Followers

Sunday, November 30, 2008

Menghayati Semangat Pengorbanan


Oleh: Mohd Sukki Bin Othman (Ustaz Shauqi)

Pada hari Isnin depan tanggal 10 Zulhijjah 1429 Hijrah bersamaan 8 Disember 2008 Masihi, umat Islam di Malaysia akan sama-sama merayakan Hari Raya Aidiladha atau lebih dikenali sebagai 'Hari Raya Haji' atau 'Hari Raya Korban'. Aidiladha disebut sebagai Hari Raya Korban adalah ekoran ibadah 'korban' yang disyariatkan pada hari tersebut iaitu dengan menyembelih haiwan seperti kambing, lembu, kerbau atau unta.

Penyembelihan korban dilakukan setelah selesai solat Aidil Adha pada 10 Zulhijjah dan masih diteruskan pada hari-hari Tasyrik iaitu pada 11,12, dan 13 Zulhijjah. Kaedah pembahagian daging korban ialah sepertiga disedekahkan kepada fakir miskin, sepertiga untuk jiran dan sahabat handai walaupun kaya, dan sepertiga lagi adalah untuk kegunaan orang yang melakukan korban. Daging korban disunatkan agar diberi dan disedekahkan secara mentah tanpa dimasak.

Ibadah korban telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Antara tujuan ibadat ini dilakukan ialah untuk mengingati semangat pengorbanan agung yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.. Nabi Ibrahim a.s. telah mendapat wahyu melalui mimpinya bahawa Allah s.w.t. memerintahkannya untuk menyembelih anaknya Ismail. Ini merupakan perintah yang amat berat bagi nabi Ibrahim, apatah lagi Ismail merupakan anak kesayangannya yang dilahirkan setelah baginda melewati usia lanjut, hasil perkongsian hidupnya dengan Hajar.

Namun, kekuatan iman dan semangat pengorbanan yang tinggi yang dimiliki oleh nabi Ibrahim menyebabkan baginda bertekad dengan sepenuh hati untuk melaksanakan perintah Allah ini. Allah s.w.t. telah merakamkan dalam al-Quran kata-kata nabi Ibrahim kepada anaknya, dalam surah al-Saffat ayat 102 yang bermaksud: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku, bahawa aku (diperintahkan) untuk menyembelihmu, maka apakah pendapatmu". Walaupun Nabi Ismail a.s. ketika itu masih muda, tetapi baginda tidak teragak-agak dalam memberikan persetujuan terhadap perintah Allah ini. Allah telah menyatakan dalam al-Quran tentang jawapan yang diberikan oleh nabi Ismail kepada bapanya, dalam surah al-Saffat ayat 102 yang bermaksud: "Wahai ayahku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah, ayah akan mendapati (menyaksikan sendiri) daku dari orang yang sabar"

Berbekalkan semangat pengorbanan yang tinggi kepada Allah, Nabi Ibrahim a.s. dan nabi Ismail a.s. bersedia untuk melaksanakan perintah Allah ini. Lalu, Nabi Ibrahim a.s. pun meletakkan pisau yang tajam di leher anaknya untuk menyembelihnya. Pada saat itu juga, Allah s.w.t menunjukkan Kekuasaan dan KeagunganNya dengan menggantikan nabi Ismail dengan kibasy untuk disembelih oleh nabi Ibrahim a.s.

Bermula dari sejarah inilah, ibadah korban dilaksanakan. Nabi Muhammad s.a.w. meneruskan ibadah korban ini, dan ia menjadi satu amalan Islam yang dilaksanakan pada setiap hari raya Aidiladha dan pada hari-hari Tasyrik. Firman Allah dalam surah al-Kawthar ayat 2 bermaksud: "… tunaikanlah solat kerana Tuhan-Mu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur)".

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dan al-Hakim, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Tidak melakukan seorang anak Adam sesuatu amalan pada hari raya Adha yang lebih disukai oleh Allah Taala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darahnya jatuh di sisi Allah pada satu tempat kemuliaan lebih dahulu dari jatuh kebumi. Maka berkiralah diri kamu dengan korban".

Ibadah korban yang dilakukan pada hari raya haji dan pada hari-hari Tasyrik ini bukanlah semata-mata untuk menyembelih binatang dan disedekahkan dagingnya kepada fakir miskin, akan tetapi ia juga merupakan simbolik ke arah semangat pengorbanan dan semangat jihad yang perlu ada pada diri setiap individu muslim. Orang yang akan memperoleh keredhaan Allah, dan yang akan mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat ialah mereka yang sanggup berkorban masa, tenaga, wang ringgit dan jiwa raga di jalan Allah s.w.t.

Akan tetapi, yang menjadi persoalannya ialah mengapakah terdapat di kalangan umat Islam yang sanggup melakukan ibadah korban dengan menumpahkan darah binatang yang disembelih sebagai tanda taat kepada Allah, namun tidak sanggup 'berkorban' dalam mentaati perintah Allah dalam perkara yang berkait dengan hukum hakam agama yang lain? Mengapakah masih terdapat di kalangan umat Islam yang tidak melaksanakan perintah Allah seperti menunaikan solat lima waktu dengan sempurna, menutup aurat, menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid dan surau dan sebagainya? Mengapakah juga masih terdapat di kalangan umat Islam yang bergelumang dengan maksiat dan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah seperti menipu, rasuah, judi, dan sebagainya?

Justeru, dengan semangat pengorbanan yang ada di musim perayaan Aidiladha ini, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan menilai kembali tindak tanduk dan perbuatan kita seharian agar ia selari dengan kehendak dan ajaran islam. Kita hendaklah bersedia melakukan pengorbanan semata-mata mencari keredhaan Allah. Korbankanlah waktu yang ada dengan dimanfaatkan untuk mentaati segala perintah dan suruhan Allah. Korbankanlah juga keinginan nafsu syahwat yang mendorong ke arah kejahatan, dengan meninggalkan segala larangan Allah.

Musuh utama kepada pengorbanan yang hendak dilakukan ialah syaitan dan hawa nafsu. Ia berusaha menipu manusia dengan perasaan sayang yang berlebihan kepada wang ringgit, takut rugi atau membuang masa apabila melakukan sesuatu kebajikan dan amalan soleh, dan bermacam-macam godaan dan tipu dayanya lagi. Allah berfirman dalam surah al-Fatir ayat 6, maksudnya: "Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh. Kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala".

Mudah-mudahan, Aidiladha pada tahun ini memberikan sinar pengorbanan yang sejati pada diri setiap individu muslim. Kita akan berusaha apa sahaja demi melakukan pengorbanan dalam mencari keredhaan Allah dan kebahagiaan yang hakiki di dunia dan di akhirat. Firman Allah dalam surah al-Nisa’, ayat 175 bermaksud: "Adapun orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada agamanya, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat yang besar darinya (Syurga). Dan limpah kurnianya yang tidak terkira, dan Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus (agama Islam) untuk sampai kepadaNya (Allah)"

Wednesday, November 26, 2008

Henti pertikai fatwa haram yoga


KOTA BHARU 25 Nov. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa supaya pelbagai pihak berhenti daripada mempertikaikan fatwa pengharaman amalan yoga secara sistematik yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyokong fatwa tersebut dan berpendapat tidak ada masalah untuk mewartakannya di negeri ini kerana ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Beliau berkata, kewujudan amalan seperti jampi yang digunakan dalam senaman menjurus kepada kaitan hubungan dengan tuhan adalah perkara yang boleh memesongkan akidah umat Islam.

"Saya secara peribadi bersetuju dengan fatwa ini, saya rasa ia tidak masalah untuk diwartakan di sini... terpulang kepada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) untuk melaksanakannya. "Saya tidak tahu apa yang disebut dalam jampi yoga, tetapi disebabkan yoga ini datang daripada mereka yang tidak bertuhankan Allah, sudah pasti dalam jampi dia sebut nama benda lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai fatwa yang meminta umat Islam negara ini tidak mengamalkan senaman yoga secara sistematik yang didapati mengandungi unsur-unsur keagamaan, mantera dan pemujaan.

Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, Majlis Muzakarah Kebangsaan memutuskan apa jua bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang kerana bertentangan dengan Islam.

Semalam, Sisters In Islam (SIS) dilaporkan menolak keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan amalan senaman yoga kerana tiada sebarang bukti dikemukakan bagi mewajarkan yoga diharamkan.

Pengurus Program SIS, Norhayati Kaprawi berkata, sehingga kini negara tidak pernah menerima apa-apa aduan atau bukti yang mengatakan ada individu beragama Islam bertukar kepada agama Hindu selepas mengamalkan senaman yoga.

Nik Abdul Aziz berkata, tidak ada ajaran dalam Islam melalui al-Quran atau hadis yang mengatakan senaman boleh menyatukan diri dengan tuhan. "Sebagai orang Islam, masing-masing mengetahui kekuasaan tuhan dan mengakuinya, jadi kenapa perlu sebut nama lain dalam jampi selain Allah. "Tuhan bukan manusia, kita bukan boleh berunding dan berbincang, apa jaminan kita ini (manusia) boleh bersatu dengan Allah?,'' katanya.

Tuesday, November 25, 2008

Hukum Berkaitan Ibadah Korban


1. Waktu Perlaksanaan Ibadat Korban
Menyembelih binatang korban hanya boleh dilaksanakan setelah selesai solat Hari Raya Aidiladha dan berlanjutan sehingga di akhir hari Tasyriq yakni 3 hari setelah Aidiladha. Oleh itu penyembelihan haiwan korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Dzulhijjah. Menurut Imam al-Syafi’i r.h: Adapun waktu menyembelih haiwan korban adalah ketika imam telah selesai solat Aidiladha…Apabila hari-hari Mina telah berlalu (tarikh 11, 12 dan 13 Dzulhijjah), maka sudah tidak boleh menyembelih korban. – Imam al-Syafi’i, Mukhtasar Kitab al-Umm fiil Fiqhi, (edisi terjemahan bertajuk Ringkasan Kitab al-Umm, Peringkas dan peneliti Hussain Abdul Hamid Abu Nashir Nail, Pustaka Azzam, Jakarta, 2004) jilid 1, m.s. 737 Dalilnya adalah sabda Rasulullah s.a.w. :Sesungguhnya perkara yang pertama yang kita mulakan pada hari ini (Aidiladha) ialah kita solat kemudian menyembelih (bintang korban). Maka sesiapa yang melakukan serupa itu dia telah mendapat sunnah kami. Barangsiapa yang menyembelih sebelum solat, maka sesungguhnya sembelihan itu adalah daging yang diperuntukkan keluarganya, bukan termasuk binatang korban sedikitpun. – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no: 1961Sabda baginda: Sesiapa yang menyembelih sebelum dia solat (Aidiladha), maka hendaklah dia mengulanginya. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 5561 Sabda Rasulullah s.a.w.: Seluruh hari-hari Tasyriq merupakan waktu penyembelihan. – Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no: 16151.

2. Haiwan Korban Tersebut Tidak Memiliki Kecacatan
Hendaklah kita pastikan bahawa haiwan yang hendak kita korbankan tersebut adalah dari jenis baka yang baik serta tidak memilki kecacatan seperti buta, tempang, kurus, tanduk patah, telinga terkoyak, lemah dan lain-lain bentuk penyakit. Sabda Rasulullah s.a.w. : Empat jenis binatang yang tidak dibolehkan dalam berkorban, buta sebelah yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, yang tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus). – Hadis riwayat Abu Dawud di dalam Sunan AbuDawud, hadis no: 2420.

3. Tidak Menggunting Rambut Dan Memotong Kuku
Bagi mereka yang hendak melaksanakan ibadat korban maka hendaklah dia tidak menggunting rambut dan memotong kukunya semenjak tarikh 1 Dzulhijjah sehingga setelah dia melaksanakan ibadat korban tersebut. Sabda Rasulullah s.a.w.: Jika masuk sepuluh hari pertama bulan Dzulhijjah (1 Dzulhijjah) dan salah seorang dari kalian ingin menyembelih korban, maka jangan memotong sedikitpun dari rambut dan kukunya. – Hadis riwayat Imam Muslim di Dalam Shahih Muslim, hadis no: 1977. Larangan memotong rambut ini termasuk juga memncabut mahupun mencukur ataupun apa-apa cara yang boleh menghilangkan segala jenis rambut atau bulu di badan. Menurut Imam al-Nawawi r.h: Yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah larangan menghilangkan kuku dengan pemotongan atau pencabutan atau yang lainnya (dengan sengaja). Dan larangan untuk menghilangkan rambut baik ianya berbentuk pencukuran, memendekkan, pencabutan, pembakaran atau menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut, atau yang lainnya, baik ianya bulu ketiak, kumis, bulu kemaluan, rambut kepala mahupun bulu-bulu lain di bahagain badan lain-lainnya.– Imam al-Nawawi, Syarh Muslim, jilid 13, ms. 138-139.

4. Seekor Unta Atau Lembu Boleh Dibahagikan Kepada 7 Bahagian
Seekor unta ataupun lembu boleh dikongsi bersama oleh tujuh orang yang hendak melaksanakan ibadat korban. Diriwayatkan daripada Jabir r.a, dia berkata: Kami pernah menyembelih (haiwan korban) bersama Rasulullah s.a.w. ketika di Hudaibiyah seekor unta untuk 7 orang dan menyembelih lembu untuk 7 orang bersama-bersama Rasulullah s.a.w.. – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no: 1318

5. Boleh Berkorban Untuk Dirinya Sendiri Serta Ahli Keluarganya.
Seseorang untuk dibenarkan untuk berkorban serta berkongsi pahalanya bagi dirinya sendiri serta bagi pihak keluarganya sekalipun ramai jumlahnya walaupun hanya berkorban dengan seekor kambing atau satu daripada tujuh bahagian seekor lembu. Ini berdasarkan sebuah hadis yang mana Atha’ bin Yassar pernah bertanya kepada Abu Ayyub al-Anshari tentang berkorban pada zaman Rasulullah s.a.w. Maka Abu Ayyub menjawab: Dulu seseorang berkorban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya, lalu mereka memakannya dan membahagikannya kepada orang lain. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunan al-Tirmidzi, hadis no: 1425

6. Ibadat Korban Dilaksanakan di al-Musolla.
Disunnahkan untuk melaksanakan ibadat koran tersebut di tanah lapang yang digunakan untuk bersolat di (al-Musholla) demi untuk memperlihatkan syi’ar Islam. Ini sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar r.a daripada Nabi s.a.w: Bahawasanya baginda menyembelih dan berkorban di al-Musholla. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 5552.

7. Disunnahkan Menyembelih Sendiri Haiwan Korban
Adalah disunnahkan dan afdhal untuk mereka yang ingin melaksanakan ibadat korban tersebut agar menyembelih haiwan korbannya dengan tangannya sendiri. Diriwayatkan daripada Anas, dia berkata: Nabi s.a.w. pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih keduanya dengan tangan baginda sendiri… - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 5565 Namun begitu diperbolehkan juga bagi mereka yang ingin berkorban untuk mewakilkan penyembelihan haiwan korban tersebut kepada orang lain yang Muslim.

8. Menyembelih Haiwan Korban Mengikut Sunnah
Hendaklah menyembelih haiwan korban tersebut dengan menggunakan objek yang tajam seperti pisau dan dilakukan dengan cepat agar haiwan mati dengan serta-merta. Ketika hendak menyembelih baringkan haiwan korban tersebut pada sebelah sisi kirinya agar mudah memegang pisau dengan tangan kanan dan memegang atau menahan lehernya dengan tangan kiri.. Ketika mehyembelih hendaklah membaca basmallah dan bertakbir (Bismillahi Wallahu Akbar). Ini sebagaimana diriwayatkan daripada Anas r.a, dia berkata: Nabi s.a.w. pernah berkorban dengan dua eekor kambing biri-biri yang bagus dan bertanduk. Baginda menyembelih keduanya dengan tangan baginda sendiri dengan menyebut Nama Allah dan bertakbir seraya meletakkan kaki baginda pada lambung keduanya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 5565. Hendaklah ketika menyembelih dikerat salur udara, kerongkong dan saluran darah leher haiwan tersebut tanpa mengerat gentian saraf di dalam tulang belakang. Hendaklah darah dari badan haiwan korban tersebut dialirkan keluar sepenuhnya dari badan haiwan tersebut sebelum melapahnya.

9. Daging Korban Tersebut Dimakan, Disedekah dan Dihadiahkan
Disunnahkan bagi keluarga yang melakukan ibadat korban tersebut untuk turut memakan sebahagian daging, menghadiahkan sebahagiannya kepada orang lain dan mengsedekahkan sebahagian lain. Malah diperbolehkan juga bagi mereka untuk menyimpan daging tersebut. Dalil-dalil akan hal ini adalah seperti berikut: Sabda Nabi s.a.w: Makanlah dan simpanlah serta sedekahkanlah (daging korban tersebut). - Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no: 1971. Jadi seeloknya 1/3 dimakan atau diambil oleh orang yang buat korban, 1/3 untuk hadiah pada sahabat dan jiran, 1/3 disedekahkan kepada fakir miskin. Kalau korban nazar, pembuat korban tidak boleh mengambil untuk dirinya walau sedikit pun.

10. Tidak boleh Mengupah Tukang Sembelih Dengan Daging Korban
Perbuatan ini adalah bertentangan dengan syarak dan diharamkan oleh Rasulullah s.a.w.. Hendaklah kepada upah tukang sembelih tersebut diberikan dengan menggunakan harta sendiri dan bukan apa-apa jua bahagian dari daging korban. Telah diriwayatkan daripada ‘Ali r.a, dia berkata: Nabi s.a.w. pernah menyuruhku untuk menyempurnakan seekor unta milik baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan pelindung yang dikenakannya, dan aku tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih dari haiwan korban tersebut. Dan dia mengatakan: “Kami memberinya dengan harta kami sendiri.” - Hadis riwayat Imam Muslim di Dalam Shahih Muslim, hadis no: 1317.

sumber:http://ibnusulaiman.blogspot.com/2006/12/mengerjakan-ibadat-korban- menurut.html (bersama pindaan dan penambahan)

Monday, November 24, 2008

Michael Jackson Memeluk Islam


Penyanyi kontroversi Amerika Syarikat, Michael Jackson memeluk Islam. Jacko yang dibesarkan sebagai penganut Kristian, dikatakan mengambil keputusan menukar agamanya ketika beliau menggunakan studio di rumah kawan rapatnya untuk merekodkan album baru. Rakannya, David Wharnsby seorang penulis lagu Kanada dan produser Philip Bubal, yang menasihatkan Jacko supaya memeluk Islam. Kedua-duanya juga sudah memeluk Islam dengan nama baru mereka Dawud Wharnsby Ali dan Idris Philips.

“Mereka mula berbincang mengenai agama dan bagaimana mereka menjadi seorang yang lebih baik dengan menukar agama. Tidak lama kemudian Michael mula menerima idea itu,” kata sumber yang dipetik oleh akhbar . Abang Michael Jackson sendiri iaitu Jermaine Jackson sudah pun memeluk Islam sejak tahun 1989. Penyanyi Britain, Yusuf Islam, 60, atau nama asalnya, Cat Stevens, mengalu-alukan Jacko sebagai saudara baru.

Jacko kini berdoa untuk ke Makkah selepas satu majlis diadakan di rumah pemain keybord Toto, Steve Porcaro, 51, di Hollywood Hills yang menyusun album Thriller penyanyi itu.

Saturday, November 22, 2008

Umat Islam diharam amalkan Yoga secara sistematik


PUTRAJAYA 22 Nov. — Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga secara sistematik, yang melibatkan unsur-unsur fizikal dan spiritual kerana ia bertentangan dengan syariat Islam.

Pengerusinya Datuk Dr Abdul Shukor Husin bagaimanapun berkata, amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya tidak menjadi kesalahan. Namun, katanya, ia tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menghakis akidah seseorang Muslim memandangkan ia merupakan salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu.

“Amalan yoga yang berasal dari masyarakat Hindu mempunyai tiga peringkat, peringkat pertama adalah fizikal iaitu senaman, peringkat kedua adalah mentera dan pemujaan bagi mendapatkan ketenangan dan peringkat ketiga adalah penyatuan diri dengan tuhan. Oleh itu ahli muzakarah bersetuju memutuskan bahawa apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang dan bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Shukor berkata perkara itu diputuskan dalam persidangan Anggota Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan ke-83 yang bersidang 22-24 Okt lalu di Kota Bharu, Kelantan, dan akan dipanjangkan kepada majlis-majlis agama negeri untuk diwartakan. Selain Malaysia, amalan yoga telahpun diharamkan di Singapura dan Mesir, katanya.

Abdul Shukor berkata, pada peringkat ini, program kesedaran mengenai amalan itu akan diperluaskan ke seluruh negara melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Beliau turut menasihatkan masyarakat Islam supaya berhati-hati dan berwaspada dengan perkara-perkara yang boleh memesongkan akidah, serta perlu mengkaji secara mendalam mengenai sesuatu amalan sebelum melakukannya.

Beliau berkata terdapat banyak amalan lain dalam Islam yang boleh dilakukan bagi menjaga kesihatan dan mendapatkan ketenangan termasuk mengamalkan sembahyang dan berzikir. Yoga merupakan satu pakej senaman yang telah diamalkan sejak 3,000 tahun sebelum Masihi dan dikatakan boleh melambatkan penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, lelah dan penyakit jantung.

— BERNAMA

Persaudaraan Dalam Ibadah Haji


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


Ibadah haji mula difardhukan ke atas umat Islam pada tahun ke 5 atau ke 6 hijrah, iaitu apabila turunnya ayat al-Quran daripada surah Ali Imran ayat 97 yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah bagi sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya, dan sesiapa yang kufur dan engkar terhadap kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk”.

Dalam ayat 196 Surah al-Baqarah, Allah berfirman, maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah”. Sabda Rasulullah saw bermaksud: ‘Agama Islam itu dibina di atas lima perkara, bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadhan, dan mengerjakan haji’ (Hadis riwayat Imam Bukhari). Dalam hadis yang lain, Rasulullah saw bersabda, mafhumnya: ‘Sesiapa yang memiliki harta benda dan kenderaan untuk menyampaikannya ke Baitullah, tetapi tidak mengerjakan haji, maka bila dia mati akan menjadi sebagai Yahudi atau Nasrani’.

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis di atas, maka para ulama’ bersepakat mengenai kewajipan menunaikan ibadat haji sekali dalam seumur hidup bagi orang yang berkemampuan. Para ulama’ juga bersepakat mengenai kufurnya orang yang engkar dan menolak kewajipan menunaikan fardhu haji.

Terdapat segelintir umat Islam dalam masyarakat kita yang sudah berkemampuan untuk menunaikan haji, tetapi tetap tidak menunaikannya. Sedangkan saban tahun, mereka ini pergi menunaikan ibadah umrah. Kadang-kala dalam setahun, mereka menunaikan dua atau tiga kali umrah, tetapi tetap tidak berkesempatan untuk menunaikan haji. Bila ditanya tentang haji, dengan selamba mereka menjawab, ‘belum sampai seru lagi!’.

Sama ada orang sebegini menyedari atau tidak bahawa umrah yang ditunaikan saban tahun itu adalah sunat sedangkan haji yang mereka sering tangguhkan perlaksanaannya itu adalah wajib!. Manakah yang perlu diutamakan, sunat atau wajib? Tepuk dada, Tanya iman!. Alasan yang menyatakan tidak sampai seru lagi, tidak dapat diterima sama sekali, kerana seruan haji ini telah dinyatakan di dalam al-Quran dan sunnah dengan begitu jelas dan terang. Sanggupkah mereka mati dalam keadaan Yahudi atau Nasrani, lantaran tidak menunaikan haji sedangkan sudah berkemampuan untuk menunaikannya?.

Nabi Muhammad s.a.w. telah menunaikan fardhu haji sekali sahaja semasa hayat baginda. Haji itu dinamakan Hajjatul Wada’ (haji perpisahan), kerana tidak berapa lama kemudian selepas itu Rasulullah pun wafat. Rasulullah telah berangkat dari Madinah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri, para sahabat dan orang Islam yang lain. Rasulullah telah menyempurnakan amalan-amalan sunat ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah atau dikenali sebagai Bir Ali yang terletak lebih kurang 10 km dari Madinah. Setelah 9 hari dalam perjalanan, Rasulullah pun sampai di makkah pada tanggal 4 Zulhijjah. Setelah Rasulullah menyempurnakan ibadat haji, maka pada 14 Zulhijjah, Rasulullah telah berangkat meninggalkan Makkah menuju balik ke Madinah al-Munawwarah.

Ibadah haji mendatangkan banyak faedah kepada umat Islam. Firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 27-28 bermaksud: ‘Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang (ke Baitullah) dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus, yang datang dari pelbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai-bagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu kerana pengurniaanNya kepada mereka binatang ternak (untuk dijadikan korban)’.

Ibadah haji juga membawa ikatan mahabbah dan persaudaraan yang kukuh dalam kalangan umat Islam tanpa mengira bangsa, keturunan dan warna kulit. Pada hakikatnya, ibadah haji merupakan muktamar atau perhimpunan umat Islam yang terbesar di dunia. Umat Islam saling berusaha menyebarkan ukhuwwah Islamiah dan aktiviti-aktiviti yang mendatangkan banyak manfaat. Inilah hikmahnya persaudaraan yang dipupuk oleh umat Islam sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Quran bahawa orang yang beriman itu bersaudara.

Namun, apakah persaudaraan Islam yang didapati daripada ibadat haji itu benar-benar tersemat di dalam hati sanubari mereka yang menunaikannya?. Ini kerana, terdapat sebilangan umat Islam yang sudah beberapa kali menunaikan ibadah haji, tetapi tetap tidak dapat mengaplikasikan semangat persaudaraan dan kasih sayang sesama Islam.

Sebagaimana yang dimaklumi, ibadah haji wajib ditunaikan seumur hidup sekali sahaja. Apabila seseorang itu menunaikan ibadah haji untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya, maka ibadah tersebut menjadi sunat. Kadang-kala berlaku dalam kalangan umat Islam yang beria-ia menunaikan haji pada setiap tahun, dan dalam masa yang sama melupakan hubungan persaudaraan dan kasih sayang yang sewajarnya dipupuk sesama umat Islam. Kedapatan di antara mereka yang langsung tidak memperdulikan saudara seagama yang berada dalam kesusahan dan yang memerlukan bantuan. Jadi, berbaloikah ibadah haji sunat yang ditunaikan itu, tetapi melupakan manefestasi dan falsafah haji yang menyeru ke arah persaudaraan dan kasih sayang?

Apalah gunanya ibadah yang ditunaikan, tetapi tidak juga dapat mengubah sikap yang terlalu mementingkan diri sendiri sahaja? Lupakah kita pada generasi para sahabat yang sanggup mati kehausan semata-mata mengutamakan sahabat yang lain terlebih dahulu, sebagaimana yang berlaku dalam peperangan Yarmouk?

Nabi saw bersabda dalam sebuah hadis yang sahih yang bermaksud: ‘Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi bagi saudaranya apa yang dikasihi bagi dirinya sendiri’. Oleh itu, apalah salahnya bagi mereka yang sudah kerap menunaikan ibdah haji dan yang berkemampuan, sekiranya dapat membantu saudara seagama terutamanya waris dan kaum keluarganya yang terdekat yang belum menunaikan haji supaya dapat berbuat demikian. Sekurang-kurangnya itulah tanda kasih dan sayangnya bagi saudaranya sebagaimana yang dia kasihkan sesuatu yang baik bagi dirinya sendiri. Sekiranya perkara seumpama ini dapat dilaksanakan, maka ia akan dapat mengikis sikap pentingkan diri sendiri yang wujud pada diri seseorang itu.

Moga ibadah haji yang dilakukan pada tahun ini membawa sejuta pengharapan ke arah ikatan persaudaraan sesama Islam. Bantulah saudara sesama Islam yang tidak berkemampuan dan yang memerlukan pertolongan dengan apa-pa yang termampu sama ada dengan harta, wang ringgit, tenaga, doa dan sebagainya. Mudahan-mudahan juga awal Muharram yang disambut selepas berlalunya ‘bulan haji’, dapat menyuntik semangat yang lebih kukuh dan utuh dalam persaudaraan ini demi mencapai kebahagiaan hakiki di dunia dan di akhirat nanti.


Friday, November 21, 2008

Khutbah Jumaat


Pertembungan antara hak dan bathil telah berlaku dan akan terus berlaku.Umat islam yang membawa panji kebenaran sering menjadi sasaran serangan musuh.Serangan yang mereka lancarkan itu bukan sahaja berbentuk hujanan peluru yang dimuntahkan secara rambang kearah umat islam,bahkan yang lebih dahsyat dari itu.Serangan pemikiran yang telah mengorbankan jiwa-jiwa keislaman yang dahulunya subur dengan tauhid dan ibadat.

Hasil dari serangan tersebut,maka terbentuklah berbagai kelompok dalam masyarakat islam.Ada sebahagiannya yang memiliki iman dan ilmu keislaman yang mantap,ia masih mempertahankan jiwa dan pemikiran islamnya seperti yang digariskan oleh al-quran dan tak kurang juga yang tertewas dan akhirnya menyerah kalah lalu tenggelam dilautan kesesatan yang bercampur antara islam dan kekufuran.Keyakinan mereka kepada islam tidak seteguh seorang mukmin,kerana pemikirannya telah disogokkan dengan kehebatan duniawi yang ditaja oleh barat. Natijahnya ialah mereka mula berkiblatkan barat walau pun agama anutan mereka masih islam.Tamadun barat dirasakan terlalu sempurna,sedang islam dipandang sepi dan tidak punyai sesuatu yang boleh dibangga-banggakan.

Sungguhpun begitu,cahaya islam masih gagal dipadamkan,bahkan ia semakin menyinari alam ini.Kini timbul puteri-puteri yang dilahirkan dalam keluraga yang tidak pernah kenal kepada kisah ilahi membawa obor islam dipersada dakwah islamiah dimerata dunia islam dan bukan islam. Keimanan mereka terhadap kebenaran islam begitu kuat sehingga ada dikalangan mereka mampu menjadi pendakwah islam demi membawa keluarga dan ummat sekaliannya dari alam kesesatan.

Apakah sebab mereka sanggup meninggalkan agama asal nenek moyang mereka dan memeluk islam,walaupun terpaksa menempuh ranjau dan duri setelah memilih agama islam yang baru bagi mereka?.Bahkan sanggup pula menyampaikan islam kepada orang lain pula.

Marilah kita melihat sebab-sebabnya,mudah-mudahan ia akan menambahkan keyakinan serta kekaguman kita kepada agama islam yang tercinta ini.Melalui kajian didapati sebab utamanya ada dua perkara:

Pertama : Hilang kepercayaan terhadap agama asal
Kedua : Terpaut kepada kebenaran islam

Dalam konteks hilang kepercayaan terhadap agama asal, sebagai contoh : dikalangan pengikut agama kristian setelah mereka dapati berlakunya kes-kes seperti berikut:

* Skandal seks dikalangan paderi dan biarawati yang sangat tinggi di gereja.Mengikut seorang pakar psikologi daripada salah sebuah universiti di amerika adalah seramai 34 ribu atau 40% daripada biarawati di amerika syarikat diperkosa oleh rakan sejawat mereka iaitu paderi lelaki di gereja.

* Keraguan terhadap kesahihan sumber asal kristian. Didapati bahawa penulis-penulis kitab injil tidak hidup semuanya sezaman dengan nabi isa a.s. Mathew misalnya, walaupun ia hidup sezaman dengan nabi isa a.s,tetapi injil beliau ditulis 30 tahun selepas itu dan injil beliau ditulis di Armenia dan tulisan asalnya telah hilang sedangkan yang dipegang oleh penganutnya kristian hari ini ialah terjemahan dari teks yang kononnya asal. Injil Luke pula ditulis oleh Luke yang tidak pernah berjumpa dengan nabi isa a.s sebaliknya menuntut dengan Paul yang memusuhi nabi isa a.s.

* Kedapatan ramai paderi yang meninggalkan kristian dan menganut islam. Seperti Lim Jooi Soon dari melaka yang telah 13 tahun menjadi Mubaligh kristian,akhirnya memeluk islam setelah melihat perdebatan antara ahmad deedat dengan beberapa paderi kristian.

* Dan banyak lagi perkara yang menyebabkan mereka meninggalkan agama asal mereka dan menganut agama islam.

Perkembangan terkini menunjukkan islam semakin diminati dibarat dan ramai orang barat memeluknya kerana kesempurnaan yang terdapat didalam agama islam tidak terdapat didalam agama asal mereka.Antara komen mereka terhadap islam ialah:

Pertama : Islam agama yang mudah diamal,rasional dan praktis.
Mereka mendapati islam adalah agama yang tidak dicampuri dengan unsur-unsur karut.Ajarannya mudah difahami dan mempunyai alasan kukuh untuk diamalkan dan ia benar-benar agama dari tuhan.

Dalam masalah ketuhanan,tiada unsur paksaan bahkan islam memberi hak kepada akal untuk memikirkan kebenaran kewujudan dan keagungan tuhan.Mereka mendapati al-quran membentangkan kepada manusia terlebih dahulu bukti-bukti kekuasaan allah s.w.t agar akal dapat membuat pertimbangan tentang kewujudan allah s.w.t.Mereka melihat islam meraikan dia kebijaksanaan manusia.Dalam hal ini dapat kita lihat melalui firman allah s.w.t dalam surah Yunus ayat 5:

"Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya,dan dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya(masing-masing) supaya kamu dapat mengetahu bilangan tahun dan kiraan masa.Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar.Allah menjelaskan ayat-ayatnya (tanda-tanda kebesarannya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikannya).

Kedua : Islam tidak memisahkan antara keperluan jasmani dan rohani.
Pengkaji islam dibarat melihat islam menunjukkan jalan kearah kesempurnaan rohani tetapi bukan dengan jalan menjauhi kehidupan meterial.Bahkan melalui jalan takwa kepada allah s.w.t dalam seluruh keperluan hidup,sebagaimana disebut didalam al-quran,allah s.w.t berfirman dalam surah al-baqarah ayat 201-202:

"Dan diantara mereka pula ada yang (berdoa dengan ) berkata : "Wahai tuhan kami, berilah kami kebaikan didunia dan kebaikan diakhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka". Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan dan allah amat cepat hitungnya".

Mereka mendapati pula agama kristian hanya menekankan persoalan kerohanian,sedangkan tamadun barat terlalu menumpukan kepada aspek kebendaan semata-mata dan inilah punca akan berlaku keruntuhan tamadun didunia.Inilah sebab orang-orang barat merasakan agama asal mereka gagal memberi ketenangan jiwa pada mereka.

Ketiga : Islam menunjukkan jalan kehidupan yang sempurna.
Pengkaji islam dibarat melihat,islam adalah satu jalan hidup yang sempurna,meliputi semua lapangan hidup manusia.Islam memberikan bimbingan untuk setiap langkah kehidupan individu mahu pun masyarakat,meterial dan moral,ekonomi dan politik,hukum dan kebudayaan,nasional dan internasional. Mereka pula melihat agama asal mereka (Kristian) membatasi ruang lingkup agama itu hanya pada kehidupan individu,sedangkan peranan sosial dan kebudayaannya ditinggalkan.

Keempat : Universal dan kemanusiaan.
Pengkaji islam dibarat melihat risalah islam adalah untuk seluruh umat manusia.Tuhan dalam ajaran islam adalah tuhan seluruh alam.Mereka juga melihat nabi muhammad s.a.w adalah seorang rasul untuk seluruh alam semesta. Masyarakat barat juga melihat,didalam ajaran islam manusia itu semuanya sama, walaupun berlainan warna kulit,bahasa,keturunan dan kebangsaannya.

Kelima : Islam terpelihara dari perubahan.
Pengkaji islam dibarat melihat segala ajaran didalam islam yang terdapat dalam al-quran tetap ats dasar dan nasnya yang asal tanpa ada perubahan selama-lamanya. Profesor Reynold A.Nicholson telah menulis dalam bukunya yang bermaksud: Al-quran adalah suatu dokumen kemanusiaan yang luar biasa,menerangkan setiap detik hubungan muhammad dengan segala kejadian yang dihadapinya selama hidupnya,sehingga kita mendapat bahan yang unik dan tahan ujian keasliannya,sehingga kita dapat mengikuti perkembangan islam sejak permulaanya sampai sekarang.Semua itu tidak ada bandingan dalam agama-agama budha atau kristian,mahu pun dalam agama-agama lainnya.

Semua itu hanyalah sebahagian sahaja tanda-tanda yang dengan jelas dan kuat menunjukkan bahawa islam adalah agama yang paling sempurna bagi kemanusiaan dahulu, sekarang dan akan datang. Isu-isu inilah yang telah menarik beratus-ratus juta umat manusia kedalamnya.Mereka semua yakin bahawa islam adalah agama yang hak dan benar,jalan hidup yang lurus yang seharusnya dilalui oleh manusia. Hal itu akan tetap menarik mereka diwaktu-waktu yang akan datang.

George Benard Shaw berkata:
"Kalau mana-mana agama ada peluang memerintah England atau Eropah dalam masa seterus tahun akan datang maka ia adalah islam".

Semoga segala keterangan yang kita dengar pada ini menambahkan minat kita untuk terus bersama islam dan menyampaikannya kepada seluruh manusia didunia ini dengan penuh keyakinan dan kebanggaan.Semoga keyakinan kita terhadap islam akan menggerakkan kita untuk mengamalkan islam dalam setiap juzuk kehidupan kita. Dan inilah bukti keimanan kita kepada allah s.w.t dan syarat untuk menjadi orang yang beriman kepadanya.

Wednesday, November 19, 2008

Parti Melayu Perlu Senada, Bersatu


(Dipetik dari Utusan Malaysia - 19 November 2008)

SAYA sebagai rakyat dan anak jati Kedah ingin menyatakan sokongan penuh kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, dalam isu kuota perumahan 50 peratus Bumiputera, bukan atas dasar politik, tetapi dasar hak dan masalah ketidakseimbangan.

Sejak kecil lagi saya perhatikan sawah padi di sekitar Alor Setar sehinggalah ke berpuluh kilometer radius sekelilingnya dilenyapkan secara pantas dengan pembinaan rumah-rumah berkos tinggi dan projek-projek hartanah yang langsung tidak mampu dimiliki oleh Melayu. Mengapa? Saya berasa hairan mengapa kerajaan sebelum ini tidak pernah mengkaji dasar perumahan di Kedah sehingga menyebabkan ramai orang Melayu terpinggir serta memiliki rumah tidak sempurna, sedangkan tanah sawah milik Melayu dikorbankan saban tahun atas nama pembangunan. Dalam isu melibatkan hak dan kebajikan bangsa pribumi Melayu dan Islam ini tidak harus disempadankan oleh faktor dendam politik sempit.

Pihak pembangkang di Kedah seharusnya senada dengan kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam isu membela Islam, kemiskinan, ketinggalan serta kedaifan rakyat Kedah ini terutama kaum Melayu. Kita lihat bagaimana kaum Cina boleh senada dengan tidak kira parti MCA, DAP atau Gerakan dalam isu membela 'kekayaan' kaum mereka. Mereka bukan menuntut hak asasi, tetapi menggoncangkan hak kaum lain untuk kekayaan dan kepuasan perniagaan mereka. Tetapi langsung pihak atasan tidak anggap itu sebagai perkauman secara halus. Malah kaum kita sendiri menghentam tindakan kerajaan negeri Kedah ini dalam isu rakyat demi untuk meraih sokongan 'kosong' daripada kaum lain.

Seharusnya kita patut menyatakan sokongan padu terhadap keberanian dan ketegasan Menteri Besar Kedah, dalam memperbetulkan ketidakseimbangan ini setelah sekian lama dibiarkan. Beliau juga berjaya menyelamatkan kampung-kampung, tanah-tanah sawah, surau, masjid yang dimiliki oleh kaum Melayu daripada terkorban melalui projek petroleum di Yan, dengan memindahkannya ke laut. Satu tindakan bijak untuk mengelakkan rosaknya sosio-budaya masyarakat Melayu di kawasan tersebut apabila berubahnya landskap pertanian kepada industri berat. Hal ini akan mencambahkan lagi kehadiran orang luar yang akan membeli tanah-tanah Melayu dengan nilai tinggi, akhirnya tiada keuntungan jangka panjang pun kepada orang Melayu. Ini, tidak lagi dikaji tentang kemusnahan sosial yang akan berlaku apabila suatu kawasan perkampungan itu dimajukan dengan industri berat.

Seharusnya, kita kena buka mata dan pelajari sikap orang Cina memperjuangkan isu tuntutan mereka merentasi sempadan fahaman politik. Di pihak manapun mereka tetap mendapat keuntungan berbanding kita yang suka menanggguk di air yang keruh. Saya mencadangkan supaya permainan politik 'jahil' yang diamalkan sebelum ini ditukar kepada politik bijak yang menguntungkan rakyat, khususnya menjamin kedaulatan Islam dan ketuanan hak Melayu di Malaysia ini. Saya ucapkan syabas kepada Menteri Besar Kedah yang membela kedaifan rakyat Kedah.

PUTRA KEDAH 2008
Alor Star

Sunday, November 16, 2008

Amthal Boleh Diguna Dalam Sastera

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 31/10/2006
Halaman : 09
Tajuk : Amsal boleh diguna pakai dalam sastera
Oleh Nazmi Yaakub


APAKAH bidang kajian Mohd Sukki Othman?

Saya memfokuskan penggunaan amsal dalam al-Quran dan al-Hadis. Dalam konteks bahasa Melayu, Glosari Bahasa dan Kesusasteraan Arab terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menterjemahkannya sebagai bidalan dan perumpamaan. Saya berpendapat ia turut menjurus kepada penggunaan peribahasa.

Apakah kepentingan amsal?

Kepentingan amsal boleh dilihat pada kesan yang timbul terhadap jiwa. Apabila amsal diucap, pendengar dapat memahaminya secara mendalam dan mengetahui maksud yang cuba disampaikan walaupun menggunakan perkataan yang ringkas. Justeru, Abu Ubaid menegaskan tiga unsur penting dalam amsal; lafaz yang ringkas, makna yang tepat dan tasybih (perumpamaan) yang menarik. Imam Syafie pula mewajibkan golongan mujtahid, ulama yang boleh berijtihad untuk menguasai amsal manakala Imam Al-Mawardi pula meletakkannya sebagai ilmu terpenting dalam Ulum Al-Quran.

Bagaimanakah kepentingannya dari sudut bahasa dan sastera?

Kepentingan amsal dalam al-Quran dan al-Hadis boleh diguna pakai dalam sastera kita. Ini kerana amsal meninggalkan kesan pendidikan dan tarbiah yang baik terhadap pembaca kerana ia me nyentuh jiwa. Walaupun ada amsal yang menggambarkan syurga dan neraka, fokus amsal lebih kepada manusia. Sekiranya penulis mahu mengadaptasi penggunaan amsal dalam al-Quran, mereka sewajarnya melihat tujuan penggunaannya untuk memperbaiki manusia.
Oleh itu, amsal dalam sastera sewajarnya menggunakan gaya yang cantik untuk memperelokkan manusia, sekali gus berupaya menjadi modal insan.

Apakah contoh penggunaan amsal dalam al-Quran?

Dalam ayat kelima surah al-Jumaah, Allah membandingkan golongan Yahudi yang tidak mengamal dan melaksanakan hukum dalam kitab Taurat seperti keldai yang memikul kitab besar. Sekiranya al-Quran hanya menyatakan secara langsung, sudah tentu kita tidak terasa jelek. Sebaliknya, Allah menggunakan amsal itu menyebabkan ayat itu menusuk ke kalbu. Keindahan amsal ini jika diadaptasi dalam prosa seperti cerpen dan novel serta puisi, akan memberi kesan kepada pendengar dan pembaca terutama manusia pada zaman moden.

Apakah penggunaan amsal hanya memberikan satu maksud?

Sekiranya kita melihat amsal pada ayat ke-41 dalam al-Ankabut, Allah membandingkan golongan musyrik yang menjadikan makhluk selain-Nya sebagai tempat untuk disembah dan diharapkan pertolongan sebagai sarang labah-labah. Padahal, sarang labah-labah dianggap sebagai rumah yang paling rapuh kerana senang terkoyak berbanding rumah kita. Bagaimanapun, kita boleh melihatnya berdasarkan konteks perbahasan semasa, iaitu sarang labah-labah ialah sarang paling kuat berbanding haiwan sejenis kerana berupaya memerangkap serangga dan burung kecil. Sekiranya kita meneliti kehidupan labah-labah, kita akan dapati labah-labah betina menguasai labah-labah jantan. Dalam konteks ini, rumah paling rapuh ialah isteri yang menguasai sehingga tahap queen control dan suami menjadi dayus. Justeru, ini keistimewaan amsal yang boleh membawa perbandingan lebih daripada satu.

Apakah amsal mempunyai kedudukan di kalangan masyarakat Arab?

Orang Arab sentiasa mengutarakan amsal dalam segenap peristiwa dan suasana. Contohnya, janji Urkub yang merujuk kepada kisah lampau, ditujukan kepada pemungkir janji. Pada zaman dulu, Urkub berjanji untuk memberi tamar kepada saudaranya apabila buah itu masak. Apabila tiba saat dijanjikan, Urkud terlebih dulu memetik dan menghabiskannya sehingga apabila saudaranya menuntut janji, dia menggunakan alasan tamar sudah habis. Itu keindahan amsal yang mendorong kita menelusuri asal-usul amsal itu terhasil, sekali gus menunjukkan kisah lampau. Kita boleh melihat amsal turut mendapat tempat dalam puisi zaman Jahiliah seperti karya Zuhail Abi Sulmah dan Aksam Al-Saifi At-Tamimi yang bersyair, "Aku perhatikan kematian itu seperti hentakan kaki kuda yang kabur pada malam hari. Hentakannya tidak tentu hala dan se siapa yang terkena terus menemui maut, sedangkan mereka yang terselamat akan dipanjangkan umur sehingga hari tua." Amsal kematian seperti hentakan kaki kuda tepat dengan budaya Arab dulu yang terkenal dengan kuda sehingga mereka memahami amsal itu.Bagaimanakah amsal dalam masyarakat moden?Amsal menggambarkan akhlak, budaya, adat resam dan sejarah bangsa. Kemunculan amsal sendiri dikatakan sama tua dengan kewujudan bangsa itu. Bagaimanapun, ia semakin ditinggalkan sejak akhir-akhir ini, sehingga kita bukan saja hilang keindahan bahasa, bahkan proses memperkaya bahasa sudah dilupakan. Sekiranya kita dapat ketengahkan amsal dalam karya, kita memberi daya berfikir dalam karya kerana membaca bukan sekadar untuk santai.


PROFIL

Nama: Mohd Sukki Othman
Tarikh Lahir: 23 Januari 1974.
Tempat Lahir: Kampung Jarak Atas, Tasek Gelugor, Seberang Perai, Pulau Pinang.
Jawatan: Pensyarah Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Bidang kajian: Bahasa dan Kesusasteraan Arab, Terjemahan Bahasa Arab-Bahasa Melayu, Pengajian Al-Quran dan Islam serta Tamadun Islam.
Pendidikan: Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Arab di Universiti Yarmouk, Jordan dan Sarjana Pengajian Arab dan Tamadun Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Buku: Madah Pujangga Al-Imam Al-Syafei terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Pendidikan Bahasa Arab di Malaysia: Cabaran dan Inovasi (Minda Imtiyaz Publications) dan Tamadun Islam (Pustaka Sarjana Sdn Bhd).

Friday, November 14, 2008

MOTIVASI SOLAT


Apasal laa, aku belum terfikir nak bentang sejadah,
Hidup senang rezeki datang melimpah,
Nak dirikan solat, rakan baik setan suruh lengah-lengah,
Allah tarik nikmatku sampai nangis keluar air mata darah barulah padah.

Apasal laa aku malas sembahyang,
Allah kasi aku jasad siap dengan bayang-bayang,
Bukan ke lebih baik daripada tiang,
Berdiri tanpa roh malam dan siang.

Apasal laa aku malas sembahyang,
Kerja dah best keluarga pun dah senang,
Negara aman damai tak lagi hidup berdagang,
Takkan 5 minit 5 waktu aku tak boleh nak luang.

Apasal laa aku malas sembahyang,
Allah kasi otak supaya aku tak bangang,
Allah kasi ilmu boleh fikir susah senang,
Allah kasi nikmat kenapalah aku tak kenang,

Apasal laa aku malas sembahyang,
Tengok TV, main bola aku sanggup sampai petang,
Beli tiket konsert, bayar time shopping aku sanggup beratur panjang,
Ingat masuk syurga masuk neraka boleh main hutang-hutang?!!

Apasal laa aku malas sembahyang,
Aku kena ingat umur kita bukannya panjang,
Pagi sihat entah petang nanti dah kejang,
Nanti dalam kubur kena balun sorang-sorang.

Apasal laa aku malas sembahyang,
Seksa neraka cubalah aku bayang,
Perjalanan akhirat memang terlalu panjang,
Janji Allah Taala akan tertunai tak siapa boleh halang!!!

Thursday, November 13, 2008

Tabiat Buruk Di Jalan Raya


Oleh: Ustaz Shauqi

Masyarakat Melayu memang terkenal dengan masyarakat yang beradab sopan, berbudi-pekerti mulia serta berakhlak tinggi. Akhlak mulia yang menjadi ’aset’ penting masyarakat merupakan hasil didikan ajaran Islam yang begitu meresap dalam jiwa dan diri masyarakat dan bangsa kita. Akan tetapi, Adab sopan dan budi pekerti mulia yang dimiliki oleh ’orang kita’ ini akan bertukar serta-merta apabila mereka berada di jalanraya!

Masyarakat kita mudah lupa diri apabila berada di jalanraya. Orang kita seolahnya sudah hilang nilai persaudaraan apabila berada di jalanraya. Mengapakah terjadi sedemikian? Di manakah silapnya? Di manakah penghayatan terhadap hadis nabi saw yang bermaksud: ”Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dia mengasihi bagi saudaranya apa yang dia kasihi bagi dirinya sendiri”?.

Kerakusan berada di jalanraya menyebabkan mereka berbuat apa sahaja demi memuaskan hati sendiri sehingga sanggup menyakiti saudara sendiri dan kelihatannya seolah sanggup untuk melupakan nilai keimanan yang sudah terpahat di dalam jiwa.

Antara perkara yang amat jelek dan buruk yang biasa sangat dilakukan oleh masyarakat kita di jalan raya ketika memandu kenderaan ialah membuang sampah dari tingkap kenderaan yang dipandu! Terdapat mereka yang begitu selamba tanpa berasa bersalah sedikit pun membuang plastik, kulit kacang, kertas, dan pelbagai sampah yang lain melalui tingkap kenderaan yang sedang dipandu laju!. Tidakkah perbuatan tersebut merupakan perbuatan yang bercanggah dengan ajaran Islam dan budaya kita?

Ternyata inilah sikap buruk orang kita yang semakin menjadi-jadi sekarang ini. Tidakkah mereka terfikir bahawa ajaran Islam yang telah tersemat sekian lama dalam diri orang Melayu telah mengajar kita supaya menjaga kebersihan? Apatah lagi kebersihan itu sebahagian daripada iman!. Rasulullah SAW sentiasa mengajar umatnya agar sentiasa berada dalam keadaan bersih, dan melarang daripada kekotoran. Sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi maksudnya: Sesungguhnya Allah itu baik dan suka akan kebaikan, bersih dan suka akan kebersihan, mulia dan suka akan kemuliaan...’.

Kadang-kala kedapatan negara-negara barat dan negara-negara bukan Islam ‘lebih mencontohi nabi’ dalam menjaga kebersihan. Orang barat tahu di mana bakul sampah untuk dibuang sampah, akan tetapi segelintir umat Islam yang mengaku sebagai umat nabi Muhammad masih tidak mengenali bakul dan tong sampah, lalu membuang sampah di merata-rata tempat. Bahkan sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, terdapat pemandu dan penumpang kenderaan dengan begitu bebas dan sewenang-wenangnya membuang sampah di atas jalan raya ketika kenderaan sedang bergerak. Golongan seumpama ini tidak wajar untuk mengaku diri mereka sebagai umat nabi Muhammad!.

Justeru, marilah sama-sama kita berfikir sejenak tentang perkara ini. Jadilah umat Islam contoh yang mementingkan kebersihan walau di mana sahaja kita berada. Juga janganlah kita cemarkan budaya murni bangsa kita yang telah dapat dipelihara sejak sekian lama. Disiplinkanlah diri agar tidak membuang sampah ketika memandu di jalanraya. Budayakanlah kembali pemeliharaan kebersihan dalam hidup agar nilai keimanan semakin kukuh dalam diri kita.

Saturday, November 8, 2008

Selusuh Untuk Ibu Mengandung


Wanita yang mengandung amat mengharapkan agar dapat melahirkan anak dengan mudah dan selamat. Lalu ada yang berjumpa bomoh untuk meminta air selusuh dan seumpamanya. Perbuatan berjumpa bomoh ini hendaklah dijauhkan apatah lagi ia boleh membawa syirik apabila berubat dengan bomoh yang meminta pertolongan 'makhluk ghaib' dalam melaksanakan perubatan. Sebenarnya, air / minyak selusuh boleh dibuat sendiri atau merujuk kepada pengamal perubatan Islam. Doa yang boleh digunakan untuk membuat selusuh ialah (sila rujuk buku Rawatan Pesakit Menurut al-Quran dan As Sunnah - Prof Dr Haron Din & Dr Amran Kasimin):

i. Surah al-Fatihah
ii. Baca ayat "Lau Anzalna ... akhir" (Surah al-Hasyr)
iii. Solawat Syifa'
iv. Doa berikut: اللهم بِحَقِّ مريم وبِحَقِّ مَنْ أُنْزِلَتْ عَلَيْهِ سورةُ مريم خَفِّفْ عَنْهَا (سبوت نام) آلامها المَخَاض برحمتك يا أرحم الراحمين

Selepas baca doa-doa tersebut, tiup di air yang disediakan (sebaiknya air zam-zam). Air diberi minum seminggu sebelum tarikh jangka kelahiran bayi dan disapukan di perut ibu dari atas ke bawah diserta dengan selawat sebanyak tujuh kali. Air / minyak diminum satu sudu ketika sakit mulai terasa. Bagi ibu yang menghadapi masalah bayi melintang, sapukan air dari perut ke bawah, betulkan kedudukan bayi kemudian diberi minum air.

Thursday, November 6, 2008

Takbiratul Ihram Dalam Solat


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Takbiratul Ihram merupakan rukun qawli di dalam solat. Solat tidak sah tanpanya. Rukun qawli ialah rukun yang melibatkan bacaan atau sebutan. Oleh itu takbiratul ihram wajib dilafazkan dan ia tidak memadai sekadar dibaca di dalam hati. Kadang-kala ada yang tersilap dengan menganggap bahawa takbiratul ihram itu ialah mengangkat tangan sehingga ke paras bahu, sedangkan mengangkat tangan itu hanyalah sunat. Takbiratul ihram yang wajib ialah melafazkan kalimah ‘Allahu Akbar’. Sehubungan dengan itu, jumhur ulama’ berpendapat bahawa solat tidak sah kecuali dimulai dengan kalimah ‘Allahu Akbar’.

Dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Muslim dan Ibnu Majah, disebutkan bahawa nabi saw memulai solat baginda dengan ucapan Allahu Akbar. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Hakim pula telah disebutkan bahawa nabi saw mengangkat suaranya ketika bertakbir sehingga didengari oleh makmum dibelakangnya. Justeru, para ulama’ telah menyatakan bahawa bagi seseorang imam, disunatkan baginya untuk menguatkan takbiratul ihramnya sehingga boleh didengari oleh makmum dibelakangnya, manakala bagi seseorang yang menunaikan solat secara bersendirian, maka memadai baginya untuk memperdengarkan takbiratul ihram itu untuk dirinya sahaja (Sila rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhayliy 1/631).

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi, Abu Dawud dan Ibnu Majah, daripada Sayyidina Ali bahawa nabi saw bersabda yang bermaksud: “Kunci solat ialah wuduk, pembukanya ialah takbir dan penutupnya ialah salam”. Imam al-Nawawi dalam Syarh al-Muhadzdzab telah mengatakan bahawa wuduk disebut sebagai miftah atau kunci solat, kerana hadas mencegah seseorang untuk melakukan solat. Mengenai sabda Rasulullah saw, “Tahrimuha at-takbir (pembuka solat itu takbir),” al-Azhari mengatakan bahawa kata at-tahrim berasal dari kata haramtu fulanan kadza (saya melarang si Fulan melakukan ini). Sedangkan setiap yang dilarang itu haram. Dengan demikian, takbir untuk pembuka solat disebut tahrim kerana dengan takbir seseorang itu diharamkan untuk bercakap, makan minum dan lain-lain yang bukan berkaitan dengan solat (Sila rujuk Sifat Solat al-Nabiy oleh Hassan ‘Ali as-Saqqaf ms 71).

Mengapakah kita dituntut untuk bertakbir dengan ucapan ‘Allahu Akbar’ ketika memulakan solat? Ucapan Allahu Akbar yang bermaksud ‘Allah Maha Besar’ itu dilafazkan bagi menghadirkan keagungan dan kebesaran Allah di dalam diri ketika kita mula menunaikan solat. Allah Maha Besar dari segala-galanya... Allah lebih besar dari segala perbuatan kita, Allah lebih agung dari segala makhluk yang ada dan Allah lebih besar dan agung daripada segala kekuasaan hatta dari sesuatu apa pun. Oleh itu, apabila seseorang itu mengucapkan Allahu Akbar dengan hati, lisan dan seluruh anggotanya, bererti dia mengetahui bahawa Allah lebih besar dari sesuatu apa pun, dan bahawasanya ia sedang berada di hadapan Allah yang Maha Agung.

Takbiratul Ihram hendaklah dilakukan dalam keadaan berdiri sambil berniat di dalam hatinya untuk mengerjakan solat tertentu. Dalam hal ini, nabi saw telah bersabda pada seseorang dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Jika engkau telah berdiri untuk mengerjakan solat, maka bertakbirlah”.

Kadang-kala didapati dalam masyarakat kita, mereka yang mengambil mudah persoalan takbiratul ihram ini sehinggakan ada yang bertakbir dalam keadaan duduk sedangkan dia mampu berdiri. Alasan yang diberikan ialah tidak mampu berdiri lama, lalu diharuskan untuk menunaikan solat secara duduk...lantas seseorang itu menunaikan solat secara duduk sejak dari awal takbiratul ihram sehinggalah mengakhiri solat dengan salam! Perbuatan ini dengan jelas menyebabkan terbatalnya solat seseorang itu. Hal ini kerana sekiranya seseorang itu mampu berdiri sekadar untuk bertakbiratul ihram sahaja, maka ia hendaklah berdiri ketika mengucapkan Allahu Akbar, dan apabila selepas itu ia tidak mampu lagi untuk berdiri, baharulah dibenarkan untuk meneruskan solat secara duduk.

Satu perkara lagi yang wajar diberi perhatian ialah ucapan Allahu Akbar itu hendaklah dilafazkan dengan lidah, dan tidak memadai sekiranya diingatkan di dalam hati sahaja. Para imam dari mazhab yang empat berpendapat bahawa menggerakkan lidah dengan bacaan itu wajib. Menurut mereka, bacaan solat itu tidak cukup dilintaskan ke dalam hati saja tanpa dilafazkan. Perkara itu sesuai dengan sunnah Nabi Muhammad saw yang jelas sahihnya. Al-Imam al-Ghazali pula dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin mengatakan bahawa al-qira’ah (membaca) itu seperti percampuran suara dengan huruf-huruf, dan itu harus disertai dengan suara. Sekurang-kurangnya harus didengar oleh diri sendiri. Jika tidak terdengar oleh dirinya sendiri, maka tidak sah solatnya. Al-Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab telah mengatakan bahawa bacaan perlahan yang paling minima ialah yang dapat didengar oleh dirinya sendiri, dalam keadaan sihat pendengarannya. Semua ini bersifat umum dan dituntut dalam semua jenis bacaan dalam solat seperti takbir, bacaan Fatihah, tasbih ketika rukuk dan sebagainya. Begitu juga dalam tasyahhud (tahiyyat), salam dan doa, sama ada bacaan yang bersifat wajib (rukun) mahupun yang sunat.

Sesuatu yang perlu diberi perhatian juga ialah apabila dikehendaki bacaan di dalam solat itu membacanya dengan memperdengarkan diri sendiri, ini tidak bermakna yang seseorang itu perlu menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain dalam solat. Terdapat mereka yang ditimpa penyakit ‘was-was’ sering membaca sesuatu bacaan di dalam solat dengan begitu kuat sehingga mengganggu solat orang lain. Perbuatan ini merupakan sesuatu yang tidak wajar kerana mengganggu orang lain di luar solat pun merupakan suatu kesalahan, apatah lagi perbuatan mengganggu orang lain semasa dalam solat!

Jumhur Fuqaha’ juga telah mensyaratkan bahawa seorang makmum wajib memulai takbiratul-ihram setelah imam melakukannya dengan sempurna. Jika ia mengucapkan takbiratul-ihram bersamaan dengan imam atau menyertai imam pada sebahagian bacaan takbiratul-ihram atau mengucapkannya sebelum imam selesai mengucapkan takbiratul-ihram, maka solatnya tidak sah. Hal ini kerana sekiranya seseorang itu bertakbir sebelum imam selesai bertakbir, ini bermakna ia mengikuti atau menjadi makmum kepada orang yang belum menunaikan solat kerana seseorang imam belum dianggap sedang melakukan solat, kecuali setelah ia selesai mengucapkan huruf ‘ro’ yang terakhir pada lafaz ‘Allahu Akbar’.

Tuesday, November 4, 2008

Kisah Ashabul Ukhdud


Pada masa dahulu raja-raja bergantung kepada ahli sihir untuk mengukuhkan takhta kerajaan mereka. Sihir digunakan oleh pemerintah untuk menipu orang ramai yang menyebabkan mereka menjadikan raja sebagai tuhan selain daripada Allah swt. Rasulullah saw telah memberitahu bahawa ada seorang raja yang mempunyai seorang tukang sihir yang sudah lanjut usianya. Tukang sihir ini merasa takut akan kehilangan ilmunya dan meminta agar raja tersebut mencari seorang budak yang bijak dan menonjol pada masa itu untuk mewarisi ilmu dan kesesatannya. Raja itu menunaikan hajat tujang sihir tadi.

Pada suatu hari ketika budak itu berulang alik dari istana, dia telah melalui satu tempat yang merupakan tempat tinggal seorang rahib (ahli agama) dan dia begitu tertarik kepadanya dan mendengar segala nasihat daripada rahib tadi. Pada suatu hari budak tersebut telah terserempak dengan seekor binatang besar yang menghalang laluan orang ramai. Justeru, timbul idea bagi budak tersebut untuk mengetahui yang manakah benar di antara tukang sihir dan rahib. Lalu dia pun mengambil seketul batu dan melontar kepada binatang tersebut dengan memohon kepada tuhan agar membunuh binatang tersebut sekiranya rahib itu yang benar, Lalu binatang itu tersungkur dan rebah dengan lontaran itu.

Allah swt telah mengurniakan kepada budak tadi kelebihan menyembuh penyakit, antaranya mencelikkan penglihatan dan menyembuhkan penyakit sopak sambil ia berdakwah dengan memberitahu bahawa penyembuhnya adalah Allah. Sesiapa yang beriman kepada Allah maka Dialah jua penyembuhnya. Budak tadi tetap sabar dalam menyebarkan dakwah ketika mengubati penyakit orang ramai. Lalu tersebarlah berita mengenai kehebatan budak tadi kepada salah seorang pegawai istana yang buta. Tanpa berlengah, dia pun pergi kepada budak tadi untuk berubat. Budak tersebut memberitahu bahawa penyembuhnya adalah Allah. Jika dia beriman kepada Allah, dia akan berdoa kepada Allah supaya Dia menyembuhkan penyakitnya. Pegawai tadi terus beriman dan penyakitnya disembuhkan dengan berkat daripada doa budak tadi.

Pada suatu hari, pegawai tadi telah menghadiri suatu majlis lalu raja berasa hairan apabila melihat pegawai itu tidak buta lagi. Maka dia bertanya: "Siapakah yang menyembuhkan penglihatanmu". Lalu pegawai tersebut menjawab : "Tuhanku". Maka raja tersebut bertanya lagi: "Adakah bagi kamu tuhan selain daripadaku?". Pegawai itu menjawab : "Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah". Maka raja tersebut begitu marah apabila mendengar jawapan itu kerana ia boleh menggugat takhta dan pemerintahannya. Raja telah menyiksa pegawai itu sehinggalah dia memberitahu mengenai budak tersebut.

Apabila budak tadi datang ke istana… raja itu menyangka bahawa budak tadi telah mencapai suatu tahap ilmu sihir hasil daripada tunjuk ajar tukang sihirnya. Tetapi ternyata sangkaannya itu meleset sama sekali apabila budak tadi mengingkari sihir dan tukang sihir. Sebaliknya budak itu mengajak untuk beriman kepada Allah s.w.t yang Esa.

Apabila raja mengetahui tentang kewujudan rahib, maka diazabnya rahib itu agar meninggalkan agamanya namun ia enggan dan tetap bersabar sehinggalah badannya dibelah dengan gergaji. Rahib itu meninggal dunia dalam keadaan mempertahankan aqidahnya. Selepas itu, raja telah merancang untuk membunuh budak itu pula dengan dibawa budak itu ke puncak gunung untuk dihumbankan ke lembah yang curam. Lalu budak itu berdoa kepada Allah. Tiba-tiba bergegarlah gunung tersebut dan jatuhlah semua pegawai-pegawai raja ke dalam lurah yang tinggi itu. Maka kembalilah budak tadi kepada raja dengan selamatnya dan memberitahu mengenai pa yang berlaku.

Selepas gagal cubaaan pertama, lalu budak itu dihantar pula ke tengah laut untuk dihumbankan ke dasar lautan , lalu berdoalah budak tadi kepada Allah. Doanya dimaqbulkan dan kesemua pegawai tadi ditenggelamkan oleh Allah s.w.t. Budak tadi kembali semula kepada raja dengan selamatnya. Setiap perbuatan budak itu menjadi buah mulut orang ramai terutamanya berkaitan dengan keberanian budak tersebut dalam menghadapi pemerintah yang zalim itu tanpa rasa gentar dan takut. Raja menyedari akan kelemahannya untuk membunuh budak tersebut maka akhirnya budak itu sendiri memberitahu mengenai satu cara yang membolehkan dirinya dibunuh. Budak itu meminta raja tersebut supaya mengumpulkan orang ramai di suatu tempat dan mengikatnya pada pokok. Kemudian mengambil anak panah daripada simpanannya dan memanahnya dengan berkata : "Dengan nama Allah s.w.t Tuhan budak ini!". Lalu raja pun memanahnya sebagaimana cara yang disuruh oleh budak itu.



Raja berasa lega apabila budak itu pun meninggal dunia, namun tiba-tiba raja diberitahu bahawa orang ramai yang menyaksikan kejadian itu telah beriman kepada Allah. Raja itu pun dengan segera mengarahkan semua pegawai dan sekutu-sekutunya menggali parit dan menyalakan api ke dalamnya dengan menghumbankan setiap orang yang beriman kepada Allah ke dalamnya. Namun, semua orang yang beriman itu lebih rela dihumbankan ke dalam api tersebut kerana api neraka di hari qiamat lebih ditakuti oleh mereka daripada api dunia, begitulah pendirian orang mukmin yang sebenarnya.


Ada seorang wanita yang masih mempunyai anak kecil di dalam pangkuannya yang masih menyusu agak teragak-agak untuk terjun ke dalam parit yang dipenuhi api yang bernyala kerana memikirkan tentang bayinya itu, lalu dengan izin Allah s.w.t bayi kecil itu dapat bercakap kepada ibunya supaya bersabar kerana mereka berada di dalam kebenaran.

Allah s.w.t telah merakamkan peristiwa ini dalam surah al-Buruj ayat 8 yang bermaksud : "DAN MEREKA TIDAK MARAH DAN MENYEKSA ORANG YANG BERIMAN ITU MELAINKAN KERANA ORANG ITU BERIMAN KEPADA ALLAH YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA TERPUJI! " .

Saturday, November 1, 2008

Ibadah Korban & Waqaf di Kemboja 2008 / 1429H


Saudara-Saudara Islam kita di Kemboja hidup dalam keadaan yang amat daif dan menyedihkan. Mereka amat memerlukan sumbangan dan bantuan daripada masyarakat yang prihatin dan masyarakat yang menghayati konsep persaudaraan di dalam Islam. Menyedari hakikat ini, ana bersama rakan-rakan di atas asas KEBAJIKAN mengambil inisiatif untuk menyalurkan sumbangan daripada sesiapa sahaja dalam bentuk ibadah korban / aqiqah, bantuan kepada guru-guru al-Quran dan institusi pendidikan, waqaf telaga di masjid-masjid dan surau-surau di Kemboja, serta golongan fakir miskin di sana.

SATU BAHAGIAN KORBAN / AQIQAH = RM 200

SUMBANGAN / DERMA UNTUK GURU-GURU QURAN , WAQAF TELAGA MASJID DAN KEPADA FAKIR MISKIN ADALAH BERGANTUNG KEPADA KEIKHLASAN ANDA.
Sesiapa yang berminat, boleh hubungi ana untuk tindakan yang selanjutnya. sila email ke: shauqi02@yahoo.com

Buku Ilmiah Untuk Dimiliki

  • Tajuk Buku: Mengapa Perlu Kepada Undang-Undang Jenayah Islam?
  • Penulis : Mohd Sukki Othman & Mohamad Hadi Ahmad Talhah
  • Penerbit: Pustaka Yamien Sdn. Bhd.
  • Harga: RM15
  • Terbitan: September 2008
Sejarah manusia mempamerkan bagaimana kezaliman dan ketidakadilan menghumbankan manusia ke jurang kehinaan dan kesengsaraan. Bagi mewujudkan kehidupan yang berpaksikan keharmonian dan dan ketenangan, Islam menganjurkan keseimbangan dan keadilan. Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam bertujuan mewujudkan keamanan kepada kaum muslimin khasnya dan manusia sejagat amnya. Malangnya, dalam kejahilan mereka, ada muslimin menganggap undang-undang jenayah Islam sebagai primitif, kejam, mengerikan dan zalim. Sesungguhnya tanggapan salah wajar diperbetulkan. Di sinilah diharapkan buku ini dapat membuka minda dan seterusnya meningkatkan pengetahuan mereka mengenai undang-undang jenayah Islam. Insya allah. Sesiapa yang ingin mendapatkan buku ini, sila hubungi saya di shauqi02@yahoo.com