Tuesday, December 30, 2008

Sambutan Awal Muharam


Bulan Muharram merupakan salah satu bulan yang dimuliakan di dalam Islam. Antara kemulian bulan haram ini ialah disunatkan berpuasa. disunatkan juga kepada umat Islam untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Ini kerana tarikh 10 Muharram (atau dinamakan hari ‘asyura yang bermaksud sepuluh) mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri. Manakala disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharram sebagai mukhalafah (membezakan) di antara kaum Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami padaNya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kami lebih berhak daripada kamu terhadap Nabi Musa dalam hal ini. Kemudian baginda memerintahkan para Sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut. – Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Tirmidhi.

Di samping melaksanakan ibadah puasa sunat pada bulan Muharram, sesuatu yang amat penting untuk diingati dan dihayati ialah peristiwa hijrah nabi s.a.w. Justeru, tidak hairanlah apabila Khalifah Umar al-Khattab menetapkan peristiwa hijrahnya Nabi Muhammad s.a.w. dengan sahabat-sahabatnya dari kota Mekah ke Madinah sejauh kira-kira 450 km itu sebagai tahun pertama dalam Islam yang dinamakan dengan tahun Hijrah.

Penggunaan Takwim Hijrah yang digunakan pada masa sekarang telah bermula pada tahun ke 17 Hijrah, iaitu pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Penetapan permulaan tarikh bagi Takwim Hijriyah ini, diambil sempena peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w. yang bermula pada tanggal 2 Rabiulawal bersamaan 14 September 622 Masihi. Baginda sampai di Quba' pada tanggal 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622 Masihi pada hari Isnin. Jika dihitungkan kembali, maka 1 Muharram bagi tahun pertama Hijrah jatuh pada 16 Julai 622 Masihi iaitu pada hari Jumaat berdasarkan kiraan rukyah.

Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah sebagaimana yang disebutkan sebelum ini adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab r.a. Ini adalah rentetan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.Riwayat juga mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a meminta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Bermula daripada peristiwa itulah Saidina Umar memerintahkan satu kalendar / taqwim Islam yang khas diwujudkan untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.

Peristiwa ini juga pencetus kepada penyusunan takwim berdasarkan falak syar'ie. Sebelum kemunculan kalendar Islam ini di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar taqwim Islam.

Peristiwa hijrah perlu dikenang oleh umat Islam setiap tahun apatah lagi ketika menyambut sambutan awal Muharram, untuk menjadi pengajaran dan peringatan tentang pengorbanan Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya menegakkan Islam. Mudah-mudahan dengan kenangan itu dapat menimbulkan kesedaran di kalangan umat Islam bahawa kemuliaan Islam dan kewujudan negara Islam bukanlah diperoleh dengan mudah. Sebaliknya ia perlu melalui perjuangan yang gigih dan pengorbanan yang tinggi.

Sesungguhnya sifat pengorbanan yang dimiliki dan diperlihatkan oleh Rasulullah s.a.w. dan umat Islam pada zaman baginda merupakan bukti kesungguhan dan kecintaan mereka yang mendalam terhadap akidah Islam dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi terhadap perintah Allah s.w.t. Sifat seperti inilah yang sepatutnya ada dan diikuti oleh generasi umat Islam hari ini.
Oleh yang demikian, apakah yang harus dilakukan oleh umat Islam ketika menyambut tahun baru hijrah ini?

Sambutan awal Muharram dan tahun baru hijrah ini hendaklah diikuti dengan usaha melakukan perubahan pada diri dan masyarakat agar penyelewengan akidah dan keruntuhan akhlak dapat diperbetulkan dan Islam sebagai agama yang mulia dan tinggi dapat didaulatkan dan diletakkan di tempat yang sewajarnya.

No comments:

Post a Comment