Monday, July 7, 2008

Sikap Pemaaf dan Lemah-Lembut Rasulullah: Pemangkin Ke arah Kecemerlangan Dakwah Islam


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ust Shauqi)

Sikap pemaaf dan lemah-lembut (bersopan-santun) merupakan satu sikap yang amat luhur dan murni serta memberikan banyak kebaikan. Tiada ruginya memaafkan kesalahan orang lain walaupun nyata mereka bersalah. Namun, apabila seseorang itu mempunyai hati yang keras dan penuh dendam, maka amat sukar sekali untuk memaafkan orang lain. Contoh pemaaf dan lemah-lembut yang dipamerkan oleh Rasulullah saw merupakan suatu sifat yang sepatutnya dicontohi oleh setiap generasi umat Islam.

Melatih diri untuk memiliki akhlak seumpama ini dapat dimulai dengan menahan diri ketika marah dan mempertimbangkan baik buruknya sesuatu perkara sebelum bertindak. Ini kerana setiap manusia tidak pernah terpisah daripada masalah dalam hidup, jika ia tidak membekalkan dirinya dengan akhlak ini, nescaya ia akan gagal untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi. Hebatnya sifat lemah-lembut dapat dilihat melalui pujian Rasulullah terhadap sahabatnya Asyaj Abdul Qais dengan sabdanya: "Sesungguhnya pada dirimu ada dua perangai yang dicintai Allah iaitu sifat lemah lembut (sabar) dan ketenangan (tidak tergesa-gesa)." (Hadis Riwayat Muslim).

Antara akhlak Rasulullah s.a.w. yang hebat ialah sifatnya yang lemah-lembut dan pemaaf. Selain daripada menunjukkan keperibadian mulia dan kesopanan seseorang, sifat lemah-lembut dan pemaaf juga sebenarnya dapat melunakkan hati yang keras, juga boleh menundukkan manusia yang kasar dan akhirnya menimbulkan rasa hormat pada diri. Sifat lemah-lembut dan pemaaf juga boleh menunjukkan dan menyatakan pendirian yang tegas demi menegakkan kebenaran tetapi pada masa yang sama tidak bertolak ansur terhadap kemungkaran dan kekufuran. Allah swt telah mengajar baginda Rasulullah untuk bersikap pemaaf dan berlembut semasa berurusan dengan orang lain. Firman Allah dalam Surah Ali 'Imran ayat 159 bermaksud:

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari sekelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakkal kepadaNya".

Rasulullah saw bersifat lemah-lembut dalam pertuturan, pergaulan dan tindakan. Sifat mulia yang dipamerkan oleh Rasulullah ini menyebabkan ramai golongan musyrikin tertarik kepada ajaran Islam. Orang yang berhati keras dan menentang dakwah berubah menjadi seorang yang beriman dan cinta kepada Allah dan RasulNya setelah mengenali peribadi luhur junjungan nabi Muhammad saw ini.

Pernah suatu ketika, seorang musyrik telah menghunuskan pedangnya kepada Rasulullah seraya bertanya, 'siapakah yang dapat melindungi engkau daripada aku membunuhmu sekarang?'. Lalu jawab Rasulullah, 'Allah yang melindungi aku daripada sebarang tindakan jahat engkau'. Setelah mendengar jawapan Rasulullah itu, pedang yang berada pada tangan lelaki tersebut tiba-tiba terjatuh menyebabkan lelaki tersebut tergamam dan tidak dapat berbuat apa-apa. Lantas Rasulullah mengambil pedang itu, seraya bertanya: 'siapakah pula yang akan melindungi engkau?'. Lelaki itu sambil terketar-ketar menjawab, 'kemaafanmulah sahaja yang dapat melindungiku'. Setelah Rasulullah memaafkan perbuatan lelaki itu dan melayannya dengan baik, maka lelaki tersebut begitu tertarik dengan dengan sikap pemaaf dan akhlak yang ditonjolkan oleh Rasulullah, lantas memeluk Islam.

Rasulullah saw selalu memaafkan kesalahan yang dilakukan terhadap baginda. Nabi Muhammad saw tidak pernah menyimpan perasaan dendam kepada orang lain walaupun terhadap musuh yang sentiasa menghalang dakwah baginda. Sebaliknya, baginda sentiasa berdoa agar mereka dikurniakan hidayah untuk menerima ajaran Islam yang suci murni. Firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 199, bermaksud: 'Jadilah engkau pemaaf dan serulah (manusia) mengerjakan yang makruf (baik) dan berpalinglah dari orang-orang yang bodoh.' Ketika turun ayat tersebut, Rasulullah saw bertanya kepada Malaikat Jibril. ''Apakah maksud ayat ini, wahai Jibril?'' Jibril menjawab, ''Sesungguhnya Allah menyuruhmu memaafkan orang yang telah menzalimimu, dan bersilaturahim kepada orang yang memutuskan hubungan denganmu".

Ketika golongan Thaqif di Ta’if menolak mentah-mentah dakwah dan seruan nabi kepada Islam, baginda tetap bersabar dan menadah tangan berdoa pada Allah: ‘Ya Allah, kepada Engkau aku mengadu keda’ifan tenagaku…..' (Rujuk Fiqh al-Sirah, oleh Syeikh Dr Said Ramadhan al-Buti). Dalam pada itu, Rasulullah saw juga berdoa agar generasi mereka menerima hidayah Islam dengan sabda baginda: ‘Bahkan apa yang aku mahu ialah moga Allah mengeluarkan daripada sulbi mereka (anak cucu mereka) golongan yang mengabdikan diri kepada Allah Yang Maha Esa, dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu’. (Sila rujuk kitab Muhammad al-Insan al-Kamil, oleh al-Sayyid Muhammad Bin al-Sayyid ‘Alawi al-Maliki).

Pada hari pembukaan Kota Makkah, Abu Sufyan memeluk Islam bersama isterinya Hindun Binti 'Utbah. Walaupun pasangan suami isteri ini pernah menjadi penentang dakwah Islam dengan begitu kuat, namun Rasulullah saw menerima keIslaman mereka serta memaafkan perbuatan mereka bersama orang Quraisy yang lain. Rasulullah saw telah mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai kepada musyrikin Makkah yang pernah memusuhi baginda. Rasulullah saw berkata pada hari pembukaan kota Makkah: 'Apakah yang kamu sangka aku akan lakukan terhadap kamu sekarang ini?'. Mereka menjawab, 'kami bersangka baik terhadap tuan, engkau orang yang mulia dan putera kepada orang yang mulia'. Lalu Rasulullah saw bersabda: "Pergilah…kamu semua dibebaskan!".

Rasulullah saw juga telah memaafkan Hubur bin Aswad, seorang yang terkenal memusuhi Islam dan banyak menyakiti hati kaum Muslimin. Bahkan dia juga pernah menyakiti puteri Rasulullah saw yang bernama Zainab iaitu apabila unta yang dinaiki oleh Zainab dalam perjalanan ke Madinah telah dipanah oleh Hubur sehingga menyebabkan unta itu jatuh lalu mati. Zainab yang pada ketika itu sedang mengandung terhumban dari atas unta menyebabkannya keguguran. Namun setelah itu, iaitu pada peristiwa pembukaan kota Makkah, Rasulullah memaafkan Hubur apabila beliau menemui Rasulullah untuk memohon maaf daripada baginda dan seterusnya menjadi pengikut agama Islam. Begitulah hebatnya akhlak yang dipamerkan oleh Rasulullah saw.

Firman Allah swt dalam Surah al-Syura ayat 43 maksudnya : "Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya)".

Firman Allah lagi dalam surah Ali 'Imran ayat 133-134 bermaksud: "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa; Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara-perkara yang baik".

No comments:

Post a Comment