Followers

Saturday, September 6, 2008

Persaudaraan Di Bulan Ramadhan


Oleh: Ustaz Shauqi

Allah telah menyediakan ganjaran yang besar dan tidak ternilai harganya kepada orang yang melaksanakan ketaatan di bulan Ramadhan. Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Puasa di bulan Ramadhan mendidik diri ke arah menginsafi nasib saudara seIslam yang lain, lantas mengukuhkan lagi perasaan kasih sayang dan persaudaraan sesama Islam. Kasih sayang dan persaudaraan sesama Islam dapat digambarkan melalui kata-kata yang telah diungkapkan oleh Huzaifah : Aku telah bertolak ke tempat berlakunya Peperangan Yarmouk untuk mencari sepupuku yang kesakitan dan kehausan untuk kuberikan kepadanya air yang ada bersama-samaku. Apabila aku dapat menemuinya, lantas aku memberikannya air. Sedang sahaja sepupuku itu hendak meneguk air, maka dia terdengar suara seorang muslim yang mengaduh kehausan, maka sepupuku lantas menyuruhku agar memberi minum orang itu dahulu. Aku pergi kepada orang itu dan aku dapati dia adalah Hisyam Bin al-As . Apabila Hisyam hampir sahaja meneguk air tersebut, maka terdengar oleh Hisyam suara sahabat seperjuangan yang lain mengaduh kehausan, maka Hisyam pun menyuruhku untuk pergi dan memberikan air kepada orang itu dahulu. Aku pun pergi kepadanya dan belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid. Aku berpatah balik kepada Hisyam , dan aku dapati dia juga telah syahid. Kemudian aku pergi pula kepada sepupuku tetapi belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid .

Di antara kesan yang akan dapat di peroleh bagi mukmin yang benar-benar menghayati erti Ramadhan ialah:-

  • Menimbulkan perasaan belas kasihan dan kasih sayang kepada fakir miskin, anak yatim dan orang yang kurang upaya.
  • Menimbulkan kekuatan untuk menghadapi penderitaan dan kepayahan hidup seharian.
  • Menerbitkan kesedaran, keinsafan, keadilan dan timbang rasa dalam kehidupan seharian.
  • Mewujudkan semangat persaudaraan Islam dan membentuk perpaduan serta kekuatan ummah.

Ibadah puasa di bulan Ramadhan mempunyai peranan yang besar untuk memupuk persaudaraan di antara sesama manusia, terutamanya di antara golongan kaya dan miskin. Ibn Qayyim al-Jauzi dengan tegas menyatakan bahawa ibadah puasa dapat mengingatkan orang kaya akan penderitaan dan kelaparan yang melanda orang miskin. Syeikh Muhammad Abduh pula ketika mentafsirkan ayat mengenai kewajipan berpuasa dalam Tafsir al-Manar menyatakan bahawa dari sudut kemasyarakatan, puasa itu melahirkan persamaan antara orang kaya dan orang miskin, antara raja, penguasa, ketua negara dengan rakyat jelata. Ini kerana mereka sama-sama berada dalam kedudukan yang serupa iaitu melaksanakan kewajipan berpuasa, sama dalam merasakan lapar dan dahaga.

Dr Wahbah al-Zuhaily dalam bukunya al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh, menyatakan bahawa puasa dapat menumbuhkan naluri kasih sayang, ukhuwwah, dan perasaan keterikatan dalam tolong-menolong yang dapat menjalin rasa persaudaraan sesama umat Islam. Seandainya setiap orang yang berpuasa merasakan penderitaan orang lain dan berlapang dada untuk memberikan makanan kepada orang yang memerlukan dan yang berada dalam kelaparan, nescaya kesengsaraan dan kemiskinan yang dialami oleh umat Islam yang lain dapat diringankan.

Wahai orang yang berpuasa, sesungguhnya anda dapat menghiasi meja makan dengan beraneka jenis makanan, justeru apa salahnya anda memberikan sedikit makanan untuk orang yang kelaparan itu, bahkan anda mampu membahagiakan keluarga lain yang sedang kelaparan itu, anda juga mampu menghapus air mata kesengsaraan mereka. Oleh itu, mengapakah anda berlengah lagi untuk memupuk persaudaraan dan membantu mereka? Ayuh, sama-sama kita berusaha menuju keredhaan Allah dengan mengukuhkan persaudaraan sesama Islam sempena Ramadhan yang penuh berkat ini!.

No comments:

Post a Comment