Oleh
Apabila bangun sahaja daripada tidur dan setelah selesai menunaikan solat Subuh, kita sudah membayangkan apakah sarapan untuk diambil pada pagi itu...roti canai, nasi lemak, bihun goreng dan sebagainya. Berbeza sekali dengan saudara kita di Palestin yang apabila bangun sahaja daripada tidur, fikiran terus tertumpu kepada usaha untuk menyelamatkan diri daripada terus dibelenggu kekejaman tentera zionis Israel. Ketika kita sedang enak bersarapan pagi dengan roti canai dan teh tarik di warung-warung dan restoran-restoran di Malaysia, saudara kita di Palestin pula sedang bertarung nyawa untuk mendapatkan ’sesuap roti’. Inilah gambaran fenomena yang berlaku di Palestin apabila saban hari hak mereka dirampas, dizalimi dan dianiayai daripada rejim zionis Israel dan proksinya Amerika Syarikat.
Baru-baru ini saya berkesempatan menemubual Mufti Besar al-Quds dan Palestin yang juga merangkap khatib Masjid Aqsa dan Pengerusi Majlis Fatwa Palestin iaitu Sheikh Muhammad Ahmad Husain. Beliau ditemani oleh seorang pegawai dari Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur. Beliau yang baharu dua tahun menjawat jawatan tersebut melahirkan kesedihan dan kekecewaan terhadap kekejaman rejim zionis Israel yang saban hari bertindak membunuh umat Islam di Palestin yang tidak berdosa. Malahan rejim zionis itu juga meneruskan kezaliman mereka dengan merampas tanah-tanah orang Palestin. Ikuti ringkasan temubual saya dengan beliau:
S: Bagaimanakah keadaan di Palestin sekarang ini?
J: Sebagaimana yang saudara ketahui, keadaan di Palestin amat menyedihkan iaitu saban hari berhadapan dengan kekejaman dari pihak rejim zionis Israel. Bahkan boleh dikatakan bahawa setiap hari terdapat rakyat palestin yang dibunuh oleh tentera rejim. Kehidupan sangat sulit dan mencabar. Boleh dikatakan setiap hari ada masalah.
S: Selain daripada membunuh dan menzalimi penduduk Palestin, apakah lagi tindakan kejam yang dibuat oleh rejim zionis Israel?
J: Selain daripada pembunuhan dan kekejaman itu, rejim zionis juga masih meneruskan usaha mengorek bawah tanah Masjid al-Aqsa kononnya untuk mencari Haikal Sulaiman sehingga menyebabkan struktur masjid dan bangunan-bangunan berhampiran semakin goyah. Memang itu yang mereka kehendaki...iaitu meruntuhkan Masjid al-Aqsa!.
S: Bagaimana pula dengan persengketaan di antara Hamas dan Fatah...apakah ia merumitkan lagi keadaan di Palestin?
J: Kita amat mengharapkan agar mereka dapat duduk berbincang demi mewujudkan perpaduan dalam kalangan umat Islam Palestin. Musuh kita ialah bukan sesama Islam, tapi yang jelasnya ialah musuh kita ialah rejim zionis Israel yang merupakan penceroboh dan yang bertindak zalim.
S: Apakah benar Hamas dan Fatah boleh duduk semeja berunding?
J: Insya allah, kita yakin boleh. Kalau tidak hari ini...esok, dan kalau bukan esok...lusa. Sebab kita tidak ada pilihan dan tidak cara lain lagi melainkan kita mesti bersatu. Pensengketaan dan peperangan sesama kita hanya akan merugikan kita sendiri, dan keadaan ini akan diambil kesempatan oleh rejim zionis untuk terus mencengkam kuasanya ke atas umat Islam Palestin. Oleh itu, saya memang mengharapkan agar persengketaan dan perselisihan sesama kita dapat diselesaikan di meja rundingan dan perbincangan secepat mungkin.
S: Apakah peranan mufti dalam hal ini iaitu usaha untuk menyatu-padukan umat Islam di Palestin?
J: Sebagai mufti, saya menjalankan peranan saya ke arah mewujudkan perpaduan dalam kalangan umat Islam dan rakyat di Palestin. Pihak kita juga berperanan menerangkan tentang hukum syara’ yang perlu dipatuhi oleh umat Islam dalam menangani kemelut dengan tentera zionis Israel. Oleh itu, mereka yang melakukan kesilapan hendaklah kembali ke pangkal jalan dengan menginsafi kesilapan yang telah dibuat dan hendaklah berusaha berbincang dengan harmoni dan baik dalam usaha mengatasi masalah dan kemelut yang melanda. Selain itu, pihak kami juga menyeru ke arah perpaduan umat Palestin ini melalui khutbah-khutbah Jumaat, di corong-corong radio dan melalui internet. Laman sesawang kami boleh dilayari di: www.darifta.org
S: Bagaimana pula dengan penduduk selain daripada orang Islam yang mendiami di Palestin. Adakah mereka turut menentang tentera rejim zionis Israel?
J: Di Palestin, penghormatan dan kerjasama turut diberikan kepada golongan bukan Islam. Sebagai warganegara, penduduk Palestin yang terdiri daripada pelbagai agama bersatu dalam menentang penjajahan Israel. Kami bukan membenci orang Yahudi disebabkan dia Yahudi, tetapi kami benci terhadap usaha penjajahan mereka terhadap rakyat dan bumi Palestin.
S: Bagaimanakah pula negara-negara Arab yang tinggal berjiran dengan Palestin, apakah mereka memberikan sebarang bantuan kepada Palestin dan rakyatnya?
J: Ya, sudah tentu!. Negara-negara Arab seperti Mesir, Jordan dan lain-lain lagi memang banyak memberikan bantuan kepada rakyat Palestin. Bukan itu sahaja, malahan negara-negara bukan Arab pun turut terlibat dalam memberikan bantuan kepada rakyat Palestin termasuklah Malaysia.
S: Melihat kepada pelbagai sekatan yang dikenakan terhadap Gaza, bagaimanakah cara sumbangan atau bantuan itu dapat disalurkan kepada penduduk Gaza?
J: Sumbangan yang diberikan kepada penduduk Gaza akan disalurkan melalui Mesir dan Jordan. Malahan pelbagai pertubuhan turut sama membantu untuk memastikan bantuan itu sampai kepada penduduk seperti yang diusahakan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah, wakil Pertubuhan Bangsa Bersatu dan lain-lain.
S: Pada pandangan mufti, apakah Yahudi dapat diusir keluar daripada bumi Palestin?
J: Semuanya bergantung pada kekuasaan Allah. Kalau dikehendaki Allah, maka Yahudi akan dapat diusir daripada bumi Palestin. Akan tetapi secara realitinya sekarang ini, mengusir Yahudi dari bumi Palestin seakan suatu perkara yang mustahil. Hal ini kerana tidak wujudnya keseimbangan dari sudut kekuatan dan kelengkapan ketenteraan di antara Israel dan Palestin. Boleh dikatakan bahawa kekuatan tentera Palestin adalah ’kosong’, manakala ketenteraan dan kekuatan Israel pada waktu ini amat hebat, sehinggakan mereka bukan sahaja dapat meranapkan Palestin, bahkan dapat menentang kesemua negara-negara Arab yang berjiran dengan Palestin. Di samping itu, keadaan dunia umat Islam yang agak ’tenat’ dan ’sakit’ pada zaman ini memberikan lagi kelebihan kepada Israel dalam menghadapi umat Islam sejagat. Oleh itu, umat Islam tidak boleh membuang masa begitu sahaja, sebaliknya hendaklah bekerja dengan lebih gigih dan kuat sebagaimana yang dikehendaki di dalam ajaran Islam.
S: Akhir sekali, apakah harapan dan nasihat mufti kepada umat Islam?
J: Saya ingin mengajak umat Islam bukan sahaja di Palestin, bahkan umat Islam keseluruhannya untuk berpegang teguh dengan ajaran Islam. Sama-samalah kita memahami isi kandungan ajaran Islam agar kita dapat mempraktikkannya dalam kehidupan kita. Janganlah kita menjadi golongan yang ekstrem dan pelampau yang hanya akan merugikan umat Islam itu sendiri. Umat Islam hendaklah belajar dan memahami Islam dengan baik serta berpegang teguh dengan ajaran Islam yang mulia ini agar memperoleh keredaan dan pertolongan Allah swt. Faham Islam, segalanya akan menjadi mudah, Insya allah.
No comments:
Post a Comment