Followers

Thursday, November 13, 2008

Tabiat Buruk Di Jalan Raya


Oleh: Ustaz Shauqi

Masyarakat Melayu memang terkenal dengan masyarakat yang beradab sopan, berbudi-pekerti mulia serta berakhlak tinggi. Akhlak mulia yang menjadi ’aset’ penting masyarakat merupakan hasil didikan ajaran Islam yang begitu meresap dalam jiwa dan diri masyarakat dan bangsa kita. Akan tetapi, Adab sopan dan budi pekerti mulia yang dimiliki oleh ’orang kita’ ini akan bertukar serta-merta apabila mereka berada di jalanraya!

Masyarakat kita mudah lupa diri apabila berada di jalanraya. Orang kita seolahnya sudah hilang nilai persaudaraan apabila berada di jalanraya. Mengapakah terjadi sedemikian? Di manakah silapnya? Di manakah penghayatan terhadap hadis nabi saw yang bermaksud: ”Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dia mengasihi bagi saudaranya apa yang dia kasihi bagi dirinya sendiri”?.

Kerakusan berada di jalanraya menyebabkan mereka berbuat apa sahaja demi memuaskan hati sendiri sehingga sanggup menyakiti saudara sendiri dan kelihatannya seolah sanggup untuk melupakan nilai keimanan yang sudah terpahat di dalam jiwa.

Antara perkara yang amat jelek dan buruk yang biasa sangat dilakukan oleh masyarakat kita di jalan raya ketika memandu kenderaan ialah membuang sampah dari tingkap kenderaan yang dipandu! Terdapat mereka yang begitu selamba tanpa berasa bersalah sedikit pun membuang plastik, kulit kacang, kertas, dan pelbagai sampah yang lain melalui tingkap kenderaan yang sedang dipandu laju!. Tidakkah perbuatan tersebut merupakan perbuatan yang bercanggah dengan ajaran Islam dan budaya kita?

Ternyata inilah sikap buruk orang kita yang semakin menjadi-jadi sekarang ini. Tidakkah mereka terfikir bahawa ajaran Islam yang telah tersemat sekian lama dalam diri orang Melayu telah mengajar kita supaya menjaga kebersihan? Apatah lagi kebersihan itu sebahagian daripada iman!. Rasulullah SAW sentiasa mengajar umatnya agar sentiasa berada dalam keadaan bersih, dan melarang daripada kekotoran. Sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi maksudnya: Sesungguhnya Allah itu baik dan suka akan kebaikan, bersih dan suka akan kebersihan, mulia dan suka akan kemuliaan...’.

Kadang-kala kedapatan negara-negara barat dan negara-negara bukan Islam ‘lebih mencontohi nabi’ dalam menjaga kebersihan. Orang barat tahu di mana bakul sampah untuk dibuang sampah, akan tetapi segelintir umat Islam yang mengaku sebagai umat nabi Muhammad masih tidak mengenali bakul dan tong sampah, lalu membuang sampah di merata-rata tempat. Bahkan sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, terdapat pemandu dan penumpang kenderaan dengan begitu bebas dan sewenang-wenangnya membuang sampah di atas jalan raya ketika kenderaan sedang bergerak. Golongan seumpama ini tidak wajar untuk mengaku diri mereka sebagai umat nabi Muhammad!.

Justeru, marilah sama-sama kita berfikir sejenak tentang perkara ini. Jadilah umat Islam contoh yang mementingkan kebersihan walau di mana sahaja kita berada. Juga janganlah kita cemarkan budaya murni bangsa kita yang telah dapat dipelihara sejak sekian lama. Disiplinkanlah diri agar tidak membuang sampah ketika memandu di jalanraya. Budayakanlah kembali pemeliharaan kebersihan dalam hidup agar nilai keimanan semakin kukuh dalam diri kita.

No comments:

Post a Comment