Thursday, November 6, 2008

Takbiratul Ihram Dalam Solat


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Takbiratul Ihram merupakan rukun qawli di dalam solat. Solat tidak sah tanpanya. Rukun qawli ialah rukun yang melibatkan bacaan atau sebutan. Oleh itu takbiratul ihram wajib dilafazkan dan ia tidak memadai sekadar dibaca di dalam hati. Kadang-kala ada yang tersilap dengan menganggap bahawa takbiratul ihram itu ialah mengangkat tangan sehingga ke paras bahu, sedangkan mengangkat tangan itu hanyalah sunat. Takbiratul ihram yang wajib ialah melafazkan kalimah ‘Allahu Akbar’. Sehubungan dengan itu, jumhur ulama’ berpendapat bahawa solat tidak sah kecuali dimulai dengan kalimah ‘Allahu Akbar’.

Dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Muslim dan Ibnu Majah, disebutkan bahawa nabi saw memulai solat baginda dengan ucapan Allahu Akbar. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Hakim pula telah disebutkan bahawa nabi saw mengangkat suaranya ketika bertakbir sehingga didengari oleh makmum dibelakangnya. Justeru, para ulama’ telah menyatakan bahawa bagi seseorang imam, disunatkan baginya untuk menguatkan takbiratul ihramnya sehingga boleh didengari oleh makmum dibelakangnya, manakala bagi seseorang yang menunaikan solat secara bersendirian, maka memadai baginya untuk memperdengarkan takbiratul ihram itu untuk dirinya sahaja (Sila rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhayliy 1/631).

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi, Abu Dawud dan Ibnu Majah, daripada Sayyidina Ali bahawa nabi saw bersabda yang bermaksud: “Kunci solat ialah wuduk, pembukanya ialah takbir dan penutupnya ialah salam”. Imam al-Nawawi dalam Syarh al-Muhadzdzab telah mengatakan bahawa wuduk disebut sebagai miftah atau kunci solat, kerana hadas mencegah seseorang untuk melakukan solat. Mengenai sabda Rasulullah saw, “Tahrimuha at-takbir (pembuka solat itu takbir),” al-Azhari mengatakan bahawa kata at-tahrim berasal dari kata haramtu fulanan kadza (saya melarang si Fulan melakukan ini). Sedangkan setiap yang dilarang itu haram. Dengan demikian, takbir untuk pembuka solat disebut tahrim kerana dengan takbir seseorang itu diharamkan untuk bercakap, makan minum dan lain-lain yang bukan berkaitan dengan solat (Sila rujuk Sifat Solat al-Nabiy oleh Hassan ‘Ali as-Saqqaf ms 71).

Mengapakah kita dituntut untuk bertakbir dengan ucapan ‘Allahu Akbar’ ketika memulakan solat? Ucapan Allahu Akbar yang bermaksud ‘Allah Maha Besar’ itu dilafazkan bagi menghadirkan keagungan dan kebesaran Allah di dalam diri ketika kita mula menunaikan solat. Allah Maha Besar dari segala-galanya... Allah lebih besar dari segala perbuatan kita, Allah lebih agung dari segala makhluk yang ada dan Allah lebih besar dan agung daripada segala kekuasaan hatta dari sesuatu apa pun. Oleh itu, apabila seseorang itu mengucapkan Allahu Akbar dengan hati, lisan dan seluruh anggotanya, bererti dia mengetahui bahawa Allah lebih besar dari sesuatu apa pun, dan bahawasanya ia sedang berada di hadapan Allah yang Maha Agung.

Takbiratul Ihram hendaklah dilakukan dalam keadaan berdiri sambil berniat di dalam hatinya untuk mengerjakan solat tertentu. Dalam hal ini, nabi saw telah bersabda pada seseorang dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Jika engkau telah berdiri untuk mengerjakan solat, maka bertakbirlah”.

Kadang-kala didapati dalam masyarakat kita, mereka yang mengambil mudah persoalan takbiratul ihram ini sehinggakan ada yang bertakbir dalam keadaan duduk sedangkan dia mampu berdiri. Alasan yang diberikan ialah tidak mampu berdiri lama, lalu diharuskan untuk menunaikan solat secara duduk...lantas seseorang itu menunaikan solat secara duduk sejak dari awal takbiratul ihram sehinggalah mengakhiri solat dengan salam! Perbuatan ini dengan jelas menyebabkan terbatalnya solat seseorang itu. Hal ini kerana sekiranya seseorang itu mampu berdiri sekadar untuk bertakbiratul ihram sahaja, maka ia hendaklah berdiri ketika mengucapkan Allahu Akbar, dan apabila selepas itu ia tidak mampu lagi untuk berdiri, baharulah dibenarkan untuk meneruskan solat secara duduk.

Satu perkara lagi yang wajar diberi perhatian ialah ucapan Allahu Akbar itu hendaklah dilafazkan dengan lidah, dan tidak memadai sekiranya diingatkan di dalam hati sahaja. Para imam dari mazhab yang empat berpendapat bahawa menggerakkan lidah dengan bacaan itu wajib. Menurut mereka, bacaan solat itu tidak cukup dilintaskan ke dalam hati saja tanpa dilafazkan. Perkara itu sesuai dengan sunnah Nabi Muhammad saw yang jelas sahihnya. Al-Imam al-Ghazali pula dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin mengatakan bahawa al-qira’ah (membaca) itu seperti percampuran suara dengan huruf-huruf, dan itu harus disertai dengan suara. Sekurang-kurangnya harus didengar oleh diri sendiri. Jika tidak terdengar oleh dirinya sendiri, maka tidak sah solatnya. Al-Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab telah mengatakan bahawa bacaan perlahan yang paling minima ialah yang dapat didengar oleh dirinya sendiri, dalam keadaan sihat pendengarannya. Semua ini bersifat umum dan dituntut dalam semua jenis bacaan dalam solat seperti takbir, bacaan Fatihah, tasbih ketika rukuk dan sebagainya. Begitu juga dalam tasyahhud (tahiyyat), salam dan doa, sama ada bacaan yang bersifat wajib (rukun) mahupun yang sunat.

Sesuatu yang perlu diberi perhatian juga ialah apabila dikehendaki bacaan di dalam solat itu membacanya dengan memperdengarkan diri sendiri, ini tidak bermakna yang seseorang itu perlu menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain dalam solat. Terdapat mereka yang ditimpa penyakit ‘was-was’ sering membaca sesuatu bacaan di dalam solat dengan begitu kuat sehingga mengganggu solat orang lain. Perbuatan ini merupakan sesuatu yang tidak wajar kerana mengganggu orang lain di luar solat pun merupakan suatu kesalahan, apatah lagi perbuatan mengganggu orang lain semasa dalam solat!

Jumhur Fuqaha’ juga telah mensyaratkan bahawa seorang makmum wajib memulai takbiratul-ihram setelah imam melakukannya dengan sempurna. Jika ia mengucapkan takbiratul-ihram bersamaan dengan imam atau menyertai imam pada sebahagian bacaan takbiratul-ihram atau mengucapkannya sebelum imam selesai mengucapkan takbiratul-ihram, maka solatnya tidak sah. Hal ini kerana sekiranya seseorang itu bertakbir sebelum imam selesai bertakbir, ini bermakna ia mengikuti atau menjadi makmum kepada orang yang belum menunaikan solat kerana seseorang imam belum dianggap sedang melakukan solat, kecuali setelah ia selesai mengucapkan huruf ‘ro’ yang terakhir pada lafaz ‘Allahu Akbar’.

1 comment:

  1. Assalammualaikum, Ustaz,

    Saya, ingin mendapat penjelasan dari ustaz berkenaan cara solat sesetengah jemaah yang tidak melekapkan tangan ke dada ketika dalam solat, sebaliknya hanye membiarkan kedua-dua tangan lurus kebawah. Saya cuba mencari nas-nas yg mensyariatkan solat sedemikain tapi semua hadis yang saya jumpa menyatakan rasullullah solat dengan medakapkan tangan kedada. Harap ustaz dapat jelaskan.
    Wassalam. Hanafe

    ReplyDelete