Followers

Wednesday, August 20, 2008

Perlunya Sifat Malu


Oleh: Ustaz Shauqi

Kecantikan agama Islam itu kerana ia dihiasi dengan akhlak dan keperibadian yang mulia. Rasulullah s.a.w pernah bersabda di dalam sebuah hadis إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak ". Seseorang individu muslim yang tinggi nilai akhlaknya akan dikagumi oleh rakan dan musuh. Berapa ramai yang jatuh cinta dengan Islam kerana tertarik dengan ajaran yang terdapat di dalam agama Islam. Islam merupakan suatu agama yang indah dan hanya orang yang celik mata dan terang hatinya sahaja yang dapat menilai keindahan tersebut.

Oleh itu, setiap umat Islam hendaklah menghiasi diri masing-masing dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji. Di antara sifat-sifat tersebut ialah sifat malu, merendah diri, sopan santun dan berbudi pekerti yang mulia. Walaupun setiap orang tahu akan kepentingan memiliki sifat-sifat tersebut sama ada untuk diri sendiri atau terhadap orang lain namun terdapat di kalangan umat Islam yang meminggirkan sifat-sifat tersebut demi menurut kehendak nafsu masing-masing.

Sekiranya generasi pada masa ini mengadaptasikan sifat malu di dalam diri masing-masing, sebarang gejala yang tidak sihat dapat dibendung. Apatah lagi, malu itu adalah sebahagian daripada iman الحياء من الإيمان . Sifat malu ini terbahagi kepada tiga. Pertama : malu kepada Allah. Kedua : malu kepada manusia dan yang ketiga malu kepada diri sendiri. Apabila seseorang itu malu kepada Allah,dia tidak akan sesekali melakukan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah kerana dia menyedari bahawa Allah sentiasa mengawasi gerak-gerinya. Seseorang itu akan melaksanakan segala perintah Allah dengan sebaiknya. Tidak akan berlaku pengabaian solat apabila mengenangkan azab yang amat pedih disediakan kepada orang yang ingkar akan suruhan Allah.

Begitu juga tentang tuntutan menutup aurat. Apabila seseorang itu ada sifat malu kepada Allah, manusia dan diri sendiri, dia tidak akan mengambil mudah persoalan menutup aurat. Kecantikan yang Allah anugerahkan kepada seseorang hendaklah dipelihara dengan sebaik-baiknya dan bukanlah untuk dipertontonkan dengan sewenang-wenangnya. Malangnya, terdapat dalam kalangan masyarakat kita yang berbangga dengan kelebihan yang dimiliki dan sanggup mendedahkannya untuk kepuasan diri sendiri walaupun perbuatan tersebut dicegah sama sekali oleh agama. Begitulah apabila manusia hilang sifat malunya maka terjadilah pelbagai perkara yang boleh menjatuhkan maruah umat Islam. Benarlah apa yang disabdakan oleh nabi : إذا لا تستحي فاصنع ما شئت yang bermaksud: “sekiranya engkau tidak malu, buatlah apa yang engkau suka”.

Dunia yang semakin maju bukanlah satu tiket untuk manusia mengenepikan tuntutan agama kerana Islam adalah agama yang sesuai untuk setiap masa dan ketika. Terdapat di kalangan umat Islam yang lebih mengutamakan penampilan diri sehingga sanggup mengabaikan tuntutan agama. Sebagai contohnya, para muslimah terlalu leka mengikuti perkembangan fesyen sehingga terdapat di kalangan mereka yang bertudung semata-mata kerana trend dan pemakaian tudung tersebut bukan didasarkan kepada kewajipan yang mesti mereka tunaikan. Agak malang lagi, mereka yang bertudung sanggup mencemarkan kesucian Islam apabila mereka tidak malu melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti merokok dan berpeleseran.

Malu merupakan sebahagian daripada iman. Di manakah letaknya keimanan seseorang muslim yang melakukan perbuatan-perbuatan yang dicegah oleh agama? Seseorang yang mempunyai tinggi sifat malunya akan terpelihara daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan keji.

Segala gejala yang tidak sihat yang melanda umat Islam pada masa kini adalah menjadi tanggungjawab kita bersama. Sikap suka menuding jari kepada pihak-pihak yang tertentu dan saling salah-menyalahkan di antara satu sama lain wajarlah dijauhi kerana itu bukan jalan penyelesaiannya. Setiap individu muslim hendaklah memainkan peranan masing-masing. Terapkanlah sifat malu ini dalam segenap kehidupan kita agar kita beroleh kecemerlangan di dunia dan akhirat.

7 comments:

  1. apa khabar ustaz,
    kami terpesona melihat blog ustaz yang cute

    ReplyDelete
  2. assalamuyalaikum ustaz kami merasakan memamg perlunya ada sifat pemalu di dalam kehidupan ini

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum ustaz shauqi....

    cantik r blog ustaz ni...leh ajar x nk buat blog secantik ni...n semanfaat ni..heheehe

    ReplyDelete
  4. salam ya ustaz, kif hal, munzu zaman ma qabalna. semoga ust selamat dan sucses dalam pembelajaran ustz...amin

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum ustaz,saya tertarik dengan blok ustaz ni.

    ReplyDelete
  6. assalamualaikum ustaz.
    sifat malu amat penting dalam kehidupan. jika tiada sifat malu musnahlah semua manusia.
    wassalam

    ReplyDelete
  7. assalamualaikum ustaz. Banyak sebenarnya info yang ana dapat daripada pembacaan ana dalam blog ustaz ni. Ana harap info daripada blog ni dapat me'refresh' semula pengetahuan lama yang sudah terlupa. Semoga ustaz dianugerahkan kesihatan yang baik daripada ALLAh.

    ReplyDelete