Jin, Ifrit, Syaitan dan Iblis adalah merupakan sebahagian daripada golongan Jin, cuma tugas dan fungsi mereka sahaja yang berbeza. Jin ialah sejenis makhluk Allah yang tersembunyi dan tidak dapat dilihat oleh manusia. Pengetahuan mereka lebih luas dan sangat panjang usianya. Manakala Ifrit pula adalah daripada golongan Jin yang sangat kuat dan bijak menipu serta sangat busuk hati terhadap manusia. Golongan ini tersangat sombong lagi amat durhaka kepada Allah.
Iblis dan Syaitan juga terdiri daripada golongan Jin dan mereka merupakan golongan Jin yang sangat sombong lagi durhaka, pengacau dan menjadi musuh utama manusia dan mendapat kutukan Allah sehingga ke hari kiamat. Sebagaimana Firman Allah yang bermaksud :
"Iblis menjawab : Sebab engkau telah menghukum saya dengan tersesat, saya akan menghalang mereka dari jalan Mu yang lurus. Kemudian saya akan mendatangi mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka. Engkau tak akan mendapati kebanyakan dari mereka bersyukur ( taat )."
Sesetengah ulama berpendapat bahawa Azazil itu bukanlah moyang Jin, sebenarnya beliau merupakan satu Jin yang paling abid dan alim di kalangan Jin yang di angkat menjadi ketua ahli-ahli ibadat kepada Jin dan Malaikat. Dia menjadi angkuh dan takbur di atas keilmuan, ketakwaan dan banyak beribadat serta asal usul kejadiannya berbanding dengan manusia ( Adam ). Maka dengan sifat beliau yang sombong itu Allah telah melaknatnya menjadi kafir dengan nama Iblis.
Bermula dari saat itulah Iblis melancarkan gerakan permusuhan dengan manusia sehingga ke hari kiamat. Allah telah menjelaskan bahawa terdapat tiga jenis permusuhan dilakukan oleh Jin ke atas manusia iaitu :-
- Melalui Kejahatan ( As-Suu’ ) : iaitu berkenan dan gemar kepada dosa-dosa dan maksiat hati dan segala anggota tubuh badan.
- Kekejian ( Al-Fahsyaa’ ) : iaitu kejahatan yang lebih buruk dan jahat lagi. Kekejian ini adalah sebahagian daripada perkara yang membawa kepada kedurhakaan dan maksiat kepada Allah.
- Melalui pembohongan dan menipu Allah melalui perbuatan, perkataan dan nawaitu
Bersahabat dengan Jin.
Ramai di kalangan orang Melayu yang bersahabat dan menjadikan Jin sebagai pembantu dan Khadam mereka dalam membantu mereka melaksanakan tugas-tugas yang tertentu. Contohnya seperti Tok Bomoh, Tok Pawang, Tok Dukun, Tok Mudim, Mak Bidan, Mak Andam, Tukang Urut, Panglima, Hulubalang, Tok Guru latihan pertahanan diri dan sebagainya. Walaupun begitu tidak semua golongan di atas yang menggunakan Jin dalam kerja-kerja harian mereka. Tidak dinafikan terdapat juga golongan tersebut yang benar-benar mempunyai kemahiran semulajadi tanpa pertolongan dari Jin.
Menurut Sheikh Abdul Wahhab Asy-Sya’rani dalam kitabnya Yawaqitu Wal Jawahir, bahawa bersahabat dan berkawan dengan Jin itu sangat keji. Katanya lagi "Barang siapa memilih dan melebihkan bersahabat dengan Jin daripada berkawan dengan ulama, maka orang itu sangat jahil. Kerana yang lebih biasa bagi Jin itu adalah perbuatannya dan perkataannya berlebih-lebihan dan dusta jua seperti kelakuan manusia yang fasik. Maka orang yang berakal lari ia daripada bersahabat dan berkawan dengan Jin, seperti larinya daripada bersahabat dan berkawan dengan manusia yang fasik." Tambahnya lagi : " Tidak sekali-kali aku melihat seseorang yang berkawan dengan Jin itu beroleh kebajikan kerana asal kejadian Jin itu adalah daripada api dan api itu sangat banyak geraknya. Dengan banyak gerak itu datanglah berlebih-lebihan perbuatan dan perkataan orang itu.
Syeikh Muhyuddin Arabi dalam kitabnya Futuhat pula menjelaskan : " Adalah orang yang berkawan ( bersahabat ) dengan Jin itu tidak beroleh ilmu kerana Allah. Kerana Jin itu sangat jahil akan Allah dan sifat-sifatNya. Kadang-kadang orang yang bersahabat denagan Jin itu menyangka semua perkara yang dikhabarkan dan di beritahu oleh Jin itu adalah daripada perkara yang berlaku di dalam alam itu adalah Karamah daripada Allah Taala. Sebenarnya sangkaan mereka tersebut adalah tidak benar sama sekali. Kerana segala pemberian Jin kepada manusia tentang khasiat tumbuh-tumbuhan, khasiat batu permata, akar kayu dan segala khasiat Isim dan huruf itu adalah merupakan salah satu bidang dalam ilmu Kimia semata-mata yang juga boleh di pelajari dan diketahui oleh manusia. Kata Syeikh Muhyuddin Arabi lagi : " Sesungguhnya ramai orang yang bersahabat dengan Jin akan menjadi takbur dan sombong dengan kelebihan yang dimilikinya itu. Sifat takbur merupakan salah satu sifat yang paling di murkai oleh Allah dan akan dimasukkan ke dalam Neraka seperti yang telah dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran dan Hadis RasulNya.
Ringkasnya kita sebagai seorang Islam di tegah daripada bersahabat dan berkawan dengan para Jin samada Islam maupun Jin kafir kerana keburukannya lebih banyak jika dibandingkan dengan kebaikan yang akan kita perolehi. Jin akan sentiasa merasuk dan mendorong manusia supaya melakukan kejahatan dan maksiat tanpa kita sedari.
No comments:
Post a Comment