahaa: 124)
MOHD. SUKKI: Maksud orang yang berpaling di sini ialah orang yang tidak ikut garis panduan Islam.

Kebanyakan kita melihat hidup akan bahagia kalau ada pangkat, harta dan kekayaan. Namun, kalau ikut perintah Allah, walaupun hidup sederhana tetapi kehidupan individu itu berkat dan tenang.

Dalam ayat yang berkaitan, Allah berfirman: Barang siapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barang siapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman. (al-An’aam: 125)

Untuk itu, sebagai Muslim, hendaklah kita melaksanakan semua tuntutan yang fardu. Ibadat sunat itu adalah sebagai tambahan yang akan menampung kekurangan dalam ibadat fardu. Pada masa yang sama, kita wajib meninggalkan perkara yang haram.

Mengingat Allah itu bukan sahaja dalam solat tetapi terbahagi kepada perbuatan seperti sedekah dan menghadiri majlis ilmu; ingat dengan hati iaitu melalui bertafakur merenung nikmat Allah yang amat banyak dikurniakan kepada kita dan ingat dengan lidah iaitu melalui berzikir.

Wednesday, July 9, 2008

Pengalaman Yang Mendebarkan


Semasa dalam penerbangan pulang dari Kaherah ke Kuala Lumpur, suatu peristiwa yang amat mendebarkan telah berlaku di saat setengah jam sebelum kapal terbang mendarat di Lapangan Terbang Kuala Lumpur. Pada peringkat awal penerbangan... segalanya berjalan lancar dan baik. Akan tetapi apabila kapal terbang sampai sahaja di ruang udara antara Ipoh dan Kuala Lumpur... dalam suasana cuaca yang baik... dan dalam suasana kapal terbang yang tidak melanggar awan... tiba-tiba kapal terbang berada dalam keadaan terumbang-ambing seumpama kapal laut yang dipukul ombak. Secara tiba-tiba... ia 'menjunam' ke bawah menyebabkan jantung berdegup kencang... dan secara tiba-tiba juga ia mengalami gegaran yang kuat menyebabkan seluruh penumpang menjadi panik... Keadaan ini berlaku beberapa kali sebelum ia kembali menjadi normal dan dapat mendarat dengan baik di KLIA. Sepanjang pengalaman menaiki kapal terbang di peringkat domestik dan antarabangsa, inilah kali pertama suasana yang dialami agak menggerunkan, mendebarkan serta mencemaskan...

Monday, July 7, 2008

Sikap Pemaaf dan Lemah-Lembut Rasulullah: Pemangkin Ke arah Kecemerlangan Dakwah Islam


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ust Shauqi)

Sikap pemaaf dan lemah-lembut (bersopan-santun) merupakan satu sikap yang amat luhur dan murni serta memberikan banyak kebaikan. Tiada ruginya memaafkan kesalahan orang lain walaupun nyata mereka bersalah. Namun, apabila seseorang itu mempunyai hati yang keras dan penuh dendam, maka amat sukar sekali untuk memaafkan orang lain. Contoh pemaaf dan lemah-lembut yang dipamerkan oleh Rasulullah saw merupakan suatu sifat yang sepatutnya dicontohi oleh setiap generasi umat Islam.

Melatih diri untuk memiliki akhlak seumpama ini dapat dimulai dengan menahan diri ketika marah dan mempertimbangkan baik buruknya sesuatu perkara sebelum bertindak. Ini kerana setiap manusia tidak pernah terpisah daripada masalah dalam hidup, jika ia tidak membekalkan dirinya dengan akhlak ini, nescaya ia akan gagal untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi. Hebatnya sifat lemah-lembut dapat dilihat melalui pujian Rasulullah terhadap sahabatnya Asyaj Abdul Qais dengan sabdanya: "Sesungguhnya pada dirimu ada dua perangai yang dicintai Allah iaitu sifat lemah lembut (sabar) dan ketenangan (tidak tergesa-gesa)." (Hadis Riwayat Muslim).

Antara akhlak Rasulullah s.a.w. yang hebat ialah sifatnya yang lemah-lembut dan pemaaf. Selain daripada menunjukkan keperibadian mulia dan kesopanan seseorang, sifat lemah-lembut dan pemaaf juga sebenarnya dapat melunakkan hati yang keras, juga boleh menundukkan manusia yang kasar dan akhirnya menimbulkan rasa hormat pada diri. Sifat lemah-lembut dan pemaaf juga boleh menunjukkan dan menyatakan pendirian yang tegas demi menegakkan kebenaran tetapi pada masa yang sama tidak bertolak ansur terhadap kemungkaran dan kekufuran. Allah swt telah mengajar baginda Rasulullah untuk bersikap pemaaf dan berlembut semasa berurusan dengan orang lain. Firman Allah dalam Surah Ali 'Imran ayat 159 bermaksud:

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari sekelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakkal kepadaNya".

Rasulullah saw bersifat lemah-lembut dalam pertuturan, pergaulan dan tindakan. Sifat mulia yang dipamerkan oleh Rasulullah ini menyebabkan ramai golongan musyrikin tertarik kepada ajaran Islam. Orang yang berhati keras dan menentang dakwah berubah menjadi seorang yang beriman dan cinta kepada Allah dan RasulNya setelah mengenali peribadi luhur junjungan nabi Muhammad saw ini.

Pernah suatu ketika, seorang musyrik telah menghunuskan pedangnya kepada Rasulullah seraya bertanya, 'siapakah yang dapat melindungi engkau daripada aku membunuhmu sekarang?'. Lalu jawab Rasulullah, 'Allah yang melindungi aku daripada sebarang tindakan jahat engkau'. Setelah mendengar jawapan Rasulullah itu, pedang yang berada pada tangan lelaki tersebut tiba-tiba terjatuh menyebabkan lelaki tersebut tergamam dan tidak dapat berbuat apa-apa. Lantas Rasulullah mengambil pedang itu, seraya bertanya: 'siapakah pula yang akan melindungi engkau?'. Lelaki itu sambil terketar-ketar menjawab, 'kemaafanmulah sahaja yang dapat melindungiku'. Setelah Rasulullah memaafkan perbuatan lelaki itu dan melayannya dengan baik, maka lelaki tersebut begitu tertarik dengan dengan sikap pemaaf dan akhlak yang ditonjolkan oleh Rasulullah, lantas memeluk Islam.

Rasulullah saw selalu memaafkan kesalahan yang dilakukan terhadap baginda. Nabi Muhammad saw tidak pernah menyimpan perasaan dendam kepada orang lain walaupun terhadap musuh yang sentiasa menghalang dakwah baginda. Sebaliknya, baginda sentiasa berdoa agar mereka dikurniakan hidayah untuk menerima ajaran Islam yang suci murni. Firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 199, bermaksud: 'Jadilah engkau pemaaf dan serulah (manusia) mengerjakan yang makruf (baik) dan berpalinglah dari orang-orang yang bodoh.' Ketika turun ayat tersebut, Rasulullah saw bertanya kepada Malaikat Jibril. ''Apakah maksud ayat ini, wahai Jibril?'' Jibril menjawab, ''Sesungguhnya Allah menyuruhmu memaafkan orang yang telah menzalimimu, dan bersilaturahim kepada orang yang memutuskan hubungan denganmu".

Ketika golongan Thaqif di Ta’if menolak mentah-mentah dakwah dan seruan nabi kepada Islam, baginda tetap bersabar dan menadah tangan berdoa pada Allah: ‘Ya Allah, kepada Engkau aku mengadu keda’ifan tenagaku…..' (Rujuk Fiqh al-Sirah, oleh Syeikh Dr Said Ramadhan al-Buti). Dalam pada itu, Rasulullah saw juga berdoa agar generasi mereka menerima hidayah Islam dengan sabda baginda: ‘Bahkan apa yang aku mahu ialah moga Allah mengeluarkan daripada sulbi mereka (anak cucu mereka) golongan yang mengabdikan diri kepada Allah Yang Maha Esa, dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu’. (Sila rujuk kitab Muhammad al-Insan al-Kamil, oleh al-Sayyid Muhammad Bin al-Sayyid ‘Alawi al-Maliki).

Pada hari pembukaan Kota Makkah, Abu Sufyan memeluk Islam bersama isterinya Hindun Binti 'Utbah. Walaupun pasangan suami isteri ini pernah menjadi penentang dakwah Islam dengan begitu kuat, namun Rasulullah saw menerima keIslaman mereka serta memaafkan perbuatan mereka bersama orang Quraisy yang lain. Rasulullah saw telah mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai kepada musyrikin Makkah yang pernah memusuhi baginda. Rasulullah saw berkata pada hari pembukaan kota Makkah: 'Apakah yang kamu sangka aku akan lakukan terhadap kamu sekarang ini?'. Mereka menjawab, 'kami bersangka baik terhadap tuan, engkau orang yang mulia dan putera kepada orang yang mulia'. Lalu Rasulullah saw bersabda: "Pergilah…kamu semua dibebaskan!".

Rasulullah saw juga telah memaafkan Hubur bin Aswad, seorang yang terkenal memusuhi Islam dan banyak menyakiti hati kaum Muslimin. Bahkan dia juga pernah menyakiti puteri Rasulullah saw yang bernama Zainab iaitu apabila unta yang dinaiki oleh Zainab dalam perjalanan ke Madinah telah dipanah oleh Hubur sehingga menyebabkan unta itu jatuh lalu mati. Zainab yang pada ketika itu sedang mengandung terhumban dari atas unta menyebabkannya keguguran. Namun setelah itu, iaitu pada peristiwa pembukaan kota Makkah, Rasulullah memaafkan Hubur apabila beliau menemui Rasulullah untuk memohon maaf daripada baginda dan seterusnya menjadi pengikut agama Islam. Begitulah hebatnya akhlak yang dipamerkan oleh Rasulullah saw.

Firman Allah swt dalam Surah al-Syura ayat 43 maksudnya : "Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya)".

Firman Allah lagi dalam surah Ali 'Imran ayat 133-134 bermaksud: "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa; Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara-perkara yang baik".

Isu Palestin Tanggungjawab Bersama


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ust Shauqi)

Apabila bangun sahaja daripada tidur dan setelah selesai menunaikan solat Subuh, kita sudah membayangkan apakah sarapan untuk diambil pada pagi itu...roti canai, nasi lemak, bihun goreng dan sebagainya. Berbeza sekali dengan saudara kita di Palestin yang apabila bangun sahaja daripada tidur, fikiran terus tertumpu kepada usaha untuk menyelamatkan diri daripada terus dibelenggu kekejaman tentera zionis Israel. Ketika kita sedang enak bersarapan pagi dengan roti canai dan teh tarik di warung-warung dan restoran-restoran di Malaysia, saudara kita di Palestin pula sedang bertarung nyawa untuk mendapatkan ’sesuap roti’. Inilah gambaran fenomena yang berlaku di Palestin apabila saban hari hak mereka dirampas, dizalimi dan dianiayai daripada rejim zionis Israel dan proksinya Amerika Syarikat.

Baru-baru ini saya berkesempatan menemubual Mufti Besar al-Quds dan Palestin yang juga merangkap khatib Masjid Aqsa dan Pengerusi Majlis Fatwa Palestin iaitu Sheikh Muhammad Ahmad Husain. Beliau ditemani oleh seorang pegawai dari Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur. Beliau yang baharu dua tahun menjawat jawatan tersebut melahirkan kesedihan dan kekecewaan terhadap kekejaman rejim zionis Israel yang saban hari bertindak membunuh umat Islam di Palestin yang tidak berdosa. Malahan rejim zionis itu juga meneruskan kezaliman mereka dengan merampas tanah-tanah orang Palestin. Ikuti ringkasan temubual saya dengan beliau:

S: Bagaimanakah keadaan di Palestin sekarang ini?

J: Sebagaimana yang saudara ketahui, keadaan di Palestin amat menyedihkan iaitu saban hari berhadapan dengan kekejaman dari pihak rejim zionis Israel. Bahkan boleh dikatakan bahawa setiap hari terdapat rakyat palestin yang dibunuh oleh tentera rejim. Kehidupan sangat sulit dan mencabar. Boleh dikatakan setiap hari ada masalah.

S: Selain daripada membunuh dan menzalimi penduduk Palestin, apakah lagi tindakan kejam yang dibuat oleh rejim zionis Israel?

J: Selain daripada pembunuhan dan kekejaman itu, rejim zionis juga masih meneruskan usaha mengorek bawah tanah Masjid al-Aqsa kononnya untuk mencari Haikal Sulaiman sehingga menyebabkan struktur masjid dan bangunan-bangunan berhampiran semakin goyah. Memang itu yang mereka kehendaki...iaitu meruntuhkan Masjid al-Aqsa!.

S: Bagaimana pula dengan persengketaan di antara Hamas dan Fatah...apakah ia merumitkan lagi keadaan di Palestin?

J: Kita amat mengharapkan agar mereka dapat duduk berbincang demi mewujudkan perpaduan dalam kalangan umat Islam Palestin. Musuh kita ialah bukan sesama Islam, tapi yang jelasnya ialah musuh kita ialah rejim zionis Israel yang merupakan penceroboh dan yang bertindak zalim.

S: Apakah benar Hamas dan Fatah boleh duduk semeja berunding?

J: Insya allah, kita yakin boleh. Kalau tidak hari ini...esok, dan kalau bukan esok...lusa. Sebab kita tidak ada pilihan dan tidak cara lain lagi melainkan kita mesti bersatu. Pensengketaan dan peperangan sesama kita hanya akan merugikan kita sendiri, dan keadaan ini akan diambil kesempatan oleh rejim zionis untuk terus mencengkam kuasanya ke atas umat Islam Palestin. Oleh itu, saya memang mengharapkan agar persengketaan dan perselisihan sesama kita dapat diselesaikan di meja rundingan dan perbincangan secepat mungkin.

S: Apakah peranan mufti dalam hal ini iaitu usaha untuk menyatu-padukan umat Islam di Palestin?

J: Sebagai mufti, saya menjalankan peranan saya ke arah mewujudkan perpaduan dalam kalangan umat Islam dan rakyat di Palestin. Pihak kita juga berperanan menerangkan tentang hukum syara’ yang perlu dipatuhi oleh umat Islam dalam menangani kemelut dengan tentera zionis Israel. Oleh itu, mereka yang melakukan kesilapan hendaklah kembali ke pangkal jalan dengan menginsafi kesilapan yang telah dibuat dan hendaklah berusaha berbincang dengan harmoni dan baik dalam usaha mengatasi masalah dan kemelut yang melanda. Selain itu, pihak kami juga menyeru ke arah perpaduan umat Palestin ini melalui khutbah-khutbah Jumaat, di corong-corong radio dan melalui internet. Laman sesawang kami boleh dilayari di: www.darifta.org

S: Bagaimana pula dengan penduduk selain daripada orang Islam yang mendiami di Palestin. Adakah mereka turut menentang tentera rejim zionis Israel?

J: Di Palestin, penghormatan dan kerjasama turut diberikan kepada golongan bukan Islam. Sebagai warganegara, penduduk Palestin yang terdiri daripada pelbagai agama bersatu dalam menentang penjajahan Israel. Kami bukan membenci orang Yahudi disebabkan dia Yahudi, tetapi kami benci terhadap usaha penjajahan mereka terhadap rakyat dan bumi Palestin.

S: Bagaimanakah pula negara-negara Arab yang tinggal berjiran dengan Palestin, apakah mereka memberikan sebarang bantuan kepada Palestin dan rakyatnya?

J: Ya, sudah tentu!. Negara-negara Arab seperti Mesir, Jordan dan lain-lain lagi memang banyak memberikan bantuan kepada rakyat Palestin. Bukan itu sahaja, malahan negara-negara bukan Arab pun turut terlibat dalam memberikan bantuan kepada rakyat Palestin termasuklah Malaysia.

S: Melihat kepada pelbagai sekatan yang dikenakan terhadap Gaza, bagaimanakah cara sumbangan atau bantuan itu dapat disalurkan kepada penduduk Gaza?

J: Sumbangan yang diberikan kepada penduduk Gaza akan disalurkan melalui Mesir dan Jordan. Malahan pelbagai pertubuhan turut sama membantu untuk memastikan bantuan itu sampai kepada penduduk seperti yang diusahakan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah, wakil Pertubuhan Bangsa Bersatu dan lain-lain.

S: Pada pandangan mufti, apakah Yahudi dapat diusir keluar daripada bumi Palestin?

J: Semuanya bergantung pada kekuasaan Allah. Kalau dikehendaki Allah, maka Yahudi akan dapat diusir daripada bumi Palestin. Akan tetapi secara realitinya sekarang ini, mengusir Yahudi dari bumi Palestin seakan suatu perkara yang mustahil. Hal ini kerana tidak wujudnya keseimbangan dari sudut kekuatan dan kelengkapan ketenteraan di antara Israel dan Palestin. Boleh dikatakan bahawa kekuatan tentera Palestin adalah ’kosong’, manakala ketenteraan dan kekuatan Israel pada waktu ini amat hebat, sehinggakan mereka bukan sahaja dapat meranapkan Palestin, bahkan dapat menentang kesemua negara-negara Arab yang berjiran dengan Palestin. Di samping itu, keadaan dunia umat Islam yang agak ’tenat’ dan ’sakit’ pada zaman ini memberikan lagi kelebihan kepada Israel dalam menghadapi umat Islam sejagat. Oleh itu, umat Islam tidak boleh membuang masa begitu sahaja, sebaliknya hendaklah bekerja dengan lebih gigih dan kuat sebagaimana yang dikehendaki di dalam ajaran Islam.

S: Akhir sekali, apakah harapan dan nasihat mufti kepada umat Islam?

J: Saya ingin mengajak umat Islam bukan sahaja di Palestin, bahkan umat Islam keseluruhannya untuk berpegang teguh dengan ajaran Islam. Sama-samalah kita memahami isi kandungan ajaran Islam agar kita dapat mempraktikkannya dalam kehidupan kita. Janganlah kita menjadi golongan yang ekstrem dan pelampau yang hanya akan merugikan umat Islam itu sendiri. Umat Islam hendaklah belajar dan memahami Islam dengan baik serta berpegang teguh dengan ajaran Islam yang mulia ini agar memperoleh keredaan dan pertolongan Allah swt. Faham Islam, segalanya akan menjadi mudah, Insya allah.

Salam Dari Kaherah, Mesir



Saya berada di Kaherah, Mesir dari 2 Julai 2008 hingga 7 Julai 2008. Seperti biasa Kota Kaherah merupakan bandar yang penuh sesak dengan manusia, kenderaan dan sebagainya. Penduduk Kaherah sahaja hampir menyamai seluruh penduduk Malaysia... so bayangkanlah betapa sesaknya di sini. Kesempatan berada di Kaherah dapat digunakan untuk mencari buku-buku yang dijual di pelbagai kedai buku yang tidak terdapat di Malaysia dan dengan harga yang murah. Di sini juga terletaknya Universiti Azhar yang telah melahirkan ulama' seluruh dunia sejak berabad lamanya. Di sini juga terdapat kilang kristal yang dikatakan bahawa ia adalah yang ketiga terbesar di dunia. Sesuatu yang agak popular di musim panas di Kaherah ialah jus mangga dan air tebu di samping jus buah-buahan yang lain.

Orang Inggeris Lemah Matematik


Mengikut maklumat yang diterima, 'orang putih' amat lemah matematik dan mereka tidak suka belajar matematik. Oleh itu, silibus matematik yang mereka belajar di sekolah menengah menyamai dengan silibus matematik yang dipelajari di sekolah-sekolah rendah di Malaysia. Sehubungan dengan itu, mereka yang mempunyai sijil akaun amat laku di UK. Jadi, siapa-siapa yang teringin nak jadi akauntan di UK.. peluang pekerjaan ini amat cerah dan mendatangkan gaji yang lumayan!.

Oxford University, UK

Birmingham University, UK

Lampeter University, UK

Aston University, UK

Loughborough University, UK

Nottingham University, UK

Sunday, July 6, 2008

Universiti UK Yang Sempat Dilawati

Antara universiti di UK yang sempat dilawati sepanjang berada di sana dari 22 Jun 2008 hingga 2 Julai 2008 ialah Oxford University, Birmingham University, Aston University, Loughborough University, Lampeter University dan Nottingham University.