Followers

Saturday, September 20, 2008

Ayuh Berzikir


Oleh: Ustaz Shauqi

Kita sekarang ini berada pada 10 terakhir Ramadhan...jadi janganlah kita sia-siakan peluang untuk mencari anugerah dan keredhaan daripada Allah sebanyak mungkin. Apatah lagi dalam usaha mencari lailatul qadr kita hendaklah sentiasa ingat kepada Allah agar kita hampir kepadaNya. Antara amalan yang boleh dilakukan ialan berzikir.

Islam menggalakkan amalan berzikir. al-Qur'an ada menyebutkan beberapa kali tentang pentingnya berzikir dan yang paling jelas ialah sebagaimana yang dinyatakan dalam surah al-Baqarah, ayat 125 yang bermaksud: "hendaklah kamu semua mengingati Aku (melakukan zikir kepada-Ku) nanti Aku akan mengingati kamu dan berterima kasihlah kepada-Ku dan jangan kamu mengingkari Aku".

Zikir sebenarnya bukan sahaja merupakan pengucapan atau ungkapan yang dikenali dengan nama "Tahlil, Tahmid, Tasbih da Takbir" malah ia juga termasuk dalam setiap jenis amalan yang dilakukan untuk mentaati Allah SWT. Pada lahirnya ia muncul dalam bentuk pergerakan lidah dan restu daripada hati.
Nabi saw bersabda:
كَلِمَتَانِ خَفِيْفَتَانِ عَلىَ اللِّسَانِ، ثَقِيْلَتَانِ فِي المِيْزَانِ، حَبِيْبَتَانِ إِلىَ الرَّحْمن: سُبْحَانَ الله وَبِحَمْدِهِ، سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيْمِ – متفق عليه
Maksudnya: “Dua perkataan yang mudah dituturkan oleh lidah, berat timbangannya di dalam mizan (neraca timbangan disisi Allah), dan disukai oleh al-Rahman (Allah) iaitu: Subhanallahi wa bihamdihi, subhanallahil ‘azim”.

Sabda nabi saw dalam hadis yang lain:
لأن أقول: سُبْحَانَ الله، والحَمْدُ لِلَّه، وَلاَ إِلهَ إِلاَّ الله، والله أَكْبَرُ أَحَبّ إِلَيَّ مِمَّا طَلعت عليه الشمس – رواه مسلم
Maksudnya: ‘Menyebut subhanallah, alhamdulillah, lailahaillallah, dan allahu akbar lebih aku sukai daripada terbitnya matahari’.

Sabda nabi saw lagi:
مَثَل الذي يذكر ربه والذي لا يذكره مَثَل الحي والميت- رواه البخاري
Maksudnya: ‘Bandingan orang yang berzikir kepada Allah dengan orang yang tidak berzikir adalah seumpama orang yang hidup dan orang yang mati’.

Pada suatu hari nabi saw telah menyatakan kepada para sahabat baginda: ‘Tidak mampukah kamu untuk mendapatkan seribu kebajikan pada setiap hari?. Lalu Rasulullah saw pun ditanya tentang cara untuk mendapatkannya. Lantas Rasulullah menyatakan apabila seseorang itu bertasbih sebanyak seratus kali, maka akan ditulis untuknya seribu kebajikan dan dihapuskan daripadanya seribu dosa. Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Zikir terbahagi kepada tiga bahagian:
1. Zikir dengan lidah seperti bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir, bersalawat dan membaca al-Qur'an.
2. Zikir dengan hati iaitu memikirkan dan mengingati dengan hati tentang kebesaran dan kekuasaan Allah seperti kejadian langit dan bumi.
3. Zikir dengan menunaikan semua bentuk ketaatan seperti mengerjakan ibadat solat, puasa, haji, berjalan ke tempat-tempat ibadat dan majlis-majlis ilmu. Oleh itu Ibnu Ata' menegaskan setiap majlis yang memperkatakan soal (hukum syarak) mahu majlis tersebut dinamakan majlis zikir, kerana majlis itu mengingatkan kita dari kelalaian dan mendampingkan diri kita kepada Allah SWT secara ma'nawi.

Antara objektif zikir adalah seperti berikut:
1. Mensyukuri nikmat-nikmat Allah SWT yang telah dikurniakan ke atas kita.
2. Untuk mendampingkan diri kita dengan Allah SWT.
Unsur-unsur yang terkandung dalam zikir pada kebiasaannya mengandungi perkara-perkara yang berikut:
1. Pujian kepada Allah SWT
2. Doa kepada Allah SWT
3. Istighfar kepada Allah SWT
4. Memohon sesuatu kepada Allah SWT
5. Ketaatan kepada Allah SWT
6. Bacaan beberapa potong ayat al-Quran

No comments:

Post a Comment