Followers

Saturday, August 30, 2008

Kemerdekaan - Bebas daripada jahiliah



Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

JALUR gemilang mulai dikibar tanda kebanggaan rakyat Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-51. Merdeka bererti bebas, bebas daripada penjajahan barat dan bebas daripada ideologi mereka. Dan yang lebih penting ialah bebas daripada `jahiliah'. Sambutan kemerdekaan tidak bermakna sekiranya rakyat umumnya, dan umat Islam khususnya tidak mempunyai semangat dan keazaman untuk mempertahankan negara daripada sebarang pencerobohan sama ada yang melibatkan pencerobohan mental atau fizikal.

Tanggungjawab mempertahankan negara adalah tanggungjawab semua. Ia tidak terhad kepada askar dan tentera sahaja. Sebaliknya, setiap warga sewajarnya dapat bersama-sama menggembleng tenaga mempastikan agar rakyat dan negara dapat hidup dalam keadaan aman sentosa. Apatah lagi pada hari ini, dunia yang dilihat begitu mudah bergolak menyebabkan setiap orang mesti berwaspada. Kita pernah menyaksikan tentera penceroboh Amerika Syarikat dan sekutunya dengan begitu kejam menyerang Iraq dan rakyatnya yang tidak berdosa. Sebelum itu, rakyat Afghanistan diganyang dengan sewenang-wenangnya. Apabila melihat kepada senario ini, kita sewajarnya menginsafi diri dan berusaha membuat persediaan untuk mempertahankan tanah air daripada sebarang ancaman yang boleh menggugat keamanan negara.

Maruah bangsa wajib dibela dan kesejahteraan negara perlu dipertahankan. Bagi mereka yang mempunyai semangat kepahlawanan tidak sanggup membiarkan negara terjajah kerana ia akan menjatuhkan maruah agama, bangsa dan negara yang tercinta. Semangat jihad dan kepahlawanan perlu ditanam di dalam setiap jiwa dan sanubari umat Islam agar perasaan sayangkan negara dan tanah air sentiasa membara. Berjihad untuk mempertahankan negara merupakan sifat yang mulia dan disanjung tinggi di sisi Allah. Firman Allah bermaksud: Tidaklah sama (keadaan) orang yang duduk (tidak berperang) dari kalangan orang yang beriman dengan orang yang berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwa mereka. Allah melebihkan orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang yang tinggal duduk dengan satu darjat (kelebihan). (An-Nisa': 95).

Ayat al-Quran tersebut memberi semangat kepada setiap umat Islam agar lebih berani berkorban dan yakin dengan janji-janji Allah. Mereka yang menegakkan keadilan, mempertahankan kesucian agama dan kedaulatan negara adalah berjihad di jalan Allah. Jika agama Islam dan negara diceroboh, maka menjadi kewajipan setiap individu mempertahankannya.

Untuk mempertahankan negara, kita mesti mempunyai kekuatan mental dan fizikal. Selain daripada memiliki kelengkapan pertahanan perlu juga kepada kerohanian yang mantap berteraskan sifat mahmudah dan keimanan kepada Allah, umpamanya melaksanakan segala perintah Allah, meninggalkan segala larangan-Nya, berdisiplin, amanah, jujur ikhlas dan sebagainya. Atas dasar inilah kedaulatan dapat dikekalkan dan akidah umat Islam terpelihara dan sentiasa berada dalam pemeliharaan Allah.

Oleh itu sebagai warga yang inginkan agama dan negara terpelihara maka kita perlu berganding bahu bersatu padu, bekerjasama dan membina ciri-ciri kepahlawanan dalam setiap diri. Umat Islam perlu mempunyai semangat dan ketahanan untuk mempertahankan negara. Negara tidak akan maju dan selamat sekiranya golongan muda dan tua berada dalam keadaan lemah. Generasi muda masa kini perlu dibina supaya mempunyai sifat-sifat kepahlawanan yang berkualiti. Negara juga akan menjadi lemah apabila budaya hedonisme dan hiburan yang keterlaluan menjadi amalan apatah lagi semasa menyambut perayaan ulangtahun kemerdekaan negara.

Setiap individu perlu menyumbangkan peranan masing-masing dalam mempertahankan keharmonian negara. Ketahanan negara akan tercapai apabila kita mempunyai kekuatan akidah, ekonomi yang mantap, gejala sosial yang sifar, di samping masyarakat yang bersatu padu demi mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan tanah air.

Pada zaman Rasulullah, kita dapat menyaksikan bagaimana setiap golongan terlibat dalam mempertahankan agama dan tanah air. Jihad pada zaman nabi bukan sahaja disertai oleh lelaki dewasa, akan tetapi golongan wanita dan kanak-kanak juga bersungguh-sungguh untuk bersama-sama menunaikan kewajipan mempertahankan agama dan negara. Telah diriwayatkan bahawa Abdullah bin Zubair ketika berumur tujuh tahun telah pergi ke rumah Rasulullah s.a.w. bersama rakan-rakan yang sebaya dengannya. Apabila berjumpa sahaja dengan Rasulullah, Abdullah dengan semangat kepahlawanan yang wujud dalam dirinya telah menyatakan dengan tegas: ``Kami datang kepadamu wahai Rasulullah adalah dengan satu tekad iaitu untuk sama-sama berjihad di jalan Allah.'' Begitulah semangat kanak-kanak pada zaman Rasulullah, walaupun baru berumur tujuh tahun, tetapi semangat untuk mempertahankan agama dan negara daripada dihancurkan oleh musuh-musuh Islam sentiasa berkobar-kobar di dalam sanubari dan jiwa. Selain daripada kanak-kanak, wanita-wanita Islam juga ingin turut serta dalam peperangan walaupun mereka tidak pernah diminta berbuat demikian. Ummu `Atiyyah berkata: ``Aku telah bersama-sama Rasulullah s.a.w. dalam tujuh peperangan. Semasa dalam peperangan, aku bertugas menyediakan makanan dan merawat tentera yang luka.'' Dalam Peperangan Uhud, Ummu Aiman bertindak membekalkan air kepada tentera-tentera Islam di samping merawat mereka yang luka. Begitulah semangat juang yang ada pada wanita zaman Rasulullah.

Mempertahankan kedaulatan agama dan negara amat besar ganjarannya di sisi Allah. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah yang bermaksud, daripada Mu'az r.a. daripada Nabi Muhammad s.a.w., baginda bersabda, Sesiapa yang berperang di jalan Allah walaupun sebentar iaitu sekadar masa orang memerah susu unta, maka wajib baginya syurga. Dan sesiapa yang bermohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh untuk berjihad kemudian dia mati atau dibunuh, maka sesungguhnya baginya balasan syahid. Dan sesiapa terluka di jalan Allah atau ditimpa kemalangan, maka dia datang pada Hari Kiamat sederas darah yang mengalir ketika luka, warnanya seperti za'faran dan baunya bagaikan wangi kasturi. (Riwayat Imam Abu Daud dan Tirmizi). Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda maksudnya: Sesungguhnya di dalam syurga itu ada seratus darjah yang disediakan Allah bagi orang yang berjihad pada jalan Allah. Di antara satu darjah dengan darjah yang lain seperti langit dan bumi. (Riwayat Imam Bukhari).

Sesungguhnya kejayaan dalam medan pertempuran atau pun dalam mempertahankan negara, tidak hanya terletak ramainya bilangan tentera serta kelengkapan peralatan yang canggih sahaja. Akan tetapi perlu juga kepada kekuatan dalaman iaitu kekuatan mental, jiwa dan rohani. Inilah sikap yang patut ada pada diri umat Islam. Kekuatan hakiki tentera Islam itu bukanlah terletak dari segi ramainya tentera atau kecanggihan peralatan perangnya sahaja tetapi bersumber daripada kekuatan iman dan ikhlas berjuang kerana Allah.

Jika diimbas kembali perjuangan Rasulullah dalam mempertahankan agama Islam, banyak perkara yang dapat dijadikan iktibar dan contoh. Antaranya seperti dalam peperangan Badar, angkatan tentera Islam yang bilangannya lebih kecil, hanya seramai tiga ratus tiga belas orang, dibandingkan dengan bilangan tentera musyrikin Mekah seramai seribu orang, tetapi dengan keimanan yang kuat, keikhlasan dalam berjihad dan banyak berdoa kepada Allah serta sentiasa berzikir dan bersatu hati dalam mempertahankan agama dan negara. Akhirnya tentera Islam dapat mengalahkan tentera musyrikin di dalam peperangan Badar tersebut, walau pun tentera musyrikin lebih ramai bilangannya disertai dengan kelengkapan senjata yang mencukupi. Apa yang lebih menakjubkan ialah bagaimana kekuatan keimanan yang wujud dalam sanubari umat Islam telah berjaya menghasilkan kejayaan dan kemenangan dalam Peperangan Mu'tah. Dalam peperangan tersebut, tentera Islam hanyalah berjumlah tiga ribu orang, akan tetapi mereka dapat menewaskan tentera musuh yang dibantu oleh Rom berjumlah dua ratus ribu orang.

Justeru, tanggungjawab mempertahankan negara mestilah diasaskan di atas keimanan kepada Allah. Mempertahankan negara bukan sahaja mempertahankan tanah dan bumi, akan tetapi kita berkewajipan mempertahankan negara daripada segala bentuk penjajahan ekonomi, budaya, pemikiran dan lain-lain. Untuk mempertahankan negara kita perlu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Ajaran yang menjadi teras kehidupan insan yang memiliki nilai hidup yang harmoni dengan berpandukan al-Quran dan sunah. Kita mampu menjana bangsa Malaysia yang bersatu, berwibawa dan luhur pekertinya.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab semua untuk mengamalkan Islam dalam kehidupan harian. Langkah pertama adalah dengan mencari sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran. Kedua, beramal dan melaksanakan pengetahuan tersebut secara total dan ketiga, menyebarkan ajaran Islam kepada orang lain untuk kesejahteraan sejagat.

Sehubungan itu, setiap individu Muslim sewajarnya mempunyai keazaman yang kental untuk memberikan sumbangan kepada agama, bangsa dan negara dengan memberikan komitmen yang padu untuk sama-sama mempertahankan agama, bangsa dan negara. Oleh yang demikian, setiap umat Islam mestilah berusaha menghayati ajaran Islam serta mempraktikkannya agar sumbangan yang diberikan kepada negara menjadi lebih bermakna. Apa yang penting juga ialah hendaklah menjauhi budaya Jahiliyyah agar kita benar-benar merdeka dengan ertikata yang sebenarnya.

Wednesday, August 27, 2008

Berhati-Hati Dengan Kurma Israel



Tidakkah Merdekakah Kita Tanpa Konsert?


Pada tanggal 31 Ogos 2008.. negara kita Malaysia yang tercinta akan menyambut ulangtahun hari kemerdekaan yang ke 51. Sebagaimana tahun-tahun yang lalu.. sambutan ulangtahun hari kemerdekaan negara akan disambut dengan penuh meriah di beberapa lokasi seperti KLCC , Dataran Merdeka dan sebagainya. Laungan merdeka akan bergema pada detik 12 malam 30 Ogos. Lagu-lagu patriotik akan didendangkan dengan penuh semangat tanda cinta kepada negara. Semangat seumpama ini memang diperlukan bagi membina warga yang cinta kepada tanahair. Namun, apa yang menjadi persoalannya ialah mengapakah konsert hiburan sudah menjadi acara 'wajib' ketika berlangsungnya sambutan kemerdekaan? Kalau setakat lagu-lagu patriotik ... tidaklah menjadi masalah... tetapi apa yang berlaku biasanya konsert yang diadakan itu adalah untuk hiburan semata-mata yang tidak ada nilai patriotik dan kecintaan kepada negara apatah lagi disusuli dengan berlakunya pergaulan bebas yang amat menggerunkan! Akhirnya... remaja serta muda-mudi kita tidak lagi menghayati perjuangan kemerdekaan sebaliknya bagi mereka kemerdekaan itu adalah hiburan dan berseronok semata-mata. Lalu Persoalannya... apakah sambutan kemerdekaan 'tidak jadi' kalau tiada konsert hiburan??

Sesuatu yang amat dikesali juga ialah sambutan kemerdekaan pada tahun ini akan dicemari pula dengan konsert artis import dari Kanada iaitu Avril Lavigne yang akan berlangsung pada hari Jumaat ini bersamaan 29 Ogos 2008. Apatah lagi di samping sambutan kemerdekaan, umat Islam akan menyambut pula kedatangan Ramadhan pada hari Isnin depan. Apakah persediaan menyambut Ramadhan perlu dihiasi dengan konsert yang melalaikan? Mengikut laporan BERNAMA... Konsert itu pada mulanya tidak diluluskan kerana tidak mematuhi prosedur memandangkan penganjur perlu mengemukakan permohonan tiga hari bekerja sebelum mesyuarat mingguan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal). Penganjur konsert bukan sahaja lewat mengemukakan permohonan iaitu pada 11 Ogos lepas, sehari sebelum mesyuarat Puspal, malahan membuat promosi terlebih dulu sebelum mengemukakan permohonan. Namun, pada minggu lepas, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Kabinet meluluskan konsert itu berdasarkan `budi bicara’.

KEPUTUSAN PILIHANRAYA KECIL PARLIMEN PERMATANG PAUH

Datuk Seri Anwar Ibrahim (KeADILan): 31,195 undi
Hanafi Mamat (AKIM): 92 undi
Datuk Arif Shah Omar Shah (BN): 15,524 undi

Jumlah mengundi: 47,258
Peratus keluar mengundi: 81 peratus
Undi rosak: 447 undi
Majoriti: 15,671 undi

Penyandang: Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail (KeADILan)
Undi diperolehi 8 Mac 2008: 30,348
Majoriti: 13,398 undi

Renungkanlah...


Dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh al-Daylami, daripada Anas bahawa nabi saw bersabda:

يأتي على الناس زمان لا تطاق المعيشة فيهم إلا بالمعصية حتى يكذب الرجل ويحلف فإذا كان ذلك الزمان فعليكم بالهرب قيل يا رسول الله وإلى أين المهرب قال إلى الله وإلى كتابه وإلى سنة نبيه‏

Maksudnya: "akan datang kepada manusia suatu zaman di mana tidak akan mampu untuk mendapatkan penghidupan dalam kalangan mereka kecuali dengan melakukan maksiat sehingga seseorang itu sanggup berdusta dan bersumpah. Apabila telah sampai zaman itu, maka hendaklah kamu lari, lalu ditanya kepada Rasulullah saw, wahai Rasulullah ke manakah tempat lari itu? Maka jawab Rasulullah saw: kepada Allah, kepada kitabNya dan kepada sunnah nabiNya".


Lafaz sumpah hanya lepas proses perundangan - Majlis Fatwa

Majlis Fatwa Kebangsaan berpendapat proses perundangan perlu berjalan terlebih dahulu sebelum lafaz sumpah laknat (muhabalah) dilakukan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan bahawa beliau diliwat oleh Penasihat Parti KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Bernama melaporkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam melakukan sumpah itu, ia perlu melibatkan kedua-dua pihak iaitu individu yang dituduh serta mereka yang menuduh dan ia tidak semestinya dilakukan hanya di masjid.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas dengan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan di sini hari ini, beliau berkata pendapat beberapa tokoh agama terhadap sumpah yang dilakukan baru-baru ini oleh Mohd Saiful berhubung dakwaannya terhadap Anwar itu, telah mengelirukan masyarakat dan ia harus menjadi pengajaran kepada pihak-pihak berkaitan dalam menangani isu seumpama itu pada masa akan datang.

"Kita (Majlis Fatwa Kebangsaan) merasakan bahawa proses perundangan harus berjalan dan muhabalah boleh mengambil tempat apabila proses perundangan itu sudah diselesaikan.

"Apa yang berlaku sekarang harus dijadikan pengajaran agar kedua-dua pihak dapat dibawa ke pengadilan dan apabila satu pihak merasakan bahawa dirinya tidak terbela atau teraniaya, maka muhabalah boleh dilakukan dengan melibatkan kedua-dua pihak berkenaan," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata rumusan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan itu bukan berpihak kepada mana-mana individu sebaliknya ia adalah untuk menegakkan kebenaran mengikut syariat Islam.

"Undang-undang Islam adil dan jangan harus khuatir memikirkan perbicaraan melalui perundangan dan muhabalah boleh dilakukan di mahkamah ataupun di luar mahkamah bergantung kepada keputusan yang akan dibuat.

"Kedua-dua pihak berkenaan mesti berada dalam situasi yang mengizinkan muhabalah atau sumpah itu dilakukan.

Tidak semestinya kedua-dua pihak itu berada pada satu tempat tetapi kedua-duanya mesti terlibat (melafaz sumpah)," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mempolitikkan atau memanipulasi isu berkenaan kerana sebarang persoalan mengenainya perlu dirujuk kepada ulama atau kitab-kitab agama.

Ditanya sama ada lafaz sumpah yang dilakukan oleh Mohd Saiful mengikut syariat, Ahmad Zahid menjelaskan apa yang dilakukan bekas pembantu peribadi Anwar itu adalah bagi membersihkan nama dan imejnya.

Beliau berkata tindakan Mohd Saiful bersumpah dengan memegang kitab suci al-Quran dan dilakukan dalam masjid adalah perkara-perkara teknikal yang tidak dipertikaikan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

"(Bagaimanapun) kita berpendapat apa yang telah berlaku dijadikan pengajaran untuk kes-kes akan datang," katanya.

Ahmad Zahid menasihatkan umat Islam supaya tidak melakukan lafaz sumpah sewenang-wenang termasuk terhadap perkara remeh-temeh dan menjadikan perbuatan itu sebagai satu trend.

Beliau berkata sebarang lafaz sumpah itu perlu dilakukan selepas proses perundangan berjalan kerana jika seseorang itu kerap berbuat demikian, sumpah tersebut tiada nilai dan orang ramai tidak akan mempercayainya


Tuesday, August 26, 2008

Monday, August 25, 2008

Persediaan Menyambut Ramadhan


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Pada tanggal hari Isnin minggu hadapan... Insya allah kita akan menyambut 1 Ramadhan. Apakah kita sudah bersedia untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan itu?

Ibadah puasa yang difardukan oleh Allah pada bulan Ramadhan mempunyai hikmah dan rahsia yang tersendiri, akan tetapi adakah umat Islam kini benar-benar menghayati falsafah dan rahsia puasa Ramadhan yang diwajibkan ini? Terdapat sebahagian umat Islam yang berasa gembira dengan kedatangan bulan Ramadhan hanya semata-mata kerana teringatkan juadah makanan yang beraneka jenis dan rupa. Ada pula yang langsung tidak menghiraukan usaha untuk mencari keberkatan Ramadhan, sebaliknya sibuk membuat persiapan untuk menyambut ketibaan hari raya. Bulan puasa belum lagi menjelma, tetapi persiapan hari raya sudah pun dibuat.

Sekiranya umat Islam pada hari ini menghayati falsafah dan hikmah di sebalik kewajipan berpuasa, nescaya setiap individu muslim akan membuat persediaan rapi menyambut kedatangan Ramadhan dan akan berlumba-lumba untuk memanfaatkan Ramadhan dengan sebaik mungkin, serta bulan Ramadhan akan menjadi bulan yang paling bermakna dalam hidupnya. Hanya orang yang kenal dengan kelebihan Ramadhan sahaja yang akan bersedia bila menjelangnya bulan yang mulia ini. Betapa besarnya fadhilat bulan Ramadhan ini dapat kita fahami daripada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud: "Apabila masuk bulan Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu semua iblis dan syaitan".

Puasa Ramadhan diwajibkan oleh Allah kepada umat Islam untuk melahirkan insan yang bertakwa sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183. Oleh itu, sewajarnya setiap individu muslim mengambil peluang yang luas yang telah disediakan oleh Allah pada bulan Ramadhan untuk mendidik diri kearah ketakwaan kepada Allah serta mendapat pengampunan daripadaNya. Untuk mempastikan agar mendapat ketakwaan, seseorang itu hendaklah membuat persiapan awal untuk berpuasa dengan 'cara yang sebenarnya' sebagaimana yang dikendaki oleh Islam, iaitu dengan berpuasa secara 'khusus al-khusus' seperti yang dijelaskan oleh Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali.

Puasa bukanlah setakat menahan perut daripada makan, minum dan melakukan hubungan seksual di antara suami isteri pada siang hari semata-mata, akan tetapi puasa yang mempunyai kualiti ialah puasa yang menyeluruh, termasuk menjaga pancaindera serta hati nurani daripada terjebak dalam sebarang unsur maksiat. Puasa sebeginilah yang akan menghasilkan ketakwaan kepada Allah. Setiap orang harus bertanya pada diri, mampukah dia melaksanakan puasa dengan cara sedemikian?. Sesuatu yang amat merugikan bagi sesiapa yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan tetapi tidak sampai terampun dosa-dosanya.

Pada suatu hari, Rasulullah menaiki mimbar (untuk berkhutbah), menginjak anak tangga pertama baginda mengucapkan 'amin', begitu pula pada anak tangga kedua dan ketiga. Selesai solat para sahabat bertanya, mengapa Rasulullah mengucapkan 'amin'? Lalu baginda menjawab, malaikat Jibril datang dan berkata: Suatu kerugian kepada seseorang yang bila namamu disebut, dia tidak mengucapkan solawat atasmu, lalu aku mengatakan amin. Kemudian malaikat berkata lagi, amat rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak sampai masuk syurga, lalu aku mengucapkan amin. Kemudian katanya lagi, amat rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan tetapi tidak sampai terampun dosa-dosanya, lalu aku mengucapkan amin. Hadith ini telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

Dalam kegembiraan menyambut puasa di bulan Ramadhan, kita seharusnya memahami dengan sejelas-jelasnya akan hakikat, rahsia dan falsafah puasa yang tersirat. Kefahaman ini bukan sahaja membantu kita menjalani ibadah, tetapi dapat menolong kita untuk menunaikan puasa dengan sempurna. Ibadah puasa melatih manusia supaya bersabar menghadapi kesusahan atau bencana, penderitaan dan juga cabaran-cabaran hidup. Di samping itu, puasa juga dapat melatih manusia menjadi insan yang beramanah kerana tanpanya puasa akan menjadi batal dan tidak sempurna.

Puasa juga dapat melahirkan perasaan insaf dan belas kasihan serta bertimbang rasa. Hanya orang yang berpuasa sahaja dapat memahami atau mengetahui kesengsaraan orang miskin yang lapar dan dahaga. Melalui keinsafan ini, diharapkan seseorang muslim itu agar sentiasa prihatin dan memberikan bantuan serta sumbangan kepada golongan yang tidak berkemampuan. Orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah, akan dapat membentuk jiwa yang bersih, dapat menahan nafsu daripada melakukan sifat-sifat tercela dan sebagainya.

Dr. Yusof al-Qaradhawi pula dalam bukunya 'al-'Ibadah fi al-Islam', telah menggariskan beberapa rahsia yang terdapat dalam amalan berpuasa. Antaranya ialah:

  1. Puasa dapat menguatkan roh dan jiwa. Seterusnya jiwa yang kuat dapat mengawal nafsu.
  2. Menyehatkan jasmani dan badan.
  3. Mendidik kearah melakukan kebaikan.
  4. Mengenal nilai nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada makhluk.
  5. Dapat merasai penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh orang lain.

Setelah mengetahui beberapa rahsia dan hikmah puasa Ramadhan, maka kita hendaklah mempersiapkan diri untuk menyambut kedatangannya dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Antara persiapan yang boleh dilakukan bagi menyambut kedatangan Ramadhan adalah seperti yang berikut:-

1. Mengulangi kembali ilmu yang berkaitan dengan puasa agar kita memasuki dan menjalani amalan puasa ini dengan pengetahuan dan pedoman yang baik dan sempurna. Ilmu mengenai puasa termasuklah yang rukun, syarat sah, syarat membatalkan puasa, perkara-perkara sunat, makruh, adab berpuasa dan sebagainya.

2. Membuat persiapan dari segi rohani dengan memperbanyakkan taubat kepada Allah dan bermaafan sesama manusia.

3. Memperbanyakkan doa agar Allah memberikan kesihatan, tenaga, kelapangan dan kesempatan mengerjakan puasa dan mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayahNya supaya kita dapat menunaikan puasa dengan hati yang jujur, tulus ikhlas dijauhi dari sifat riak, ujub dan daripada segala rupa penyakit hati yang menghilangkan pahala puasa.

4. Menguatkan semangat untuk melaksanakan puasa dengan sempurna agar kita memperoleh ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

5. Bersedia untuk memperbanyakkan amalan-amalan soleh dan amalan-amalan kebajikan di dalam bulan Ramadhan dengan melaksanakan amalan soleh sebaik mungkin di bulan Syaaban ini.

Wednesday, August 20, 2008

Perlunya Sifat Malu


Oleh: Ustaz Shauqi

Kecantikan agama Islam itu kerana ia dihiasi dengan akhlak dan keperibadian yang mulia. Rasulullah s.a.w pernah bersabda di dalam sebuah hadis إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak ". Seseorang individu muslim yang tinggi nilai akhlaknya akan dikagumi oleh rakan dan musuh. Berapa ramai yang jatuh cinta dengan Islam kerana tertarik dengan ajaran yang terdapat di dalam agama Islam. Islam merupakan suatu agama yang indah dan hanya orang yang celik mata dan terang hatinya sahaja yang dapat menilai keindahan tersebut.

Oleh itu, setiap umat Islam hendaklah menghiasi diri masing-masing dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji. Di antara sifat-sifat tersebut ialah sifat malu, merendah diri, sopan santun dan berbudi pekerti yang mulia. Walaupun setiap orang tahu akan kepentingan memiliki sifat-sifat tersebut sama ada untuk diri sendiri atau terhadap orang lain namun terdapat di kalangan umat Islam yang meminggirkan sifat-sifat tersebut demi menurut kehendak nafsu masing-masing.

Sekiranya generasi pada masa ini mengadaptasikan sifat malu di dalam diri masing-masing, sebarang gejala yang tidak sihat dapat dibendung. Apatah lagi, malu itu adalah sebahagian daripada iman الحياء من الإيمان . Sifat malu ini terbahagi kepada tiga. Pertama : malu kepada Allah. Kedua : malu kepada manusia dan yang ketiga malu kepada diri sendiri. Apabila seseorang itu malu kepada Allah,dia tidak akan sesekali melakukan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah kerana dia menyedari bahawa Allah sentiasa mengawasi gerak-gerinya. Seseorang itu akan melaksanakan segala perintah Allah dengan sebaiknya. Tidak akan berlaku pengabaian solat apabila mengenangkan azab yang amat pedih disediakan kepada orang yang ingkar akan suruhan Allah.

Begitu juga tentang tuntutan menutup aurat. Apabila seseorang itu ada sifat malu kepada Allah, manusia dan diri sendiri, dia tidak akan mengambil mudah persoalan menutup aurat. Kecantikan yang Allah anugerahkan kepada seseorang hendaklah dipelihara dengan sebaik-baiknya dan bukanlah untuk dipertontonkan dengan sewenang-wenangnya. Malangnya, terdapat dalam kalangan masyarakat kita yang berbangga dengan kelebihan yang dimiliki dan sanggup mendedahkannya untuk kepuasan diri sendiri walaupun perbuatan tersebut dicegah sama sekali oleh agama. Begitulah apabila manusia hilang sifat malunya maka terjadilah pelbagai perkara yang boleh menjatuhkan maruah umat Islam. Benarlah apa yang disabdakan oleh nabi : إذا لا تستحي فاصنع ما شئت yang bermaksud: “sekiranya engkau tidak malu, buatlah apa yang engkau suka”.

Dunia yang semakin maju bukanlah satu tiket untuk manusia mengenepikan tuntutan agama kerana Islam adalah agama yang sesuai untuk setiap masa dan ketika. Terdapat di kalangan umat Islam yang lebih mengutamakan penampilan diri sehingga sanggup mengabaikan tuntutan agama. Sebagai contohnya, para muslimah terlalu leka mengikuti perkembangan fesyen sehingga terdapat di kalangan mereka yang bertudung semata-mata kerana trend dan pemakaian tudung tersebut bukan didasarkan kepada kewajipan yang mesti mereka tunaikan. Agak malang lagi, mereka yang bertudung sanggup mencemarkan kesucian Islam apabila mereka tidak malu melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti merokok dan berpeleseran.

Malu merupakan sebahagian daripada iman. Di manakah letaknya keimanan seseorang muslim yang melakukan perbuatan-perbuatan yang dicegah oleh agama? Seseorang yang mempunyai tinggi sifat malunya akan terpelihara daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan keji.

Segala gejala yang tidak sihat yang melanda umat Islam pada masa kini adalah menjadi tanggungjawab kita bersama. Sikap suka menuding jari kepada pihak-pihak yang tertentu dan saling salah-menyalahkan di antara satu sama lain wajarlah dijauhi kerana itu bukan jalan penyelesaiannya. Setiap individu muslim hendaklah memainkan peranan masing-masing. Terapkanlah sifat malu ini dalam segenap kehidupan kita agar kita beroleh kecemerlangan di dunia dan akhirat.

Tanggungjawab Dakwah


Baru-baru ini ketika saya dalam penerbangan menuju ke London... saya sempat bersembang dengan penumpang yang duduk di sebelah saya. Beliau bersama 'group'nya baru sahaja hendak pulang ke England setelah membuat kerja 'kebajikan' di Rwanda selama dua minggu. Kerja 'kebajikan' mereka itu disokong kuat oleh pihak Gereja Kristian. Dia menyatakan kepada saya bahawa bila mereka balik...akan ada group lain pula silih berganti akan pergi ke sana membuat perkara-perkara 'kebajikan'. Pendakwah Kristian begitu gigih berdakwah ... apa sahaja ruang untuk berdakwah ke agama mereka ... mereka akan buat walau hanya dengan membantu orang susah...menziarahi orang sakit di hospital dan sebagainya. Mereka begitu gigih berdakwah sedangkan dakwah mereka itu adalah batil. Jadi, bagaimana pula dengan orang Islam yang berpegang dengan kebenaran ajaran Islam... mengapakah usaha dakwah amat sedikit sedangkan kewajipan dakwah terletak pada tanggung jawab semua orang. Sabda nabi saw bermaksud : 'Sampaikan daripadaku walau satu ayat'. Tapi berapa ramai daripada kita yang berusaha menyampaikan kebenaran dan mencegah kemungkaran? Sabda nabi saw bermaksud : "sesiapa sahaja daripada kamu yang melihat kemungkaran... hendaklah dia mengubahnya dengan tangan... lisan...hati..." Tetapi apakah kita mengikuti ajaran nabi saw ini? Umat Islam hendaklah berasa bertanggung jawab untuk menyampaikan kebenaran dan dakwah Islam walau di mana sahaja berada dan kepada sesiapa pun jua.

Thursday, August 14, 2008

Sejarah Ringkas Perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Islam

Oleh: Mohd Sukki Othman (Ust Shauqi)

Zaman Rasulullah merupakan zaman pertumbuhan dan zaman perletakan asas perundangan Islam. Perlaksanaan undang-undang pada zaman Rasulullah adalah hasil daripada wahyu dan perintah Allah secara langsung yang diturunkan kepada nabi melalui perantaraan Jibril as. Oleh yang demikian, zaman Rasulullah telah menghasilkan asas-asas perundangan yang lengkap.

Perlaksanaan undang-undang jenayah Islam pada zaman Rasulullah telah dikuatkuasa dan dilakukan oleh Rasulullah saw sendiri. Apabila sesuatu perlakuan jenayah berlaku, Rasulullah akan menunggu wahyu Allah sebelum dijatuhkan hukuman kepada penjenayah tersebut. Sekiranya wahyu tidak turun, Rasulullah akan berijtihad sendiri.

Sebagai contohnya, Anas Bin Malik telah meriwayatkan bahawa apabila bapa saudaranya menampar seorang hamba sahaya sehingga tercabut giginya, Rasulullah memerintahkan agar dilaksanakan hukuman qisas terhadap bapa saudaranya itu. Rasulullah juga dengan tegas menyatakan bahawa itulah sebenarnya hukuman daripada Allah ( Rujuk Abu Zuhrah, al-Jarimah wa al-‘Uqubah, jilid 1, ms 109).

Zaman Para Sahabat Rasulullah

Zaman ini bermula apabila wafatnya Rasulullah hinggalah berakhirnya abad pertama hijrah. Penguatkuasaan undang-undang Islam telah dilaksanakan dengan baik kerana para sahabat telah mengambil contoh teladan daripada Rasulullah dalam melaksanakan undang-undang jenayah Islam ini.

Sebagai contohnya, Saidina Abu Bakar al-Siddiq yang menjadi khalifah pertama dalam silsilah Khulafa’ al-Rasyiudin telah memerangi golongan yang enggan membayar zakat kerana keengganan mereka untuk membayar zakat bererti mereka menolak salah satu daripada komponen rukun Islam.

Zaman Tabi’en dan Imam-Imam Mujtahid

Zaman ini bermula pada awal abad kedua hijrah hinggalah kurun keempat hijrah. Pada zaman ini, kegiatan penulisan buku berjalan dengan aktif sekali. Pada zaman ini jugalah, dibukukan hadis-hadis, fatwa-fatwa, tafsir-tafsir al-Quran, fiqh, usul fiqh dan sebagainya. Zaman ini telah dianggap sebagai zaman keemasan dan kemajuan perundangan Islam. Antara faktor-faktor perkembangannya adalah seperti berikut:-

(a)- Kerajaan Islam bertambah luas.

(b)- Ahli perundangan dan fatwa menikmati kemudahan yang luas dalam kegiatan perundangan ekoran banyaknya sumber-sumber yang tersedia.

(c)- Lahirnya tokoh-tokoh perundangan Islam yang hebat seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi’e, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain lagi .

Pada zaman ini, perlaksanaan undang-undang jenayah Islam telah berkembang dengan pesat selari dengan perkembangan mazhab yang empat iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’ei dan Hanbali.

Malaysia Sebelum Merdeka

Sebelum kedatangan penjajah barat, undang-undang jenayah Islam telah pun dilaksanakan di Malaysia serta telah menjadi undang-undang dasar negara. Kenyataan ini berlandaskan kepada kewujudan Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Pahang, dan Undang-Undang Kedah (Lihat Mohd Azam Hamzah, 1986, Falsafah dan Prinsip Perundangan Islam, Kuala Lumpur, ms 177, dan M.B. Hooker, Undang-Undang Islam di Asia Tenggara (terj.), ms 10).

Hukum Kanun Melaka telah dilaksanakan sejak zaman kesultanan Melaka lagi, dan ia berdasarkan mazhab Syafie (Sila Rujuk Liew Yoke Fang, Undang-Undang Melaka, 1979, The Haque, dan Dr Mahmud Saedon, Perlaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia: Kenyataan dan Permasalahannya, YADIM, ms 62). Undang-undang Kanun Melaka mempunyai pengaruh yang besar dan berkesan di negeri-negeri Melayu di bawah pemerintahan empayarnya dan di negeri-negeri yang berjiran seperti Johor, Kedah, Pahang, Perak dan Brunei. Negeri-negeri tersebut telah menjadikan Undang-undang Kanun Melaka sebagai asas kepada undang-undang negeri mereka (Sila rujuk Mahmud Saedon, 1988, Ke arah Islamisasi Undang-Undang Islam di Malaysia, YDIM: Kuala Lumpur, ms 33). Umumnya, undang-undang jenayah Islam telah dilaksanakan dengan meluas di Tanah Melayu sebelum kedatangan penjajah.

Apabila Inggeris datang dan menjajah Tanah Melayu, mereka telah melakukan perubahan yang ketara dalam perundangan. Peruntukan Piagam Keadilan I (1807), Piagam II (1826), penguatkuasaan undang-undang sivil (1837), dan undang-undang Tanah Melayu yang baru pada tahun 1956 telah memberi kuasa yang banyak dan luas kepada British untuk mengubah dan menghapuskan undang-undang tempatan dan menggantikannya dengan undang-undang British (Lihat Ahmad Ibrahim, Sistem Perundangan di Malaysia, Kuala Lumpur, ms 71-72).

Situasi yang telah dilaksanakan oleh British telah memberi kesan yang besar terhadap perundangan Islam terutamanya undang-undang jenayah Islam. Justeru, undang-undang Inggeris telah menyelinap masuk sedikit demi sedikit, dan seterusnya menggantikan perundangan Islam yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Tuesday, August 12, 2008

Niat Di Dalam Solat


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

(Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Milenia Muslim keluaran Mei 2008)

Niat menurut bahasa bererti al-qasd yang bererti tekad, tujuan atau keazaman untuk melakukan sesuatu. Manakala menurut syara’, niat bermaksud keazaman hati dalam melakukan ibadah demi mendekatkan diri kepada Allah swt. Niat merupakan sesuatu yang wajib untuk dilakukan ketika menunaikan solat. Ibadah solat menjadi tidak sah apabila tidak disertai dengan niat. Ulama’ mazhab Hanafi, Hanbali dan sebahagian daripada Maliki menyatakan bahawa niat merupakan syarat wajib bagi solat manakala ulama’ mazhab Syafei dan sebahagian daripada ulama Maliki pula telah mengkategorikan niat sebagai salah satu rukun daripada rukun solat. (Sila rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh oleh Sheikh Dr Wahbah al-Zuhayli, cetakan Dar al-Fikr, Damsyik, 1989: 1/611).

Namun, sesuatu yang pasti ialah ulama’ bersependapat bahawa niat adalah wajib bagi membezakan sesuatu amalan itu dikira ibadat atau pun adat. Selain itu, niat juga merupakan amalan hati yang mendidik diri agar mengikhlaskan sesuatu perbuatan ibadah itu hanya semata-mata kerana Allah swt. Firman Allah dalam surah al-Bayyinah, ayat 5 bermaksud: “Mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan penuh keikhlasan kepadaNya...”.

Rasulullah saw telah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud: “Sesungguhnya sesuatu amalan itu mesti berasaskan kepada niat…”. Hadis ini dengan jelas menyatakan keperluan untuk melakukan niat dalam melaksanakan sesuatu amalan. Oleh sebab itu, setiap amalan ibadah yang dilakukan hendaklah disertai dengan niat agar ibadah tersebut diterima oleh Allah swt.

Niat merupakan sesuatu yang amat penting kerana ia dapat mendidik manusia agar menjadi seorang yang mempunyai matlamat dan tujuan dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Orang yang berjaya dan cemerlang ialah orang yang mempunyai matlamat dan tujuan hidup, akan tetapi manusia yang tidak mempunyai matlamat dan tujuan dalam kehidupan ini sudah tentu hidupnya akan menjadi terumbang-ambing dan tidak berpedoman. Justeru, ajaran Islam mengajar penganutnya untuk menjadi manusia yang bermatlamat dalam kehidupan ini, apatah lagi dalam mengerjakan ibadah dan pengabdian diri kepada Allah swt.

Niat di dalam solat bukanlah sesuatu yang susah untuk dilakukan kerana ia hanya memerlukan seseorang untuk menghadirkannya di dalam hati sahaja. Namun, mereka yang tidak berilmu dan ‘tidak mahu menuntut ilmu’, maka sudah tentu berasa sukar untuk berniat, sehingga kadang-kala timbul perasaan was-was di dalam diri. Orang yang hendak berniat tidak perlu gusar dan bimbang sekiranya tidak mengetahui bahasa Arab. Hal ini kerana niat itu tempatnya di hati, maka ia boleh dilakukan dengan cara yang difahami iaitu dengan bahasa apa sekalipun tanpa merujuk kepada mana-mana bahasa. Akan tetapi, apa yang menjadi masalahnya ialah apabila seseorang itu menyangka bahawa lafaz ‘usalli’ itu sebagai niat, maka inilah yang membawa kepada penyakit was-was apabila ia tidak dapat menuturkan lafaz tersebut dengan baik. Sedangkan lafaz ‘usalli’ itu bukannya niat, sebaliknya niat merupakan sesuatu tekad dan keazaman di dalam hati dalam melakukan sesuatu.

Menurut ulama’ mazhab Syafei, seseorang yang menunaikan solat hendaklah menghadirkan niat di dalam hatinya ketika bertakbiratul ihram. Al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Rawdhah telah mengatakan bahawa, “Niat wajib dilakukan ketika takbiratul-ihram”. Bagaimana pula dengan melafazkan niat dengan lidah sebelum takbiratul ihram, apakah ia turut diwajibkan?

Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, niat merupakan amalan hati, jadi sudah memadai dengan menghadirkannya di dalam hati tanpa melafazkannya di lidah. Namun, melafazkan niat dengan lidah sebelum bertakbiratul ihram adalah sunat di sisi ulama’ mazhab Hanafi, Syafe’i dan Hanbali kerana ia dapat membantu niat yang dihadirkan di hati semasa bertakbiratul ihram, manakala menurut ulama’ mazhab Maliki pula, mereka berpendapat seeloknya tidak melafazkan niat dengan lidah kecuali bagi orang yang was-was maka disunatkan baginya melafazkannya agar dapat menghilangkan perasaan was-was tersebut. (Sila rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa : 1/615-619).

Terdapat dalam masyarakat kita orang yang begitu ekstrem sehingga sanggup membid’ahkan perbuatan melafazkan niat ketika hendak menunaikan solat, dengan alasan kononnya ia bercanggah dengan sunnah Rasulullah saw. Tindakan membid’ahkan lafaz niat ini bermaksud mereka juga turut membid’ahkan ijtihad jumhur ulama’ yang muktabar yang terdiri daripada ulama’ mazhab Syafe’i, Hanafi, Hanbali dan Maliki sama ada dengan secara sedar atau pun tidak!. Mengapakah melafazkan niat itu sewenang-wenangnya dianggap bid’ah padahal Nabi Muhammad saw sendiri pernah melafazkannya dalam sebahagian ibadat yang dilakukan baginda.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi Muhammad saw pernah bertanya isteri baginda iaitu Saidatina ‘A’isyah r.a ketika baginda ingin memakan sesuatu. Baginda bersabda, “Apakah engkau mempunyai sesuatu (makanan)?”, Maka ‘A’isyah r.a menjawab, “Tidak!”, Lalu Rasulullah saw bersabda, “Fa-inni idzan sa’imun” (kalau begitu, maka aku berpuasa). Hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa nabi saw melafazkan niat terhadap ibadah puasa yang hendak dilakukan. (Rujuk kitab sahih sifat solat nabi, Hassan Ali al-Saqqaf, Cetakan Dar al-Imam al-Nawawi, Jordan, tahun 1993, halaman 68-69). al-Imam al-Nawawi dalam Syarh Muslim mengatakan bahawa, “Hadis tersebut menjadi dalil bagi jumhur ulama’, bahawa niat puasa sunat boleh dilakukan pada siang hari sebelum matahari tergelincir”.

Sehubungan dengan itu, tindakan membid’ahkan melafazkan niat itu merupakan tindakan yang sia-sia , bahkan boleh membawa kepada keretakan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Sepatutnya hal yang ‘kecil’ dan ‘khilafiah’ ini dapat ditangani dengan bijak agar umat Islam menjadi semakin kuat dan komited dalam agamanya, bukan menjadi lemah dan membuang masa dengan perkara-perkara kecil yang tidak sepatutnya diperbesarkan itu. Sehubungan dengan itu juga, dirasakan cukuplah diberi penjelasan bahawa yang wajib di dalam solat ialat niat di dalam hati, manakala lafaz niat tidak wajib. Niat sunat dilafazkan sekiranya lafaz tersebut dapat mengukuhkan niat di dalam hati. Akan tetapi sekiranya lafaz niat itu dianggap ‘mengganggu’ atau menyebabkan seseorang menjadi was-was seperti yang berlaku pada sesetengah orang yang melafazkan ‘usalli’ berbelas-belas kali, maka tidak perlulah seseorang itu melafazkannya, kerana yang wajibnya ialah hanya menghadirkan niat di dalam hati sahaja.

Seterusnya mengenai persoalan niat di dalam solat ini ialah apakah perkara yang wajib untuk diniatkan?. Rukun bagi niat atau perkara yang wajib diniatkan di dalam solat fardhu ada tiga perkara, dan ianya telah dihimpunkan di dalam satu rangkap puisi yang bermaksud:‘Wahai orang yang bertanya tentang fardhu niat, (jawapannya ialah) al-Qasd, al-Ta’yin, dan al-fardhiah.

Al-Qasd merujuk kepada ‘tekad’ untuk mengerjakan solat. Ini bermakna seseorang itu apabila dia bertakbiratul ihram, dia hendaklah bertekad untuk mengerjakan solat, bukannya untuk melakukan pekerjaan lain seperti zikir, tafakur dan sebagainya. Al-Ta’ayin pula merujuk kepada ‘penentuan’ solat yang mana yang hendak didirikan. Terdapat 5 solat fardhu, oleh itu yang mana satukah yang hendak dilaksanakan pada ketika itu, Zohor, Asar, Maghrib, Isyak atau Subuh?. Manakala al-Fardhiah pula merujuk kepada solat fardhu iaitu seseorang itu hendaklah berniat untuk menunaikan solat fardhu bagi membezakan solat tersebut dengan solat sunat.

Contoh rukun niat dalam solat ialah seperti menghadirkan niat di dalam hati untuk menunaikan solat Isyak dengan niat berikut: ‘Usalli fardhu Isyak’ (Sahaja aku solat fardhu Isyak) . Usalli (sahaja aku solat) merujuk kepada al-Qasd, (al-Isyak) ialah al-Taa’yin, dan (fardhu) ialah al-Fardhiah. Bagi orang yang menunaikan solat secara berjemaah dan mengikut imam pula, maka hendaklah berniat mengikut imam atau berniat menjadi makmum. Inilah sahaja perkara yang perlu diniatkan semasa mula mendirikan solat. Manakala perkara-perkara lain seperti bilangan rakaat, menunaikan solat secara tunai atau qadha’ dan sebagainya tidaklah wajib untuk diniatkan.

Justeru, daripada apa yang dibincangkan menunjukkan bahawa niat di dalam solat bukanlah sesuatu yang sukar. Akan tetapi apa yang menghairankan ialah masih terdapat mereka yang merasakan begitu sukar untuk berniat di dalam solat. Sehinggakan ada yang terpaksa memejamkan mata ketika bertakbiratul ihram, dan takbirnya itu pula dilakukan dengan begitu lama seolah-olah ‘gear’ niat tidak masuk-masuk yang akhirnya hanya menimbulkan penyakit was-was sahaja. Hal yang demikian berlaku kerana tidak memberikan perhatian untuk menuntut ilmu tentang solat dengan sebaik mungkin. Terdapat orang yang merasakan sudah cukup ilmu tentang solat yang dipelajari semasa kecil iaitu ketika berusia 8 atau 10 tahun dengan tidak perlu menambahkannya lagi sedangkan dirinya sekarang sudah menjangkau umur dewasa. Kalau gaji atau bonus diharap agar bertambah dari setahun ke setahun, tapi bagaimana pula ilmu yang tidak bertambah? Fikirkanlah!.

Beberapa Persoalan Niat Di Dalam Solat

Persoalan 1: Bagi seorang imam dalam solat berjamaah, sunat baginya untuk berniat sebagai imam, manakala bagi makmum pula, wajib baginya berniat sebagai makmum. Sekiranya imam tidak berniat menjadi imam, solatnya tetap sah tetapi dikira pahala solat secara bersendirian dan tidak memperoleh pahala jamaah, manakala solat makmum di belakangnya tetap sah. Manakala bagi makmum pula sekiranya tidak berniat sebagai makmum sedangkan dia mengikut perbuatan imam, maka solatnya batal dan tidak sah.

Persoalan 2: Seseorang yang masbuq (terlambat) ketika dalam solat berjamaah janganlah terlalu tergesa-gesa untuk mendapatkan rakaat bersama imam sehingga tergopoh-gapah hendak rukuk bersama imam sehingga mengabaikan tuntutan niat dan takbiratul ihram. Sehubungan dengan itu, walaupun seseorang itu agak terlambat, tetapi dia hendaklah memastikan bahawa niat dan takbiratul ihram dapat dilakukan dengan sempurna dan seterusnya mendatangkan khusyuk di dalam solat.

Persoalan 3: Sekiranya seseorang itu berasa ragu-ragu dalam solat iaitu sama ada untuk meneruskan solat atau membatalkannya, maka solatnya itu adalah batal. Begitu juga batal solat apabila seseorang itu membatalkan niat ketika sedang bersolat. Niat perlukan kepada jazm iaitu kepastian. Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai jazm ketika bersolat, ia menyebabkan solat itu batal. Contohnya ialah seseorang ketika dalam solat berniat sekiranya telefon berdering, dia akan menjawab panggilan telefon dan membatalkan solat. Maka solatnya menjadi batal walaupun telefon belum pun berdering. Oleh itu, apa yang terbaik baginya adalah menetapkan solatnya dengan niat dan keazaman yang pasti. Wallahu’alam.

Sunday, August 10, 2008

Amalan Di Bulan Syaaban


Oleh: Mohd Sukki Bin Othman (Ust Shauqi)

Sedar tak sedar kita kini sudah berada pada bulan Syaaban 1429 Hijrah. Masa berlalu dirasakan begitu pantas sekali. Ini juga bermakna umur kita semakin meningkat dan sewajarnya kita sentiasa bermuhasabah iaitu sudahkah kita melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah kepada kita dengan sempurna, dan sudahkah kita bersedia dengan amalan-amalan yang akan dibawa menemui Allah?

Bulan Syaaban menyusul selepas daripada bulan Rejab. Manakala selepas itu, akan datang pula bulan yang mengandungi penuh rahmat iaitu bulan Ramadhan al-Mubarak. Namun, Apabila tibanya bulan Rejab dan Syaaban, kita seringkali mendengar hadis-hadis mengenai mengenai bulan-bulan ini akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya ialah hadis:

Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”. Hadis ini adalah hadis munkar dan kebanyakan ulama' menyatakan bahawa ia adalah hadis palsu. Justeru, ia tidak sepatutnya disebarkan kerana ia tidak datang daripada nabi sebaliknya ia adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam.

Apabila membicarakan tentang bulan Syaaban, maka sewajarnya kita merujuk kepada riwayat-riwayat yang sahih dan yang diterima oleh para ulamak agar kita tidak termasuk dalam golongan 'pak turut' yang hanya melakukan sesuatu tanpa ilmu pengetahuan. Sedangkan Islam itu sendiri adalah agama ilmu, maka sewajarnyalah apa yang hendak dilakukan mestilah berteraskan kepada ilmu.

Menurut Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi, tidak ada suatu pun keistimewaan pada pertengahan bulan Syaaban (nisfu Syaaban) sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh masyarakat pada hari ini. Sebaliknya peristiwa besar yang berlaku pada pertengan bulan Syaaban ialah peristiwa yang berlaku pada tahun kedua hijrah iaitu peralihan kiblat daripada Baitul Maqdis ke Kaabah iaitu daripada Masjid al-Aqsa ke Masjid al-Haram. Perkara itu telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam Surah al-Baqarah ayat 144 yang bermaksud:

"Kerapkali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang menadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai, oleh itu palingkanlah muka kearah al-Masjidil Haram (tempat letaknya kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya…"

Selain daripada peristiwa tersebut, sesuatu yang sahih daripada nabi pada bulan Syaaban ini ialah nabi saw memperbanyakkan berpuasa sunat sebagai suatu persediaan menyambut ketibaan Ramadhan al-Mubarak. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Aisyah r.a menyatakan bahawa:

"Adalah Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa baginda akan berpuasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami menyangka baginda akan berbuka (tidak berpuasa) seterusnya. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan, dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban."

Usamah bin Zaid pula menceritakan; "Saya telah bertanya kepada Rasulullah saw, wahai Rasulullah saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Syaaban", lalu Baginda menjawab, "Itulah bulan (Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadan, ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan Pemilik Sekalian Alam. Oleh itu saya (Baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa.'' (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Nas'aei).

Justeru, daripada hadis-hadis di atas, kita mendapati bahawa nabi saw amat mengambil berat untuk memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban. Di samping itu, sesiapa yang masih berhutang puasa pada Ramadhan yang sebelumnya seperti wanita yang meninggalkan puasa kerana 'datang bulan', maka inilah waktu yang sesuai untuk mempastikan agar segala 'hutang' dilunaskan sebelum tibanya bulan Ramadhan. Sebagai mencontohi sunnah nabi, kita juga sewajarnya memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban yang mulia ini.

Di samping berpuasa, kita juga boleh memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang lain untuk memepertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dan sebagai suatu persediaan untuk memperbanyakkan lagi amalan pada bulan Ramadhan. Antara amalan yang boleh dilakukan selain daripada berpuasa ialah membaca al-Quran, bertaubat, beristighfar, berzikir, memperbanyakkan solat sunat, bersedekah bagi menolong meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim, melakukan amalan kebajikan, memohon keampunan untuk ibu-bapa, memohon restu kehadrat Allah s.w.t. bagi keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat dan sebagainya.

Persoalan seterusnya yang selalu timbul dalam masyarakat kita ialah amalan pada malam nisfu syaaban. Biasanya pada malam nisfu syaaban, masjid-masjid dan surau-surau akan merayakan malam tersebut dengan amalan-amalan tertentu. Di beberapa tempat di negara kita, pada malam nisfu syaaban, orang ramai biasanya berkumpul di masjid-masjid dan mereka membaca surah yasin bersama, kemudian melakukan solat sunat dua rakaat dengan niat panjang umur, solat sunat dua rakaat lagi dengan niat agar menjadi kaya dan tidak tergantung pada orang lain, dan sebagainya. Setelah itu, mereka membaca doa yang panjang, iaitu doa yang dikhususkan bacaannya pada malam tersebut.

Menurut al-Qadhi Abu Bakar Ibnul Arabi , tidak ada satu hadis sahih mengenai keutamaan malam nisfu syaaban, dan semua hadis mengenainya bertaraf dhaif yang tidak boleh diamalkan. Walau bagaimanapun terdapat hadis mengenai fadilat malam nisfu syaaban yang dianggap Hasan oleh sebahagian ulamak, walau ia telah didhaifkan oleh sebahagian ulamak lain. Hadis tersebut ialah: “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah.

Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan pada malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan tertentu pada malam tersebut (sekiranya dianggap sebagai satu kemestian dan wajib seperti ‘mesti’ membaca Yasin sebanyak tiga kali, dan menunaikan solat-solat tertentu sempena nisfu syaaban) adalah bukan ajaran Nabi s.a.w.

Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya 'Fatawa Mu'asirah', “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya". Inilah juga pendapat majoriti ulamak seperti Sayyid Sabiq, Prof Mutawalli Sya'rawi, Dr Abdul Karim Zaidan dan sebagainya. Begitu juga dengan doa khusus yang dibaca pada malam nisfu Syaaban, ianya bercanggah dengan nas al-Quran dan Hadis. Inilah pendapat yang dikemukakan oleh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi.

Justeru, daripada pandangan-pandangan ulamak yang dikemukakan di atas, adalah menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk memahami dengan sejelas-jelasnya agar kita tidak termasuk dalam golongan yang membuat sesuatu amalan itu secara membuta-tuli. Ini bukanlah bermakna bahawa kita tidak boleh melakukan amalan pada malam nisfu syaaban, akan tetapi kita tidak boleh melakukan amalan-amalan yang tidak diasaskan oleh nabi dan yang bercanggah dengan hukum syarak seperti menunaikan solat sunat khusus untuk panjang umur pada malam nisfu syaaban. Namun, untuk membaca ayat-ayat al-Quran tertentu seperti Yasin dan seumpamanya, maka ia boleh dilakukan tetapi dengan syarat kita tidak ‘mewajibkan’ bacaan Yasin sebanyak 3 kali dan seumpamanya. Alangkah baiknya juga kalau pada malam itu juga diisi dengan program pengajian ilmu agar pemahaman terhadap ajaran Islam semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Justeru, amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, berpuasa dan yang seumpamanya hendaklah dilaksanakan bukan sahaja pada malam nisfu syaaban, akan tetapi kita hendaklah beristiqamah melaksanakan amalan-amalan kebajikan tersebut pada bila-bila masa sahaja siang ataupun malam. Sesungguhnya apabila kita dapat melaksanakan sesuatu amalan dengan penuh keikhlasan dan amalan tersebut bertepatan dengan hukum syara', maka kita akan tergolong daripada umat Islam yang menuju ke arah kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Perbanyakkanlah amalan sunat di bulan Syaaban sebagai suatu persediaan menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak!.

Sifat Malu Semakin Pudar


Akhir-akhir ini ... gejala keruntuhan akhlak dan maksiat semakin berleluasa. Maksiat tidak lagi dilakukan secara 'sembunyi', tetapi ia dilakukan dengan terang dan jelas. Lebih menyedihkan apabila ia dilakukan dengan penuh bangga. Kadang-kala seseorang itu menganggap bahawa maksiat yang dilakukan itu hanyalah kecil sahaja... apatah diberi alasan ia hanyalah 'soal peribadi', 'koleksi peribadi' dan sebagainya. Ada pula yang menyatakan dengan jelas dan tertera di dada akhbar 'kami bukan berzina tetapi hanya bercumbu sahaja'. Seolahnya yang dosa itu hanyalah zina, tapi bercumbuan di antara lelaki dan wanita tanpa mahram itu bukan satu dosa?! Manusia yang semakin hilang sifat 'malu' menyebabkan tergamak melakukan apa sahaja perkara dosa tanpa memikirkan soal dosa pahala. Nabi saw telah bersabda yang bermaksud: "Sekiranya kamu tidak malu... buatlah apa sahaja!" Maknanya apabila sudah hilang sifat malu daripada seseorang, maka dia tidak segan silu lagi untuk melakukan apa sahaja maksiat...apa yang penting baginya hanyalah untuk memuaskan nafsu serakah semata. Sifat malu perlu dikembalikan dan diserap dalam hati dan jiwa umat islam pada hari ini agar dapat membendung gejala maksiat...apatah lagi malu itu sebahagian daripada iman sebagaimana yang telah ditegaskan di dalam hadis nabi saw.

Monday, August 4, 2008

'Patung' Menurut Islam


Oleh: Shawqi al-Yarmouki

Jamil sedang memandu kereta. Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat, beliau pun memberhentikan keretanya untuk menunggu lampu isyarat hijau. Sambil menunggu lampu isyarat itu bertukar warna, beliau memerhatikan kereta yang berada di hadapannya. Jamil dapat mengagak bahawa pemandu kereta itu adalah seorang muslim. Ini kerana terdapat ‘kalimah syahadah’ yang dilekatkan di cermin belakang kereta tersebut.

Namun, yang agak merimaskan Jamil ialah dia ternampak banyak patung haiwan seumpama monyet yang cukup sifatnya tergantung-gantung di dalam kereta, kerana ia dilekatkan pada cermin yang terletak di pintu kereta. Jamil berfikir sendirian, apakah tidak ada perhiasan lain yang hendak diletakkan di dalam kereta melainkan patung-patung tersebut? Apakah Islam membenarkan menjadikan patung sebagai hiasan di dalam kereta mahu pun di dalam rumah?

‘Trend’ menjadikan patung sebagai hiasan, atau disimpan di dalam rumah, di dalam kereta dan sebagainya hendaklah diperhalusi dan dinilai dari sudut hukum syarak. Setiap individu muslim wajib memastikan sama ada segala perkara yang dilakukan bertepatan dengan hukum syarak atau sebaliknya, demi mencapai keberkatan dan keredhaan Allah dalam hidupnya.

Islam sangat mengambil berat terhadap pemeliharaan akidah penganut-penganutnya. Ajaran Islam akan menutup segala jalan yang menuju ke arah sesuatu perkara yang dianggap boleh merosakkan serta memesongkan akidah. Sejarah telah membuktikan bahawa patung-patung yang diukir menjadi objek yang disembah sebagai tuhan dari dahulu hinggalah sekarang. Sebahagian orang berkata, ia berlaku hanya pada zaman berhala dan penyembahan berhala iaitu pada zaman Jahiliah. Kenyataan ini tidak benar kerana pada zaman sekarang pun masih ada orang yang menyembah berhala. Hakikatnya, terdapat pada sepanjang zaman manusia yang mempercayai kepada perkara-perkara khurafat.

Ajaran Islam dengan jelas telah mengharamkan segala sesuatu yang dapat membawa kepada sikap keberhalaan, atau yang di dalamnya mengandungi unsur-unsur keberhalaan. Justeru itulah Islam mengharamkan patung. Di samping itu, malaikat yang membawa rahmat juga tidak masuk ke dalam rumah orang yang menyimpan patung. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada patung." (Riwayat Bukhari dan Muslim). Para ulama menyatakan bahawa malaikat tidak mahu masuk rumah yang menyimpan patung kerana pemiliknya itu menyerupai orang kafir. Ini kerana, biasanya orang kafir meletakkan patung dalam rumah untuk diagungkan.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa diharamkan patung itu apabila ia berada dalam keadaan sempurna, tetapi kalau salah satu anggotanya itu terpotong yang tanpa anggota tersebut tidak mungkin dapat hidup, maka menyimpan patung seperti itu adalah harus. Ini berdasarkan hadis yang menyatakan bahawa Jibril a.s. tidak mahu masuk ke dalam rumah Rasulullah s.a.w. kerana di pintu rumahnya ada sebuah patung, sehinggalah ia berkata kepada Nabi Muhammad: "Perintahkanlah supaya memotong kepala patung itu. Maka dipotonglah dia sehingga menjadi seperti keadaan pohon." (Riwayat Abu Daud, Nasa’i, Tirmizi dan Ibnu Hibban).

Apabila menyimpan patung pun tidak dibenarkan, apatah lagi mengukirnya. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: "Sesungguhnya mereka yang membuat patung akan dikenakan seksa pada Hari Kiamat. Dikatakan kepada mereka (dengan pertanyaan penghinaan): "Hidupkanlah apa yang telah kamu cipta itu." Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, di antara rahsia diharamkan patung, adalah untuk membela kemurnian tauhid, dan supaya tidak menyamai golongan musyrik yang menyembah berhala. Berhala yang dibuat dan diukir oleh tangan-tangan mereka sendiri, kemudian dikuduskan dan mereka berdiri di hadapannya dengan penuh khusyu'. Sehubungan dengan itu, ulama’ Islam melarang membuat upacara tertentu di hadapan patung, seperti apa yang telah berlaku di tugu peringatan

Mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Perlis, dinyatakan bahawa berdoa di tugu peringatan adalah ditegah oleh syara’ dan hukumnya haram kerana perbuatan seumpama itu termasuk di dalam larangan firman Allah, surah al Maidah ayat 90 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi dan al-ansab (menyembah berhala) dan al-azlam (bertenung nasib) adalah najis daripada amalan syaitan. Maka hendaklah kamu jauhkan daripadanya moga-moga kamu berjaya”. “Al-Ansab” maknanya batu orang jahiliyah yang disembelih korban di sisinya dan beribadat kepadanya. Berdoa adalah ibadat, berdoa di batu tugu peringatan sama seperti orang jahiliyah beribadat di al-Ansab yang dimaksudkan di dalam ayat 90 itu.

Fatwa yang dikeluarkan oleh Pulau Pinang pula menyatakan bahawa haram tiupan dan bertafakur dengan menundukan kepala kepala selama 20 saat dengan meletakkan kalung bunga di tugu. Bacaan sajak yang boleh menimbulkkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan, tetapi dengan syarat tidak dilakukan dihadapan tugu, atau di dalam suasana yang dilarang oleh syarak kerana semua ini adalah upacara agama juga.

Manakala fatwa tentang upacara Hari Pahlawan yang dikeluarkan oleh negeri Selangor pula adalah seperti yang berikut:

(1) Amalan seperti tiupan “Last Post”, bertafakur dengan menundukkan kepala, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan “Rouse” yang dilakukan di hadapan tugu dalam upacara menyambut Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

(2) Bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan dihadapan tugu atau di tempat atau dalam suasana yang di larang oleh syara’. (rujuk portal e-fatwa di http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/default.asp).

Justeru, sebagai umat Islam, hendaklah menghindarkan diri daripada perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Pastikan rumah, kereta, sambutan hari-hari tertentu dan sebagainya tidak mempunyai unsur yang ditegah syarak seperti menyimpan patung dan seumpamanya, agar kehidupan diberkati dan dirahmati Allah.