Diriwayatkan dari Abu Ayyub al-Anshariy (R.A.): Sesungguhnya Rasulullah (S.A.W.). bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ
أَتَبْعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْر
Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti puasa enam hari pada bulan Syawal adalah seperti puasa setahun penuh. ( H.R.: Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa puasa enam hari itu boleh dilakukan secara berurutan ataupun tidak berurutan, karena ungkapan hadis itu bersifat mutlak, akan tetapi bersegera melaksanakan puasa enam hari itu adalah lebih utama. Tidak diwajibkan untuk melaksanakan puasa Syawal secara terus menerus akan tetapi hal itu adalah lebih utama. Kata Imam Khatib Syarbini dalam kitabnya, Mughni Muhtaj, puasa enam elok dilaksanakan secara berturut-turut tetapi sekiranya dilakukan secara berselang-seli juga tidak menjadi satu kesalahan.
Antara fadilat puasa enam ialah mereka yang melaksanakan puasa enam akan diberi ganjaran seperti berpuasa setahun sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis di atas. Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil daripada sabda Rasulullah dalam sebuah hadis yang riwayat Imam an-Nasai bermaksud: "Berpuasa pada bulan Ramadan seolah-olah berpuasa selama sepuluh bulan dan puasa enam pada bulan syawal seperti berpuasa dua bulan."
Manakala di dalam kitab Sabil al-Muhtadin pula, dinyatakan bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari pada bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari pada bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.
Tambahan daripada itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita pada bulan Ramadan ini kita teruskan juga pada bulan Syawal, walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana terpaksa atau kewajipan semata-mata tetapi kita melakukannya kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub kepada Tuhannya. Semuanya bertujuan membersihkan diri dan menundukkan hawa nafsu.
Membiasakan puasa setelah berlalunya Ramadhan menandakan diterimanya puasa ramadhan, kerana apabila Allah Ta'ala menerima amal seseorang hamba, pasti dia menolongnya dalam meningkatkan perbuatan baik selepasnya. Sebahagian cerdik pandai mengatakan : Pahala amal kebaikan adalah kebaikan yang ada sesudahnya.
Oleh kerana itu sesiapa yang dikatakan mengerjakan kebaikan adalah dilihat berdasarkan kebaikan yang ada sesudahnya. Sesiapa yang mengerjakan kebaikan kemudian melanjutkannya dengan kebaikan lain, maka hal itu merupakan tanda atas terkabulnya amalan pertama. Demikian pula sebaliknya, jika seseorang melakukan suatu kebaikan lalu diikuti dengan yang buruk maka hal itu merupakan tanda tertolaknya amal yangtelah dibuat.
Antara manfaat puasa enam hari pada bulan syawal juga adalah sebagai kesinambungan amalan yang dikerjakan seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Rabbnya pada bulan Ramadhan tidak terputus dengan berlalunya bulan mulia ini. Seorang ulama salaf ditanya tentang mereka yang bersungguh-sungguh dalam ibadahnya pada bulan ramadhan tetapi jika ramadhan berlalu mereka tidak bersungguh-sungguh lagi dalam mengerjakan ibadah, beliaumenjawab: seburuk-buruk golongan adalah yang tidak mengenal Allah secara benar kecuali di bulan Ramadhan saja, padahal orang salih adalah yang beribadah dengan sungguh-sungguh di sepanjang tahun.
No comments:
Post a Comment