Followers

Tuesday, November 25, 2008

Hukum Berkaitan Ibadah Korban


1. Waktu Perlaksanaan Ibadat Korban
Menyembelih binatang korban hanya boleh dilaksanakan setelah selesai solat Hari Raya Aidiladha dan berlanjutan sehingga di akhir hari Tasyriq yakni 3 hari setelah Aidiladha. Oleh itu penyembelihan haiwan korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Dzulhijjah. Menurut Imam al-Syafi’i r.h: Adapun waktu menyembelih haiwan korban adalah ketika imam telah selesai solat Aidiladha…Apabila hari-hari Mina telah berlalu (tarikh 11, 12 dan 13 Dzulhijjah), maka sudah tidak boleh menyembelih korban. – Imam al-Syafi’i, Mukhtasar Kitab al-Umm fiil Fiqhi, (edisi terjemahan bertajuk Ringkasan Kitab al-Umm, Peringkas dan peneliti Hussain Abdul Hamid Abu Nashir Nail, Pustaka Azzam, Jakarta, 2004) jilid 1, m.s. 737 Dalilnya adalah sabda Rasulullah s.a.w. :Sesungguhnya perkara yang pertama yang kita mulakan pada hari ini (Aidiladha) ialah kita solat kemudian menyembelih (bintang korban). Maka sesiapa yang melakukan serupa itu dia telah mendapat sunnah kami. Barangsiapa yang menyembelih sebelum solat, maka sesungguhnya sembelihan itu adalah daging yang diperuntukkan keluarganya, bukan termasuk binatang korban sedikitpun. – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no: 1961Sabda baginda: Sesiapa yang menyembelih sebelum dia solat (Aidiladha), maka hendaklah dia mengulanginya. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 5561 Sabda Rasulullah s.a.w.: Seluruh hari-hari Tasyriq merupakan waktu penyembelihan. – Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no: 16151.

2. Haiwan Korban Tersebut Tidak Memiliki Kecacatan
Hendaklah kita pastikan bahawa haiwan yang hendak kita korbankan tersebut adalah dari jenis baka yang baik serta tidak memilki kecacatan seperti buta, tempang, kurus, tanduk patah, telinga terkoyak, lemah dan lain-lain bentuk penyakit. Sabda Rasulullah s.a.w. : Empat jenis binatang yang tidak dibolehkan dalam berkorban, buta sebelah yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, yang tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus). – Hadis riwayat Abu Dawud di dalam Sunan AbuDawud, hadis no: 2420.

3. Tidak Menggunting Rambut Dan Memotong Kuku
Bagi mereka yang hendak melaksanakan ibadat korban maka hendaklah dia tidak menggunting rambut dan memotong kukunya semenjak tarikh 1 Dzulhijjah sehingga setelah dia melaksanakan ibadat korban tersebut. Sabda Rasulullah s.a.w.: Jika masuk sepuluh hari pertama bulan Dzulhijjah (1 Dzulhijjah) dan salah seorang dari kalian ingin menyembelih korban, maka jangan memotong sedikitpun dari rambut dan kukunya. – Hadis riwayat Imam Muslim di Dalam Shahih Muslim, hadis no: 1977. Larangan memotong rambut ini termasuk juga memncabut mahupun mencukur ataupun apa-apa cara yang boleh menghilangkan segala jenis rambut atau bulu di badan. Menurut Imam al-Nawawi r.h: Yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah larangan menghilangkan kuku dengan pemotongan atau pencabutan atau yang lainnya (dengan sengaja). Dan larangan untuk menghilangkan rambut baik ianya berbentuk pencukuran, memendekkan, pencabutan, pembakaran atau menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut, atau yang lainnya, baik ianya bulu ketiak, kumis, bulu kemaluan, rambut kepala mahupun bulu-bulu lain di bahagain badan lain-lainnya.– Imam al-Nawawi, Syarh Muslim, jilid 13, ms. 138-139.

4. Seekor Unta Atau Lembu Boleh Dibahagikan Kepada 7 Bahagian
Seekor unta ataupun lembu boleh dikongsi bersama oleh tujuh orang yang hendak melaksanakan ibadat korban. Diriwayatkan daripada Jabir r.a, dia berkata: Kami pernah menyembelih (haiwan korban) bersama Rasulullah s.a.w. ketika di Hudaibiyah seekor unta untuk 7 orang dan menyembelih lembu untuk 7 orang bersama-bersama Rasulullah s.a.w.. – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no: 1318

5. Boleh Berkorban Untuk Dirinya Sendiri Serta Ahli Keluarganya.
Seseorang untuk dibenarkan untuk berkorban serta berkongsi pahalanya bagi dirinya sendiri serta bagi pihak keluarganya sekalipun ramai jumlahnya walaupun hanya berkorban dengan seekor kambing atau satu daripada tujuh bahagian seekor lembu. Ini berdasarkan sebuah hadis yang mana Atha’ bin Yassar pernah bertanya kepada Abu Ayyub al-Anshari tentang berkorban pada zaman Rasulullah s.a.w. Maka Abu Ayyub menjawab: Dulu seseorang berkorban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya, lalu mereka memakannya dan membahagikannya kepada orang lain. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunan al-Tirmidzi, hadis no: 1425

6. Ibadat Korban Dilaksanakan di al-Musolla.
Disunnahkan untuk melaksanakan ibadat koran tersebut di tanah lapang yang digunakan untuk bersolat di (al-Musholla) demi untuk memperlihatkan syi’ar Islam. Ini sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar r.a daripada Nabi s.a.w: Bahawasanya baginda menyembelih dan berkorban di al-Musholla. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 5552.

7. Disunnahkan Menyembelih Sendiri Haiwan Korban
Adalah disunnahkan dan afdhal untuk mereka yang ingin melaksanakan ibadat korban tersebut agar menyembelih haiwan korbannya dengan tangannya sendiri. Diriwayatkan daripada Anas, dia berkata: Nabi s.a.w. pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih keduanya dengan tangan baginda sendiri… - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 5565 Namun begitu diperbolehkan juga bagi mereka yang ingin berkorban untuk mewakilkan penyembelihan haiwan korban tersebut kepada orang lain yang Muslim.

8. Menyembelih Haiwan Korban Mengikut Sunnah
Hendaklah menyembelih haiwan korban tersebut dengan menggunakan objek yang tajam seperti pisau dan dilakukan dengan cepat agar haiwan mati dengan serta-merta. Ketika hendak menyembelih baringkan haiwan korban tersebut pada sebelah sisi kirinya agar mudah memegang pisau dengan tangan kanan dan memegang atau menahan lehernya dengan tangan kiri.. Ketika mehyembelih hendaklah membaca basmallah dan bertakbir (Bismillahi Wallahu Akbar). Ini sebagaimana diriwayatkan daripada Anas r.a, dia berkata: Nabi s.a.w. pernah berkorban dengan dua eekor kambing biri-biri yang bagus dan bertanduk. Baginda menyembelih keduanya dengan tangan baginda sendiri dengan menyebut Nama Allah dan bertakbir seraya meletakkan kaki baginda pada lambung keduanya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 5565. Hendaklah ketika menyembelih dikerat salur udara, kerongkong dan saluran darah leher haiwan tersebut tanpa mengerat gentian saraf di dalam tulang belakang. Hendaklah darah dari badan haiwan korban tersebut dialirkan keluar sepenuhnya dari badan haiwan tersebut sebelum melapahnya.

9. Daging Korban Tersebut Dimakan, Disedekah dan Dihadiahkan
Disunnahkan bagi keluarga yang melakukan ibadat korban tersebut untuk turut memakan sebahagian daging, menghadiahkan sebahagiannya kepada orang lain dan mengsedekahkan sebahagian lain. Malah diperbolehkan juga bagi mereka untuk menyimpan daging tersebut. Dalil-dalil akan hal ini adalah seperti berikut: Sabda Nabi s.a.w: Makanlah dan simpanlah serta sedekahkanlah (daging korban tersebut). - Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no: 1971. Jadi seeloknya 1/3 dimakan atau diambil oleh orang yang buat korban, 1/3 untuk hadiah pada sahabat dan jiran, 1/3 disedekahkan kepada fakir miskin. Kalau korban nazar, pembuat korban tidak boleh mengambil untuk dirinya walau sedikit pun.

10. Tidak boleh Mengupah Tukang Sembelih Dengan Daging Korban
Perbuatan ini adalah bertentangan dengan syarak dan diharamkan oleh Rasulullah s.a.w.. Hendaklah kepada upah tukang sembelih tersebut diberikan dengan menggunakan harta sendiri dan bukan apa-apa jua bahagian dari daging korban. Telah diriwayatkan daripada ‘Ali r.a, dia berkata: Nabi s.a.w. pernah menyuruhku untuk menyempurnakan seekor unta milik baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan pelindung yang dikenakannya, dan aku tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih dari haiwan korban tersebut. Dan dia mengatakan: “Kami memberinya dengan harta kami sendiri.” - Hadis riwayat Imam Muslim di Dalam Shahih Muslim, hadis no: 1317.

sumber:http://ibnusulaiman.blogspot.com/2006/12/mengerjakan-ibadat-korban- menurut.html (bersama pindaan dan penambahan)

No comments:

Post a Comment