Followers

Saturday, September 20, 2008

Muhasabah Diri


Oleh: Ustaz Shauqi

Sebelum kita melelapkan mata pada malam ini iaitu setelah selesai melaksanakan qiam ramadhan seperti solat Tarawih dan tadarus al-Quran, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan menghitung perjalanan hidup kita pada hari ini. Orang yang selamat di dunia dan akhirat adalah terdiri daripada mereka yang selalu melaksanakan muhasabah dalam kehidupan mereka seharian.

Dalam hal ini, Rasulullah saw telah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi:
الكيس من دان نفسه وعمل لما بعد الموت، والعاجز من أتبع نفسه هواها، وتمنى على الله الأماني
Maksudnya: “Orang yang cerdik ialah mereka yang sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki dirinya serta beramal untuk kehidupan selepas mati, manakala orang yang lemah ialah mereka yang selalu mengikut hawa nafsu mereka sendiri dan dalam masa yang sama mengharapkan kepada Allah dengan pelbagai harapan”.

Daripada hadis ini, jelas kepada kita bagaimana nabi memperingatkan kepada kita agar sentiasa berwaspada dan berusaha sedaya-upaya untuk mencapai kasih sayang dan keredhaan Ilahi dengan melaksanakan amalan-amalan solih. Sebaliknya, manusia yang engkar dan tidak pernah serik untuk melakukan kemungkaran tetapi pada masa yang sama mengharapkan keredhaan dan pengampunan Allah, maka harapan mereka itu adalah harapan yang kosong dan sia-sia belaka. Masakan pokok yang tidak ditanam boleh menghasilkan buah. Begitu juga, masakan amalan soleh yang tidak dilaksanakan boleh dituai hasilnya di Akhirat nanti.

Sesiapa yang selalu melakukan ‘muhasabah diri’, nescaya dia tidak akan memberi ruang kepada dirinya untuk melakukan maksiat dan kemungkaran. Sebaliknya dia akan berusaha melaksanakan ketaatan yang sebaik mungkin kepada Allah kerana takut kemurkaan Allah. Kata seorang ahli sufi السيد أحمد الرفاعي رحمه الله :
(( من الخشية تكون المحاسبة ))
Maksudnya:“Muhasabah lahir daripada sifat takut seseorang hamba itu kepada Allah”

Oleh itu, sebelum melelapkan mata, ambillah sedikit masa sekadar 15 minit untuk kita menilai kembali amalan kita pada hari ini. Kalau kita tersilap langkah dengan membuat dosa, cepat-cepatlah bertaubat kepada Allah, dan sekiranya kita melakukan kebaikan dan amal soleh, tambahkanlah lagi amalan-amalan seumpama itu pada masa-masa hadapan.

No comments:

Post a Comment