Ajaran Islam telah mengharamkan perbuatan membunuh diri. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang membunuh diri dengan besi di tangannya, dia (akan) menikam perutnya di dalam neraka jahannam, (dan) dikekalkan di dalamnya selama-lamanya. Dan barangsiapa yang meminum racun lalu membunuh diri dengannya, maka dia (akan) meminumnya perlahan-lahan di dalam neraka jahannam yang kekal, (dan) dikekalkan di dalamnya selama-lamanya. Dan barangsiapa yang membunuh diri dengan menjatuhkan dirinya dari atas gunung, dia akan jatuh ke dalam neraka jahannam yang kekal (dan) dikekalkan di dalamnya selama-lamanya."
Dalam hadis yang lain pula, nabi saw telah menyatakan bahawa : ”Barangsiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu di dunia, maka dia akan disiksa dengan (alat tersebut) pada hari kiamat” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Sehubungan dengan itu, para ulama’ bersependapat bahawa perbuatan membunuh diri merupakan sesuatu yang haram dan berdosa besar. Antaranya ialah fatwa yang telah dikeluarkan oleh Syeikh Ibn ’Uthaimin: ”bunuh diri secara sengaja dengan sebab apapun, adalah diharamkan dan termasuk dosa yang paling besar”.
Kalau membunuh diri sendiri pun diharamkan, maka apatah lagi membunuh orang lain. Perbuatan membunuh orang lain jelas dilarang dan diharamkan di dalam Islam melalui firman Allah dalam surah al-Ma’idah ayat 32, yang bermaksud: “…barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan dimuka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia…”. Dalam ayat ini, Allah SWT dengan jelas menghargai semua jiwa manusia. Membunuh manusia tanpa kebenaran sangat dibenci Allah SWT sehingga Allah menganggapnya sebagai kejahatan terhadap seluruh umat manusia.
Ada orang bertanya tentang jenazah orang yang membunuh diri apakah ia wajar dikebumikan ditanah perkuburan Islam? Jawapannya Ya... jenazah tersebut tetap disemadikan di tanah perkuburan Islam kerana orang yang membunuh diri itu masih dianggap Islam selagi tidak ada tanda-tanda bahawa beliau telah murtad atau telah keluar daripada agama Islam.
No comments:
Post a Comment