Followers

Sunday, November 16, 2008

Amthal Boleh Diguna Dalam Sastera

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 31/10/2006
Halaman : 09
Tajuk : Amsal boleh diguna pakai dalam sastera
Oleh Nazmi Yaakub


APAKAH bidang kajian Mohd Sukki Othman?

Saya memfokuskan penggunaan amsal dalam al-Quran dan al-Hadis. Dalam konteks bahasa Melayu, Glosari Bahasa dan Kesusasteraan Arab terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menterjemahkannya sebagai bidalan dan perumpamaan. Saya berpendapat ia turut menjurus kepada penggunaan peribahasa.

Apakah kepentingan amsal?

Kepentingan amsal boleh dilihat pada kesan yang timbul terhadap jiwa. Apabila amsal diucap, pendengar dapat memahaminya secara mendalam dan mengetahui maksud yang cuba disampaikan walaupun menggunakan perkataan yang ringkas. Justeru, Abu Ubaid menegaskan tiga unsur penting dalam amsal; lafaz yang ringkas, makna yang tepat dan tasybih (perumpamaan) yang menarik. Imam Syafie pula mewajibkan golongan mujtahid, ulama yang boleh berijtihad untuk menguasai amsal manakala Imam Al-Mawardi pula meletakkannya sebagai ilmu terpenting dalam Ulum Al-Quran.

Bagaimanakah kepentingannya dari sudut bahasa dan sastera?

Kepentingan amsal dalam al-Quran dan al-Hadis boleh diguna pakai dalam sastera kita. Ini kerana amsal meninggalkan kesan pendidikan dan tarbiah yang baik terhadap pembaca kerana ia me nyentuh jiwa. Walaupun ada amsal yang menggambarkan syurga dan neraka, fokus amsal lebih kepada manusia. Sekiranya penulis mahu mengadaptasi penggunaan amsal dalam al-Quran, mereka sewajarnya melihat tujuan penggunaannya untuk memperbaiki manusia.
Oleh itu, amsal dalam sastera sewajarnya menggunakan gaya yang cantik untuk memperelokkan manusia, sekali gus berupaya menjadi modal insan.

Apakah contoh penggunaan amsal dalam al-Quran?

Dalam ayat kelima surah al-Jumaah, Allah membandingkan golongan Yahudi yang tidak mengamal dan melaksanakan hukum dalam kitab Taurat seperti keldai yang memikul kitab besar. Sekiranya al-Quran hanya menyatakan secara langsung, sudah tentu kita tidak terasa jelek. Sebaliknya, Allah menggunakan amsal itu menyebabkan ayat itu menusuk ke kalbu. Keindahan amsal ini jika diadaptasi dalam prosa seperti cerpen dan novel serta puisi, akan memberi kesan kepada pendengar dan pembaca terutama manusia pada zaman moden.

Apakah penggunaan amsal hanya memberikan satu maksud?

Sekiranya kita melihat amsal pada ayat ke-41 dalam al-Ankabut, Allah membandingkan golongan musyrik yang menjadikan makhluk selain-Nya sebagai tempat untuk disembah dan diharapkan pertolongan sebagai sarang labah-labah. Padahal, sarang labah-labah dianggap sebagai rumah yang paling rapuh kerana senang terkoyak berbanding rumah kita. Bagaimanapun, kita boleh melihatnya berdasarkan konteks perbahasan semasa, iaitu sarang labah-labah ialah sarang paling kuat berbanding haiwan sejenis kerana berupaya memerangkap serangga dan burung kecil. Sekiranya kita meneliti kehidupan labah-labah, kita akan dapati labah-labah betina menguasai labah-labah jantan. Dalam konteks ini, rumah paling rapuh ialah isteri yang menguasai sehingga tahap queen control dan suami menjadi dayus. Justeru, ini keistimewaan amsal yang boleh membawa perbandingan lebih daripada satu.

Apakah amsal mempunyai kedudukan di kalangan masyarakat Arab?

Orang Arab sentiasa mengutarakan amsal dalam segenap peristiwa dan suasana. Contohnya, janji Urkub yang merujuk kepada kisah lampau, ditujukan kepada pemungkir janji. Pada zaman dulu, Urkub berjanji untuk memberi tamar kepada saudaranya apabila buah itu masak. Apabila tiba saat dijanjikan, Urkud terlebih dulu memetik dan menghabiskannya sehingga apabila saudaranya menuntut janji, dia menggunakan alasan tamar sudah habis. Itu keindahan amsal yang mendorong kita menelusuri asal-usul amsal itu terhasil, sekali gus menunjukkan kisah lampau. Kita boleh melihat amsal turut mendapat tempat dalam puisi zaman Jahiliah seperti karya Zuhail Abi Sulmah dan Aksam Al-Saifi At-Tamimi yang bersyair, "Aku perhatikan kematian itu seperti hentakan kaki kuda yang kabur pada malam hari. Hentakannya tidak tentu hala dan se siapa yang terkena terus menemui maut, sedangkan mereka yang terselamat akan dipanjangkan umur sehingga hari tua." Amsal kematian seperti hentakan kaki kuda tepat dengan budaya Arab dulu yang terkenal dengan kuda sehingga mereka memahami amsal itu.Bagaimanakah amsal dalam masyarakat moden?Amsal menggambarkan akhlak, budaya, adat resam dan sejarah bangsa. Kemunculan amsal sendiri dikatakan sama tua dengan kewujudan bangsa itu. Bagaimanapun, ia semakin ditinggalkan sejak akhir-akhir ini, sehingga kita bukan saja hilang keindahan bahasa, bahkan proses memperkaya bahasa sudah dilupakan. Sekiranya kita dapat ketengahkan amsal dalam karya, kita memberi daya berfikir dalam karya kerana membaca bukan sekadar untuk santai.


PROFIL

Nama: Mohd Sukki Othman
Tarikh Lahir: 23 Januari 1974.
Tempat Lahir: Kampung Jarak Atas, Tasek Gelugor, Seberang Perai, Pulau Pinang.
Jawatan: Pensyarah Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Bidang kajian: Bahasa dan Kesusasteraan Arab, Terjemahan Bahasa Arab-Bahasa Melayu, Pengajian Al-Quran dan Islam serta Tamadun Islam.
Pendidikan: Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Arab di Universiti Yarmouk, Jordan dan Sarjana Pengajian Arab dan Tamadun Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Buku: Madah Pujangga Al-Imam Al-Syafei terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Pendidikan Bahasa Arab di Malaysia: Cabaran dan Inovasi (Minda Imtiyaz Publications) dan Tamadun Islam (Pustaka Sarjana Sdn Bhd).

No comments:

Post a Comment