Followers

Tuesday, August 12, 2008

Niat Di Dalam Solat


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

(Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Milenia Muslim keluaran Mei 2008)

Niat menurut bahasa bererti al-qasd yang bererti tekad, tujuan atau keazaman untuk melakukan sesuatu. Manakala menurut syara’, niat bermaksud keazaman hati dalam melakukan ibadah demi mendekatkan diri kepada Allah swt. Niat merupakan sesuatu yang wajib untuk dilakukan ketika menunaikan solat. Ibadah solat menjadi tidak sah apabila tidak disertai dengan niat. Ulama’ mazhab Hanafi, Hanbali dan sebahagian daripada Maliki menyatakan bahawa niat merupakan syarat wajib bagi solat manakala ulama’ mazhab Syafei dan sebahagian daripada ulama Maliki pula telah mengkategorikan niat sebagai salah satu rukun daripada rukun solat. (Sila rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh oleh Sheikh Dr Wahbah al-Zuhayli, cetakan Dar al-Fikr, Damsyik, 1989: 1/611).

Namun, sesuatu yang pasti ialah ulama’ bersependapat bahawa niat adalah wajib bagi membezakan sesuatu amalan itu dikira ibadat atau pun adat. Selain itu, niat juga merupakan amalan hati yang mendidik diri agar mengikhlaskan sesuatu perbuatan ibadah itu hanya semata-mata kerana Allah swt. Firman Allah dalam surah al-Bayyinah, ayat 5 bermaksud: “Mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan penuh keikhlasan kepadaNya...”.

Rasulullah saw telah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud: “Sesungguhnya sesuatu amalan itu mesti berasaskan kepada niat…”. Hadis ini dengan jelas menyatakan keperluan untuk melakukan niat dalam melaksanakan sesuatu amalan. Oleh sebab itu, setiap amalan ibadah yang dilakukan hendaklah disertai dengan niat agar ibadah tersebut diterima oleh Allah swt.

Niat merupakan sesuatu yang amat penting kerana ia dapat mendidik manusia agar menjadi seorang yang mempunyai matlamat dan tujuan dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Orang yang berjaya dan cemerlang ialah orang yang mempunyai matlamat dan tujuan hidup, akan tetapi manusia yang tidak mempunyai matlamat dan tujuan dalam kehidupan ini sudah tentu hidupnya akan menjadi terumbang-ambing dan tidak berpedoman. Justeru, ajaran Islam mengajar penganutnya untuk menjadi manusia yang bermatlamat dalam kehidupan ini, apatah lagi dalam mengerjakan ibadah dan pengabdian diri kepada Allah swt.

Niat di dalam solat bukanlah sesuatu yang susah untuk dilakukan kerana ia hanya memerlukan seseorang untuk menghadirkannya di dalam hati sahaja. Namun, mereka yang tidak berilmu dan ‘tidak mahu menuntut ilmu’, maka sudah tentu berasa sukar untuk berniat, sehingga kadang-kala timbul perasaan was-was di dalam diri. Orang yang hendak berniat tidak perlu gusar dan bimbang sekiranya tidak mengetahui bahasa Arab. Hal ini kerana niat itu tempatnya di hati, maka ia boleh dilakukan dengan cara yang difahami iaitu dengan bahasa apa sekalipun tanpa merujuk kepada mana-mana bahasa. Akan tetapi, apa yang menjadi masalahnya ialah apabila seseorang itu menyangka bahawa lafaz ‘usalli’ itu sebagai niat, maka inilah yang membawa kepada penyakit was-was apabila ia tidak dapat menuturkan lafaz tersebut dengan baik. Sedangkan lafaz ‘usalli’ itu bukannya niat, sebaliknya niat merupakan sesuatu tekad dan keazaman di dalam hati dalam melakukan sesuatu.

Menurut ulama’ mazhab Syafei, seseorang yang menunaikan solat hendaklah menghadirkan niat di dalam hatinya ketika bertakbiratul ihram. Al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Rawdhah telah mengatakan bahawa, “Niat wajib dilakukan ketika takbiratul-ihram”. Bagaimana pula dengan melafazkan niat dengan lidah sebelum takbiratul ihram, apakah ia turut diwajibkan?

Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, niat merupakan amalan hati, jadi sudah memadai dengan menghadirkannya di dalam hati tanpa melafazkannya di lidah. Namun, melafazkan niat dengan lidah sebelum bertakbiratul ihram adalah sunat di sisi ulama’ mazhab Hanafi, Syafe’i dan Hanbali kerana ia dapat membantu niat yang dihadirkan di hati semasa bertakbiratul ihram, manakala menurut ulama’ mazhab Maliki pula, mereka berpendapat seeloknya tidak melafazkan niat dengan lidah kecuali bagi orang yang was-was maka disunatkan baginya melafazkannya agar dapat menghilangkan perasaan was-was tersebut. (Sila rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa : 1/615-619).

Terdapat dalam masyarakat kita orang yang begitu ekstrem sehingga sanggup membid’ahkan perbuatan melafazkan niat ketika hendak menunaikan solat, dengan alasan kononnya ia bercanggah dengan sunnah Rasulullah saw. Tindakan membid’ahkan lafaz niat ini bermaksud mereka juga turut membid’ahkan ijtihad jumhur ulama’ yang muktabar yang terdiri daripada ulama’ mazhab Syafe’i, Hanafi, Hanbali dan Maliki sama ada dengan secara sedar atau pun tidak!. Mengapakah melafazkan niat itu sewenang-wenangnya dianggap bid’ah padahal Nabi Muhammad saw sendiri pernah melafazkannya dalam sebahagian ibadat yang dilakukan baginda.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi Muhammad saw pernah bertanya isteri baginda iaitu Saidatina ‘A’isyah r.a ketika baginda ingin memakan sesuatu. Baginda bersabda, “Apakah engkau mempunyai sesuatu (makanan)?”, Maka ‘A’isyah r.a menjawab, “Tidak!”, Lalu Rasulullah saw bersabda, “Fa-inni idzan sa’imun” (kalau begitu, maka aku berpuasa). Hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa nabi saw melafazkan niat terhadap ibadah puasa yang hendak dilakukan. (Rujuk kitab sahih sifat solat nabi, Hassan Ali al-Saqqaf, Cetakan Dar al-Imam al-Nawawi, Jordan, tahun 1993, halaman 68-69). al-Imam al-Nawawi dalam Syarh Muslim mengatakan bahawa, “Hadis tersebut menjadi dalil bagi jumhur ulama’, bahawa niat puasa sunat boleh dilakukan pada siang hari sebelum matahari tergelincir”.

Sehubungan dengan itu, tindakan membid’ahkan melafazkan niat itu merupakan tindakan yang sia-sia , bahkan boleh membawa kepada keretakan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Sepatutnya hal yang ‘kecil’ dan ‘khilafiah’ ini dapat ditangani dengan bijak agar umat Islam menjadi semakin kuat dan komited dalam agamanya, bukan menjadi lemah dan membuang masa dengan perkara-perkara kecil yang tidak sepatutnya diperbesarkan itu. Sehubungan dengan itu juga, dirasakan cukuplah diberi penjelasan bahawa yang wajib di dalam solat ialat niat di dalam hati, manakala lafaz niat tidak wajib. Niat sunat dilafazkan sekiranya lafaz tersebut dapat mengukuhkan niat di dalam hati. Akan tetapi sekiranya lafaz niat itu dianggap ‘mengganggu’ atau menyebabkan seseorang menjadi was-was seperti yang berlaku pada sesetengah orang yang melafazkan ‘usalli’ berbelas-belas kali, maka tidak perlulah seseorang itu melafazkannya, kerana yang wajibnya ialah hanya menghadirkan niat di dalam hati sahaja.

Seterusnya mengenai persoalan niat di dalam solat ini ialah apakah perkara yang wajib untuk diniatkan?. Rukun bagi niat atau perkara yang wajib diniatkan di dalam solat fardhu ada tiga perkara, dan ianya telah dihimpunkan di dalam satu rangkap puisi yang bermaksud:‘Wahai orang yang bertanya tentang fardhu niat, (jawapannya ialah) al-Qasd, al-Ta’yin, dan al-fardhiah.

Al-Qasd merujuk kepada ‘tekad’ untuk mengerjakan solat. Ini bermakna seseorang itu apabila dia bertakbiratul ihram, dia hendaklah bertekad untuk mengerjakan solat, bukannya untuk melakukan pekerjaan lain seperti zikir, tafakur dan sebagainya. Al-Ta’ayin pula merujuk kepada ‘penentuan’ solat yang mana yang hendak didirikan. Terdapat 5 solat fardhu, oleh itu yang mana satukah yang hendak dilaksanakan pada ketika itu, Zohor, Asar, Maghrib, Isyak atau Subuh?. Manakala al-Fardhiah pula merujuk kepada solat fardhu iaitu seseorang itu hendaklah berniat untuk menunaikan solat fardhu bagi membezakan solat tersebut dengan solat sunat.

Contoh rukun niat dalam solat ialah seperti menghadirkan niat di dalam hati untuk menunaikan solat Isyak dengan niat berikut: ‘Usalli fardhu Isyak’ (Sahaja aku solat fardhu Isyak) . Usalli (sahaja aku solat) merujuk kepada al-Qasd, (al-Isyak) ialah al-Taa’yin, dan (fardhu) ialah al-Fardhiah. Bagi orang yang menunaikan solat secara berjemaah dan mengikut imam pula, maka hendaklah berniat mengikut imam atau berniat menjadi makmum. Inilah sahaja perkara yang perlu diniatkan semasa mula mendirikan solat. Manakala perkara-perkara lain seperti bilangan rakaat, menunaikan solat secara tunai atau qadha’ dan sebagainya tidaklah wajib untuk diniatkan.

Justeru, daripada apa yang dibincangkan menunjukkan bahawa niat di dalam solat bukanlah sesuatu yang sukar. Akan tetapi apa yang menghairankan ialah masih terdapat mereka yang merasakan begitu sukar untuk berniat di dalam solat. Sehinggakan ada yang terpaksa memejamkan mata ketika bertakbiratul ihram, dan takbirnya itu pula dilakukan dengan begitu lama seolah-olah ‘gear’ niat tidak masuk-masuk yang akhirnya hanya menimbulkan penyakit was-was sahaja. Hal yang demikian berlaku kerana tidak memberikan perhatian untuk menuntut ilmu tentang solat dengan sebaik mungkin. Terdapat orang yang merasakan sudah cukup ilmu tentang solat yang dipelajari semasa kecil iaitu ketika berusia 8 atau 10 tahun dengan tidak perlu menambahkannya lagi sedangkan dirinya sekarang sudah menjangkau umur dewasa. Kalau gaji atau bonus diharap agar bertambah dari setahun ke setahun, tapi bagaimana pula ilmu yang tidak bertambah? Fikirkanlah!.

Beberapa Persoalan Niat Di Dalam Solat

Persoalan 1: Bagi seorang imam dalam solat berjamaah, sunat baginya untuk berniat sebagai imam, manakala bagi makmum pula, wajib baginya berniat sebagai makmum. Sekiranya imam tidak berniat menjadi imam, solatnya tetap sah tetapi dikira pahala solat secara bersendirian dan tidak memperoleh pahala jamaah, manakala solat makmum di belakangnya tetap sah. Manakala bagi makmum pula sekiranya tidak berniat sebagai makmum sedangkan dia mengikut perbuatan imam, maka solatnya batal dan tidak sah.

Persoalan 2: Seseorang yang masbuq (terlambat) ketika dalam solat berjamaah janganlah terlalu tergesa-gesa untuk mendapatkan rakaat bersama imam sehingga tergopoh-gapah hendak rukuk bersama imam sehingga mengabaikan tuntutan niat dan takbiratul ihram. Sehubungan dengan itu, walaupun seseorang itu agak terlambat, tetapi dia hendaklah memastikan bahawa niat dan takbiratul ihram dapat dilakukan dengan sempurna dan seterusnya mendatangkan khusyuk di dalam solat.

Persoalan 3: Sekiranya seseorang itu berasa ragu-ragu dalam solat iaitu sama ada untuk meneruskan solat atau membatalkannya, maka solatnya itu adalah batal. Begitu juga batal solat apabila seseorang itu membatalkan niat ketika sedang bersolat. Niat perlukan kepada jazm iaitu kepastian. Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai jazm ketika bersolat, ia menyebabkan solat itu batal. Contohnya ialah seseorang ketika dalam solat berniat sekiranya telefon berdering, dia akan menjawab panggilan telefon dan membatalkan solat. Maka solatnya menjadi batal walaupun telefon belum pun berdering. Oleh itu, apa yang terbaik baginya adalah menetapkan solatnya dengan niat dan keazaman yang pasti. Wallahu’alam.

1 comment:

  1. assalamualikum ustaz, artikel yang ditulis amat menarik. cumanya ada sebahagian ustaz mengatakan bahawa berniat semasa takbiratul ihram adalah sebagai tidak membesarkan allah semasa takbiratul ihram itu, soalannya di sini apa komen ustaz syauqi berkenaan masalah ini?

    ReplyDelete