Tuesday, October 14, 2008

Mahu Di Pandang Cantik


Akhir-akhir ini budaya untuk kelihatan cantik tidak lagi tertumpu kepada wanita sahaja, malahan kaum lelaki juga telah cuba-cuba untuk lebih kelihatan cantik. Tidak hairanlah jika kita dapat melihat muka lelaki yang licin bak telur dikupas. Seperkara lagi yang lebih dibanggakan oleh mereka yang ingin kelihatan cantik ialah bertindik. Ia telah menular kepada anak muda masa kini. Jika diikutkan budaya bertindik ini hanya diamalkan oleh penganut agama Hindu.


Akan tetapi anak muda masa kini bertindik hanyalah semata-mata untuk menunjuk-nunjuk sahaja. Kononnya ingin mengikut arus moden. Dalam erti kata yang lain mereka takut dikatakan ketinggalan, bak kata orang tak "up to date". Lebih mencabar lagi bertindik tidak hanya di telinga dan hidung semata-mata malahan telah menular di pusat, atas kening, lidah dan juga di bawah bibir. Mereka seolah-olah bangga dengan budaya Barat ini dan megah jika berjaya menirunya.


Kononnya ingin kelihatan "cool" dengan pemakaian subang di sana sini. Akan tetapi sebenarnya cara pemakaian subang tersebut sudah menyalahi tuntutan Islam. Contohnya, dalam budaya Barat pemakaian subang dalam kalangan lelaki adalah sebagai identiti kepada pengamal budaya homoseksual. Manakala kita di sini meniru bulat-bulat tanpa mengetahui maksudnya. Adakah kita sudah kehabisan budaya untuk diamalkan sehingga terpaksa meniru budaya Barat? Atau budaya Islam sudah tidak "up to date" dan tidak serasi dengan remaja?


Berhias untuk kelihatan cantik tidak dilarang dalam Islam. Namun bentuk perhiasan yang digunakan perlulah diambil perhatian agar ia tidak bertentangan dengan garis panduan yang ditetapkan oleh syara'. Firman Allah bermaksud: "Maka Allah sekali-kali tidak berlaku zalim kepada mereka, akan tetapi merekalah yang berlaku zalim pada diri mereka." (30:9)

No comments:

Post a Comment