Saturday, September 20, 2008

Taqwa

Oleh: Ustaz Shauqi

Kita sedia maklum bahawa sebaik-baik orang mukmin ialah orang yang bertaqwa kepada Allah. Perkara ini telah dinyatakan oleh Allah s.w.t di dalam kitab-Nya:

إن أكرمكم عند الله أتقاكم
Ertinya : Sesungguhnya orang yang lebih mulia di sisi Allah ialah orang yang bertaqwa.

Oleh yang demikian, adalah salah jika ada dalam kalangan manusia yang merasakan bahawa dia adalah yang terbaik sekiranya dia memiliki kekayaan, pangkat mahu pun kuasa. Pada pandangan manusia mungkin hebat, tetapi Allah hanya menilai dari sudut ketakwaan dan keimanan kepada Allah.

Apatah lagi kita sudah sampai di penghujung bulan Ramadhan… apakah taqwa sudah menghiasi diri kita sebagaimana matlamat puasa itu sendiri yang bertujuan melahirkan manusia yang bertakwa kepada Allah? Untuk menjadi seorang yang bertaqwa kita mestilah mempunyai tanda-tanda seperti yang akan dinyatakan di bawah.

Tanda pertama seseorang itu mempunyai sifat taqwa di dalam dirinya ialah dia menjaga lidahnya. Lidah yang dianugerahkan oleh Allah kepada dirinya tidak digunakan mengikut gerak hatinya semata-mata. Sebelum menuturkan sesuatu perkara,dia akan berfikir terlebih dahulu sama ada butir bicara yang akan dilafazkan ada manfaat ataupun percakapan yang sia-sia. Dengan cara ini, apa yang dilahirkan melalui tutur kata akan menjadi sesuatu yang berhikmah dan boleh mendatangkan kebaikan bagi dirinya dan juga orang lain. Dia akan menghiasi lidahnya dengan kata-kata yang benar dan sentiasa membasahkan lidahnya dengan berzikir, bertahmid dan memuji-muji kebesaran Allah s.w.t

Orang yang bertaqwa juga sentiasa menjaga perutnya. Kebanyakan penyakit berpunca daripada perut.Justeru itu, dia akan sentiasa berwaspada dengan setiap apa yang hendak disajikan kepada perutnya. Setiap makanan dipastikan betul-betul halal dan jauh daripada perkara syubhat. Perkara ini boleh kita ambil iktibar daripada kisah Imam Abu Hanifah yang pada satu ketika tidak menyentuh daging kambing yang dihidangkan kepadanya kerana pada masa itu terdapat kes kehilangan kambing di kawasan tersebut. Beliau tidak mahu terjebak di dalam perkara syubhat. Bagi setiap ketua keluarga hendaklah mencari rezeki yang halal untuk diri dan keluarganya kerana setiap makanan yang tidak halal sekiranya dimakan akan menjadi darah daging kepada pemakannya. Sabda Rasulullah:

كل لحم نبت من حرام فالنار أولى به

Maksudnya: 'Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, nerakalah yang selayak baginya'.

Selain itu, orang yang bertaqwa sentiasa menjaga penglihatannya agar tidak melihat perkara yang dimurkai oleh Allah. Begitu juga dengan anggota-anggota lain seperti kaki dan tangan tidak disalahgunakan mengikut hawa nafsunya. Dia juga menjaga hatinya agar tidak dicemari dengan noda-noda hitam. Tanda yang lain ialah hamba yang bertaqwa kepada Allah akan sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah tanpa ada dolak-dalihnya. Setiap ketaatan yang dilakukan disandarkan kepada keikhlasan yang tidak berbelah bagi kepada Allah.

Menurut Syeikh Fadl Hassan Abbas, seseorang yang inginkan ketakwaan mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Iman
2. Taat
3. Tinggalkan maksiat
4. Taubat
5. Ikhlas


No comments:

Post a Comment